Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 BAB 41

Mukjizat—Dengan Kuasa daripada Siapa?

Mukjizat—Dengan Kuasa daripada Siapa?

MATIUS 12:22-32 MARKUS 3:19-30 LUKAS 8:1-3

  • PERJALANAN YESUS YANG KEDUA

  • MENGUSIR ROH-ROH JAHAT DAN AMARAN TENTANG DOSA YANG TIDAK AKAN DIAMPUNKAN

Selepas menginjil selama dua tahun, Yesus kini dalam perjalanan untuk kembali ke Galilea. Dia disertai 12 orang rasulnya dan beberapa orang wanita yang telah “dibebaskan daripada roh-roh jahat dan disembuhkan daripada penyakit.” (Lukas 8:2) Antara mereka ialah Maria Magdalena, Susana, dan Yohana, iaitu isteri kepada pegawai Herodes Antipas.

Orang ramai mempunyai tanggapan yang berbeza-beza tentang Yesus. Hal ini jelas kelihatan apabila seorang lelaki dibawa kepada Yesus. Lelaki itu buta dan bisu kerana dirasuk roh jahat. Yesus menyembuhkan lelaki itu lalu dia dapat bercakap dan melihat. Orang ramai sangat kagum dan mula berkata, “Mungkinkah dia ini Anak Daud?”​—Matius 12:23.

Banyak orang mencari Yesus. Oleh itu, dia dan murid-muridnya tiada masa untuk makan. Tetapi bukan semua orang yang percaya bahawa Yesus ialah “Anak Daud.” Sesetengah jurutulis hukum dan orang Farisi yang datang dari Yerusalem tidak mempercayai Yesus. Mereka memberitahu orang, ‘Dia dirasuk Beelzebub dan mendapat kuasa daripada ketua roh-roh jahat.’ (Markus 3:22) Apabila saudara-mara Yesus mendengar apa yang berlaku, mereka datang untuk membawanya pergi.

Pada masa itu, adik-adik lelaki Yesus tidak percaya bahawa dia ialah Anak Tuhan. (Yohanes 7:5) Mereka tidak dapat percaya bahawa abang mereka yang membesar bersama-sama mereka di Nasaret kini menimbulkan kekecohan di situ. Mereka sangka “dia sudah gila.”​—Markus 3:21.

Memandangkan tiada orang dapat menafikan bahawa Yesus baru menyembuhkan seorang lelaki yang dirasuk roh jahat, jurutulis hukum dan  orang Farisi melontarkan tuduhan palsu terhadap Yesus. Mereka berkata, “Orang ini dapat mengusir roh jahat kerana mendapat kuasa daripada Beelzebub, iaitu ketua roh-roh jahat.”​—Matius 12:24.

Yesus mengetahui apa yang difikirkan oleh mereka, maka dia berkata, “Setiap kerajaan yang berpecah belah dan saling bermusuhan akan musnah. Setiap kota atau keluarga yang berpecah belah dan saling bermusuhan tidak akan tahan lama. Begitu juga, jika Syaitan mengusir Syaitan, dia sedang melawan dirinya sendiri. Jadi bagaimanakah kerajaannya dapat bertahan?”​—Matius 12:25, 26.

Orang Farisi terbungkam. Mereka tahu bahawa sesetengah orang Yahudi pun mengusir roh-roh jahat. (Kisah 19:13) Oleh itu, Yesus bertanya, “Jika aku mengusir roh jahat dengan kuasa daripada Beelzebub, murid-muridmu pula mengusir roh jahat dengan kuasa daripada siapa?” Yesus menunjukkan bahawa secara tidak langsung mereka sedang menuduh diri sendiri. Yesus berkata lagi, “Tetapi jika kuasa suci Tuhanlah yang membolehkan aku mengusir roh-roh jahat, hal ini bermaksud Kerajaan Tuhan sudah ada di sini namun kamu tidak menyedarinya.”​—Matius 12:27, 28.

Yesus dapat mengusir roh jahat kerana dia lebih berkuasa daripada Syaitan. Maka dia berkata, “Jika seseorang ingin masuk ke dalam rumah seorang lelaki yang kuat untuk merampas barang-barangnya, dia perlu mengikat orang kuat itu terlebih dahulu. Selepas itu, barulah dia dapat merampas barang-barang di dalam rumahnya. Sesiapa yang tidak berpihak kepada aku melawan aku, dan sesiapa yang tidak mengumpulkan orang bersama aku, orang itu akan menyebabkan orang lain tercerai-berai ke merata tempat.” (Matius 12:29, 30) Guru-guru agama itu menentang Yesus dan menjauhkan orang daripada Yesus meskipun dia mendapat sokongan Tuhan. Ya, mereka menunjukkan bahawa mereka berpihak kepada Syaitan.

Yesus memberikan amaran berikut: “Semua dosa yang dilakukan oleh manusia dan semua kata hinaan yang diucapkan oleh mereka akan diampunkan. Tetapi sesiapa yang menghina kuasa suci Tuhan tidak akan sekali-kali diampuni. Dia akan menanggung dosa yang kekal.” (Markus 3:28, 29) Ya, mereka telah menghina kuasa suci Tuhan! Betapa besarnya dosa mereka!