Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimanakah jika Saya Mengalami Masalah Kesihatan? (Bahagian 2)

Terdapat pelbagai jenis masalah kesihatan:

  • Sesetengah orang mempunyai simptom penyakit yang dapat dilihat secara luaran, manakala yang lain pula mengalami simptom yang tidak kelihatan.

  • Sesetengah penyakit menyerang sekali-sekala, manakala sesetengah penyakit sentiasa ada dan perlu ditanggung setiap hari.

  • Sesetengah penyakit dapat dirawat ataupun dikawal, ada juga yang menyebabkan kesihatan semakin merosot sehingga mengancam nyawa pesakit itu.

Kaum muda menghidap pelbagai jenis masalah kesihatan seperti yang disebutkan di atas. Dalam rencana ini, kamu akan membaca pengalaman daripada empat kaum muda yang mengalami cabaran sebegitu. Jika kamu mengalami masalah kesihatan, kamu akan digalakkan daripada kata-kata mereka.

 GUÉNAELLE

Yang paling mencabar bagi saya adalah untuk menerima keterbatasan saya. Saya mahu melakukan banyak perkara, tetapi setiap hari saya hanya boleh membuat perkara yang saya mampu sahaja.

Saya menghidap penyakit motor neuron. Penyakit ini mencegah otak saya daripada menyampaikan maklumat yang betul kepada badan saya. Kadang-kadang, pelbagai bahagian badan saya menggeletar atau menjadi lumpuh. Saya juga berasa susah semasa melakukan perkara-perkara biasa seperti bergerak, bercakap, membaca, menulis, dan memahami kata-kata orang lain. Apabila saya berasa sangat susah, para penatua di sidang akan berdoa dengan saya. Selepas itu, saya pun berasa lega.

Tidak kira cabaran apa pun yang saya hadapi, saya berasa bahawa Tuhan Yehuwa sentiasa bersedia membantu saya. Saya tidak mahu membiarkan penyakit ini menghalang saya daripada berkhidmat kepada Yehuwa dengan sepenuhnya. Oleh itu, saya berusaha untuk memberitahu orang tentang janji dalam Bible yang menyatakan bahawa Tuhan Yehuwa akan menjadikan bumi sebuah firdaus dan di sana tiada lagi penderitaan.​—Wahyu 21:1-4.

Cuba renungkan: Seperti Guénaelle, apakah yang dapat kamu lakukan untuk menunjukkan belas kasihan kepada orang lain?​—1 Korintus 10:24.

 ZACHARY

Semasa berusia 16 tahun, saya disahkan menghidap sejenis kanser otak yang menyerang dengan agresif. Doktor mengatakan bahawa saya hanya boleh hidup selama lapan bulan. Sejak itu, saya bergelut untuk terus hidup.

Sebelah kanan badan saya menjadi lumpuh disebabkan tumor yang tumbuh pada otak saya. Seseorang perlu sentiasa berada di rumah untuk membantu saya kerana saya tidak dapat berjalan.

Penyakit saya yang bertambah serius menyebabkan saya susah untuk bercakap dengan jelas. Dahulu, saya seorang yang aktif. Saya suka meluncur air serta bermain bola keranjang dan bola tampar. Sebagai Saksi-Saksi Yehuwa, saya juga giat dalam kerja penyebaran Kristian sebelum saya jatuh sakit. Kebanyakan orang tidak akan memahami perasaan seseorang yang kehilangan kemampuan untuk melakukan perkara-perkara yang digemarinya.

Yesaya 57:15 sangat menggalakkan kerana ayat itu meyakinkan saya bahawa Tuhan Yehuwa sentiasa bersama dengan orang yang “remuk hati” dan Dia mengambil berat terhadap saya. Selain itu, Yesaya 35:6 berjanji bahawa suatu hari nanti, Yehuwa akan memberi saya kesihatan yang sempurna dan saya akan dapat berjalan lagi.

Kadangkala, saya berasa susah untuk menghadapi penyakit saya, tetapi saya yakin bahawa Yehuwa sentiasa menyokong saya. Melalui doa, saya dapat meluahkan isi hati kepada Yehuwa semasa berasa tawar hati dan takut akan kematian. Tiada apa-apa pun yang dapat memisahkan saya daripada kasih Yehuwa.​—Roma 8:39.

Dua bulan selepas Zachary ditemu ramah, dia tidur dalam kematian pada usia 18 tahun. Dia dibantu untuk tetap tabah sehingga menghembus nafas terakhir kerana dia beriman terhadap janji Yehuwa untuk membangkitkan orang mati di bumi firdaus.

Cuba renungkan: Seperti Zachary, bagaimanakah doa dapat membantu kamu tetap berada dalam naungan kasih Tuhan?

 ANAÏS

Selepas beberapa hari saya dilahirkan, saya mengalami pendarahan otak. Akibatnya, tubuh saya mengalami kecacatan, terutamanya bahagian kaki.

Kini, saya dapat berjalan sedikit dengan menggunakan alat bantu jalan, tetapi selalunya saya perlu menggunakan kerusi roda untuk pergi ke mana-mana sahaja. Saya juga mengalami kekejangan otot sehingga susah untuk melakukan aktiviti tertentu, seperti menulis.

Selain daripada masalah kesihatan yang membuat saya tertekan, rawatan saya juga mencabar. Setahu saya, saya telah menjalani sesi fisioterapi beberapa kali dalam seminggu. Semasa saya berumur lima tahun, saya menjalani pembedahan besar yang pertama dan kemudian saya menjalani tiga lagi pembedahan. Dua pembedahan yang terakhir adalah yang paling mencabar kerana saya terpaksa berjauhan dengan keluarga selama tiga bulan sehingga saya sembuh.

Keluarga saya sangat membantu. Apabila kami ketawa bersama-sama, hal itu membantu saya tidak bersedih. Ibu, kakak, dan adik kembar saya membantu saya berdandan dengan cantik kerana saya tidak dapat melakukannya sendirian. Saya rasa sedih kerana tidak dapat memakai kasut bertumit tinggi. Tetapi saya pernah melakukannya sekali semasa saya masih kecil. Saya meletakkan kedua-dua tangan saya ke dalam kasut itu, lalu mula merangkak. Kami sekeluarga pun tergelak-gelak!

Saya berfokus kepada perkara yang saya boleh lakukan dan bukannya perkara yang saya tidak dapat lakukan. Contohnya, saya belajar bahasa-bahasa baharu. Walaupun saya tidak dapat melakukan aktiviti meluncur air atau meluncur ais, saya dapat berenang. Sebagai Saksi-Saksi Yehuwa, saya suka menyertai kerja penyebaran Kristian dan mengongsi kepercayaan saya dengan orang lain. Nampaknya, orang sangat berminat semasa saya bercakap dengan mereka.

Sejak kecil lagi, ibu bapa saya sudah memberitahu saya bahawa keadaan saya hanya sementara. Sejak itu, saya membina iman saya kepada Yehuwa dan janji-Nya untuk menghapuskan segala penderitaan, termasuk penyakit saya. Hal ini menguatkan saya untuk terus bertabah.​—Wahyu 21:3, 4.

Cuba renungkan: Seperti Anaïs, apakah yang dapat kamu lakukan agar kamu tidak terlalu bertumpu kepada masalah kesihatan?

 JULIANA

Saya menghidap penyakit autoimun. (Sejenis penyakit yang menyebabkan sistem imun tubuh seseorang menyerang sel-sel sendiri.) Akibatnya, penyakit ini boleh mempengaruhi jantung, paru-paru, dan darah. Sekarang, penyakit ini sudah menyerang buah pinggang saya.

Saya disahkan menghidap penyakit lupus semasa berusia 10 tahun. Penyakit ini membuat saya mengalami kesakitan, keletihan, dan perubahan emosi yang mendadak. Ada kalanya, saya berasa diri tidak berguna.

Semasa berusia 13 tahun, seorang Saksi-Saksi Yehuwa mengunjungi rumah kami. Dia membacakan kata-kata Yehuwa di Yesaya 41:10: “Janganlah takut kerana Aku menyertaimu . . . Aku pasti akan memegangmu dengan tangan kanan-Ku yang menegakkan keadilan.” Semenjak itu, saya mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Kira-kira lapan tahun telah berlalu dan kini saya berkhidmat kepada Tuhan dengan sepenuh hati. Saya juga bertekad agar tidak membiarkan penyakit saya mengawal kehidupan saya. Saya berasa bahawa Yehuwa telah memberikan “kuasa luar biasa” agar saya tetap bersikap positif.​—2 Korintus 4:7.

Cuba renungkan: Bagaimanakah Yesaya 41:10 dapat membantu kamu untuk tetap bersikap positif seperti Juliana?