Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 BAB 83

Siapakah yang Dijemput oleh Tuhan?

Siapakah yang Dijemput oleh Tuhan?

LUKAS 14:7-24

  • PENGAJARAN TENTANG KERENDAHAN HATI

  • ORANG YANG DIJEMPUT MEMBERIKAN ALASAN

Setelah Yesus menyembuhkan seorang lelaki, dia memerhatikan bahawa tetamu lain memilih tempat duduk yang terbaik, dan dia menggunakan peluang itu untuk mengajar orang tentang kerendahan hati.

Yesus berkata, “Semasa orang lain menjemput kamu ke jamuan perkahwinan, janganlah duduk di tempat yang terbaik. Barangkali seseorang yang lebih penting daripada kamu juga dijemput, dan orang yang menjemput kamu berdua akan datang dan berkata kepada kamu, ‘Biarlah dia yang duduk di tempat ini.’ Kemudian, dengan malu kamu terpaksa duduk di tempat yang paling rendah.”​—Lukas 14:8, 9.

Yesus menambah, “Sebaliknya, apabila kamu dijemput, pergilah duduk di tempat yang paling rendah. Apabila orang yang menjemput kamu itu datang, dia akan berkata, ‘Kawan, marilah ke tempat yang lebih baik.’ Pada masa itu, kamu akan diberi penghormatan di hadapan semua tetamu lain.” Hal ini bukan sekadar menunjukkan kesopanan. Yesus menjelaskan, “Hal ini demikian kerana sesiapa yang meninggikan diri akan direndahkan, dan sesiapa yang merendahkan diri akan ditinggikan.” (Lukas 14:10, 11) Ya, Yesus mahu orang bersikap rendah hati.

Kemudian Yesus mengajar tuan rumah itu tentang jamuan yang akan diberkati oleh Tuhan. Dia berkata, ‘Semasa kamu mengadakan jamuan, janganlah menjemput sahabat, adik-beradik, sanak saudara, atau jiran yang kaya. Mungkin mereka juga akan menjemput kamu kelak, dan dengan demikian kamu sudah menerima balasan kamu. Sebaliknya, jemputlah orang miskin, orang tempang, orang buta, dan orang lain yang kurang upaya. Berbahagialah kamu setelah berbuat demikian, kerana mereka tidak mempunyai apa-apa untuk membalas kamu.’​—Lukas 14:12-14.

Hal ini tidak bererti bahawa kita tidak patut menjemput sahabat, saudara-mara, atau jiran ke jamuan kita. Tetapi jika kita ingin diberkati Tuhan, kita perlu menjemput mereka yang biasanya diabaikan, seperti orang miskin, tempang, dan buta. Yesus berkata, “Kamu akan menerima balasan kamu semasa orang yang melakukan apa yang benar dibangkitkan.” Maka seorang tetamu di situ berkata, “Berbahagialah orang yang menikmati jamuan dalam Kerajaan Tuhan.” (Lukas 14:15) Dia menghargai penghormatan untuk mewarisi Kerajaan Tuhan. Namun bukan semua orang memiliki penghargaan yang sama. Yesus berkata lagi,

‘Seorang lelaki mengadakan jamuan malam dan dia telah menjemput banyak orang. Dia mengutus hambanya untuk berkata kepada orang yang dijemput, “Datanglah, semuanya sudah siap.” Tetapi mereka semua mula memberikan alasan. Yang pertama berkata, “Aku sudah membeli sebidang tanah dan hendak melihatnya. Maaf, aku tidak dapat datang.” Seorang lagi berkata, “Aku telah membeli 10 ekor lembu dan hendak memeriksa lembu-lembu itu. Maaf, aku tidak dapat datang.” Ada juga yang berkata, “Aku baru sahaja berkahwin. Itulah sebabnya aku tidak dapat datang.”’​—Lukas 14:16-20.

Semuanya alasan yang tidak munasabah! Biasanya orang akan memeriksa ladang atau ternakan sebelum membelinya, bukannya selepas membelinya. Lelaki yang ketiga sudah berkahwin dan bukannya sedang membuat persiapan untuk berkahwin. Jadi dia tiada alasan untuk menolak jemputan itu. Apabila tuan rumah mendengar alasan-alasan itu, dia marah lalu berkata kepada hambanya,

“Cepatlah pergi ke jalan utama dan lorong kecil di kota. Bawalah orang miskin, orang buta, orang tempang, dan orang lain yang kurang upaya ke sini.” Hamba itu berbuat demikian, namun masih ada tempat kosong. Maka tuannya pun berkata,  ‘Pergilah ke jalan dan lorong di luar kota. Desaklah orang di situ untuk datang supaya rumahku penuh dengan tetamu. Ketahuilah: Tiada seorang pun daripada semua orang yang dijemput pada mulanya akan makan di jamuanku.’​—Lukas 14:21-24.

Perumpamaan ini menggambarkan jemputan yang diberikan oleh Yehuwa agar orang dapat mewarisi Kerajaan di syurga. Orang Yahudi, terutamanya para pemimpin agama, ialah golongan pertama yang dijemput. Kebanyakan daripada mereka menolak jemputan itu. Maka Yesus menyatakan bahawa pada masa depan, jemputan yang sama akan diberikan kepada orang Yahudi yang lain dan para pemeluk agama Yahudi. Selepas itu, jemputan juga akan diberikan kepada orang yang dianggap najis oleh orang Yahudi.​—Kisah 10:28-48.

Sesungguhnya orang yang berpeluang menikmati jamuan dalam Kerajaan Tuhan berbahagia!