Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 BAB 127

Dibicarakan Sekali Lagi lalu Dibawa kepada Pilatus

Dibicarakan Sekali Lagi lalu Dibawa kepada Pilatus

MATIUS 27:1-11 MARKUS 15:1 LUKAS 22:66–23:3 YOHANES 18:28-35

  • DIBICARAKAN OLEH MAJLIS ORANG YAHUDI SEKALI LAGI

  • YUDAS ISKARIOT MENGGANTUNG DIRI

  • YESUS DIBAWA KEPADA PILATUS UNTUK DIHUKUM

Malam hampir berlalu apabila Petrus menyangkal Yesus buat kali ketiga. Majlis Orang Yahudi bersurai setelah perbicaraan Yesus tamat. Tetapi pada awal pagi hari Jumaat, mereka berkumpul sekali lagi. Barangkali mereka ingin berpura-pura mengadakan satu lagi perbicaraan supaya perbicaraan sebelum ini kelihatan sah.

Mereka berkata kepada Yesus sekali lagi, “Jika kamu ialah Kristus, beritahulah kami.” Yesus menjawab, “Biarpun aku memberitahu kamu, kamu langsung tidak akan percaya. Lagipun, jika aku bertanya kepada kamu, kamu tidak akan menjawab.” Kemudian dengan berani, Yesus menunjukkan bahawa dialah “anak manusia” yang dinubuatkan di Daniel 7:13. Dia berkata, “Mulai sekarang, Anak Manusia akan duduk di sebelah kanan Tuhan yang berkuasa.”​—Lukas 22:67-69; Matius 26:63.

Mereka berkata lagi, “Jadi, adakah kamu Anak Tuhan?” Yesus menjawab, “Kamu sendiri yang mengatakan bahawa aku ialah Anak Tuhan.” Nampaknya mereka menggunakan jawapan ini sebagai bukti bahawa Yesus telah menghina Tuhan. Mereka berkata, “Adakah kita memerlukan saksi lagi?” (Lukas 22:70, 71; Markus 14:64) Maka mereka mengikat Yesus dan membawanya kepada Pontius Pilatus, seorang gabenor Roma.

Yudas Iskariot mungkin nampak Yesus dibawa kepada Pilatus dan sedar bahawa Yesus akan dihukum mati. Maka dia berasa sedih, tetapi dia tidak bertaubat. Sebaliknya dia memulangkan 30 keping wang perak itu kepada para ketua imam dan berkata, “Aku sudah berdosa apabila aku mengkhianati orang yang tidak bersalah.” Tetapi mereka menjawab, “Hal itu tidak ada kena-mengena dengan kami. Itu urusan kamu!”​—Matius 27:4.

Yudas membuang wang perak itu ke dalam Rumah Tuhan. Kemudian dia mengikatkan seutas tali pada dahan pokok dan mencuba menggantung diri, tetapi dahan itu patah. Dia jatuh terjunam dan isi perutnya terburai.​—Kisah 1:17, 18.

Hari masih awal apabila Yesus dibawa ke istana  Pontius Pilatus. Orang Yahudi yang membawanya ke situ enggan memasuki istana itu. Mereka takut dianggap najis dan tidak dibenarkan untuk menyambut Perayaan Roti Tidak Beragi, yang juga merupakan sebahagian daripada Perayaan Paska.

Pilatus keluar dan bertanya kepada mereka, “Apakah tuduhan kamu semua terhadap lelaki ini?” Mereka menjawab, “Jika lelaki ini bukan penjenayah, kami tidak akan menyerahkannya kepada tuan.” Pilatus mungkin berasa bahawa mereka memaksanya untuk menghukum Yesus, maka dia berkata, “Bawalah dia pergi dan hakimilah dia menurut hukum kamu.” Mereka memang berniat untuk membunuh Yesus, tetapi mereka berkata, “Kami tidak berhak membunuh sesiapa pun.”​—Yohanes 18:29-31.

Jika mereka membunuh Yesus semasa Perayaan Paska, orang ramai akan marah. Tetapi jika mereka dapat mempengaruhi orang Roma untuk membunuh Yesus atas tuduhan politik, mereka tidak perlu bertanggungjawab atas kematiannya.

Mereka tidak memberitahu Pilatus bahawa mereka sudah menghukum Yesus atas kesalahan menghina Tuhan. Sekarang mereka membuat tuduhan palsu yang lain dengan berkata, “Kami mendapati bahawa lelaki ini [1] menyesatkan bangsa kami. [2] Dia melarang orang membayar cukai kepada Kaisar dan [3] mengatakan bahawa dia ialah Kristus, seorang raja.”​—Lukas 23:2.

Pilatus risau setelah mendengar tentang tuduhan yang ketiga kerana menurut undang-undang Roma, seseorang yang mengaku bahawa dia ialah seorang raja sedang memberontak melawan Kaisar. Jadi Pilatus masuk ke dalam istana sekali lagi dan menanya Yesus, “Adakah kamu Raja orang Yahudi?” Yesus mungkin ingin tahu pandangan Pilatus terhadapnya, maka dia bertanya, “Adakah kamu berkata demikian berdasarkan pemikiran sendiri, atau adakah orang lain yang memberitahu kamu tentang aku?”​—Yohanes 18:33, 34.

Pilatus langsung tidak mengetahui apa-apa tentang Yesus, tetapi dia ingin mengetahui apa yang sedang berlaku. Maka dia berkata, “Adakah aku orang Yahudi?” Dia menambah, “Bangsa kamu sendiri dan ketua-ketua imam yang menyerahkan kamu kepadaku. Apakah yang telah kamu lakukan?”​—Yohanes 18:35.

Yesus tidak menafikan bahawa dia ialah seorang raja, dan jawapannya pasti mengejutkan Gabenor Pilatus.