Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 BAB 36

Pegawai Tentera yang Beriman

Pegawai Tentera yang Beriman

MATIUS 8:5-13 LUKAS 7:1-10

  • HAMBA SEORANG PEGAWAI TENTERA DISEMBUHKAN

  • ORANG YANG BERIMAN AKAN DIBERKATI

Selepas menyampaikan Ceramah Di Atas Gunung, Yesus pergi ke Kapernaum. Di situ, para pemimpin orang Yahudi datang kepadanya. Mereka telah diutus oleh seorang pegawai tentera Roma.

Pegawai tentera itu mempunyai seorang hamba yang sangat disayanginya. Hamba itu sakit tenat dan hampir meninggal. Pegawai itu bukan orang Yahudi, tetapi dia ingin meminta bantuan Yesus. Para pemimpin orang Yahudi memberitahu Yesus bahawa hamba pegawai itu “sangat menderita. Dia terlantar di rumah dan tidak dapat bergerak.” (Matius 8:6) Mereka cuba meyakinkan Yesus bahawa pegawai itu layak menerima bantuannya. Mereka berkata, “Dia mengasihi bangsa kita dan membina rumah ibadat di sini.”​—Lukas 7:4, 5.

Maka Yesus pergi ke rumah pegawai itu bersama mereka. Semasa dia hampir tiba, pegawai itu menghantar sahabat-sahabatnya untuk berkata kepadanya, “Tuan, usahlah datang ke rumahku, kerana aku tidak layak menyambut Tuan ke dalam rumahku. Itulah sebabnya aku tidak datang dan berjumpa dengan Tuan.” (Lukas 7:6, 7) Pegawai itu begitu rendah hati! Dia juga amat berbeza daripada orang Roma lain yang melayan hamba mereka dengan kejam.​—Matius 8:9.

Pegawai itu sedar bahawa orang Yahudi tidak berurusan dengan orang bukan Yahudi. (Kisah 10:28) Maka dia meminta sahabat-sahabatnya untuk berkata kepada Yesus, “Perintahkanlah sahaja, tentu hambaku akan sembuh.”​—Lukas 7:7.

Yesus kagum dengan kata-katanya lalu memberitahu orang di situ, “Aku berkata kepada kamu: Bahkan di Israel pun aku belum pernah menjumpai sesiapa yang mempunyai iman sebesar iman orang ini.” (Lukas 7:9) Apabila mereka kembali ke rumah pegawai itu, mereka mendapati bahawa hamba itu sudah sembuh.

Kemudian Yesus menggunakan kesempatan itu untuk menyatakan bahawa orang bukan Yahudi yang beriman akan diberkati. Dia berkata, “Ramai orang dari timur dan barat akan datang lalu duduk dan makan bersama-sama Abraham, Ishak, dan Yakub dalam Kerajaan di syurga.” Bagaimana pula dengan orang Yahudi yang tidak beriman? Yesus berkata bahawa mereka “akan dibuang ke dalam kegelapan di luar. Di sana mereka akan menangis dan menggertakkan gigi.”​—Matius 8:11, 12.

Tuhan telah menawarkan peluang untuk menyertai “Kerajaan di syurga” dan memerintah bersama Kristus kepada orang Yahudi terlebih dahulu. Tetapi jika mereka menolak peluang ini, Tuhan akan memberikannya kepada orang bukan Yahudi.