Satu Timotius 3:1-16

  • Syarat menjadi penyelia (1-7)

  • Syarat menjadi pembantu sidang (8-13)

  • Rahsia suci tentang pengabdian kepada Tuhan (14-16)

3  Pernyataan ini dapat dipercayai: Jika seseorang sedang berusaha untuk menjadi seorang penyelia,+ dia menginginkan pekerjaan yang baik. 2  Seorang penyelia haruslah tidak bercela, mempunyai seorang isteri sahaja, bersikap sederhana dalam segala hal, berfikiran sihat,*+ bertatatertib, suka menyambut orang dengan ramah,+ layak untuk mengajar,+ 3  bukan seorang pemabuk,+ tidak ganas,* munasabah,+ tidak suka bertengkar,+ tidak mencintai wang,+ 4  mengurus rumah tangganya dengan baik, mempunyai anak-anak yang taat dan berkelakuan baik*+ 5  (jika seseorang tidak tahu mengurus rumah tangganya sendiri, bagaimanakah dia dapat menjaga sidang Tuhan?), 6  dan bukan orang yang baru percaya kepada Kristus,+ kerana dia mungkin menjadi angkuh lalu menerima penghakiman yang sama seperti yang sudah diterima oleh Iblis. 7  Dia juga haruslah mempunyai nama baik dalam kalangan orang luar,+ supaya dia tidak dicela* dan jatuh ke dalam perangkap Iblis. 8  Begitu juga, pembantu sidang haruslah berfikiran matang,* tidak menipu,* tidak minum banyak wain, tidak tamak akan keuntungan yang diperoleh secara tidak jujur,+ 9  dan berpegang pada rahsia suci Tuhan, yang merangkumi kepercayaan kita, dengan hati nurani yang bersih.+ 10  Selain itu, hendaklah mereka diuji terlebih dahulu untuk mengetahui sama ada mereka layak atau tidak. Jika mereka bebas daripada tuduhan,+ barulah mereka boleh berkhidmat sebagai pembantu sidang. 11  Dalam cara yang sama, wanita haruslah berfikiran matang,* tidak memfitnah,+ bersikap sederhana dalam segala hal, dan setia dalam segala sesuatu.+ 12  Hendaklah pembantu sidang mempunyai seorang isteri sahaja, dan mereka harus mengurus anak-anak dan rumah tangga sendiri dengan baik. 13  Lelaki yang berkhidmat dengan baik dapat memperoleh nama yang baik. Mereka juga dapat bercakap dengan penuh keberanian* sehubungan dengan kepercayaan kepada Kristus Yesus. 14  Aku berharap dapat datang kepada kamu tidak lama lagi. Namun, aku menulis hal-hal ini kepada kamu 15  supaya jika aku terlambat, kamu akan tahu bagaimana kamu harus hidup dalam rumah tangga Tuhan,+ iaitu sidang milik Tuhan yang hidup, yang merupakan tiang dan penunjang kebenaran. 16  Sesungguhnya, tidak dapat dinafikan betapa agungnya rahsia suci tentang pengabdian kepada Tuhan: ‘Yesus menampakkan diri sebagai seorang manusia,+ mendapat perkenan Tuhan semasa dia dijadikan makhluk roh,+ dilihat oleh para malaikat,+ disebarkan dalam kalangan bangsa-bangsa,+ dipercayai di dunia,+ dan diangkat ke syurga dalam cara yang mulia.’

Nota Kaki

^ Atau “dapat membuat pertimbangan yang baik.”
^ Atau “tidak memukul orang.”
^ Atau “serius.”
^ Atau “dimalukan.”
^ Atau “serius.”
^ Harfiah, “tidak mempunyai lidah bercabang.”
^ Atau “serius.”
^ Lihat Kamus, “Bercakap dengan berani.”