Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 96

Yesus Menjawab Soalan Seorang Pemimpin yang Kaya

Yesus Menjawab Soalan Seorang Pemimpin yang Kaya

MATIUS 19:16-30 MARKUS 10:17-31 LUKAS 18:18-30

  • SEORANG LELAKI KAYA BERTANYA TENTANG HIDUP ABADI

Semasa Yesus dalam perjalanan ke Yerusalem, seorang pemuda yang kaya berlari dan berlutut di depannya. Pemuda itu ialah “seorang pemimpin,” dan dia mungkin seorang ketua rumah ibadat atau ahli Majlis Orang Yahudi. Dia bertanya kepada Yesus, “Guru yang Baik, apakah yang mesti aku lakukan untuk meraih kehidupan yang kekal?”​—Lukas 8:41; 18:18; 24:20.

Yesus berkata, “Mengapakah kamu mengatakan bahawa aku baik? Tiada seorang pun yang baik kecuali Tuhan.” Barangkali pemuda itu menggunakan panggilan itu sebagai gelaran rasmi, seperti yang dilakukan oleh guru-guru agama. Meskipun Yesus mahir mengajar, dia menolak gelaran itu kerana hanya Tuhan yang layak menerimanya.

Kemudian Yesus menasihatinya, “Jika kamu ingin memperoleh kehidupan, teruslah berpegang pada hukum-hukum Tuhan.” Pemuda itu bertanya, “Hukum yang mana?” Yesus menjawab dengan menyebut lima perkara daripada Sepuluh Hukum, ‘Jangan membunuh, jangan berzina, jangan mencuri, jangan memberikan kesaksian palsu, dan hormatilah ibu bapa kamu.’ Selepas itu, dia menyatakan satu lagi hukum yang penting: “Kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri.”​—Matius 19:17-19.

Pemuda itu berkata, “Aku sudah mematuhi semua hukum ini. Apa lagi yang harus aku lakukan?” (Matius 19:20) Dia mungkin berasa bahawa dia masih perlu melakukan sesuatu supaya layak menerima hidup abadi. Yesus mengasihi pemuda itu kerana keikhlasannya. (Markus 10:21) Tetapi pemuda itu mempunyai satu cabaran.

Dia sangat mengasihi hartanya, maka Yesus berkata, “Terdapat satu lagi perkara yang perlu kamu lakukan: Pergilah dan juallah harta milik kamu lalu berikanlah wang itu kepada orang yang miskin. Dengan demikian, kamu akan mempunyai harta di syurga. Kemudian, marilah dan jadilah pengikutku.” Tetapi pemuda itu tidak sanggup berbuat demikian. Dia pergi dari situ dengan sedih kerana dia sangat mengasihi hartanya. Hal ini menghalangnya daripada menghargai harta yang sejati. (Markus 10:21, 22) Maka Yesus berkata, “Alangkah susahnya bagi orang yang kaya untuk memasuki Kerajaan Tuhan!”​—Lukas 18:24.

Yesus menyambung, “Lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada orang yang kaya memasuki Kerajaan Tuhan.” Kata-kata ini mengejutkan murid-muridnya, maka mereka bertanya, “Jika begitu, siapakah yang dapat diselamatkan?” Adakah mustahil bagi seseorang untuk memperoleh penyelamatan? Yesus menjawab, “Apa yang mustahil bagi manusia tidak mustahil bagi Tuhan.”​—Lukas 18:25-27.

Petrus menyatakan bahawa mereka telah membuat pilihan yang berbeza daripada pemuda kaya itu. Dia berkata, “Lihatlah! Kami sudah meninggalkan segala-galanya lalu mengikut Guru. Jadi apakah yang akan kami terima?” Yesus menjawab, “Tuhan akan menjadikan semua perkara baharu semasa Anak Manusia duduk di atas takhtanya yang gemilang. Pada masa itu, kamu yang telah mengikut aku juga akan duduk di atas 12 takhta dan menghakimi 12 suku Israel.”​—Matius 19:27, 28.

Yesus sedang merujuk kepada masa depan apabila bumi menjadi firdaus. Pada waktu itu, Petrus dan murid-murid yang lain akan memerintah bumi Firdaus bersama Yesus. Sememangnya ganjaran ini jauh lebih berharga daripada segala pengorbanan yang dilakukan oleh mereka!

Tetapi mereka juga menikmati berkat bahkan pada masa sekarang. Yesus berkata, “Sesiapa yang meninggalkan rumah, isteri, adik-beradik, ibu bapa, atau anak, demi Kerajaan Tuhan pasti menerima semuanya secara berlipat ganda pada zaman ini, dan pada sistem yang akan datang, dia akan menerima kehidupan yang kekal.”​—Lukas 18:29, 30.

Ya, tidak kira di mana, murid-murid Yesus dapat menikmati persaudaraan sedunia yang lebih erat daripada hubungan kekeluargaan. Nampaknya pemuda yang kaya itu bukan sahaja tidak dapat menikmati berkat ini, dia bahkan juga akan kehilangan ganjaran hidup abadi di syurga.

Yesus menyambung, “Tetapi ramai orang yang pertama akan menjadi yang terakhir, manakala orang yang terakhir akan menjadi yang pertama.” (Matius 19:30) Apakah maksudnya?

Pemuda kaya itu tergolong sebagai “orang yang pertama” kerana dia ialah seorang pemimpin orang Yahudi. Dia juga mematuhi Hukum Tuhan, maka dia sepatutnya menjadi pengikut Yesus. Tetapi dia mengutamakan kekayaannya. Sebaliknya, “orang yang terakhir,” iaitu orang biasa pada zaman itu, menerima ajaran Yesus dan mendapat hidup abadi. Maka mereka seolah-olah “menjadi yang pertama” kerana mereka akan memerintah bumi Firdaus bersama Yesus di syurga.