Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 BAB 30

Yesus ialah Anak Tuhan

Yesus ialah Anak Tuhan

YOHANES 5:17-47

  • TUHAN IALAH BAPA YESUS

  • HARAPAN PEMBANGKITAN DIJANJIKAN

Orang Yahudi menuduh Yesus melanggar hukum Tuhan kerana dia menyembuhkan orang pada hari Sabat. Maka Yesus berkata, “Bapaku terus bekerja sehingga sekarang, dan aku pun terus bekerja.”​—Yohanes 5:17.

Sebenarnya Yesus tidak melanggar hukum Sabat. Dia sedang meniru Bapanya dengan melakukan apa yang baik, dan dia berbuat demikian setiap hari. Tetapi kata-kata Yesus membuat para penentangnya lebih marah dan mereka ingin membunuhnya. Mengapa?

Mereka percaya bahawa Yesus telah melanggar hukum dengan menyembuhkan orang pada hari Sabat. Mereka juga marah kerana Yesus berkata bahawa dia ialah Anak Tuhan. Bagi mereka, Yesus sedang menghina Tuhan dan menyamakan dirinya dengan Tuhan. Tetapi Yesus tidak takut kepada mereka. Dia menyambung, “Bapa menyayangi Anak dan menunjukkan segala-gala yang dilakukan oleh-Nya kepada Anak.”​—Yohanes 5:20.

Tuhan ialah Sumber Hidup, dan Dia membuktikannya dengan membangkitkan orang mati. Yesus berkata, “Sepertimana Bapa membangkitkan orang mati dan membolehkan mereka hidup semula, begitu juga Anak membolehkan sesiapa sahaja yang dikehendakinya hidup semula.” (Yohanes 5:21) Kata-kata Yesus sungguh bermakna! Dia menjanjikan harapan pembangkitan pada masa depan, dan sekarang pun dia dapat membangkitkan orang yang mati secara rohani. Itulah sebabnya Yesus berkata, “Orang yang mendengar kata-kataku dan percaya kepada Dia yang mengutus aku akan memperoleh kehidupan kekal dan tidak akan dihukum. Dia sudah beralih daripada kematian kepada kehidupan.”​—Yohanes 5:24.

Walaupun Yesus belum membangkitkan orang mati, dia memberitahu penentangnya bahawa orang mati akan hidup semula. Dia berkata, “Masanya akan tiba apabila semua orang di dalam makam peringatan akan mendengar suaranya lalu keluar.”​—Yohanes 5:28, 29.

Biarpun Yesus ialah Anak Tuhan, dia tidak menyamakan dirinya dengan Tuhan. Dia berkata, ‘Aku tidak dapat melakukan satu perkara pun menurut kehendakku sendiri. Aku tidak mengikut kehendakku sendiri tetapi mengikut kehendak Dia yang telah mengutus aku.’ (Yohanes 5:30) Yesus memberitahu mereka peranannya dalam tujuan Tuhan, dan inilah kali pertama dia menyatakan hal ini di khalayak ramai. Yesus juga mengingatkan mereka bahawa ada orang pernah memberikan kesaksian tentang hal ini. Dia berkata, “Kamu mengutus orang kepada Yohanes [Pembaptis], dan Yohanes telah memberikan kesaksian tentang kebenaran.”​—Yohanes 5:33.

Sebelum ini, Yohanes memberikan kesaksian tentang seorang “Nabi” dan “Kristus.” (Yohanes 1:20-25) Maka sekarang Yesus mengingatkan mereka bahawa mereka pernah menyanjung Yohanes. Dia berkata, “Untuk jangka masa yang pendek, kamu ingin bergembira dalam terangnya.” (Yohanes 5:35) Tetapi kesaksian yang diberikan oleh Yesus jauh lebih unggul daripada kesaksian yang diberikan oleh Yohanes.

Yesus berkata, “Kerja-kerja itu [termasuk penyembuhan yang baru sahaja dilakukannya] memberikan kesaksian bahawa Bapa mengutus aku. Bapa yang mengutus aku pun memberikan kesaksian tentang diriku.” (Yohanes 5:36, 37) Ya, Tuhan telah memberikan kesaksian tentang Yesus semasa dia dibaptis.​—Matius 3:17.

Ayat-Ayat Suci juga memberikan kesaksian tentang Yesus. Maka Yesus berkata, “Jika kamu percaya kepada Musa, kamu akan percaya kepadaku, kerana dia menulis mengenai aku. Tetapi jika kamu tidak mempercayai apa yang ditulis olehnya, bagaimanakah kamu dapat mempercayai apa yang aku katakan?” (Yohanes 5:46, 47) Penentang Yesus memang tiada alasan untuk menganiayanya.