Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 BAB 49

Menginjil di Galilea dan Melatih Para Rasul

Menginjil di Galilea dan Melatih Para Rasul

MATIUS 9:35–10:15 MARKUS 6:6-11 LUKAS 9:1-5

  • YESUS MENGINJIL DI GALILEA SEKALI LAGI

  • DIA MENGUTUS RASULNYA UNTUK PERGI MENGINJIL

Yesus giat menginjil selama dua tahun, jadi adakah dia akan berehat sekarang? Tidak, sebaliknya dia meluaskan kerja penyebarannya dengan “menjelajah ke semua kota dan pekan [di Galilea]. Dia mengajar di rumah ibadat dan menyebarkan berita baik Kerajaan Tuhan. Dia juga menyembuhkan semua penyakit dan masalah kesihatan.” (Matius 9:35) Dia ingin menggiatkan lagi usahanya. Bagaimanakah dia akan berbuat demikian?

Dalam perjalanannya, Yesus nampak orang yang memerlukan bantuan rohani. Dia berasa kasihan terhadap mereka kerana mereka ditindas dan diabaikan seperti biri-biri tanpa gembala. Maka dia berkata kepada murid-muridnya, “Tuaian memang banyak, tetapi pekerja hanya sedikit. Jadi, rayulah Pemilik tuaian supaya menghantar pekerja untuk mengumpulkan tuaian.”​—Matius 9:37, 38.

Yesus tahu apa yang harus dilakukannya. Dia memanggil 12 orang rasulnya lalu mengutus mereka secara berpasangan dengan arahan berikut: “Janganlah pergi kepada bangsa-bangsa lain atau ke kota orang Samaria. Tetapi pergilah kepada orang Israel sahaja yang bagaikan biri-biri yang sesat. Seraya kamu pergi, sebarkanlah berita ini: ‘Kerajaan di syurga sudah dekat.’”​—Matius 10:5-7.

Kerajaan yang dimaksudkan oleh Yesus ialah Kerajaan Tuhan. Murid-murid Yesus disuruh untuk menyebarkan berita bahawa ‘Kerajaan Tuhan sudah dekat’ kerana raja kerajaan itu, iaitu Yesus Kristus, sudah ada di bumi.  Bagaimanakah mereka membuktikan bahawa mereka ialah wakil kerajaan ini? Yesus memberi mereka kuasa untuk menyembuhkan orang yang sakit dan bahkan membangkitkan orang mati. Mereka melakukan semua ini tanpa mengenakan bayaran, jadi bagaimanakah mereka dapat menampung keperluan hidup mereka?

Yesus berkata bahawa mereka tidak perlu menyediakan keperluan fizikal semasa mereka pergi menginjil. Mereka tidak perlu membawa duit, pakaian, atau kasut. Mereka bahkan tidak perlu membawa makanan. Mengapa? “Seorang pekerja layak menerima makanan,” kata Yesus. (Matius 10:10) Orang yang menghargai berita yang disampaikan oleh mereka akan menjaga keperluan seharian mereka. Yesus berkata, “Setiap kali kamu memasuki sebuah rumah, tinggallah di sana sehingga kamu meninggalkan tempat itu.”​—Markus 6:10.

Yesus juga mengajar mereka cara menyampaikan berita baik Kerajaan Tuhan. Dia berkata, “Semasa kamu memasuki rumah orang, berikanlah salam kepada orang yang ada di dalam rumah itu. Jika mereka layak, mereka akan diberkati. Jika tidak, biarlah berkatmu kembali kepada kamu. Jika ada sesiapa yang tidak menerima kamu atau tidak mahu mendengar kata-kata kamu, kebaskanlah debu daripada kaki kamu semasa kamu meninggalkan rumah atau kota itu.”​—Matius 10:12-14.

Menurut kata-kata Yesus, mungkin seluruh kota atau kampung akan menolak berita yang disampaikan oleh mereka. Apakah yang akan berlaku kepada kota atau kampung itu? Yesus menjelaskan, “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Pada Hari Penghakiman, Sodom dan Gomora akan menerima hukuman yang lebih ringan daripada kota itu.” Ya, mereka akan menerima hukuman yang berat.​—Matius 10:15.