Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 BAB 114

Raja Yesus Memisahkan Bebiri daripada Kambing

Raja Yesus Memisahkan Bebiri daripada Kambing

MATIUS 25:31-46

  • PERUMPAMAAN YESUS TENTANG BEBIRI DAN KAMBING

Yesus baru menceritakan perumpamaan tentang 10 anak dara dan wang talenta. Sekarang dia menceritakan perumpamaan tentang bebiri dan kambing untuk melengkapkan jawapannya bagi soalan tentang kehadirannya dan penghujung sistem ini.

Yesus berkata, “Apabila Anak Manusia datang dalam kemuliaannya dengan semua malaikat, dia akan duduk di atas takhtanya yang agung.” (Matius 25:31) “Anak Manusia” yang dimaksudkan dalam perumpamaan ini ialah Yesus kerana dia selalu menggunakan gelaran ini untuk merujuk kepada dirinya.​—Matius 8:20; 9:6; 20:18, 28.

Bilakah peristiwa dalam perumpamaan ini akan menjadi kenyataan? Yesus pernah berkata bahawa “Anak Manusia datang di atas awan dengan kuasa dan kemuliaan yang besar” bersama malaikatnya “sejurus selepas kesengsaraan” berlaku. (Matius 24:29-31; Markus 13:26, 27; Lukas 21:27) Ya, peristiwa dalam perumpamaan ini akan menjadi kenyataan pada masa depan. Apakah yang akan dilakukannya pada waktu itu?

Yesus berkata, ‘Apabila Anak Manusia datang, semua bangsa akan dikumpulkan di hadapannya, dan dia akan memisahkan orang menjadi dua kumpulan, sepertimana seorang gembala memisahkan biri-biri daripada kambing. Dia akan meletakkan biri-biri di sebelah kanannya tetapi kambing di sebelah kirinya.’​—Matius 25:31-33.

Berkenaan golongan bebiri, Yesus berkata, “Kemudian Raja akan berkata kepada mereka yang ada di sebelah kanannya, ‘Marilah, kamu yang telah diberkati oleh Bapaku. Warisilah Kerajaan Tuhan yang telah disediakan untuk kamu sejak dunia diasaskan.’” (Matius 25:34) Mengapakah raja itu memberkati mereka?

Raja itu menjelaskan, “Semasa aku lapar, kamu memberi aku makanan; aku dahaga dan kamu  memberi aku minuman. Kamu tidak mengenal aku, tetapi kamu menyambut aku ke dalam rumahmu. Aku tidak berpakaian tetapi kamu memberi aku pakaian. Aku jatuh sakit dan kamu menjaga aku. Aku dipenjarakan dan kamu datang melawat aku.” Apabila golongan bebiri, iaitu “orang yang melakukan apa yang benar,” bertanya bila mereka berbuat demikian, raja itu menjawab, “Apa sahaja yang kamu lakukan untuk salah seorang daripada saudaraku yang paling kecil, kamu lakukannya untukku.” (Matius 25:35, 36, 40, 46) Mereka tidak melakukan perbuatan baik itu di syurga kerana tiada orang yang sakit atau lapar di situ. Sebaliknya mereka telah berbuat demikian kepada saudara Kristus yang berada di bumi.

Berkenaan golongan kambing, Yesus berkata, “Kemudian [raja] akan berkata kepada mereka yang ada di sebelah kirinya, ‘Pergilah dari sini, hai orang yang terkutuk! Pergilah ke dalam api kekal yang disediakan untuk Iblis dan malaikat-malaikatnya. Semasa aku lapar, kamu tidak memberi aku makanan; aku dahaga tetapi kamu tidak memberi aku minuman. Aku tidak kamu kenali, tetapi kamu tidak menyambut aku ke dalam rumahmu. Aku tidak berpakaian tetapi kamu tidak memberi aku pakaian. Aku jatuh sakit dan dipenjarakan tetapi kamu tidak menjaga aku.’” (Matius 25:41-43) Mereka memang patut dihukum kerana mereka tidak berbuat baik kepada saudara Kristus yang berada di bumi.

Daripada perumpamaan ini, para rasul tahu bahawa harapan kekal mereka bergantung pada penghakiman raja itu. Yesus memberitahu mereka, “[Raja] akan [berkata], ‘Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Apa sahaja yang tidak kamu lakukan untuk salah seorang daripada saudaraku yang paling kecil, kamu tidak lakukannya untukku.’ Orang sebegini akan mati selama-lamanya, tetapi orang yang melakukan apa yang benar akan hidup selama-lamanya.”​—Matius 25:45, 46.

Ya, jawapan Yesus pastinya mendorong para rasul untuk memeriksa sikap dan perbuatan mereka.