Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 132

“Lelaki Ini Sememangnya Anak Tuhan”

“Lelaki Ini Sememangnya Anak Tuhan”

MATIUS 27:45-56 MARKUS 15:33-41 LUKAS 23:44-49 YOHANES 19:25-30

  • YESUS MATI PADA TIANG SEKSAAN

  • KEJADIAN LUAR BIASA SEMASA YESUS MATI

Sekarang ialah “jam 12 tengah hari,” dan seluruh bumi menjadi gelap “sehingga jam 3 petang.” (Markus 15:33) Kejadian ini tidak disebabkan oleh gerhana matahari. Gerhana matahari berlaku semasa anak bulan muncul, tetapi sekarang ialah musim Paska, waktu bulan purnama. Selain itu, gerhana matahari berlaku selama beberapa minit, tetapi bumi menjadi gelap selama beberapa jam. Maka jelaslah bahawa Tuhan telah menyebabkan hal ini terjadi!

Kejadian ini semestinya mengejutkan orang yang sedang mencemuh Yesus. Pada waktu itu, empat orang wanita mendekati tiang seksaan Yesus. Mereka ialah ibu Yesus, Salome, Maria Magdalena, dan Maria, iaitu ibu kepada Yakobus Kecil.

Yohanes dan ibu Yesus “berdiri dekat tiang seksaan.” Maria nampak anak yang dilahirkannya itu menderita di atas tiang. Hatinya seolah-olah “ditembusi sebilah pedang yang panjang.” (Yohanes 19:25; Lukas 2:35) Meskipun Yesus sangat menderita, dia masih berfikir tentang ibunya. Dia melihat ke arah Yohanes sambil berkata kepada ibunya, “Ibu, lihatlah! Mulai sekarang dialah anakmu!” Kemudian, sambil melihat ke arah Maria, dia berkata kepada Yohanes, “Lihatlah! Mulai sekarang dialah ibumu!”​—Yohanes 19:26, 27.

Yesus menyuruh rasulnya yang tersayang untuk menjaga ibunya. Ibunya ialah seorang balu, dan adik-beradik Yesus yang lain belum beriman kepadanya, maka dia memastikan bahawa keperluan fizikal dan rohani ibunya dijaga.

Sekitar jam 3 petang, Yesus berkata, “Aku dahaga.” Dengan demikian, apa yang tertulis menjadi kenyataan. (Yohanes 19:28; Mazmur 22:15) Yesus dapat merasakan bahawa Bapanya tidak akan melakukan apa-apa untuk melindunginya, dan kesetiaannya akan diuji sepenuhnya. Oleh itu, dia berseru dalam bahasa Aram, “Eli, Eli, lama sabakhtani?” yang bermaksud, “Tuhanku, Tuhanku, mengapakah Engkau meninggalkan aku?” Orang di situ salah faham dan berkata, “Lihat! Dia sedang memanggil Elia.” Ada orang berlari untuk merendamkan span ke dalam wain masam, lalu menggunakan sebatang kayu untuk menghulurkan span itu ke mulut Yesus supaya dia dapat minum. Tetapi ada orang berkata, “Biarkan dia! Mari kita lihat sama ada Elia akan datang untuk menyelamatkannya atau tidak.”​—Markus 15:34-36.

Kemudian Yesus berseru, “Sudah selesai!” (Yohanes 19:30) Ya, dia telah menyempurnakan segala tugas yang diamanahkan oleh Bapanya. Akhirnya dia berkata, “Ya Bapa, aku menyerahkan nyawaku ke dalam tangan-Mu.” (Lukas 23:46) Yesus yakin sepenuhnya bahawa Yehuwa akan membangkitkannya. Maka setelah dia berkata demikian, dia menundukkan kepala lalu mati.

Ketika itu, bumi bergoncang dan batu-batu terbelah. Gempa bumi itu begitu kuat sehingga kubur-kubur di luar Yerusalem terbuka dan mayat-mayat tercampak keluar. Ada orang nampak mayat-mayat itu dan masuk ke dalam “kota suci” untuk melaporkan apa yang terjadi.​—Matius 12:11; 27:51-53.

Semasa Yesus mati, tirai di antara Bilik Suci dengan Bilik Maha Suci di Rumah Tuhan terkoyak menjadi dua. Hal ini menandakan bahawa Tuhan murka terhadap orang yang telah membunuh Anak-Nya. Hal ini juga menandakan bahawa “jalan” yang menuju ke Bilik Maha Suci, iaitu ke syurga, telah dibuka.​—Ibrani 9:2, 3; 10:19, 20.

Semua orang menjadi sangat takut. Pegawai tentera yang berdiri di depan Yesus berkata, “Lelaki ini sememangnya Anak Tuhan.” (Markus 15:39) Pegawai itu mungkin hadir sewaktu Yesus dibawa kepada Pilatus untuk menentukan sama ada dia ialah Anak Tuhan atau tidak. Sekarang pegawai itu yakin bahawa Yesus memang Anak Tuhan.

Orang ramai yang melihat apa yang berlaku di situ pulang ke rumah sambil “memukul dada kerana sedih.” (Lukas 23:48) Tetapi ada orang yang tetap berdiri di situ dan melihat kejadian ini dari jauh. Antara mereka ialah wanita-wanita yang mengikut Yesus. Mereka juga berasa sangat sedih.