“Bila saya hadapi masalah di sekolah, saya akan fikir tentang seseorang yang saya kagumi yang juga hadapi masalah yang sama. Saya cuba ikut teladannya dan itu bantu saya lebih mudah untuk hadapi situasi yang mencabar.”​—Haley.

Dengan meniru teladan orang, kamu dapat mengelakkan masalah dan mencapai matlamat tertentu. Yang penting, orang itu mestilah teladan yang baik.

 Mengapa kamu perlu memilih teladan yang baik?

  • Orang yang kamu pilih sebagai teladan akan mempengaruhi kelakuan kamu.

    Bible menasihati orang Kristian untuk memperhatikan orang yang memberikan teladan baik. Bible menyatakan, “Perhatikanlah hasil daripada tingkah laku mereka dan tirulah iman mereka.”​—Ibrani 13:7.

    Tip: Oleh sebab orang yang kamu pilih sebagai teladan akan mempengaruhi kamu, pilihlah mereka yang ada sifat-sifat terpuji, dan bukan hanya mereka yang popular atau yang sebaya dengan kamu.

    “Saya belajar banyak perkara daripada seorang rakan Kristian bernama Adam, melalui sikap dan keperibadiannya. Saya masih ingat secara spesifik apa yang dia kata dan lakukan. Dia tidak tahu pun teladannya telah memberi kesan atas diri saya.”​—Colin.

  • Orang yang kamu pilih sebagai teladan akan mempengaruhi perasaan dan pemikiran kamu.

    Bible menyatakan, “Janganlah disesatkan. Pergaulan yang buruk merosakkan akhlak yang baik.”​—1 Korintus 15:33.

    Tip: Pilihlah seseorang yang memiliki sifat-sifat yang baik, bukan hanya mereka yang memiliki penampilan yang menarik. Jika tidak, kamu sendiri mungkin akan berasa kecewa.

    “Kamu akan rasa diri tidak bernilai dan hodoh jika kamu selalu membandingkan diri dengan orang yang terkenal. Kamu akan terlalu memikirkan penampilanmu.”​—Tamara.

    Cuba fikirkan: Apakah akibatnya jika kamu memilih orang yang terkenal atau ahli sukan sebagai teladan?

  • Orang yang kamu pilih sebagai teladan akan menentukan sama ada kamu dapat mencapai matlamat kamu atau tidak.

    Bible menyatakan, “Orang yang bergaul dengan orang bijak akan menjadi bijak.”​—Amsal 13:20.

    Tip: Pilihlah teladan orang yang mempunyai sifat yang kamu ingin tunjukkan. Kemudian ambillah langkah-langkah spesifik untuk mencapai matlamat kamu.

    “Daripada tetapkan matlamat yang tidak jelas seperti, ‘Saya mahu jadi lebih bertanggungjawab,’ kamu boleh kata, ‘Saya mahu jadi lebih bertanggungjawab seperti Jane. Dia selalu tepati masa dan lakukan tugasnya dengan serius.’”​—Miriam.

    Kesimpulan: Jika kamu pilih orang yang tetapkan teladan baik, kamu dapat menentukan sendiri orang seperti apa yang kamu akan jadi.

Meniru orang yang menetapkan teladan yang baik dapat menjadi seperti jalan pintas untuk mencapai matlamat kamu!

 Cara untuk pilih

Terdapat dua cara kamu dapat pilih orang yang akan menjadi teladan kamu.

  1. Kamu boleh memilih sifat baik tertentu, dan kemudian cari seseorang yang mempunyai sifat itu.

  2. Kamu boleh menjadikan seseorang sebagai teladan, dan pilih sifat baiknya yang ingin kamu tiru.

Lembaran kerja yang disertakan dalam rencana ini dapat membantu kamu.

Orang yang kamu inginkan sebagai teladan boleh merangkumi:

  • Rakan sebaya. “Saya ingin jadi seperti kawan baik saya. Dia selalu prihatin dan luangkan masa untuk orang lain. Dia lebih muda daripada saya, tapi saya dapat lihat sifat-sifat baiknya yang kurang dalam diri saya. Jadi saya mahu ikut teladannya.”​—Miriam.

  • Orang dewasa. Kamu boleh pilih ibu bapa kamu atau rakan seiman kamu. “Ibu bapa saya ialah teladan saya. Mereka tunjukkan sifat-sifat yang terpuji. Walaupun mereka ada kelemahan, saya nampak kesetiaan mereka. Bila saya dewasa seperti mereka, saya harap orang juga akan berkata begitu tentang diri saya.”​—Annette.

  • Watak Bible. “Saya pilih beberapa teladan baik dari Bible. Contohnya Timotius, Rut, Ayub, Petrus, dan budak perempuan Israel. Semakin banyak saya belajar tentang watak Bible, mereka menjadi semakin nyata bagi saya. Saya suka buku Tirulah Iman Mereka, dan juga ‘Indeks Anutan’ yang terdapat dalam kedua-dua jilid buku Pertanyaan Kaum Muda. *”​—Melinda.

Tip: Cubalah memilih beberapa orang yang menetapkan teladan baik. Rasul Paulus berkata kepada rakan seimannya, “Teruslah memperhatikan orang yang hidup menurut teladan yang kami berikan.”​—Filipi 3:​17.

Tahukah kamu? Kamu pun boleh memberikan teladan baik kepada orang lain! Bible menyatakan, “Hendaklah percakapanmu, tingkah lakumu, kasihmu, imanmu, dan kemurnianmu menjadi contoh kepada orang yang setia.”​—1 Timotius 4:​12.

“Kamu boleh berusaha untuk terus membuat kemajuan dan pada masa yang sama membantu orang lain jadi lebih baik. Kamu tidak tahu siapa yang memperhatikan kamu, dan kamu juga tidak tahu jika kata-kata kamu dapat mengubah hidup seseorang.”​—Kiana.

^ per. 31 Buku Tirulah Iman Mereka dan Pertanyaan Kaum Muda boleh didapati dalam bahasa Indonesia.