Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Mengapakah Ibu Bapa Tidak Biarkan Saya Berseronok?

Bayangkan situasi berikut:

Kamu mahu pergi ke suatu parti. Tetapi kamu tidak pasti sama ada ibu bapa kamu akan membenarkan kamu pergi atau tidak. Apakah yang akan kamu lakukan?

  1.  TIDAK PERLU TANYA—TERUS PERGI

  2.  TIDAK PERLU TANYA—TIDAK PERLU PERGI

  3.  TANYA—DAN LIHAT

 TIDAK PERLU TANYA—TERUS PERGI

Mengapa kamu mungkin pilih opsyen ini: Kamu mungkin mahu tunjuk kawan kamu bahawa kamu sangat berdikari. Barangkali kamu rasa kamu lebih bijak daripada ibu bapa, atau kurang hormat terhadap pandangan mereka.—Amsal 14:18.

Kesannya: Kawan kamu mungkin rasa kamu hebat. Tetapi mereka juga akan melihat bahawa kamu seorang yang tidak jujur. Jika kamu sanggup menipu ibu bapa, kamu pun tidak teragak-agak untuk berbohong kepada kawan-kawan kamu. Apabila ibu bapa mengetahui tentang perbuatan kamu, mereka pasti sakit hati dan rasa dikhianati. Barangkali kamu akan dihukum dan tidak dibenarkan keluar.—Amsal 12:15.

 2. TIDAK PERLU TANYA—TIDAK PERLU PERGI

Mengapa kamu mungkin pilih opsyen ini: Mungkin kamu tidak berapa minat untuk menghadiri parti itu atau orang yang dijemput bukanlah pergaulan yang baik. (1 Korintus 15:33; Filipi 4:8) Ataupun kamu mungkin mahu pergi, tetapi kamu tidak berani untuk tanya ibu bapa kamu.

Kesannya: Jika kamu tidak mahu pergi kerana kamu rasa itu bukan keputusan yang bijak, kamu dapat menolak jemputan itu dengan yakin. Tetapi jika kamu tidak pergi kerana kamu takut untuk meminta izin ibu bapa, kamu mungkin akan merajuk di rumah dan berasa bahawa kamu sahaja yang tidak dapat berseronok.

 3. TANYA—DAN LIHAT

Mengapa kamu mungkin pilih opsyen ini: Kamu sedar ibu bapa kamu bertanggungjawab atas kamu dan kamu menghormati pendapat mereka. (Kolose 3:20) Kamu mengasihi mereka dan tidak mahu melukai hati mereka dengan melakukan sesuatu tanpa pengetahuan mereka. (Amsal 10:1) Selain itu, kamu dapat menjelaskan sebabnya kamu mahu pergi ke parti itu.

Kesannya: Ibu bapa kamu akan tahu bahawa kamu mengasihi dan menghormati mereka. Jika permintaan kamu adalah munasabah, mereka mungkin mengizinkan kamu untuk pergi.

Mengapa Ibu Bapa Kamu Mungkin Berkata Tidak

Seperti anggota penyelamat, ibu bapa dapat melihat bahaya yang mengancam kamu

Fikirkan perumpamaan ini: Jika diberi pilihan, kamu mungkin memilih untuk berenang di pantai yang diawasi anggota penyelamat. Mengapa? Semasa kamu sedang bermain di laut, adalah tidak mudah untuk melihat bahaya di sekeliling kamu. Namun, anggota penyelamat dapat melihat seluruh kawasan itu dan mengetahui bahaya yang dapat mengancam kamu. Begitu juga, ibu bapa kamu ada lebih banyak pengetahuan dan pengalaman. Jadi mereka dapat mengesan bahaya yang tidak kamu sedari. Seperti anggota penyelamat, ibu bapa kamu ingin melindungi kamu daripada bahaya dan bukannya menghalang kamu daripada berseronok. Mereka mahu kamu menikmati kehidupan dan bergembira.

Satu lagi sebabnya ialah ibu bapa kamu mahu melindungi kamu. Apabila kamu meminta kebenaran untuk melakukan sesuatu, mereka akan mempertimbangkan sama ada mereka dapat menanggung akibat keputusan mereka. Kasihlah yang mendorong mereka untuk mengizinkan atau menolak permintaan kamu. Jika mereka berkata “ya” kepada permintaan kamu, sudah pasti mereka telah memikirkan keputusan mereka dengan masak-masak, dan yakin bahawa permintaan kamu tidak akan mendatangkan bahaya.

Tip untuk Mendapat Keizinan daripada Ibu Bapa

Apa yang dapat kamu lakukan

Bersikap jujur: Tanyalah diri, “Kenapa saya mahu pergi? Adakah kerana saya suka aktiviti yang diadakan, atau saya cuma mahu bersama kawan-kawan saya? Atau adakah kerana orang yang saya minat ada di sana?” Beritahulah ibu bapa kamu dengan jujur. Mereka juga pernah melalui zaman remaja, jadi mereka memahami situasi kamu. Sebenarnya mereka juga dapat melihat motif kamu yang sebenar. Jika kamu bersikap jujur, mereka pasti gembira dan kamu akan mendapat manfaat daripada nasihat mereka yang bijak. (Amsal 7:1, 2) Tetapi jika kamu tidak jujur, mereka susah untuk mempercayai kamu dan barangkali tidak mengizinkan kamu pergi.

Berikan masa: Jangan tanya mereka sewaktu mereka sedang sibuk atau baru pulang dari kerja. Tanyalah mereka sewaktu mereka lebih relaks. Jangan tunggu sehingga saat-saat terakhir dan memaksa mereka untuk memberikan jawapan dengan serta-merta. Mereka memerlukan masa untuk berfikir dan tidak mahu membuat keputusan dengan tergesa-gesa. Jadi, tanyalah lebih awal dan berilah mereka masa yang secukupnya.

Jawab dengan jelas: Berilah jawapan yang jelas. Beritahulah mereka apa yang kamu akan lakukan. Ibu bapa biasanya tidak yakin apabila anak-anak menjawab, “Saya tidak tahu,” apabila mereka bertanya soalan seperti: “Siapa yang akan pergi?” “Ada orang dewasa di sana?” atau “Jam berapa kamu akan balik?”

Bersikap baik: Anggaplah ibu bapa sebagai kawan dan bukannya lawan. Sebenarnya, mereka memang rakan seperjuangan kamu. Apabila kamu memupuk pandangan sedemikian, mereka akan lebih senang bekerjasama dengan kamu dan kamu juga tidak cenderung untuk melawan mereka.

Buktikanlah kepada ibu bapa bahawa kamu cukup matang untuk menerima dan menghormati keputusan mereka. Dengan demikian, mereka juga akan menghormati kamu. Pada kemudian hari, mereka mungkin memberikan kebenaran apabila kamu meminta izin daripada mereka.