Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 BAB 71

Orang Farisi Menyoal Lelaki yang Dahulunya Buta

Orang Farisi Menyoal Lelaki yang Dahulunya Buta

YOHANES 9:19-41

  • ORANG FARISI MENYOAL PENGEMIS YANG DAHULUNYA BUTA

  • PARA PEMIMPIN AGAMA “BUTA”

Orang Farisi tidak percaya bahawa Yesus menyembuhkan seorang pengemis yang dilahirkan buta, maka mereka memanggil ibu bapanya. Ibu bapa pengemis itu tahu bahawa mereka mungkin akan “dibuang dari rumah ibadat.” (Yohanes 9:22) Jika hal ini berlaku, mereka akan mengalami masalah ekonomi dan sosial.

Orang Farisi menanya ibu bapa pengemis itu, “Benarkah dia ini anak kamu yang kamu kata dilahirkan buta? Sekarang bagaimanakah dia dapat melihat?” Mereka menjawab, “Dia memang anak kami yang dilahirkan buta. Tetapi kami tidak tahu bagaimana dia dapat melihat sekarang, atau siapa yang telah memulihkan penglihatannya.” Biarpun mereka tahu apa yang telah berlaku, mereka masih menjawab dengan berhati-hati. Mereka berkata, “Tanyalah dia. Dia sudah dewasa dan harus menjawab sendiri.”​—Yohanes 9:19-21.

Maka orang Farisi memanggil pengemis itu dan menggertaknya, “Muliakanlah Tuhan dengan bercakap benar. Kami tahu bahawa lelaki itu seorang pendosa.” Pengemis itu menjawab, “Sama ada dia seorang pendosa atau tidak, aku tidak tahu. Tetapi aku tahu satu hal: Dahulu aku buta tetapi sekarang aku dapat melihat.”​—Yohanes 9:24, 25.

Orang Farisi bertanya lagi, “Apakah yang dilakukannya terhadap kamu? Bagaimanakah dia memulihkan penglihatan kamu?” Pengemis itu menjawab dengan berani, “Aku sudah pun memberitahu kamu tetapi kamu semua enggan mendengarnya. Mengapakah kamu mahu mendengarnya lagi? Adakah kamu pun mahu menjadi murid-muridnya?” Mereka marah dan berkata, “Kamu murid lelaki itu tetapi kami murid Musa. Kami tahu bahawa Tuhan telah berfirman kepada Musa tetapi kami tidak tahu dari mana datangnya lelaki itu.”​—Yohanes 9:26-29.

Pengemis itu menjawab, “Hal ini sungguh menghairankan! Kamu tidak tahu dari mana dia datang, namun dia telah memulihkan penglihatanku.” Hujahnya yang seterusnya amat logik. Dia berkata, “Kita tahu bahawa Tuhan tidak mendengar doa orang yang berdosa, tetapi Dia mendengar doa orang yang takut kepada-Nya dan yang melakukan kehendak-Nya. Dari dahulu lagi, tidak pernah ada berita tentang sesiapa yang dapat memulihkan penglihatan orang yang dilahirkan buta. Jika orang ini tidak berasal daripada Tuhan, dia tidak akan dapat melakukan apa-apa pun.”​—Yohanes 9:30-33.

Mereka tidak dapat menyangkal kata-kata pengemis itu, maka mereka mencacinya dengan berkata, “Sejak lahir lagi kamu diselubungi dosa. Adakah kamu mahu mengajar kami?” Mereka pun menghalau dia.​—Yohanes 9:34.

Apabila Yesus mendengar apa yang terjadi, dia mencari pengemis itu dan bertanya kepadanya, “Adakah kamu beriman kepada Anak Manusia?” Pengemis itu menjawab, “Tuan, siapakah dia? Beritahulah aku agar aku dapat beriman kepadanya.” Yesus berkata, “Kamu sudah melihat dia. Sebenarnya, dialah yang bercakap dengan kamu sekarang ini.”​—Yohanes 9:35-37.

Maka pengemis itu berkata, “Ya Tuan. Aku beriman.” Kemudian, untuk menunjukkan iman dan rasa hormat, dia sujud kepada Yesus. Yesus berkata, “Aku datang ke dunia ini agar orang dapat dihakimi. Dengan ini orang yang buta dapat melihat, dan orang yang dapat melihat menjadi buta.”​—Yohanes 9:38, 39.

Orang Farisi yang ada di situ memang tidak buta, jadi mereka berkata, “Adakah Guru bermaksud bahawa kami juga buta?” Yesus menjawab, “Jika kamu buta, kamu tidak berdosa. Tetapi sekarang kamu berkata, ‘Kami melihat.’ Maka dosa kamu tidak akan diampunkan.” (Yohanes 9:40, 41) Jika mereka bukan guru agama di Israel, keengganan mereka untuk menerima Yesus masih boleh dimaafkan. Tetapi oleh sebab mereka mempunyai pengetahuan tentang Hukum Tuhan, perbuatan mereka ini ialah dosa yang serius.