Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 BAB 120

Menghasilkan Buah dan Menjadi Sahabat Yesus

Menghasilkan Buah dan Menjadi Sahabat Yesus

YOHANES 15:1-27

  • POKOK ANGGUR SEJATI DAN CARANG-CARANGNYA

  • CARA UNTUK TETAP BERADA DALAM KASIH YESUS

Sekarang sudah larut malam. Yesus terus menggalakkan para rasulnya yang setia dengan menceritakan satu perumpamaan lagi.

Dia berkata, “Akulah pokok anggur yang sejati, dan Bapaku ialah peladang anggur.” (Yohanes 15:1) Kata-katanya mungkin mengingatkan mereka tentang bangsa Israel yang dipanggil pokok anggur Yehuwa berabad-abad dahulu. (Yeremia 2:21; Hosea 10:1, 2) Namun bangsa itu akan ditinggalkan oleh Yehuwa. (Matius 23:37, 38) Sekarang, Yesus memperkenalkan sesuatu yang baharu. Dia berkata bahawa dia ialah pokok anggur Bapanya sejak dia diurapi dengan kuasa suci Tuhan pada tahun 29 M. Selain itu, Yesus menunjukkan bahawa perumpamaan pokok anggur itu turut merangkumi orang lain. Dia berkata,

‘Setiap carang padaku yang tidak berbuah akan dibuang oleh Bapaku, dan setiap carang yang berbuah akan dipangkas supaya menjadi bersih dan menghasilkan lebih banyak buah. Jika carang tidak tetap berada pada pokoknya, carang itu tidak dapat berbuah. Demikian juga, jika kamu tidak tetap bersatu dengan aku, kamu tidak dapat berbuah. Akulah pokok anggur dan kamu ialah carang-carangnya.’​—Yohanes 15:2-5.

Yesus berjanji kepada para pengikutnya bahawa dia akan memberi mereka penolong. Hal itu berlaku 51 hari kemudian, iaitu apabila para rasul dan orang lain diberi kuasa suci Tuhan dan menjadi carang-carang pokok anggur itu. Semua “carang” harus tetap bersatu dengan Yesus. Mengapa?

Yesus menjelaskan, “Jika seseorang tetap bersatu dengan aku, aku juga akan bersatu dengannya. Dengan demikian, dia akan menghasilkan banyak buah kerana kamu tidak dapat melakukan apa-apa tanpa aku.” Carang-carang ini, iaitu para pengikutnya yang setia, akan menghasilkan banyak buah. Ya, mereka akan meniru sifat-sifat Yesus, menginjil dengan giat, dan menjadikan orang murid Yesus. Yesus menambah, “Jika kamu tetap bersatu dengan aku dan menyimpan kata-kataku dalam hati kamu, mintalah apa sahaja yang kamu inginkan dan permintaan kamu akan dikabulkan.” Namun jika mereka tidak tetap bersatu dengan Yesus dan tidak berbuah, mereka akan “dicampak ke luar.”​—Yohanes 15:5-7.

Kemudian Yesus menyebut tentang pentingnya mematuhi perintahnya untuk kali ketiga. (Yohanes 14:15, 21) Dia berkata, “Jika kamu mematuhi perintah-perintahku, kamu akan tetap berada dalam kasihku, sebagaimana aku telah mematuhi perintah-perintah Bapa dan tetap berada dalam kasih-Nya.” Namun, selain mengasihi Yehuwa dan Yesus, ada hal lain yang perlu dilakukan. Yesus berkata, “Kamu harus saling mengasihi, sebagaimana aku sudah mengasihi kamu. Tidak ada kasih yang lebih besar daripada ini, iaitu kasih yang diperlihatkan oleh seseorang yang rela menyerahkan nyawanya demi sahabat-sahabatnya. Kamu ialah sahabat-sahabatku jika kamu melakukan apa yang aku perintahkan.”​—Yohanes 15:10-14.

Beberapa jam lagi, Yesus akan membuktikan kasihnya dengan menyerahkan nyawanya bagi orang yang beriman kepadanya. Teladannya harus mendorong para pengikutnya untuk menunjukkan kasih yang sama. Kasih sedemikian akan menjadi tanda pengenal murid Yesus yang sejati, seperti yang pernah dikatakannya: “Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamulah murid-muridku.”​—Yohanes 13:35.

Yesus memanggil para rasul sebagai sahabatnya. Dia berkata, “Aku memanggil kamu sahabat-sahabatku kerana aku sudah memberitahu kamu segala yang telah aku dengar daripada Bapaku.” Memang penghormatan yang besar untuk menjadi sahabat karib Yesus dan mengetahui apa yang diajarkan oleh Bapanya! Namun, untuk tetap menjadi  sahabatnya, mereka perlu “terus menghasilkan buah.” Dengan demikian, apa sahaja yang diminta oleh mereka daripada Bapa atas nama Yesus akan diberikan kepada mereka.​—Yohanes 15:15, 16.

Kasih yang wujud antara para pengikutnya akan membantu mereka untuk menghadapi cabaran dengan tabah. Dia mengingatkan mereka, ‘Jika dunia membenci kamu, ingatlah bahawa dunia sudah membenci aku sebelum membenci kamu. Jika kamu sebahagian daripada dunia, dunia akan mengasihi kamu kerana kamu miliknya. Kamu bukan sebahagian daripada dunia. Itulah sebabnya dunia membenci kamu.’​—Yohanes 15:18, 19.

Yesus menambah, “Mereka akan melakukan semua ini terhadap kamu kerana namaku, dan kerana mereka tidak mengenal Dia yang mengutus aku.” Sebenarnya semua mukjizat yang dilakukan oleh Yesus membuktikan kesalahan mereka yang membencinya. Dia berkata, “Seandainya mereka tidak melihat aku melakukan mukjizat yang tidak pernah dilakukan orang lain, mereka tidak berdosa. Tetapi sekarang mereka sudah melihat aku dan membenci aku serta Bapaku.” Ya, perbuatan mereka sudah dinubuatkan dalam Kitab Suci.​—Yohanes 15:21, 24, 25; Mazmur 35:19; 69:4.

Yesus berjanji sekali lagi bahawa dia akan memberi murid-muridnya penolong, iaitu kuasa suci Tuhan, untuk menghasilkan buah. Ya, kuasa suci itu akan membolehkan mereka untuk “memberikan kesaksian.”​—Yohanes 15:27.