Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 BAB 109

Yesus Mendedahkan Kemunafikan Penentangnya

Yesus Mendedahkan Kemunafikan Penentangnya

MATIUS 22:41–23:24 MARKUS 12:35-40 LUKAS 20:41-47

  • KRISTUS ANAK SIAPA?

  • YESUS MENDEDAHKAN KEMUNAFIKAN PENENTANGNYA

Yesus masih berada di Rumah Tuhan. Dia baru sahaja menggagalkan usaha para pemimpin agama untuk memerangkapnya. (Lukas 20:20) Kini tiba gilirannya untuk menyoal mereka. Dia bertanya, “Apakah pendapat kamu tentang Kristus? Dia itu anak siapa?” (Matius 22:42) Mereka tahu bahawa Mesias akan datang daripada keturunan Daud. Maka mereka menjawab, “Dia anak Daud.”​—Matius 9:27; 12:23; Yohanes 7:42.

Yesus berkata, “Kalau begitu, mengapakah Daud yang diilhami kuasa suci Tuhan memanggil dia Tuan? Daud berkata, ‘Yehuwa berfirman kepada Tuanku, “Duduklah di sebelah kanan-Ku sehingga Aku meletakkan musuh-musuhmu di bawah kakimu.”’ Memandangkan Daud memanggil dia Tuan, bagaimana mungkin Kristus itu anak Daud?”​—Matius 22:43-45.

Orang Farisi tidak dapat menjawab. Mereka berharap agar seorang keturunan Daud akan menjadi raja di bumi dan membebaskan mereka daripada jajahan Roma. Tetapi Yesus merujuk kepada kata-kata Daud di Mazmur 110:1, 2 untuk menunjukkan bahawa Mesias bukan sekadar seorang pemimpin manusia. Mesias juga akan duduk di sebelah kanan Tuhan dan menjadi raja di syurga.

Kemudian Yesus memberikan amaran kepada murid-muridnya dan orang ramai tentang jurutulis hukum dan orang Farisi yang telah “mengambil tempat duduk Musa” untuk mengajar orang tentang Hukum Tuhan. Dia berkata, “Buatlah semua yang disuruh oleh mereka. Tetapi janganlah tiru perbuatan mereka kerana mereka hanya tahu cakap tetapi tidak tahu buat.”​—Matius 23:2, 3.

Yesus menyatakan perbuatan munafik mereka dengan berkata, ‘Lihatlah betapa besarnya bekas ayat suci yang dipakai oleh mereka sebagai perlindungan, dan betapa panjangnya rumbai jubah mereka!’ Sebilangan orang Yahudi memakai bekas-bekas kecil yang mengandungi petikan daripada Hukum Tuhan pada dahi atau lengan mereka. Selain itu, orang Israel dikehendaki untuk membuat rumbai pada jubah mereka. (Bilangan 15:38-40) Tetapi orang Farisi membesarkan bekas-bekas yang dipakai oleh mereka dan memanjangkan rumbai jubah mereka “untuk dilihat orang.”​—Matius 23:5.

Pengikut Yesus mungkin akan terpengaruh dengan sikap orang Farisi. Maka dia menasihati mereka, “Janganlah kamu menerima gelaran Rabbi kerana kamu semua bersaudara dan Guru kamu hanya satu. Janganlah panggil sesiapa pun di bumi bapa kamu kerana kamu hanya mempunyai satu Bapa yang ada di syurga. Janganlah terima gelaran pemimpin kerana kamu hanya mempunyai seorang Pemimpin, iaitu Kristus.” Jadi apakah sikap yang sepatutnya dipupuk oleh mereka? Yesus berkata, “Orang yang terbesar dalam kalangan kamu mesti melayani kamu. Sesiapa yang meninggikan diri akan direndahkan dan sesiapa yang merendahkan diri akan ditinggikan.”​—Matius 23:8-12.

Seterusnya, Yesus mengutuk para jurutulis hukum dan orang Farisi yang munafik. Dia berkata, “Alangkah malangnya kamu, jurutulis hukum dan orang Farisi! Kamu orang yang bermuka dua! Kamu bukan sahaja tidak masuk dalam Kerajaan di syurga, malah kamu mengunci pintunya dan menghalang orang yang ingin memasukinya.”​—Matius 23:13.

Orang Farisi tidak mementingkan hal-hal rohani. Contohnya, mereka berkata, “Jika seseorang bersumpah demi Rumah Tuhan, dia tidak terikat pada sumpahnya. Tetapi jika dia bersumpah demi emas di Rumah Tuhan, dia mesti melaksanakan sumpahnya.” Mereka memang buta secara rohani kerana mereka lebih mementingkan emas di Rumah Tuhan daripada Rumah Tuhan. Mereka “tidak  mempedulikan hal-hal yang lebih penting dalam Hukum, iaitu keadilan, belas kasihan, dan kesetiaan.”​—Matius 23:16, 23; Lukas 11:42.

Yesus memanggil mereka ‘pemimpin buta yang menapis agas di dalam minuman mereka, tetapi menelan unta.’ (Matius 23:24) Menurut Hukum Tuhan, agas dan unta dianggap najis dan tidak boleh dimakan. Orang Farisi dikatakan ‘menapis agas, tetapi menelan unta’ kerana mereka mematuhi hal-hal yang kecil dalam Hukum Tuhan, tetapi mengetepikan hal-hal yang lebih penting.​—Imamat 11:4, 21-24.