Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimanakah Saya Dapat Melawan Fikiran yang Negatif?

Bagaimanakah Saya Dapat Melawan Fikiran yang Negatif?

 Apakah pandangan kamu terhadap diri sendiri?

  • Positif

    “Saya berusaha untuk sentiasa gembira. Saya mahu selalu senyum dan tetap ceria setiap hari.”—Valerie.

  • Negatif

    “Apabila ada perkara baik berlaku, saya berasa susah untuk percaya akan hal itu. Saya fikir mesti ada sesuatu yang tidak kena.”—Rebecca.

  • Munasabah

    “Orang yang terlalu positif pasti akan berasa kecewa apabila rancangannya gagal. Orang yang terlalu negatif pula akan sentiasa dicengkam kesedihan. Jadi, lebih baik saya bersikap munasabah dengan menerima kenyataan dalam kehidupan saya.”—Anna.

 Mengapakah kamu perlu melawan fikiran yang negatif?

Bible berkata, “Bagi orang yang ceria, kehidupan sentiasa dipenuhi kegembiraan.” (Amsal 15:15) Jelaslah, orang yang melawan fikiran negatif dan sentiasa berpandangan positif akan hidup lebih gembira. Biasanya, orang sebegini akan mendapat lebih banyak sahabat. Sememangnya, kamu tidak suka berkawan dengan orang yang selalu muram.

Biarpun kamu seorang yang sangat positif, kamu masih perlu berhadapan dengan perkara yang negatif. Misalnya,

  • Kamu mungkin dibanjiri dengan berita tentang peperangan, keganasan, atau jenayah.

  • Kamu mungkin perlu menangani masalah dalam keluarga.

  • Kamu berbuat silap dan perlu mengatasi kelemahan sendiri.

  • Kawan kamu mungkin menyakiti hati kamu.

Janganlah cuba melarikan diri daripada masalah atau terlalu memikirkannya. Sebaliknya, tanganilah masalah kamu dengan munasabah. Dengan itu, kamu akan dapat menerima kenyataan dan mengelakkan fikiran yang negatif serta tidak patah semangat.

Ingatlah, kamu dapat mengharungi ribut dalam kehidupan dan menantikan saatnya langit cerah semula

 Apa yang dapat kamu lakukan

  • Pupuk pandangan yang seimbang terhadap kekurangan sendiri.

    Bible berkata, “Di bumi tiada seorang pun yang selalu berbuat baik dan tidak pernah melakukan kesalahan.” (Pengkhutbah 7:20, Alkitab Berita Baik) Hakikatnya, kamu akan berbuat silap. Namun, hal itu tidak bermaksud bahawa kamu seorang yang tidak berguna.

    Cara untuk bersikap munasabah: Berusahalah untuk belajar daripada kesilapan kamu dan jangan mengharapkan kesempurnaan. Seorang pemuda bernama Caleb berkata, “Saya cuba untuk tidak memikirkan kesilapan lampau supaya saya tidak tawar hati. Sebaliknya, saya belajar daripada kesilapan itu dan berusaha memperbaik diri.”

  • Jangan membandingkan diri dengan orang lain.

    Bible berkata, “Janganlah kita menjadi sombong, saling membangkitkan persaingan, dan iri hati terhadap satu sama lain.” (Galatia 5:26) Sebagai contoh, kamu nampak gambar-gambar kawan kamu yang sedang berseronok dipaparkan dalam media sosial. Kamu mungkin berasa kecewa kerana kamu tidak dijemput. Hal ini bahkan membuat kamu berasa bahawa mereka tidak menyukai kamu.

    Cara untuk bersikap munasabah: Terimalah hakikat bahawa kamu tidak semestinya akan dijemput ke semua acara sosial. Selain itu, gambar-gambar yang kamu lihat dalam media sosial tidak menyingkapkan keseluruhan cerita. Seorang remaja yang bernama Alexis berkata, “Gambar yang dipaparkan dalam media sosial biasanya menunjukkan saat-saat yang terbaik dalam hidup seseorang. Gambar yang kurang menarik tidak akan ditunjukkan.”

  • Berusaha untuk mengekalkan kedamaian, terutamanya dalam keluarga kamu.

    Bible berkata, “Selagi kamu dapat melakukannya, berusahalah sedaya upaya untuk berdamai.” (Roma 12:18) Kamu tidak dapat mengawal tindakan orang lain, tetapi kamu dapat mengawal reaksi sendiri. Kamu boleh memilih untuk menjadi orang yang suka berdamai.

    Cara untuk bersikap munasabah: Apabila masalah timbul dalam keluarga kamu, berusahalah untuk tidak membuat keadaan bertambah tegang. Sebaliknya, berusahalah untuk berdamai dengan ahli keluarga sepertimana yang kamu akan lakukan terhadap kawan kamu. Seorang remaja bernama Melinda berkata, “Kita semua tidak sempurna dan ada kalanya kita membuat orang lain marah. Tetapi semasa hal itu berlaku, kita boleh memilih reaksi kita, sama ada mahu berdamai atau bertengkar.”

  • Pupuk penghargaan.

    Bible berkata, “Tunjukkanlah kesyukuran kamu.” (Kolose 3:15) Sikap kesyukuran membantu kamu untuk bertumpu kepada hal-hal positif yang berlaku dalam kehidupan kamu, bukannya hal-hal yang negatif.

    Cara untuk bersikap munasabah: Hadapilah masalah kamu, tetapi janganlah membenarkan masalah itu menyebabkan kamu lupa akan perkara baik yang berlaku dalam kehidupan kamu. Seorang remaja yang bernama Rebecca berkata, “Setiap hari, saya akan mencatatkan satu perkara positif dalam buku nota saya. Saya mahu mengingatkan diri bahawa selain daripada masalah yang saya sedang hadapi, ada banyak juga perkara baik yang berlaku dalam hidup saya.”

  • Pilihlah sahabat kamu.

    Bible berkata, “Pergaulan yang buruk merosakkan akhlak yang baik.” (1 Korintus 15:33) Jika kamu selalu bergaul dengan orang yang bersikap negatif, suka mengkritik, dan selalu menyindir orang, kamu juga akan dipengaruhi oleh sikap mereka.

    Cara untuk bersikap munasabah: Semasa kawan kamu menghadapi masalah, mereka mungkin menjadi sedih dan berfikiran negatif untuk seketika. Berusahalah untuk menghulurkan bantuan, namun berhati-hatilah agar masalah mereka tidak terlalu mempengaruhi kamu. Seorang gadis muda bernama Michelle berkata, “Janganlah hanya bergaul dengan orang yang selalu berfikiran negatif. Seperti dalam subjek matematik, jika dua angka negatif digabungkan, jumlahnya akan bertambah negatif.”

 Ketahuilah lebih lanjut

Bible menunjukkan bahawa kita sedang hidup pada “masa genting yang sukar dihadapi.” (2 Timotius 3:1) Dunia ini penuh dengan perkara yang negatif. Jadi, adakah kamu berasa susah untuk mengekalkan fikiran yang positif? Bacalah “Mengapakah Ada Banyak Penderitaan?