Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 56

Apakah yang Menajiskan Seseorang?

Apakah yang Menajiskan Seseorang?

MATIUS 15:1-20 MARKUS 7:1-23 YOHANES 7:1

  • YESUS MENGUTUK ORANG FARISI YANG MENGUTAMAKAN TRADISI MANUSIA

Seraya Perayaan Paska tahun 32 M mendekat, Yesus bertolak ke Yerusalem untuk merayakannya selaras dengan tuntutan Hukum Tuhan. Dia berhati-hati semasa perjalanannya itu kerana orang Yahudi mahu membunuhnya. (Yohanes 7:1) Setelah itu, dia kembali ke Galilea.

Yesus mungkin berada di Kapernaum apabila orang Farisi dan para jurutulis hukum datang kepadanya dari Yerusalem. Mereka ingin mencari dasar untuk menuduhnya. Mereka berkata, “Mengapakah murid-muridmu melanggar adat istiadat nenek moyang kita? Misalnya, mereka tidak membasuh tangan sebelum makan.” (Matius 15:2) Orang Farisi berpendapat bahawa perbuatan murid-muridnya itu salah, tetapi Tuhan tidak pernah menyuruh umat-Nya “membasuh tangan sampai ke siku.”​—Markus 7:3.

Yesus menunjukkan bahawa merekalah yang telah melanggar Hukum Tuhan. Dia berkata, “Mengapakah kamu melanggar hukum Tuhan kerana adat istiadat kamu? Misalnya, Tuhan berfirman, ‘Hormatilah ibu bapa kamu,’ dan, ‘Orang yang mencaci ibu bapa harus dihukum mati.’ Tetapi kamu pula berkata, ‘Jika seseorang berkata kepada ibu bapanya, “Apa pun yang dapat saya gunakan untuk membantu ayah dan emak telah saya jadikan sebagai persembahan yang dikhaskan kepada Tuhan,” dia tidak perlu menghormati ayahnya lagi.’”​—Matius 15:3-6; Keluaran 20:12; 21:17.

Orang Farisi mendakwa bahawa sebarang harta yang dijadikan persembahan yang dikhaskan kepada Tuhan ialah milik Rumah Tuhan, maka harta itu tidak boleh digunakan untuk hal-hal lain. Misalnya, seorang anak mungkin berkata bahawa dia telah menjadikan wangnya atau harta miliknya sebagai “korban” yang dikhaskan kepada Tuhan atau Rumah Tuhan, maka dia tidak boleh menggunakannya untuk membantu ibu bapanya yang tua. Kononnya Rumah Tuhan lebih berhak ke atas wang atau harta itu berbanding ibu bapanya, maka dia tidak perlu memikul tanggungjawabnya untuk menjaga ibu bapanya. Tetapi sebenarnya, harta itu masih milik anak itu dan dia masih boleh menggunakannya.​—Markus 7:11.

Yesus marah kerana mereka telah memutarbalikkan Hukum Tuhan. Dia berkata kepada mereka, “Kamu telah menjadikan firman Tuhan tidak bernilai kerana adat istiadat kamu. Hai orang yang bermuka dua, betapa tepatnya nubuat Yesaya tentang kamu ketika dia berkata, ‘Umat ini menghormati Aku dengan bibir mereka, tetapi hati mereka jauh daripada-Ku. Sia-sia sahaja mereka terus menyembah Aku, kerana mereka mengajarkan perintah manusia seolah-olah perintah itu firman-Ku.’” Orang Farisi terbungkam dengan kata-kata Yesus. Maka dia memanggil orang ramai lalu berkata, “Dengarlah dan fahamilah hal ini: Yang menajiskan orang bukan apa yang masuk ke dalam mulut, tetapi apa yang keluar daripada mulut.”​—Matius 15:6-11; Yesaya 29:13.

Kemudian murid-murid Yesus berkata kepadanya, “Tahukah Guru bahawa orang Farisi tersandung kerana kata-kata Guru?” Dia menjawab, “Setiap tanaman yang tidak ditanam oleh Bapaku yang di syurga akan dicabut. Biarkanlah mereka. Mereka ialah pemimpin-pemimpin buta. Jika orang buta memimpin orang buta, kedua-duanya akan jatuh ke dalam lubang.”​—Matius 15:12-14.

Kemudian Petrus meminta penjelasan tentang apa yang menajiskan seseorang bagi pihak murid-murid yang lain. Yesus hairan dan menjawab, “Tidakkah kamu sedar bahawa semua yang masuk ke dalam mulut akan turun ke dalam perut lalu keluar dari tubuh? Namun apa yang keluar daripada mulut berasal dari hati, dan hal-hal inilah yang menajiskan seseorang. Sebagai contoh, dari hatilah timbul fikiran-fikiran jahat yang menyebabkan orang membunuh, berzina, melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral, mencuri, memberikan kesaksian palsu, dan menghina hal-hal yang suci. Hal-hal inilah yang menajiskan seseorang dan bukannya makan tanpa membasuh tangan.”​—Matius 15:17-20.

Yesus bukannya menyuruh orang agar tidak menjaga kebersihan atau tidak membasuh tangan sebelum makan. Sebaliknya, dia sedang mengutuk para pemimpin agama yang bermuka dua kerana mereka mengutamakan adat istiadat manusia dan mengetepikan hukum Tuhan. Sebenarnya yang menajiskan seseorang ialah perbuatan jahat yang berasal dari hati.