Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 BAB 25

Menyembuhkan Seorang Pesakit Kusta

Menyembuhkan Seorang Pesakit Kusta

MATIUS 8:1-4 MARKUS 1:40-45 LUKAS 5:12-16

  • YESUS MENYEMBUHKAN SEORANG PESAKIT KUSTA

Yesus dan empat orang muridnya “pergi ke seluruh kawasan Galilea untuk menyebarkan berita baik di rumah-rumah ibadat.” Berita tentang Yesus tersebar ke merata tempat. (Markus 1:39) Seorang lelaki mendengar tentang mukjizat Yesus. Menurut Lukas, seorang doktor, ‘seluruh tubuh lelaki itu dijangkiti penyakit kusta.’ (Lukas 5:12) Pada peringkat akhir penyakit ini, pesakit bahkan akan kehilangan anggota tubuh badan.

Keadaan lelaki itu sangat parah dan dia harus tinggal jauh daripada orang lain. Jika ada orang lalu berdekatannya, dia perlu berseru, “Najis! Najis!” supaya orang itu tidak datang terlalu dekat dan dijangkiti penyakitnya. (Imamat 13:45, 46) Tetapi apabila lelaki itu nampak Yesus, dia pergi kepada Yesus dan bersujud sambil merayu, “Tuan, jika Tuan rela, Tuan dapat menyembuhkan aku.”​—Matius 8:2.

Betapa besarnya iman lelaki itu! Keadaannya amat menyedihkan! Jika anda berada di situ, apakah yang akan anda lakukan? Bible menyatakan bahawa hati Yesus tersentuh dan dia menghulurkan tangannya lalu menyentuh lelaki itu. Dia berkata, “Aku rela. Sembuhlah!” (Matius 8:3) Dengan serta-merta penyakit kusta lelaki itu hilang.

Cara Yesus memperlakukan pesakit kusta itu menunjukkan bahawa dia sangat berbelas kasihan dan berkuasa. Apabila dia menjadi Raja seluruh bumi, nubuat Bible berikut akan menjadi kenyataan: “Dia akan mengasihani orang yang miskin dan orang yang lemah, dan dia akan menyelamatkan nyawa orang yang papa kedana.” (Mazmur 72:13) Sememangnya Yesus akan menolong semua orang yang menderita.

Sebelum Yesus menyembuhkan pesakit kusta itu, berita tentang kerja penyebarannya telah tersebar luas. Sekarang berita tentang mukjizat ini pasti diketahui lebih ramai orang. Namun Yesus tidak mahu orang beriman terhadapnya semata-mata kerana apa yang didengari mereka. Seperti yang dinubuatkan, “suaranya tidak akan kedengaran di jalan-jalan.” Hal ini bererti bahawa Yesus tidak akan mengheboh-hebohkan perbuatannya sendiri. (Yesaya 42:1, 2) Maka Yesus memberitahu pesakit kusta yang telah sembuh itu, “Jangan beritahu orang lain tentang hal ini. Pergilah berjumpa dengan imam. Kemudian, persembahkanlah korban mengikut arahan dalam Hukum Musa untuk membuktikan kepada para imam bahawa kamu sudah sembuh.”​—Matius 8:4.

Bayangkan betapa gembiranya lelaki itu! Dia tidak dapat menahan diri lalu memberitahu semua orang apa yang telah berlaku. Oleh itu, banyak orang datang mencari Yesus sehingga dia tidak dapat masuk ke dalam kota. Maka dia terpaksa tinggal di tempat-tempat terpencil yang tidak berpenduduk. Biarpun begitu, orang masih datang dari merata tempat untuk belajar daripada Yesus dan disembuhkan olehnya.