Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimanakah Saya Dapat Menghadapi Tragedi?

Bagaimanakah Saya Dapat Menghadapi Tragedi?

Hal yang buruk boleh menimpa sesiapa sahaja. Bible berkata, ‘Orang yang cepat tidak semestinya menjadi juara, orang yang kuat tidak semestinya menang dalam pertempuran. Kejadian yang tidak terduga menimpa semua orang.’ (Pengkhutbah 9:11) Kaum muda juga mungkin ditimpa tragedi. Bagaimanakah mereka dapat menghadapinya? Pertimbangkan dua contoh berikut.

 REBEKAH

Ibu bapa saya bercerai semasa saya berumur 14 tahun.

Saya masih tidak dapat terima hakikat bahawa ayah dan ibu sudah bercerai. Saya fikir ayah hanya memerlukan masa untuk bertenang. Ayah memang sayangkan ibu, jadi mengapa pula dia mahu meninggalkan ibu? Mengapa ayah mahu tinggalkan saya?

Saya berasa sangat susah untuk bercakap dengan orang lain tentang apa yang berlaku. Saya tidak mahu memikirkannya. Pada masa itu saya tidak sedar bahawa saya sangat marah. Saya rasa gelisah dan tidak dapat tidur.

Semasa berumur 19 tahun, ibu saya meninggal akibat penyakit kanser. Dialah sahabat terbaik saya.

Perceraian ibu bapa saya memang mengejutkan, tetapi kematian ibu merupakan tamparan yang lebih hebat. Saya masih tidak dapat menerimanya. Saya berasa semakin khuatir dan susah untuk tidur.

Ada beberapa perkara yang membantu saya. Misalnya, Amsal 18:1 mengingatkan saya agar tidak mengasingkan diri. Jadi, saya cuba mengikuti nasihat itu.

Selain itu, sebagai salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa, saya membaca bahan bacaan Bible kita untuk mendapatkan galakan. Buku “Pertanyaan Kaum Muda,” Jilid 2, telah membantu saya ketika ibu bapa saya bercerai, khususnya bab 25 yang berkaitan dengan topik keluarga ibu bapa tunggal.

Matius 6:​25-34 merupakan salah satu ayat Bible kegemaran saya yang membantu saya mengatasi rasa gelisah. Di ayat 27, Yesus bertanya, “Siapakah antara kamu yang dapat memanjangkan hayat walaupun sedikit dengan berasa khuatir?”

Perkara buruk akan menimpa semua orang. Namun melalui teladan ibu, saya belajar bahawa cara kita menghadapi kesusahan amatlah penting. Ibu mengharungi banyak liku-liku kehidupan, seperti perceraian dan penyakit yang tenat. Biarpun begitu, dia tetap berpandangan positif dan beriman kepada Tuhan sehingga akhir hayatnya. Saya sama sekali tidak akan melupakan apa yang diajarkannya tentang Yehuwa.

Cuba renungkan: Bagaimanakah pembacaan Bible dan bahan bacaan Bible dapat membantu kamu mengatasi tragedi yang berlaku?​—Mazmur 94:19.

 CORDELL

Semasa berumur 17 tahun, saya melihat ayah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Inilah pengalaman yang paling teruk bagi saya. Hati saya hancur luluh.

Saya tidak percaya dia sudah meninggal. Mayat yang ditutup dengan kain itu bukan ayah saya. Saya fikir, “Ayah akan bangun esok.” Saya rasa hampa dan hilang arah tuju.

Saya dan keluarga ialah Saksi-Saksi Yehuwa. Sidang kami banyak memberi kami sokongan semasa ayah saya meninggal. Mereka memberi kami makanan, menawarkan diri untuk tinggal bersama kami, dan berada di samping kami bukan sahaja untuk seketika, tapi untuk suatu jangka masa yang panjang. Bagi saya, sokongan mereka membuktikan bahawa Saksi-Saksi Yehuwa memang orang Kristian sejati.​—Yohanes 13:35.

Salah satu ayat Bible yang menggalakkan saya ialah 2 Korintus 4:17, 18. Ayat itu berbunyi, “Kesengsaraan yang kita hadapi hanyalah sementara dan tidak seberapa berat, tetapi akan mendatangkan kemuliaan yang sangat unggul, besar, dan kekal. Kita menumpukan perhatian kepada hal-hal yang tidak kelihatan dan bukannya kepada hal-hal yang kelihatan. Hal ini demikian kerana hal-hal yang kelihatan hanyalah sementara, tetapi hal-hal yang tidak kelihatan kekal selama-lamanya.”

Ayat 18 memang meninggalkan kesan yang mendalam terhadap saya. Penderitaan ayah saya hanyalah sementara, tapi janji Tuhan untuk masa depan kekal selama-lamanya. Kematian ayah saya membuka peluang bagi saya untuk memikirkan dengan mendalam bagaimana saya menggunakan hidup saya sekarang dan mengubah matlamat hidup saya.

Cuba renungkan: Bagaimanakah hal-hal buruk yang berlaku dapat membantu kamu untuk menilai semula matlamat hidup kamu?​—1 Yohanes 2:17.