Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 2

Kelahiran Kerajaan Tuhan di Syurga

Kelahiran Kerajaan Tuhan di Syurga

FOKUS BAB INI

Bagaimana umat Tuhan dipersiapkan untuk kelahiran Kerajaan Tuhan

1, 2. Apakah peristiwa terhebat yang telah berlaku dalam sejarah dunia? Mengapakah kita tidak berasa hairan bahawa manusia tidak dapat melihatnya?

 PERNAHKAH anda membayangkan bagaimana rasanya hidup pada suatu detik bersejarah? Ramai orang pernah. Namun, fikirkanlah hal ini: Seandainya anda hidup pada detik bersejarah itu, adakah anda dapat menyaksikan dengan mata sendiri peristiwa-peristiwa penting yang memacu perubahan? Barangkali tidak. Sering kali, peristiwa-peristiwa bersejarah yang menandakan kejatuhan atau kebangkitan sesebuah kerajaan tidak berlaku di depan orang ramai, tetapi berlaku di istana, di pejabat kerajaan, atau semasa pertemuan tertutup. Meskipun demikian, peristiwa sebegini mempengaruhi kehidupan jutaan orang.

2 Bagaimana pula dengan peristiwa terhebat yang telah berlaku dalam sejarah dunia? Peristiwa itu telah mempengaruhi kehidupan jutaan orang, tetapi manusia tidak dapat melihatnya. Ya, peristiwa yang dimaksudkan ialah kelahiran Kerajaan Tuhan di syurga. Kerajaan Mesias yang dinanti-nantikan itu akan mengakhiri sistem dunia ini tidak lama lagi. (Baca Daniel 2:34, 35, 44, 45.) Memandangkan tiada manusia yang menyaksikan detik penting itu, adakah hal itu bermaksud bahawa Yehuwa menyembunyikannya daripada manusia? Atau adakah Dia mempersiapkan umat-Nya yang setia terlebih dahulu untuk peristiwa tersebut? Mari kita perhatikan jawapannya.

“Utusan-Ku . . . akan Menyediakan Jalan bagi-Ku”

3-5. (a) Siapakah “utusan perjanjian” yang disebut di Maleakhi 3:1? (b) Apakah yang akan berlaku sebelum “utusan perjanjian” itu datang ke Rumah Tuhan?

3 Sejak zaman kuno, Yehuwa mempersiapkan umat-Nya untuk kelahiran Kerajaan Mesias. Contohnya, perhatikan nubuat di Maleakhi 3:1 (NW), “Lihatlah! Aku akan menghantar utusan-Ku, dan dia akan menyediakan jalan bagi-Ku. Dengan tiba-tiba, Tuan yang benar, yang sedang kamu cari, akan datang ke Rumah-Nya. Utusan perjanjian yang kamu nantikan dengan sukacita juga akan datang.”

4 Bilakah nubuat ini menjadi kenyataan pada zaman moden? Bilakah Yehuwa, iaitu “Tuan yang benar,” datang untuk memeriksa orang yang berkhidmat di halaman Rumah Rohani-Nya di bumi? Menurut nubuat ini, Yehuwa akan datang bersama “utusan perjanjian.” Siapakah “utusan” itu? Tidak lain tidak bukan, Raja Mesias, Yesus Kristus! (Luk. 1:68-73) Sebagai Pemerintah yang baru ditabalkan, dia akan memeriksa dan memurnikan umat Tuhan di bumi.​—1 Ptr. 4:17.

5 Namun, siapakah ‘utusan’ lain yang mula-mula disebut di Maleakhi 3:1? ‘Utusan’ yang dinubuatkan itu akan muncul sebelum kehadiran Raja Mesias. Berpuluh-puluh tahun sebelum tahun 1914, adakah sesiapa yang “menyediakan jalan” untuk Raja Mesias?

6. Siapakah ‘utusan’ yang datang terlebih dahulu untuk mempersiapkan umat Tuhan bagi peristiwa-peristiwa yang bakal terjadi?

6 Dalam buku ini, kita akan memperoleh jawapan kepada soalan-soalan sebegini melalui sejarah moden umat Yehuwa. Pada penghujung abad ke-19, meskipun orang Kristian palsu terdapat di merata tempat, lembaran sejarah yang mendebarkan itu menunjukkan bahawa ada satu kumpulan kecil yang bakal muncul sebagai satu-satunya kumpulan orang Kristian yang sejati. Kumpulan itu kemudiannya dikenali sebagai Pelajar Bible. Charles T. Russell dan rakan-rakannya yang mengambil pimpinan dalam kumpulan tersebut telah bertindak sebagai ‘utusan’ yang dinubuatkan itu. Mereka menyediakan bimbingan rohani bagi umat Tuhan dan mempersiapkan mereka bagi peristiwa-peristiwa yang bakal terjadi. Mari kita kaji empat cara yang digunakan oleh ‘utusan’ itu.

Menyembah dengan Kebenaran

7, 8. (a) Sekitar tahun 1850, siapakah yang mula-mula mendedahkan ajaran palsu tentang jiwa yang tidak dapat mati? (b) Apakah ajaran-ajaran palsu lain yang didedahkan oleh C. T. Russell dan rakan-rakannya?

7 Kumpulan Pelajar Bible itu berdoa sebelum mengkaji Bible. Selepas mencapai persetujuan, mereka mengumpulkan ajaran-ajaran yang benar lalu menerbitkannya. Selama ratusan tahun, gereja Kristian diselubungi kegelapan rohani. Banyak ajaran gereja berasal daripada agama kafir. Satu contoh utama ialah ajaran tentang jiwa yang tidak dapat mati. Namun, sekitar tahun 1850, beberapa orang yang mengkaji Bible dengan sungguh-sungguh telah meneliti ajaran tersebut dan mendapati bahawa ajaran itu tidak berasaskan Firman Tuhan. Henry Grew, George Stetson, dan George Storrs telah mendedahkan dusta itu dengan berani menerusi ceramah dan karya tulisan mereka. a Hasil kerja mereka telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada C. T. Russell dan rakan-rakannya.

8 Kumpulan Pelajar Bible itu mendapati bahawa ajaran lain yang berkaitan dengan ajaran tentang jiwa yang tidak dapat mati juga merupakan ajaran palsu yang mengelirukan. Sebagai contoh, ajaran bahawa semua orang baik akan pergi ke syurga, atau Tuhan akan menyeksa jiwa orang jahat di neraka berapi buat selama-lamanya. Menerusi banyak rencana, buku, risalah, buku kecil, dan ceramah yang diterbitkan dalam akhbar, Russell dan rakan-rakannya telah mendedahkan semua dusta itu dengan berani.

9. Bagaimanakah Zion’s Watch Tower mendedahkan ajaran palsu Tritunggal?

9 Pelajar Bible juga mendedahkan satu lagi ajaran palsu yang diterima ramai, iaitu ajaran Tritunggal. Pada tahun 1887, Zion’s Watch Tower membuat pernyataan ini: “Yehuwa dan Tuan Yesus ialah dua individu yang berbeza. Satu ialah Bapa dan satu ialah Anak. Dalam hal ini, Bible sangat jelas.” Meskipun demikian, ajaran Tritunggal​—tiga dalam satu dan satu dalam tiga​—diterima dengan begitu meluas. Rencana yang sama menyatakan bahawa hal yang mengejutkan ini “menunjukkan betapa lenanya pihak gereja sedang tidur, sehingga tidak sedar bahawa musuh sudah membelenggu mereka dengan ajaran palsu.”

10. Bagaimanakah majalah Watch Tower menunjukkan bahawa tahun 1914 ialah tahun yang penting?

10 Majalah Zion’s Watch Tower and Herald of Christ’s Presence sangat mementingkan nubuat-nubuat yang berkaitan dengan kehadiran Kristus. Orang Kristian terurap yang menulis rencana-rencana dalam majalah itu mendapati bahawa nubuat Daniel tentang tujuh waktu berkaitan dengan masa Tuhan melaksanakan tujuan-Nya sehubungan Kerajaan Mesias. Seawal tahun 1870-an, mereka sudah menyatakan bahawa tujuh waktu itu akan berakhir pada tahun 1914. (Dan. 4:25; Luk. 21:24) Saudara-saudara kita pada zaman itu telah menyebarkan kebenaran ke merata tempat, meskipun mereka belum memahami sepenuhnya apa yang bakal terjadi pada tahun 1914. Hasil usaha mereka masih dapat dilihat pada hari ini.

11, 12. (a) Apakah yang diakui oleh Saudara Russell mengenai kebenaran yang diajarkannya? (b) Apakah hasil daripada usaha Russell dan rakan-rakannya puluhan tahun sebelum tahun 1914?

11 Meskipun Russell dan rakan-rakannya menemui dan memahami kebenaran-kebenaran rohani yang disebut sebelum ini, mereka tidak menginginkan pujian. Russell mengakui bahawa orang lain sebelumnya telah membuat sumbangan besar dalam hal ini. Penting sekali, dia mengakui bahawa Tuhan Yehuwalah yang mengajar umat-Nya kebenaran yang diperlukan pada masa yang tepat. Jelaslah bahawa Yehuwa telah memberkati usaha Russell dan rakan-rakannya untuk membezakan kebenaran daripada ajaran palsu. Dengan berlalunya masa, jurang yang memisahkan mereka daripada gereja-gereja Kristian menjadi semakin besar.

Saudara Russell dan rakan-rakannya memperjuangkan kebenaran Bible

12 Saudara-saudara yang setia itu telah memperjuangkan kebenaran Bible puluhan tahun sebelum tahun 1914. Usaha mereka memang mengagumkan! The Watch Tower and Herald of Christ’s Presence terbitan 1 November 1917 menyatakan, “Jutaan orang hari ini telah dibebaskan daripada rasa takut yang disebabkan oleh ajaran neraka berapi dan ajaran palsu yang lain . . . Sejak lebih daripada 40 tahun yang lalu, Kebenaran telah mara ke depan seperti air pasang yang semakin meningkat, dan akan terus meningkat sehingga memenuhi bumi. Kebenaran pasti akan tersebar ke seluruh bumi. Para penentang yang mencuba menghalang kemaraannya ibarat seseorang yang mencuba menghalang ombak laut dengan penyapu.”

13, 14. (a) Bagaimanakah ‘utusan’ itu telah membantu menyediakan jalan bagi Raja Mesias? (b) Apakah yang dapat kita pelajari daripada saudara-saudara kita yang hidup kira-kira seratus tahun yang lalu?

13 Fikirkanlah hal ini: Dapatkah umat Tuhan bersiap sedia untuk permulaan kehadiran Kristus jika mereka tidak dapat membezakan Yesus daripada Bapanya, Yehuwa? Pastinya tidak! Jika mereka berpendapat bahawa nyawa yang tidak dapat mati akan diberikan kepada siapa-siapa sahaja, dan bukannya kepada segelintir pengikut Kristus yang setia, atau jika mereka berfikir bahawa Tuhan akan menyeksa orang di dalam neraka berapi buat selama-lamanya, mereka pasti tidak akan bersedia untuk kehadiran Kristus! Ya, tidak dapat dinafikan bahawa ‘utusan’ itu telah menyediakan jalan bagi Raja Mesias!

14 Bagaimana pula dengan kita hari ini? Apakah yang dapat kita pelajari daripada saudara-saudara kita yang hidup kira-kira seratus tahun yang lalu? Seperti mereka, kita patut membaca dan mengkaji Firman Tuhan dengan tekun. (Yoh. 17:3) Dunia ini yang mementingkan kebendaan semakin kebuluran secara rohani, tetapi semoga selera kita untuk makanan rohani menjadi semakin besar!​—Baca 1 Timotius 4:15.

“Keluarlah daripadanya, Hai Umat-Ku”

15. Kumpulan Pelajar Bible akhirnya sedar akan hal apa? (Lihat juga nota kaki.)

15 Pelajar Bible mengajarkan bahawa orang harus memutuskan hubungan dengan gereja-gereja. Pada tahun 1879, majalah Watch Tower telah menyebut tentang “gereja Babilon.” Adakah istilah itu merujuk kepada Paus Gereja atau Gereja Katolik? Selama berkurun-kurun, gereja-gereja aliran Protestan telah menyatakan bahawa Babilon yang dinubuatkan dalam Bible melambangkan Gereja Katolik. Namun, Pelajar Bible akhirnya sedar bahawa semua gereja Kristian terangkum dalam “Babilon” zaman moden. Apakah sebabnya? Kerana semua gereja itu menyebarkan ajaran palsu yang telah kita bincangkan sebelum ini. b Dengan berlalunya masa, bahan bacaan kita menyatakan dengan semakin jelas bahawa ahli-ahli gereja Babilon yang berhati jujur harus mengambil tindakan.

16, 17. (a) Bagaimanakah buku Millennial Dawn, Jilid 3, dan majalah Watch Tower menggesa orang untuk memisahkan diri daripada agama palsu? (b) Apakah faktor yang menyebabkan amaran itu menjadi kurang berkesan? (Lihat nota kaki.)

16 Sebagai contoh, pada tahun 1891, buku Millennial Dawn, Jilid 3, menyatakan bahawa Tuhan telah menolak Babilon zaman moden: “Seluruh sistem itu, iaitu semua gereja Kristian, telah ditolak.” Buku itu juga menyatakan bahawa semua orang “yang tidak bersetuju dengan ajaran palsu dan amalan buruk Babilon kini diseru agar memisahkan diri daripadanya.”

17 Pada bulan Januari 1900, majalah Watch Tower telah memberikan nasihat kepada orang yang masih mempunyai keahlian dalam gereja-gereja Kristian, tetapi mencuba mencari alasan dengan berkata, “Saya setuju sepenuhnya dengan kebenaran, dan saya jarang menghadiri pertemuan gereja.” Majalah itu menyatakan, “Wajarkah seseorang berdiri dengan sebelah kakinya di luar Babilon dan sebelah kakinya di dalam Babilon? Adakah Tuhan menghendaki kepatuhan sebegini . . . dan adakah hal ini menyenangkan hati-Nya? Tentu tidak. Apabila dia [ahli gereja] menyertai sesebuah gereja, dia sudah memeterai perjanjian di hadapan umum dengan gereja tersebut. Dia mesti mematuhi semua syarat dalam perjanjian itu, sehingga dia . . . memansuhkan atau membatalkan keahliannya secara rasmi.” Dengan berlalunya masa, mesej itu menjadi semakin lantang. c Hamba-hamba Yehuwa mesti memutuskan semua pertalian dengan agama palsu.

18. Mengapakah umat Tuhan mesti keluar dari Babilon Besar?

18 Jika umat Tuhan tidak diingatkan berkali-kali untuk keluar dari Babilon Besar, adakah Yesus Kristus akan mempunyai sekumpulan hamba terurap di bumi yang sudah bersiap sedia apabila dia ditabalkan sebagai Raja? Sudah pasti tidak. Selagi orang Kristian tidak bebas daripada cengkaman Babilon, mereka tidak dapat menyembah Yehuwa “dengan bimbingan daya aktif dan kebenaran.” (Yoh. 4:24) Dewasa ini, adakah kita juga bertekad agar tidak dicemari agama yang palsu? Marilah kita sentiasa mematuhi perintah berikut: “Keluarlah daripadanya, hai umat-Ku”!​—Baca Wahyu 18:4.

Berkumpul untuk Beribadat

19, 20. Bagaimanakah majalah Watch Tower menggalakkan umat Tuhan agar berkumpul untuk beribadat?

19 Pelajar Bible mengajarkan bahawa orang Kristian harus berkumpul bersama rakan-rakan seiman untuk beribadat, jika keadaannya mengizinkan. Bagi orang Kristian sejati, sekadar meninggalkan agama palsu tidak memadai. Mereka juga harus mengambil bahagian dalam ibadat sejati. Dari mula lagi, majalah Watch Tower telah menggalakkan para pembaca agar berkumpul untuk beribadat. Sebagai contoh, terbitan Julai 1880 memuatkan laporan Saudara Russell setelah dia melawat beberapa tempat untuk menyampaikan ceramah. Setelah mengatakan bahawa perjumpaan-perjumpaan yang diadakan sangat memberangsangkan, dia menggalakkan para pembaca untuk menghantar poskad bagi melaporkan kemajuan mereka. Sesetengah laporan itu akan diterbitkan dalam majalah. Dia berkata, “Beritahulah kami semua . . . bagaimana Tuan kita memberkati kalian; tentang perjumpaan yang kalian hadiri bersama rakan-rakan lain yang berpegang pada iman yang sama.”

Charles Russell bersama sekumpulan Pelajar Bible di Copenhagen, Denmark, tahun 1909

20 Pada tahun 1882, sebuah rencana yang bertajuk “Berkumpul Bersama” telah diterbitkan dalam majalah Watch Tower. Rencana tersebut menggalakkan orang Kristian untuk mengadakan perjumpaan agar mereka dapat “saling meneguhkan, menggalakkan, dan menguatkan.” Rencana itu menyatakan, “Tidaklah penting sama ada orang yang berpelajaran atau yang berbakat hadir dalam kalangan anda. Hendaklah setiap orang membawa Bible, kertas, dan pensel masing-masing. Gunakanlah apa sahaja alat bantu yang ada, misalnya Konkordans . . . Pilihlah satu topik dan mohonlah bimbingan daya aktif Tuhan untuk memahaminya. Kemudian, baca, fikir, bandingkan ayat dengan ayat, nescaya anda akan dibimbing untuk mengenal kebenaran.”

21. Bagaimanakah sidang di Allegheny, Pennsylvania, menyediakan teladan yang baik dari segi perjumpaan dan penggembalaan?

21 Ibu pejabat Pelajar Bible terletak di Allegheny, Pennsylvania, A.S. Di situ, mereka telah menyediakan teladan yang baik dengan mengadakan perjumpaan, sesuai dengan nasihat Tuhan di Ibrani 10:24, 25. (Baca.) Seorang saudara yang bernama Charles Capen telah menghadiri perjumpaan sedemikian sejak dia masih kecil. Berpuluh-puluh tahun kemudian, dia menulis tentang pengalamannya, “Saya masih ingat salah satu ayat yang ditulis pada dinding dewan perhimpunan Pertubuhan kita: ‘Kamu semua bersaudara dan Guru kamu hanya satu.’ Ayat itu sentiasa segar di ingatan saya. Umat Yehuwa tidak terbahagi kepada golongan pemimpin dan golongan penganut.” (Mat. 23:8) Saudara Capen juga ingat bahawa perjumpaan-perjumpaan pada masa itu memberangsangkan dan menggalakkan, dan bahawa Saudara Russell berusaha dengan gigih supaya dia sendiri dapat menggembala setiap anggota sidang.

22. Bagaimanakah orang Kristian yang setia menyahut seruan untuk menghadiri perjumpaan? Apakah yang dapat kita pelajari daripada mereka?

22 Orang Kristian yang setia telah mengikut teladan baik mereka dan mendengar nasihat Tuhan. Sidang-sidang telah ditubuhkan di negeri lain seperti Ohio dan Michigan, kemudian di serata Amerika Utara dan di negara-negara lain. Fikirkan: Adakah umat Tuhan yang setia akan bersedia untuk kehadiran Kristus jika mereka tidak dilatih agar berkumpul untuk beribadat, seperti yang dinasihatkan oleh Tuhan? Pastinya tidak! Bagaimana pula dengan kita hari ini? Kita juga harus bertekad untuk menghadiri setiap perjumpaan. Janganlah lepaskan peluang untuk beribadat bersama-sama dan membina satu sama lain secara rohani!

Menginjil dengan Bersemangat

23. Bagaimanakah majalah Watch Tower menegaskan bahawa semua orang Kristian terurap mesti mengkhabarkan kebenaran?

23 Pelajar Bible mengajarkan bahawa semua orang Kristian terurap mesti mengkhabarkan kebenaran. Pada tahun 1885, majalah Watch Tower membuat ulasan berikut: “Jangan lupa bahawa setiap orang Kristian yang terurap diutus untuk menjalankan kerja penyebaran. (Yes. 61:1) Kita telah dipanggil untuk tugas suci ini.” Majalah pada tahun 1888 mengandungi nasihat ini: “Kita memahami amanah kita dengan sangat jelas . . . Jika kita tidak mempedulikannya dan berdalih, kita memang hamba yang malas, yang tidak layak diberi penghormatan besar sebagai orang Kristian terurap.”

24, 25. (a) Selain daripada menggalakkan orang untuk menyebarkan berita baik, apakah yang dilakukan oleh Russell dan rakan-rakannya? (b) Bagaimanakah seorang peneraju menjalankan kerja penyebaran ketika “kereta belum digunakan secara meluas”?

24 Saudara Russell dan rakan-rakannya bukan sahaja menggalakkan orang untuk menyebarkan berita baik. Mereka juga menerbitkan risalah-risalah yang berjudul Bible Students’ Tracts, yang kemudiannya dikenali sebagai Old Theology Quarterly. Para pembaca Watch Tower telah diberi risalah-risalah ini untuk diedarkan kepada orang ramai tanpa mengenakan bayaran.

Kita patut bertanya, “Adakah kerja penyebaran keutamaan hidup saya?”

25 Mereka yang menjalankan kerja penyebaran sepenuh masa dipanggil peneraju. Charles Capen, yang disebut sebelum ini, juga seorang peneraju. Mengenang zaman silamnya, dia berkata, “Saya menggunakan peta yang disediakan oleh Agensi Pemantauan Geologi Amerika Syarikat supaya saya dapat mengunjungi semua kawasan di Pennsylvania. Semua jalan ditandakan pada peta tersebut, oleh itu saya dapat berjalan kaki ke semua kawasan. Kadangkala, setelah menghabiskan tiga hari di kawasan luar bandar untuk mengambil pesanan bagi siri buku Studies in the Scriptures, saya akan menyewa kuda dan kereta kuda supaya saya dapat menghantar buku-buku yang dipesan. Biasanya para peladang akan mengizinkan saya untuk singgah dan bermalam di tempat mereka. Pada masa itu, kereta belum digunakan secara meluas.”

Seorang peneraju. Perhatikan “Carta Zaman” yang terdapat pada tepi kereta kuda

26. (a) Mengapakah umat Tuhan harus menjalankan kerja penyebaran? (b) Apakah soalan-soalan yang harus kita tanya?

26 Orang Kristian pada masa itu memerlukan keberanian dan semangat yang membara untuk menjalankan kerja penyebaran. Memandangkan kerja ini bakal menjadi satu ciri penting dalam tanda kehadiran Kristus, dapatkah orang Kristian sejati bersedia untuk pemerintahannya jika mereka tidak diajar tentang pentingnya kerja penyebaran? Sudah tentu tidak! (Mat. 24:14) Umat Tuhan harus dibantu supaya kerja penyebaran menjadi keutamaan hidup mereka. Dewasa ini, kita patut bertanya, “Adakah kerja penyebaran keutamaan hidup saya? Adakah saya membuat pengorbanan agar saya dapat melibatkan diri dengan sepenuhnya dalam kerja yang dapat menyelamatkan nyawa itu?”

Kerajaan Tuhan Dilahirkan!

27, 28. Apakah yang disaksikan oleh rasul Yohanes dalam satu penglihatan? Apakah reaksi Syaitan dan roh-roh jahatnya semasa Kerajaan Tuhan dilahirkan?

27 Akhirnya, tahun 1914 yang dinanti-nantikan tiba. Seperti yang telah dibincangkan di awal bab ini, tiada manusia yang menyaksikan peristiwa-peristiwa agung yang berlaku di syurga. Namun, rasul Yohanes telah mendapat satu penglihatan yang menggambarkan peristiwa tersebut secara simbolik. Bayangkan hal ini: Yohanes menyaksikan “satu tanda yang luar biasa” di syurga. Seorang wanita, iaitu organisasi Tuhan di syurga yang terdiri daripada makhluk-makhluk roh, mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki. Kita diberitahu bahawa “anak” itu akan “menggembala semua bangsa dengan sebatang tongkat besi.” Sebaik sahaja anak itu dilahirkan, dia “segera dibawa kepada Tuhan dan ke takhta-Nya.” Ada suara lantang di syurga yang berkata, “Lihatlah! Tuhan kita telah menyelamatkan umat-Nya. Kuasa-Nya sudah dinyatakan, Kerajaan-Nya sudah didirikan, dan Kristus-Nya kini berkuasa.”​—Why. 12:1, 5, 10.

28 Dalam penglihatan itu, Yohanes telah menyaksikan kelahiran Kerajaan Mesias. Peristiwa itu amat gemilang, tetapi bukan semua yang bersukacita. Syaitan dan roh-roh jahatnya telah berperang melawan malaikat-malaikat setia yang dipimpin oleh Mikhael, atau Kristus. Apakah kesudahannya? “Naga besar itu dibuang ke bawah. Naga itu ialah ular tua yang dipanggil Iblis dan Syaitan, yang sedang menyesatkan seluruh dunia. Naga itu dibuang ke bumi, dan malaikat-malaikatnya juga dibuang ke bumi bersamanya.”​—Why. 12:7, 9.

Pada tahun 1914, Pelajar Bible mula menyedari tanda kehadiran Kristus

29, 30. Setelah Kerajaan Mesias dilahirkan, apakah perubahan yang berlaku (a) di bumi? (b) di syurga?

29 Lama sebelum tahun 1914, Pelajar Bible sudah mengatakan bahawa satu zaman yang sarat dengan masalah akan bermula pada tahun itu. Namun, peristiwa yang dijangkakan oleh mereka berlaku pada skala yang jauh lebih besar. Mulai tahun itu, pengaruh Syaitan ke atas umat manusia telah bertambah kuat, seperti yang dinyatakan melalui penglihatan Yohanes, “Malanglah bumi dan laut kerana Iblis sudah turun kepada kamu dengan kemarahan yang besar, kerana dia tahu bahawa masanya tinggal sedikit.” (Why. 12:12) Pada tahun 1914, Perang Dunia Pertama tercetus, dan tanda kehadiran Kristus sebagai raja mula kelihatan di serata dunia. Sesungguhnya, “hari-hari terakhir” sistem dunia ini sudah bermula.​—2 Tim. 3:1.

30 Namun, mereka yang di syurga amat bersukacita, kerana Syaitan dan roh-roh jahatnya sudah diusir buat selama-lamanya. Catatan Yohanes menyatakan, “Oleh itu, bersukacitalah hai syurga dan kamu yang tinggal di sana!” (Why. 12:12) Syurga sudah dibersihkan, dan Yesus sudah ditabalkan sebagai Raja. Kini, Kerajaan Mesias bersedia untuk bertindak bagi pihak umat Tuhan di bumi. Apakah tindakan itu? Di awal bab ini, kita belajar bahawa Kristus, selaku “utusan perjanjian,” akan memurnikan hamba-hamba Tuhan di bumi terlebih dahulu. Apakah ertinya?

Waktu Ujian

31. Apakah yang dinubuatkan oleh Maleakhi tentang waktu pemurnian itu? Bagaimanakah nubuat itu menjadi kenyataan? (Lihat juga nota kaki.)

31 Maleakhi menubuatkan bahawa waktu pemurnian itu tidak mudah. Dia menulis, “Siapakah yang dapat tahan pada hari Dia datang dan menampakkan diri? Dia seperti sabun yang kuat dan seperti api yang memurnikan logam.” (Mal. 3:2) Kata-kata itu memang benar! Mulai tahun 1914, pelbagai cubaan dan kesusahan telah membadai umat Tuhan secara bertalu-talu. Ketika bahang Perang Dunia Pertama semakin terasa, ramai Pelajar Bible dianiaya dengan dahsyat dan dipenjarakan. d

32. Apakah pergolakan yang berlaku dalam organisasi Tuhan selepas kematian Saudara Russell pada tahun 1916?

32 Terdapat pergolakan di dalam organisasi juga. Pada tahun 1916, ramai daripada umat Tuhan dikejutkan dengan berita kematian Saudara Russell yang hanya berusia 64 tahun. Meskipun Saudara Russell tidak mahu disanjung-sanjung, ada sesetengah pihak yang berbuat demikian, dan hal ini menjadi nyata selepas kematiannya. Ramai orang menyangka bahawa selepas kematiannya, kebenaran tidak akan disingkapkan lagi, dan ada yang menentang keras usaha organisasi untuk mara ke depan. Sikap sebegitu telah menjadi bibit kemurtadan yang memecahbelahkan organisasi.

33. Bagaimanakah harapan yang tidak kesampaian menguji umat Tuhan?

33 Umat Tuhan juga diuji apabila harapan mereka tidak kesampaian. Meskipun majalah Watch Tower menyatakan bahawa Zaman Orang Bukan Yahudi akan berakhir pada tahun 1914, saudara saudari kita masih belum memahami apa yang akan berlaku pada tahun itu. (Luk. 21:24) Mereka menyangka bahawa pada tahun 1914, Kristus akan membawa pengantin perempuannya, iaitu kaum terurap, ke syurga agar mereka dapat memerintah bersama-samanya. Harapan mereka tidak menjadi kenyataan. Pada penghujung tahun 1917, majalah The Watch Tower mengumumkan bahawa musim menuai yang panjangnya 40 tahun akan berakhir pada musim bunga tahun 1918. Namun, kerja penyebaran tidak berhenti pada tahun itu, malah terus berkembang maju. Majalah itu menunjukkan bahawa musim menuai sudah tamat tetapi kerja memungut saki-baki tuaian masih akan diteruskan. Walaupun begitu, ramai yang berhenti menyembah Yehuwa kerana berasa kecewa.

34. Apakah ujian besar yang timbul pada tahun 1918? Mengapakah para pemimpin gereja menyangka bahawa umat Tuhan sudah “mati”?

34 Satu ujian yang besar telah timbul pada tahun 1918. J. F. Rutherford, iaitu pengganti C. T. Russell yang mengambil pimpinan dalam kalangan umat Tuhan, dan tujuh orang saudara yang memikul tanggungjawab penting telah ditangkap. Mereka dijatuhkan hukuman penjara untuk tempoh masa yang panjang di penjara persekutuan yang terletak di Atlanta, Georgia, A.S. Pada masa itu, kerja umat Tuhan nampaknya terbengkalai. “Ketua-ketua” Pelajar Bible sudah dipenjarakan, ibu pejabat di Brooklyn sudah ditutup, dan kerja penyebaran menghadapi tentangan di Amerika dan Eropah. Ramai pemimpin gereja Kristian bersukacita, kerana menyangka bahawa Pelajar Bible sudah “mati” dan tidak dapat menyusahkan mereka lagi. (Why. 11:3, 7-10) Namun, mereka silap sama sekali!

Waktu Pemulihan!

35. Mengapakah Yesus mengizinkan para pengikutnya ditimpa kesusahan? Apakah yang dilakukannya untuk membantu mereka?

35 Para musuh kebenaran tidak tahu akan satu perkara: Yesus mengizinkan para pengikutnya ditimpa kesusahan, kerana Yehuwa sedang bertindak sebagai seseorang yang “membersihkan dan memurnikan perak.” (Mal. 3:3) Yehuwa dan Anak-Nya yakin bahawa orang Kristian yang setia tidak akan ditumpaskan oleh ujian yang bagaikan api. Sebaliknya, mereka akan dimurnikan, disucikan, dan dilengkapi untuk berkhidmat kepada Raja mereka. Sejak awal tahun 1919, daya aktif Tuhan telah melaksanakan perkara yang disangka mustahil oleh pihak musuh. Umat Tuhan yang setia telah bangkit semula! (Why. 11:11) Ketika itu, Kristus telah melantik “hamba yang setia dan bijaksana.” Pelantikan itu merupakan satu ciri penting dalam tanda hari-hari terakhir. Kumpulan kecil itu, yang terdiri daripada saudara-saudara terurap, akan mengambil pimpinan dalam kalangan pengikutnya dengan mengedarkan makanan rohani pada masa yang tepat.​—Mat. 24:45-47.

36. Apakah yang menunjukkan bahawa umat Tuhan telah pulih secara rohani?

36 Saudara Rutherford dan rakan-rakannya telah dibebaskan dari penjara pada 26 Mac 1919. Sebuah konvensyen telah dirancang untuk bulan September tahun itu. Mereka juga mula merancang untuk menerbitkan majalah kedua yang akan dipanggil The Golden Age. Majalah itu akan diterbitkan bersama The Watch Tower dan digunakan semasa aktiviti penyebaran. e Pada tahun yang sama, terbitan pertama Bulletin, yang kini merupakan lembaran kerja untuk perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita, telah dikeluarkan. Sejak mula lagi, bahan bacaan tersebut telah memberi kesan yang positif kepada kerja penyebaran. Mulai tahun 1919, kerja penyebaran dari rumah ke rumah semakin ditekankan.

37. Berikutan tahun 1919, bagaimanakah sesetengah orang Kristian menjadi tidak setia?

37 Kerja penyebaran terus memurnikan hamba-hamba Kristus. Memandangkan kerja itu memerlukan kerendahan hati, orang Kristian yang angkuh enggan menceburi kerja tersebut lalu meninggalkan orang Kristian yang setia. Berikutan tahun 1919, sesetengah orang Kristian yang tidak setia begitu marah sehingga memfitnah hamba-hamba Yehuwa melalui percakapan dan bahan terbitan. Mereka bahkan berpihak kepada orang yang menganiaya hamba-hamba Tuhan.

38. Apakah yang dibuktikan melalui kejayaan dan kemenangan para pengikut Kristus di bumi?

38 Meskipun diserang, para pengikut Kristus di bumi tetap makmur dan maju secara rohani. Setiap kejayaan dan setiap kemenangan yang diraih oleh mereka sejak itu membuktikan bahawa Kerajaan Tuhan kini memerintah! Tanpa sokongan dan berkat Tuhan, yang diberi-Nya menerusi Anak-Nya dan Kerajaan Mesias, dapatkah sekumpulan manusia yang tidak sempurna meraih kemenangan demi kemenangan atas Syaitan dan sistem dunia jahat ini?​—Baca Yesaya 54:17.

Hanya beberapa bulan selepas dibebaskan, Saudara Rutherford menyampaikan sebuah ceramah yang memberangsangkan di konvensyen

39, 40. (a) Apakah ciri-ciri buku ini? (b) Apakah manfaat yang akan anda raih dengan mempelajari buku ini?

39 Dalam bab-bab yang berikut, kita akan mengkaji apa yang sudah dilakukan oleh Kerajaan Tuhan di bumi sejak kelahirannya di syurga 100 tahun yang lalu. Setiap bahagian dalam buku ini akan membincangkan satu aspek khusus tentang kerja yang dilakukan oleh Kerajaan itu di bumi. Setiap bab pula mempunyai sebuah kotak ulang kaji yang akan membantu kita mengenal pasti sama ada Kerajaan Tuhan benar-benar nyata bagi kita secara individu atau tidak. Bab-bab terakhir akan membincangkan peristiwa-peristiwa yang akan berlaku tidak lama lagi semasa Kerajaan itu datang untuk membinasakan orang jahat dan memulihkan bumi firdaus. Apakah manfaat yang akan anda raih dengan mempelajari buku ini?

40 Syaitan mahu menghakis iman anda terhadap Kerajaan Tuhan. Namun Yehuwa ingin menguatkan iman anda supaya iman itu dapat melindungi dan mengukuhkan anda. (Ef. 6:16) Maka, mohonlah bantuan Yehuwa semasa anda mengkaji buku ini. Tanyalah sendiri, “Adakah Kerajaan Tuhan nyata bagi saya?” Jika Kerajaan itu sangat nyata bagi anda sekarang, anda bukan sahaja akan menyaksikan kedatangannya, malah akan tergolong antara para penyokong Kerajaan Tuhan yang setia! Ya, pada masa itu, semua orang di bumi akan menyedari hakikat bahawa Kerajaan Tuhan memang nyata dan sedang memerintah!

a Untuk maklumat lanjut tentang Grew, Stetson, dan Storrs, sila lihat buku Jehovah’s Witnesses​—Proclaimers of God’s Kingdom, muka surat 45-46.

b Pelajar Bible tahu bahawa mereka perlu memisahkan diri daripada organisasi agama yang bersahabat dengan dunia. Namun selama bertahun-tahun, mereka menganggap seseorang yang bukan Pelajar Bible sebagai saudara Kristian selagi dia mengaku dirinya mempercayai tebusan dan membaktikan diri kepada Tuhan.

c Salah satu faktor yang menyebabkan amaran itu menjadi kurang berkesan adalah kerana amaran tersebut ditujukan terutamanya kepada kawanan kecil Kristus, iaitu 144,000 orang terurap. Sebelum tahun 1935, “kumpulan besar manusia” yang digambarkan di Wahyu 7:9, 10 disangka merujuk kepada ahli gereja Kristian yang tidak terhitung banyaknya, yang akan pergi ke syurga sebagai warga kelas kedua kerana mereka berpihak kepada Kristus pada akhirnya. Hal ini akan dibincangkan dalam Bab 5.

d Pada bulan September 1920, satu terbitan istimewa majalah The Golden Age (kini Awake!) telah menceritakan kisah-kisah penganiayaan semasa zaman perang (antaranya merangkumi sesetengah perbuatan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan) di Amerika Syarikat, England, Jerman, dan Kanada. Berpuluh-puluh tahun sebelum Perang Dunia Pertama, penganiayaan sedemikian jarang berlaku.

e Selama bertahun-tahun majalah The Watch Tower disediakan terutamanya untuk menguatkan ahli-ahli kawanan kecil secara rohani.