Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

KAUM MUDA BERTANYA

Adakah Saya Memilih Muzik dengan Bijak?

Adakah Saya Memilih Muzik dengan Bijak?

“Setiap hari saya mulakan aktiviti harian saya dengan muzik. Semasa di kereta, saya dengar muzik. Semasa berehat di rumah, mengemas, membaca​—saya pun dengar muzik. Saya sentiasa mendengar muzik.”​—Carla.

Adakah kamu kaki muzik seperti Carla? Jika ya, rencana ini membincangkan manfaat muzik, bahayanya, dan cara memilih muzik dengan bijak.

 Manfaat muzik

Muzik boleh disamakan seperti makanan. Kita akan mendapat manfaat jika kita mengambil makanan yang sihat dalam kuantiti yang sesuai. Begitu juga dengan muzik. Fikirkan:

  • Muzik dapat menyenangkan hati kita.

    “Sewaktu saya susah hati, saya akan mendengar lagu kegemaran saya. Selepas itu, saya berasa senang hati.”​—Mark.

  • Muzik dapat membantu kita mengenang masa lalu.

    “Kadang-kadang, ada lagu yang mengingatkan saya tentang kenangan yang manis. Saya berasa gembira setiap kali saya mendengarnya.”​—Sheila.

  • Muzik dapat menyatukan orang.

    “Saya menghadiri konvensyen antarabangsa Saksi-Saksi Yehuwa. Semasa semua hadirin menyanyikan lagu penutupan, saya sangat terharu sehingga menangis. Walaupun bahasa kami berlainan, tetapi muzik menyatukan kami.”​—Tammy.

  • Muzik dapat membantu kita memupuk sifat yang baik.

    “Belajar bermain alat muzik dapat membantu kita memupuk kesabaran dan disiplin diri. Kita perlu mengambil masa yang banyak untuk berlatih agar menjadi mahir.”​—Anna.

Tahukah kamu? Mazmur, buku yang paling tebal dalam Bible, mengandungi 150 buah lagu.

Pilihlah muzik dengan bijak seperti kamu memilih makanan

 Bahaya muzik

Seperti makanan yang tercemar, sesetengah muzik dapat meracuni kita. Fikirkan sebab berikut:

  • Banyak lagu mengandungi lirik yang tidak senonoh.

    “Hampir semua lagu yang popular mengandungi unsur seks. Orang tidak malu menyanyi tentangnya lagi.”​—Hannah.

    Bible menyatakan, “Jangan ada sesiapa pun dalam kalangan kamu yang menyebut tentang perbuatan seks yang tidak bermoral, ketamakan, atau setiap jenis kenajisan.” (Efesus 5:3) Tanyalah diri, “Adakah muzik yang saya pilih sesuai dengan nasihat Bible ini?”

  • Sesetengah muzik dapat membuat kita sedih.

    “Kadang-kadang pada waktu malam, saya berbaring sambil mendengar muzik yang membuat saya teringat akan perkara sedih. Muzik begitu buat saya berfikiran negatif.”​—Tammy.

    Bible menyatakan, “Lebih daripada segala-galanya, jagalah hatimu.” (Amsal 4:​23) Tanyalah diri, “Adakah muzik yang saya dengar menyebabkan saya berfikiran negatif?”

  • Sesetengah muzik dapat membangkitkan kemarahan.

    “Lagu yang mengandungi unsur kebencian dan kemarahan ialah jerat bagi saya. Setiap kali saya mendengar lagu seperti itu, emosi saya berubah. Keluarga saya juga sedar akan hal itu.”​—John.

    Bible menyatakan, “Kamu mesti menyingkirkan hal-hal ini daripada diri kamu: Perasaan berang, kemarahan, kejahatan, kata-kata hinaan, dan kata-kata lucah, daripada mulut kamu.” (Kolose 3:8) Tanyalah diri, “Adakah muzik yang saya dengar menyebabkan saya berkelakuan kasar, sehingga tidak peduli akan perasaan orang lain?”

Kesimpulannya? Pilihlah muzik dengan bijak. Seorang remaja yang bernama Julie berusaha melakukan hal itu. Dia kata, “Saya sentiasa memeriksa lagu-lagu saya dan membuang lagu yang saya rasa kurang senonoh. Memang tidak senang, tetapi saya tahu itulah yang patut saya lakukan.”

Seorang gadis yang bernama Tara pun melakukan hal yang sama. Dia kata, “Kadang-kadang radio memainkan lagu yang sedap didengari, tetapi selepas dengar liriknya, saya sedar saya perlu tukar salurannya. Hal ini sangat susah, seperti merasai kuih yang sangat sedap lalu membuangnya! Namun, kalau saya dapat menolak lagu yang berunsur seks, saya pasti dapat menolak godaan untuk melakukan seks sebelum kahwin. Saya tidak mahu meremehkan pengaruh lagu pada diri saya.”