Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 BAB 33

Nubuat Yesaya Menjadi Kenyataan

Nubuat Yesaya Menjadi Kenyataan

MATIUS 12:15-21 MARKUS 3:7-12

  • ORANG RAMAI MENGERUMUNI YESUS

  • DIA MENYEBABKAN NUBUAT YESAYA MENJADI KENYATAAN

Setelah Yesus mengetahui bahawa orang Farisi dan pengikut-pengikut Herodes berkomplot untuk membunuhnya, dia dan murid-muridnya bertolak ke Tasik Galilea. Banyak orang dari Galilea, kota Tirus dan Sidon, timur Sungai Yordan, Yerusalem, dan Idumea, datang kepada Yesus. Dia menyembuhkan ramai orang. Oleh itu, orang yang sakit teruk berasak-asak hendak menyentuhnya.​—Markus 3:9, 10.

Maka Yesus menyuruh murid-muridnya mendapatkan sebuah perahu kecil untuknya. Dengan demikian, dia dapat mengajar orang dari perahu itu agar dia tidak dihimpit oleh orang ramai, dan jika perlu, dia dapat belayar ke kawasan lain untuk menolong lebih banyak orang.

Matius, salah seorang murid Yesus, menulis bahawa Yesus melakukan semua ini supaya “apa yang difirmankan melalui Nabi Yesaya menjadi kenyataan.” (Matius 12:17) Nubuat manakah yang menjadi kenyataan?

“Lihatlah hamba pilihan-Ku! Aku mengasihinya dan berkenan kepadanya! Aku akan mengurniakan kuasa suci-Ku kepadanya, dan dia akan menyingkapkan erti keadilan kepada bangsa-bangsa. Dia tidak akan bertengkar atau berteriak. Suaranya tidak akan kedengaran di jalan-jalan utama. Rumput yang layu tidak akan diinjak-injaknya, dan sumbu pelita yang sudah malap tidak akan dipadamkannya sehingga dia berjaya menegakkan keadilan. Sememangnya, namanya akan menjadi tonggak harapan bagi bangsa-bangsa.”​—Matius 12:18-21; Yesaya 42:1-4.

Yesus ialah hamba pilihan Tuhan yang dimaksudkan itu, dan Tuhan mengurniakan kuasa suci kepadanya. Para pemimpin agama menyesatkan orang dan mengaburi erti keadilan sejati dengan adat agama palsu. Mereka menerapkan Hukum Tuhan dalam cara yang salah, dan enggan membantu orang yang sakit pada hari Sabat! Tetapi Yesus pula menyingkapkan erti keadilan sejati dengan menyingkirkan adat manusia yang membebankan orang. Itulah sebabnya para pemimpin agama hendak membunuh Yesus. Betapa kejinya mereka!

Apakah erti ungkapan “dia tidak akan bertengkar atau berteriak. Suaranya tidak akan kedengaran di jalan-jalan utama”? Apabila Yesus menyembuhkan orang, dia akan menyuruh orang yang disembuhkan atau roh-roh jahat yang keluar daripada orang yang dirasuk “supaya tidak memberitahu orang lain tentangnya.” (Markus 3:12)  Dia tidak mahu orang mengenalnya menerusi berita yang diheboh-hebohkan di jalan atau menerusi berita sensasi yang disebarkan oleh orang ramai.

Selain itu, pada zaman itu, banyak orang ditindas. Mereka seperti rumput layu yang diinjak-injak, dan seperti sumbu pelita yang sudah malap. Yesus ‘tidak akan menginjak-injak atau memadamkan’ orang seperti ini. Sebaliknya dia melegakan dan membantu mereka yang rendah hati dengan lemah lembut dan kasih. Sememangnya semua orang dapat berharap kepada Yesus!