Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

KAUM MUDA BERTANYA

Perlukah Saya Mengucapkan Ikrar Keperawanan?

Perlukah Saya Mengucapkan Ikrar Keperawanan?

 Apakah itu ikrar keperawanan?

Ikrar keperawanan ialah janji secara lisan atau bertulis untuk menjauhi perbuatan seks sebelum berkahwin.

Ikrar keperawanan mula menjadi terkenal pada tahun 1990-an apabila Gereja Baptis Selatan di Amerika Syarikat melancarkan program “Cinta Sejati Rela Menunggu.” Program ini menggabungkan ajaran-ajaran Bible dengan pengaruh positif daripada rakan sebaya untuk menggalakkan kaum muda agar menolak hubungan seks sebelum berkahwin.

Tidak lama kemudian, program yang serupa juga dimulakan. Dalam program itu, hadirin yang mengucapkan ikrar keperawanan diberikan sebentuk cincin perak sebagai lambang dan peringatan bahawa mereka harus tetap perawan selagi belum berkahwin.

 Adakah ikrar keperawanan berkesan?

Terdapat jawapan yang berbeza-beza.

  • Menurut dua orang penyelidik, Christine C. Kim dan Robert Rector, “Beberapa kajian mendapati bahawa ikrar keperawanan telah membantu memperlambat atau mengurangkan aktiviti seksual dalam kalangan remaja.”

  • Hasil penyelidikan yang diterbitkan oleh Institut Guttmacher menyatakan bahawa “kemungkinan untuk melakukan hubungan seks bagi remaja yang mengangkat ‘ikrar keperawanan’ sama besarnya dengan remaja yang tidak mengangkat ikrar itu.”

Mengapakah terdapat hasil penyelidikan yang saling bercanggahan?

  • Sesetengah penyelidik membandingkan orang yang berikrar dengan yang tidak, yang mempunyai pandangan yang berbeza mengenai hubungan seks.

  • Sesetengah penyelidik membandingkan orang yang berikrar dengan yang tidak, yang mempunyai pandangan yang sama mengenai hubungan seks.

Apakah yang didapati daripada penyelidikan jenis kedua? Dr. Janet Rosenbaum, seorang pakar dalam isu kesihatan remaja, berkata, “Selepas lima tahun, dari segi perbuatan seks, orang yang berikrar dengan orang yang tidak berikrar, sama sahaja.”

 Pendekatan yang lebih baik

Program ikrar keperawanan mempunyai tujuan yang baik. Namun masalahnya ialah program sebegini tidak menanamkan nilai-nilai yang diperlukan agar para remaja dapat memenuhi janji itu. Banyak orang yang berjanji untuk menjaga keperawanan mereka “tidak menyebatikan ikrar itu dalam diri mereka,” kata Dr. Rosenbaum. “Seseorang yang menjauhi seks sebelum berkahwin harus berbuat demikian kerana tekad sendiri, dan bukannya kerana dia telah menyertai sesebuah program.”

Bible menggalakkan orang untuk memupuk tekad sebegini, bukan dengan mengangkat ikrar secara bertulis atau lisan, tetapi dengan membantu mereka melatih “daya penilaian” sendiri agar dapat “membezakan apa yang betul daripada apa yang salah.” (Ibrani 5:14) Kita menjauhi seks sebelum berkahwin, bukan hanya untuk mengelakkan penyakit atau kehamilan, tetapi juga untuk menunjukkan hormat kepada Tuhan yang mengasaskan perkahwinan.​—Matius 5:19; 19:​4-6.

Piawaian dalam Bible ditetapkan demi kebaikan kita. (Yesaya 48:17) Semua orang, baik yang muda ataupun yang tua, dapat berazam untuk mentaati perintah Tuhan, “Jauhkanlah diri kamu daripada perbuatan seks yang tidak bermoral.” (1 Korintus 6:​18) Orang yang berbuat demikian dapat menghindari kerisauan dan kekesalan yang disebabkan hubungan seks sebelum berkahwin. Bukan itu sahaja, selepas melangkah ke alam perkahwinan, mereka juga dapat menikmati keintiman sebagai suami dan isteri dengan sepenuhnya.