Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimanakah Saya Dapat Mengawal Perbelanjaan Saya?

“Baru-baru ini saya masuk ke sebuah kedai untuk cuci mata. Bila saya keluar, saya telah beli sebuah barang mahal walaupun pada awalnya saya tiada niat untuk membelinya.”​—Colin.

Colin mengakui bahawa dia berasa susah untuk mengawal perbelanjaannya. Adakah kamu juga berasa begitu? Jika ya, rencana ini dapat membantu kamu.

 Mengapa perlu mengawal perbelanjaan?

Kononnya: Jika kamu terlalu risau dengan perbelanjaan, kamu akan hilang kebebasan.

Kenyataannya: Dengan mengawal perbelanjaan, kamu akan ada lebih banyak kebebasan, bukannya kurang. Buku I’m Broke! The Money Handbook menyatakan, “Semakin banyak pengetahuan kamu tentang mengawal perbelanjaan, semakin banyak duit kamu untuk masa sekarang dan masa depan.”

Fikirkan: Dengan mengawal perbelanjaan . . .

  • Kamu akan ada duit bila kamu perlukannya. “Saya ingin melancong ke Amerika Selatan,” kata seorang remaja bernama Inez. “Bila saya simpan duit, saya cuba ingat matlamat itu.”

  • Kamu akan kurang atau tidak berhutang sama sekali. Bible menyatakan, “Orang yang minta pinjam dikuasai orang yang memberi pinjam.” (Amsal 22:7) Seorang wanita muda bernama Anna juga setuju. Dia berkata, “Hutang dapat menguasai hidup kamu. Jika kamu bebas daripada hutang, kamu dapat bertumpu kepada matlamat kamu.”

  • Kamu menunjukkan bahawa kamu seorang yang matang. Orang yang mengawal perbelanjaan mereka akan lebih bersedia menuju alam dewasa. “Hal ini merupakan latihan yang bagus bagi masa depan bila saya hidup berdikari,” kata Jean yang berumur 20 tahun. “Sekarang saya cuba jadi orang yang bertanggungjawab dalam menguruskan wang, supaya pada masa depan pun saya dapat jadi begitu.”

Kesimpulan: “Menguruskan wang kamu sendiri merupakan langkah pertama untuk menjadi orang yang berdikari,” kata buku The Complete Guide to Personal Finance: For Teenagers and College Students. “Mengendalikan wang dengan bijak merupakan kebolehan yang mendatangkan manfaat seumur hidup.”

 Bagaimana melakukannya

Mengetahui kelemahan kamu. Jika kamu selalu kekurangan wang, kenal pasti terlebih dahulu perbelanjaan kamu. Bagi sesetengah orang, membeli-belah secara online ialah masalah mereka. Yang lain pula sering membelanjakan wang mereka sedikit demi sedikit sehingga poket mereka kosong pada akhir bulan.

“Perbelanjaan seharian akhirnya dapat menjadi banyak. Contohnya, membeli hadiah, pergi ke kedai kopi, dan membeli barang diskaun. Selepas sebulan, saya tertanya-tanya ke mana duit saya pergi!”​—Hailey.

Tetapkan bajet. Bible berkata, “Rancangan yang dibuat oleh orang rajin membawa hasil yang berlimpah.” (Amsal 21:5) Dengan menetapkan bajet, kamu dapat pastikan bahawa perbelanjaan kamu tidak melebihi pendapatan kamu.

“Jika kamu berbelanja lebih daripada pendapatan kamu, tentukan cara kamu akan gunakan wang kamu dan singkirkan apa yang tidak perlu. Kurangkan senarai perbelanjaan kamu sehingga pendapatan kamu melebihi perbelanjaan kamu.”​—Danielle.

Ikut bajet. Terdapat beberapa cara untuk mengurangkan perbelanjaan. Sesetengah remaja mendapati bahawa langkah berikut sangat berkesan:

  • “Biasanya saya terus simpan wang dalam bank sebab saya akan kurang belanja jika simpan di sana.”​—David.

  • “Bila saya pergi kedai, saya hanya akan bawa cukup wang supaya saya tidak belanja lebih daripada yang diingini.”​—Ellen.

  • “Jika saya menunggu sebelum membeli sesuatu, saya dapat menilai sama ada saya betul-betul memerlukannya atau tidak.”​—Jesiah.

  • “Saya tidak semestinya selalu ikut kawan bila dijemput. Jika wang saya tidak cukup, saya rasa tidak salah untuk menolak jemputan itu.”​—Jennifer.

Kesimpulan: Menguruskan wang merupakan tanggungjawab yang penting. Itulah yang disedari oleh Colin, yang disebut tadi. “Jika suatu hari nanti saya menjadi ketua keluarga, saya tidak patut menjadi seorang yang boros!” katanya. “Jika saya tidak pandai mengawal perbelanjaan sekarang semasa saya bujang, hal itu tidak akan membantu apabila saya kahwin nanti.”

Tip: “Beritahulah seseorang tentang bajet kamu dan mintalah dia untuk selalu memeriksa bajet itu bersama kamu. Hal itu akan membuat kamu lebih bertanggungjawab!”​—Vanessa.