Kamu sedang menikmati percutian kamu, dan kamu ingin kawan-kawan kamu mengetahui tentangnya! Tetapi bagaimana? Adakah kamu akan

  1. mengirim poskad kepada mereka?

  2. menulis e-mel kepada mereka?

  3. kongsi gambar dalam Internet?

Semasa datuk nenek kamu masih muda, mereka mungkin hanya dapat memilih opsyen “A.”

Semasa ibu bapa kamu masih muda, mereka mungkin memilih opsyen “B.”

Sekarang, banyak orang muda yang dibenarkan kongsi gambar menerusi Internet akan memilih opsyen “C.” Adakah kamu juga akan berbuat demikian? Jika ya, rencana ini akan membantu kamu mengelakkan bahaya yang mungkin timbul.

 Apakah manfaatnya?

Dapat dilakukan dengan segera. “Sewaktu saya bercuti atau menikmati masa bersama kawan-kawan, saya boleh segera kongsi gambar di Internet pada masa itu juga.”—Melanie.

Dapat dilakukan dengan senang. “Lebih senang untuk lihat gambar-gambar terbaru yang dikongsi kawan-kawan saya berbanding menggunakan e-mel.”—Jordan.

Dapat tetap berhubung dengan orang lain. “Sesetengah kawan dan keluarga saya tinggal jauh daripada saya. Jika saya selalu lihat gambar yang dikongsi mereka, saya seolah-olah nampak mereka setiap hari!”—Karen.

 Apakah bahayanya?

Kamu mungkin menjejaskan keselamatan diri. Jika kamera kamu mempunyai fungsi tag lokasi (geotag), kamu mungkin mendedahkan terlalu banyak maklumat. Menurut laporan laman web Digital Trends, “Gambar-gambar atau fail media lain yang disertai tag lokasi akan menyebabkan orang yang berniat jahat mengetahui lokasi anda. Mereka dapat berbuat demikian dengan menggunakan aplikasi pengesanan lokasi yang tertentu.”

Sesetengah penjenayah menggunakan maklumat itu untuk mengetahui bila kamu tiada di rumah. Menurut laporan Digital Trends, tiga perompak telah memasuki 18 buah rumah semasa penghuninya tiada. Bagaimanakah mereka mendapat maklumat itu? Mereka mengesan pergerakan penghuni rumah tersebut melalui Internet dengan menggunakan teknik yang dipanggil cybercasing dan berjaya merompak barangan yang bernilai 100,000 dolar Amerika Syarikat.

Kamu mungkin terdedah kepada hal-hal yang tidak sopan. Sesetengah orang yang tidak tahu malu suka mengongsi apa sahaja kepada semua orang. Seorang remaja yang bernama Sarah berkata, “Masalahnya timbul bila kamu melayari akaun orang yang tidak dikenali. Kamu seolah-olah berjalan di sebuah kota yang asing tanpa menggunakan peta. Kemungkinan besar, kamu akan pergi ke tempat yang tidak sepatutnya.”

Kamu mungkin membuang banyak masa. “Kamu mungkin terlalu asyik melihat gambar terkini yang dikongsi atau membaca komen-komen semua orang,” kata seorang gadis yang bernama Yolanda. “Setiap kali ada peluang, kamu mungkin mengeluarkan telefon untuk melihat gambar-gambar terkini yang dikongsi oleh kawan.”

Kawalan diri diperlukan jika kamu ingin mengongsi gambar di Internet

Seorang remaja yang bernama Samantha juga setuju dengan hal itu. Dia berkata, “Saya perlu mengehadkan masa yang digunakan untuk melayari laman-laman web tersebut. Kamu perlu tahu mengawal diri jika kamu mahu menggunakan akaun sebegitu.”

 Apa yang dapat kamu lakukan

  • Bertekadlah untuk mengelakkan bahan yang dikutuk oleh Bible. Bible menyatakan, “Aku tidak akan memandang perkara yang jahat.”Mazmur 101:3, NW.

    “Saya sering memeriksa gambar yang dikongsi oleh orang lain, dan jika gambar-gambar mereka tidak baik, saya akan berhenti mengikut akaun mereka.”—Steven.

  • Janganlah berhubung dengan orang yang tidak mempunyai prinsip moral yang baik, kerana mereka dapat mempengaruhi kamu. Bible menyatakan, “Janganlah disesatkan. Pergaulan yang buruk merosakkan akhlak yang baik.”1 Korintus 15:33.

    “Jangan ikut trend foto yang terkini. Kamu mungkin akan terlihat bahan yang tidak senonoh dan lucah serta yang mengandungi kata-kata kesat.”—Jessica.

  • Tentukanlah masa yang akan digunakan untuk melayari laman web sebegini atau berapa kerap kamu akan mengongsi gambar. Bible menyatakan, “Perhatikanlah kelakuan kamu dengan teliti. Janganlah hidup sebagai orang yang bodoh, sebaliknya hiduplah sebagai orang yang bijak. Gunakanlah masa kamu dengan sebaik-baiknya.”Efesus 5:15, 16.

    “Saya berhenti mengikut orang yang terlampau suka kongsi gambar. Contohnya, seseorang pergi ke pantai dan mengongsi 20 keping gambar cangkerang yang sama. Biar betul? Buang masa saja!”—Rebekah.

  • Pastikanlah bahawa gambar yang kamu kongsi tidak terlalu bertumpu pada diri kamu. Paulus, seorang penulis Bible, berkata, “Aku memberitahu kamu semua agar tidak menganggap diri kamu lebih daripada yang sepatutnya.” (Roma 12:3) Jangan fikir bahawa kawan-kawan kamu sangat minat untuk melihat selfie kamu atau gambar tentang aktiviti kamu.

    “Ada orang yang asyik kongsi gambar selfie. Kalau kita berkawan, sudah tentu saya tahu rupa kamu—saya tidak perlu selalu diingatkan tentang rupa kamu!”—Allison.