Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Salahkah untuk Menggunakan Kata-Kata Kesat?

Salahkah untuk Menggunakan Kata-Kata Kesat?

“Saya sudah biasa mendengar orang memaki sehingga saya tidak berasa terganggu lagi. Nampaknya ini perkara biasa saja.”​—Christopher, 17 tahun.

“Semasa muda, saya selalu menggunakan kata-kata kesat. Tabiat ini senang diikuti tetapi susah dibuang.”​—Rebecca, 19 tahun.

 Kuiz

  • Apakah perasaan kamu apabila mendengar orang lain menggunakan kata-kata kesat?

    • Saya langsung tidak perasan. Saya anggap itu perkara biasa sahaja.

    • Saya rasa kurang selesa, tetapi saya tidak ambil peduli.

    • Saya rasa tersinggung dan susah untuk menerimanya.

  • Seberapa kerapkah kamu menggunakan kata-kata kesat?

    • Tidak pernah

    • Kadangkala

    • Sering kali

  • Pada pendapat kamu, salahkah jika kamu menggunakan kata-kata kesat?

    • Tidak

    • Ya

 Mengapa penting

Adakah perbuatan memaki itu masalah yang serius? Kamu mungkin berkata, “Tidak juga, sebab ada masalah lain di dunia yang lebih serius. Lagipun, semua orang menggunakan kata-kata kesat!” Adakah hal itu benar?

Sebenarnya, terdapat ramai orang yang tidak menggunakan kata-kata kesat. Mereka mempunyai sebab-sebab baik yang mungkin kamu belum pernah terfikir. Contohnya,

  • Memaki bukan sekadar kata-kata, tetapi menyingkapkan siapa diri kamu yang sebenar. Orang lain dapat mengetahui keperibadian kamu melalui percakapan kamu. Jika kamu mengucapkan kata-kata kesat, kamu menunjukkan bahawa kamu tidak peduli akan perasaan orang lain. Adakah kamu ingin menjadi orang seperti itu?

    Bible berkata, “Apa yang keluar daripada mulut berasal dari hati.”​—Matius 15:18.

    Memaki umpama pencemaran udara. Janganlah membuat diri kamu dan orang lain menderita

  • Perbuatan memaki akan menyebabkan orang lain berfikiran negatif terhadap kamu. Buku Cuss Control menyatakan, “Cara kita bercakap akan mempengaruhi kita. Misalnya, siapakah yang akan menjadi kawan kita? Adakah ahli keluarga dan rakan sekerja akan menghormati kita? Seberapa baikkah hubungan kita dengan orang lain? Apakah pengaruh kita terhadap orang lain? Adakah kita akan mendapat pekerjaan atau dinaikkan pangkat? Bagaimanakah orang yang tidak kita kenali akan melayan kita?” Buku itu juga menyatakan, “Tanyalah diri, adakah hubungan kamu dengan orang lain akan bertambah baik jika kamu tidak menggunakan kata-kata kesat?”

    Bible berkata, “Buangkanlah . . . kata-kata hinaan.”​—Efesus 4:31.

  • Perbuatan memaki sebenarnya tidak membuat kamu kelihatan hebat. Dalam buku How Rude! Dr. Alex Packer menulis, “Orang yang selalu mengucapkan kata-kata kesat akan membuat orang lain berasa muak dengannya.” Dia menambah bahawa kata-kata kesat “menyebabkan seseorang tidak dapat menunjukkan pengertian, kebijaksanaan, atau belas kasihan. Hal itu pasti mempengaruhi cara pemikiran seseorang.”

    Bible berkata, “Janganlah biarkan kata-kata yang busuk keluar daripada mulut kamu.”​—Efesus 4:​29.

 Apa yang dapat kamu lakukan

  • Tetapkan matlamat. Cubalah untuk berhenti menggunakan kata-kata kesat dalam masa sebulan atau kurang. Kamu boleh mencatat kemajuan kamu dalam jadual atau kalendar. Namun, kamu mungkin perlu mengambil langkah-langkah yang seterusnya untuk mengekalkan tekad kamu. Contohnya:

  • Hindari hiburan yang mengandungi kata-kata kesat. Bible berkata, “Pergaulan yang buruk merosakkan akhlak yang baik.” (1 Korintus 15:33) “Pergaulan” bukan sahaja melibatkan orang, tetapi juga hiburan seperti filem yang kamu tonton, video game yang kamu main, dan muzik yang kamu dengar. Kenneth yang berumur 17 tahun berkata, “Kamu mungkin suka nyanyi lagu tertentu kerana rentaknya yang kedengaran seronok sehingga kamu langsung tidak menghiraukan kata-kata kesat dalam lirik itu.”

  • Jadilah matang. Sesetengah orang menggunakan kata-kata kesat kerana mereka berfikir bahawa hal itu akan membuat mereka kelihatan seperti orang dewasa. Sudah tentu hal itu tidak benar. Menurut Bible, orang yang matang menggunakan ‘daya penilaian mereka yang sudah terlatih untuk membezakan apa yang betul daripada apa yang salah.’ (Ibrani 5:​14) Mereka tidak akan memaki hanya untuk kelihatan hebat di hadapan orang lain.

Sebenarnya, kata-kata kesat hanya mencemarkan minda seseorang. Hari ini, dunia kita dipenuhi oleh orang yang suka mencaci maki! Buku Cuss Control mencadangkan, “Jangan terikut-ikut dengan tabiat buruk mereka. Apabila kamu menjaga percakapan kamu, kamu akan berasa lebih baik dan orang lain juga akan lebih selesa dengan kamu.”