Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

KAUM MUDA BERTANYA

Patutkah Saya Meluaskan Lingkungan Persahabatan Saya?

“Saya selesa bersama kawan-kawan dalam geng saya. Susah bagi saya untuk berkawan dengan orang lain.”​—Alan.

“Saya ada beberapa orang kawan baik, dan saya suka geng saya ini. Saya tidak akan meluaskan pergaulan saya dan bercakap dengan orang yang tidak dikenali.”​—Sara.

Adakah kamu juga seperti Alan dan Sara? Adakah kamu hanya bergaul dengan beberapa orang kawan, dan tidak selesa mencari kawan yang baru?

Jika ya, bacalah rencana ini!

 Masalah yang timbul

Tidak salah untuk bergaul dengan beberapa orang kawan rapat. Mereka membuat kamu berasa selesa, dan mereka menerima kelebihan dan kelemahan kamu.

“Saya gembira jika orang lain menyayangi dan menerima saya. Sebagai remaja, kamu ingin diterima orang.”​—Karen, 19.

Tahukah kamu? Yesus bergaul dengan 12 orang rasulnya, tetapi antara mereka semua, hanya Petrus, Yakobus, dan Yohanes, merupakan kawan rapat Yesus.​—Markus 9:2; Lukas 8:​51.

Tetapi jika kamu hanya bergaul dengan sekumpulan orang, dan tidak mahu bergaul dengan orang lain, hal ini akan menimbulkan beberapa masalah. Contohnya:

  • Kamu mungkin kehilangan peluang untuk mendapat kawan baik yang lain.

    “Jika kamu hanya berkawan dengan orang yang mempunyai sifat-sifat yang sama, kamu tidak dapat menikmati pengalaman baru dan berjumpa dengan orang yang menarik.”​—Evan, 21.

  • Orang lain mungkin fikir kamu sombong.

    “Bila kamu hanya berkawan dengan geng kamu, orang lain mungkin fikir bahawa kamu tidak mahu bercakap dengan mereka.”​—Sara, 17.

  • Kamu mungkin terpengaruh untuk terlibat dalam perbuatan membuli.

    “Kamu sendiri mungkin tidak akan membuli orang, tapi jika geng kamu melakukannya, perbuatan itu nampaknya OK, dan bahkan seronok.”​—James, 17.

  • Kamu akan ditimpa kesusahan, terutamanya jika kamu sanggup melakukan apa sahaja supaya diterima oleh kumpulan itu.

    “Satu kawan jahat saja dapat mempengaruhi seluruh geng untuk berbuat jahat.”​—Martina, 17.

 Apa yang dapat kamu lakukan

  • Kenal pasti nilai-nilai baik yang menjadi pegangan kamu.

    Tanya diri, “Apakah nilai-nilai moral yang menjadi pegangan hidup saya? Adakah kawan-kawan saya menggalakkan saya untuk memupuk nilai-nilai itu? Adakah saya akan melakukan apa sahaja supaya diterima oleh mereka?”

    Prinsip Bible: “Pergaulan yang buruk merosakkan akhlak yang baik.”​—1 Korintus 15:33.

    “Jika kawan dalam geng kamu tidak mempunyai nilai-nilai baik seperti kamu, kamu mungkin terpengaruh untuk melakukan hal-hal yang bertentangan dengan pegangan hidup kamu.”​—Ellen, 14.

  • Tetapkan keutamaan hidup kamu.

    Tanya diri, “Adakah saya begitu rapat dengan geng saya sehingga saya sanggup melakukan apa-apa saja agar diterima oleh mereka? Apakah yang akan saya lakukan jika kawan saya melakukan sesuatu yang salah?”

    Prinsip Bible: “Aku menegur dan mendisiplinkan semua orang yang aku kasihi.”​—Wahyu 3:​19.

    “Jika seorang kawan dalam geng kamu melakukan sesuatu yang salah, kamu mungkin akan merahsiakan kesalahannya kerana kamu tidak mahu jadi ‘seorang pengkhianat’.”​—Melanie, 22.

  • Luaskan lingkungan persahabatan kamu.

    Tanya diri, “Apakah manfaatnya jika saya berkawan dengan orang di luar geng saya?”

    Prinsip Bible: “Jagalah kepentingan orang lain, dan bukan hanya kepentingan diri kamu sendiri.”​—Filipi 2:4.

    “Orang yang nampaknya tidak popular mungkin mengalami masalah di rumah. Tapi jika kamu lebih mengenali mereka, kamu akan dapati bahawa mereka agak hebat juga.”​—Brian, 19.

Kesimpulan: Tidak salah untuk mempunyai sekumpulan kecil kawan rapat. Tetapi pada masa yang sama, kamu juga akan mendapat manfaat jika kamu berkawan dengan orang lain di luar kumpulan itu. Bible menyatakan, “Orang yang menyegarkan orang lain akan disegarkan.”​—Amsal 11:25, NW.