Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimanakah jika Orang Bergosip tentang Saya?

Bagaimanakah jika Orang Bergosip tentang Saya?

 Mengapa gosip menyakitkan

Sesetengah gosip sangat melampau, contohnya berita atau cerita palsu yang bertujuan untuk merosakkan reputasi kamu. Gosip itu mungkin kedengaran tidak serius, tetapi masih dapat menyakitkan hati kamu, terutamanya jika gosip itu disebarkan oleh seseorang yang kamu anggap rapat dengan kamu.​—Mazmur 55:12-​14.

“Saya mendapat tahu kawan saya memberitahu orang bahawa saya tidak peduli tentang orang lain. Saya sangat sakit hati! Saya tidak faham mengapa dia cakap begitu.”​—Ashley.

Fakta: Tidak kira orang yang menyebarkan gosip itu kawan rapat kamu atau tidak, kamu memang akan berasa sakit hati apabila orang bercakap buruk mengenai kamu.

 Berita buruk​—kamu tidak dapat mengelakkan gosip dengan sepenuhnya

Sesetengah orang bergosip kerana:

Prihatin. Kita memang suka bersosial. Jadi bercakap kepada seseorang mengenai orang lain merupakan perkara yang biasa. Bible juga menggalakkan kita untuk ‘menjaga kepentingan orang lain.’​Filipi 2:4.

“Orang merupakan topik yang paling menarik!”​—Bianca.

“Saya mengaku, saya sangat suka mendengar berita tentang seseorang lalu menceritakannya kepada orang lain. Saya sendiri pun tidak tahu sebabnya, tetapi saya rasa seronok.”​—Katie.

Bosan. Pada zaman Bible, sesetengah orang “suka menghabiskan masa lapang mereka untuk mendengar atau menceritakan sesuatu yang baharu.” (Kisah 17:21) Begitu juga dewasa ini!

“Kadang-kadang tiada berita yang menarik, maka kami pun akan membuat-buat cerita yang dapat dijadikan topik perbualan.”​—Joanna.

Kurang keyakinan diri. Bible mengingatkan kita agar tidak membandingkan diri dengan orang lain. (Galatia 6:4) Sedihnya, sesetengah orang menangani perasaan kurang keyakinan diri dengan menyebarkan gosip yang negatif.

“Sering kali orang menyebarkan gosip negatif kerana berasa cemburu terhadap orang yang digosipkan itu. Mereka berbuat demikian supaya diri mereka kelihatan lebih baik daripada orang lain.”​—Phil.

Fakta: Sama ada kamu suka atau tidak, orang akan bercakap tentang orang lain, termasuk kamu.

 Berita baik​—gosip tidak semestinya mengawal kehidupan kamu

Kamu mungkin tidak dapat mengawal gosip mengenai kamu daripada tersebar. Namun, kamu boleh memilih cara untuk menghadapinya. Jika gosip sudah tersebar, kamu mempunyai sekurang-kurangnya dua pilihan.

PILIHAN 1: Abaikannya. Sering kali, cara yang terbaik adalah dengan mengabaikan situasi itu, terutamanya jika gosip itu berkaitan dengan hal yang remeh-temeh. Terapkanlah nasihat Bible, “Jangan cepat tersinggung.”​—Pengkhutbah 7:9.

“Saya terdengar khabar angin bahawa saya berdating dengan seorang lelaki yang tidak pernah saya jumpa! Saya berasa cerita itu lucu sekali, selepas itu saya melupakannya sahaja.”​—Elise.

“Reputasi yang baik ialah senjata yang paling berkesan untuk melawan gosip. Meskipun orang menyebarkan gosip yang buruk tentang kamu, jika reputasi kamu baik, segelintir orang sahaja yang akan mempercayainya. Lambat laun orang akan tahu cerita yang sebenar tentang kamu.”​—Allison.

Tip: Catatkan (1) gosip yang disebarkan tentang kamu dan (2) perasaan kamu tentang hal itu. Sebaik sahaja kamu ‘ucapkan hal itu dalam hati kamu sambil berdiam diri,’ kamu akan rasa lebih senang untuk melupakannya.​—Mazmur 4:4.

PILIHAN 2: Berdepan dengan orang yang memulakan gosip itu. Kadangkala, kamu mungkin berasa bahawa gosip itu sangat serius sehingga kamu perlu berjumpa dengan orang yang memulakan gosip itu.

“Sekiranya kamu berjumpa dengan orang yang bergosip tentang kamu, mereka akan sedar bahawa gosip itu akhirnya sampai ke telinga kamu juga. Dengan berbuat demikian, kamu mungkin dapat menghentikan gosip itu dan menyelesaikan salah faham yang timbul.”​—Elise.

Sebelum berjumpa dengan orang yang bergosip tentang kamu, pertimbangkanlah prinsip Bible serta soalan-soalan berikut:

  • “Orang yang menjawab sebelum mendengar . . . bodoh.” (Amsal 18:13) “Adakah saya mempunyai semua fakta? Mungkinkah orang yang menceritakan gosip itu kepada saya salah faham dengan maklumat yang didengarinya?”

  • “Cepat mendengar, tetapi lambat berkata-kata dan lambat naik marah.” (Yakobus 1:19) “Adakah sekarang masa yang sesuai untuk berjumpa dengan orang yang bergosip itu? Dapatkah saya menangani hal itu tanpa dikuasai oleh perasaan sendiri? Adakah lebih baik untuk membiarkan sedikit masa berlalu sehingga emosi saya menjadi tenang?”

  • “Semua hal yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, kamu juga mesti melakukannya untuk mereka.” (Matius 7:12) Bayangkan kamu ialah orang yang bergosip itu dan tanyalah diri, “Bagaimanakah saya ingin orang berdepan dengan saya? Dalam keadaan seperti apa yang saya lebih rela berbincang mengenai masalah itu? Apakah kata-kata dan sikap yang dapat saya terima?”

Tip: Sebelum berdepan dengan orang itu, catatkanlah apa yang kamu ingin katakan kepadanya. Selepas satu atau dua minggu, bacalah catatan itu sekali lagi dan ubahlah apa-apa yang kamu rasa perlu. Selain itu, bincanglah hal itu dengan ibu bapa atau sahabat yang matang dan mintalah nasihat mereka.

Hakikat: Kamu tidak dapat kawal setiap perkara dalam hidup kamu, termasuklah gosip. Tetapi, janganlah membiarkan gosip mengawal kamu!