Ester 9:1-32

  • Kemenangan orang Yahudi (1-19)

  • Perayaan Purim diperkenalkan (20-32)

9  Pada hari ke-13 bulan ke-12, iaitu bulan Adar,*+ tibalah masanya untuk melaksanakan perintah dan undang-undang raja.+ Itulah hari yang dinantikan oleh musuh orang Yahudi untuk mengalahkan bangsa Yahudi. Tetapi sebaliknya, orang Yahudi mengalahkan orang yang memusuhi mereka.+ 2  Di semua wilayah pemerintahan Raja Ahasweros,+ orang Yahudi berkumpul di kota masing-masing untuk menyerang sesiapa sahaja yang ingin mencederakan mereka. Orang dari semua bangsa berasa takut akan mereka, dan tiada seorang pun yang berjaya mengalahkan mereka.+ 3  Semua pembesar wilayah, ketua-ketua gabenor wilayah,+ para gabenor, dan orang lain yang menguruskan hal ehwal raja, menyokong orang Yahudi kerana mereka takut kepada Mordekhai. 4  Mordekhai memegang kedudukan yang tinggi+ di istana. Dia menjadi semakin terkenal di semua wilayah dan kekuasaannya semakin bertambah. 5  Orang Yahudi menyerang semua musuh mereka dengan pedang dan membinasakan mereka. Ya, mereka membunuh semua musuh mereka. Orang Yahudi memperlakukan orang yang membenci mereka dengan sesuka hati.+ 6  Di kota berkubu* Susan,*+ orang Yahudi telah membunuh seramai 500 orang. 7  Mereka juga membunuh Parsandata, Dalfon, Aspata, 8  Porata, Adalya, Aridata, 9  Parmasta, Arisai, Aridai, dan Waizata, 10  iaitu 10 orang anak lelaki Haman anak Hamedata, musuh orang Yahudi.+ Orang Yahudi membunuh mereka tetapi tidak merampas harta mereka.+ 11  Pada hari itu, jumlah orang yang dibunuh di kota berkubu* Susan dilaporkan kepada raja. 12  Raja berkata kepada Permaisuri Ester, “Di kota berkubu* Susan, orang Yahudi telah membunuh dan melenyapkan 10 orang anak lelaki Haman dan 500 orang yang lain. Bagaimana pula dengan wilayah pemerintahan beta yang lain?+ Apa pula yang telah dilakukan oleh orang Yahudi di situ? Sekarang apakah hajat adinda? Katakanlah, dan beta akan mengabulkannya. Nyatakanlah permohonan adinda, dan beta pasti akan menunaikannya.” 13  Ester menjawab, “Jika tuanku berkenan,+ benarkanlah orang Yahudi di Susan untuk melakukan perkara yang sama pada hari esok, selaras dengan apa yang diperintahkan pada hari ini.+ Selain itu, gantunglah mayat 10 orang anak lelaki Haman pada tiang.”+ 14  Raja pun memberikan perintah untuk melaksanakan hal itu. Perintah itu diumumkan di Susan, dan mayat 10 orang anak lelaki Haman digantungkan. 15  Pada hari ke-14 bulan Adar,+ orang Yahudi di Susan berkumpul sekali lagi. Mereka membunuh 300 orang di Susan, tetapi tidak merampas harta mereka. 16  Orang Yahudi di wilayah yang lain juga berkumpul untuk mempertahankan nyawa mereka+ dan menghapuskan musuh mereka.+ Orang Yahudi telah membunuh 75,000 orang yang membenci mereka, tetapi mereka tidak merampas sebarang harta. 17  Hal itu berlaku pada hari ke-13 bulan Adar, dan mereka berehat pada hari ke-14. Pada hari ke-14, mereka bersuka ria dan berpesta. 18  Tetapi bagi orang Yahudi di Susan, mereka berkumpul pada hari ke-13+ dan hari ke-14.+ Pada hari ke-15 barulah mereka berehat dan bersuka ria serta berpesta. 19  Itulah sebabnya orang Yahudi yang tinggal di luar kota Susan, iaitu mereka yang tinggal di kawasan terpencil, bersuka ria dan berpesta pada hari ke-14 bulan Adar.+ Pada hari itu, mereka juga menghantar makanan kepada satu sama lain.+ 20  Mordekhai+ mencatatkan peristiwa-peristiwa itu dan mengirim surat rasmi kepada semua orang Yahudi di seluruh wilayah pemerintahan Raja Ahasweros, baik yang dekat mahupun yang jauh. 21  Dia menyuruh mereka merayakan hari ke-14 dan hari ke-15 bulan Adar pada setiap tahun, 22  kerana pada hari-hari itu, mereka tidak diganggu oleh musuh mereka. Pada bulan itu, kesedihan mereka bertukar menjadi kegembiraan, dan hari perkabungan+ bertukar menjadi hari berpesta ria. Maka orang Yahudi patut bersukacita dan berpesta ria pada hari-hari itu. Mereka juga patut menghantar makanan kepada satu sama lain dan memberikan sedekah kepada orang miskin. 23  Orang Yahudi bersetuju untuk terus menyambut perayaan itu sepertimana yang telah dilakukan oleh mereka. Mereka juga bersetuju untuk melakukan apa yang tertulis dalam surat Mordekhai. 24  Haman+ anak Hamedata, seorang lelaki daripada keturunan Agag,+ iaitu musuh semua orang Yahudi, telah merancang untuk melenyapkan mereka semua.+ Maka dia telah membuang Pur+ (iaitu, membuang undi) untuk menakutkan orang Yahudi dan memusnahkan mereka. 25  Tetapi setelah Ester menghadap raja, raja mengeluarkan surat perintah yang berbunyi:+ “Biarlah Haman sendiri ditimpa muslihat yang dirancangnya terhadap orang Yahudi.”+ Maka Haman dan anak-anak lelakinya digantungkan pada tiang.+ 26  Itulah sebabnya hari-hari itu dikenali sebagai Perayaan Purim. (Purim berasal daripada perkataan Pur.)*+ Setelah orang Yahudi membaca surat Mordekhai, dan mengalami serta melihat apa yang telah berlaku, 27  mereka menetapkan satu peraturan bagi diri mereka, keturunan mereka, dan semua orang yang menyertai mereka.+ Menurut peraturan itu, setiap tahun, mereka wajib merayakan dua hari itu dan melakukan segala yang tertulis mengenainya pada waktu yang telah ditentukan. 28  Kedua-dua hari itu wajib diperingati dan dirayakan oleh setiap keluarga dan setiap generasi di setiap kota dan di setiap wilayah. Orang Yahudi tidak boleh mengabaikan Perayaan Purim, dan semua keturunan mereka tidak harus melupakan hari-hari itu. 29  Dengan kuasa yang dimiliki oleh Permaisuri Ester, iaitu anak perempuan Abihail, dan Mordekhai, orang Yahudi itu, mereka menulis surat yang kedua untuk mengesahkan Perayaan Purim. 30  Surat-surat itu dikirim kepada semua orang Yahudi yang tinggal di 127 buah wilayah+ pemerintahan Ahasweros.+ Kandungan surat itu baik dan dapat dipercayai. 31  Surat itu mengesahkan bahawa Perayaan Purim harus disambut pada waktu yang ditentukan. Hal ini sesuai dengan peraturan yang ditetapkan oleh orang Yahudi, dan sesuai dengan arahan Mordekhai dan Permaisuri Ester.+ Selain itu, orang Yahudi dan keturunan mereka+ juga perlu berpuasa+ dan berdoa dengan sungguh-sungguh.+ 32  Perintah Ester yang mengesahkan hal-hal tentang Perayaan Purim+ dicatatkan dalam sebuah buku.

Nota Kaki

Atau “Di istana.”
Atau “Susa.”
Atau “di istana.”
Atau “Di istana.”
“Pur” bermaksud “Undi.” “Purim” ialah kata jamak bagi “Pur” dan merujuk kepada perayaan orang Yahudi yang disambut pada bulan ke-12. Lihat Lampiran B15.