Satu Petrus 4:1-19
4 Memandangkan Kristus sudah menderita sebagai manusia,+ hendaklah kamu memperlengkap diri kamu dengan azam* yang sama. Hal ini demikian kerana orang yang sudah menderita sebagai manusia tidak lagi mengamalkan perbuatan berdosa.+
2 Dengan demikian, dia tidak lagi menurut keinginan manusia+ tetapi menghabiskan sisa hidupnya untuk melakukan kehendak Tuhan.+
3 Sebelum ini, sudah cukup lama kamu melakukan kehendak bangsa-bangsa.+ Kamu berkelakuan buruk tanpa rasa malu,* menurut nafsu yang tidak terkekang, minum berlebihan, berpesta liar, berpesta minum, dan menyembah berhala yang menjijikkan.+
4 Mereka berasa hairan kerana kamu tidak lagi berlari bersama mereka mengikut haluan tidak bermoral yang keji. Itulah sebabnya mereka menghina kamu.+
5 Tetapi mereka akan memberikan pertanggungjawaban kepada dia yang bersedia menghakimi orang hidup dan orang mati.+
6 Sebenarnya, itulah sebabnya berita baik diisytiharkan juga kepada orang mati.+ Dengan demikian, walaupun mereka dihakimi secara jasmani mengikut pandangan manusia, mereka dapat hidup secara rohani menurut pandangan Tuhan.
7 Tetapi akhir segala sesuatu sudah dekat. Oleh itu, hendaklah kamu berfikiran sihat+ dan sentiasa bersedia* untuk berdoa.+
8 Namun yang terpenting, kasihilah satu sama lain dengan mendalam,+ kerana kasih dapat menutup banyak dosa.+
9 Hendaklah kamu suka menyambut satu sama lain dengan ramah tanpa bersungut-sungut.+
10 Setiap orang daripada kamu sudah menerima kurnia daripada Tuhan. Maka gunakanlah kurnia itu untuk berkhidmat kepada satu sama lain sebagai hamba* yang baik, yang menerima kebaikan hati Tuhan yang unggul. Kebaikan hati itu telah dinyatakan dalam pelbagai cara.+
11 Jika seseorang berkata-kata, hendaklah dia menyampaikan perkhabaran daripada Tuhan; jika seseorang berkhidmat kepada orang lain, hendaklah dia berbuat demikian dengan bergantung pada kekuatan yang diberikan oleh Tuhan.+ Dengan itu, Tuhan dapat dimuliakan dalam segala hal+ melalui Yesus Kristus. Semoga kemuliaan dan kuasa-Nya berkekalan buat selama-lamanya. Amin.
12 Saudara-saudara yang dikasihi, apabila kamu mengalami cubaan yang bagaikan api,+ janganlah kamu terkejut seolah-olah sesuatu yang ganjil sedang berlaku terhadap kamu.
13 Sebaliknya, memandangkan kamu turut menderita bersama-sama Kristus,+ hendaklah kamu terus bergembira,+ supaya pada waktu kemuliaannya disingkapkan, kamu dapat bergembira dan melimpah dengan sukacita.+
14 Jika kamu dihina kerana nama Kristus, kamu berbahagia+ kerana kuasa suci Tuhan yang mulia ada pada kamu.
15 Namun, janganlah seorang pun antara kamu menderita kerana membunuh, atau mencuri, atau melakukan kesalahan, atau mencampuri urusan orang lain.+
16 Tetapi jika seseorang menderita kerana dia seorang Kristian, dia tidak patut berasa malu.+ Sebaliknya hendaklah dia terus memuliakan Tuhan dengan terus hidup sebagai orang Kristian.
17 Masa yang ditetapkan sudah tiba, dan penghakiman akan bermula dari rumah Tuhan.+ Jika penghakiman ini bermula dengan kita,+ apakah yang akan berlaku kepada orang yang tidak patuh kepada berita baik daripada Tuhan?+
18 “Sekiranya orang yang baik mesti bekerja keras untuk diselamatkan, apakah yang akan berlaku kepada orang yang tidak menghormati Tuhan dan orang yang berdosa?”+
19 Maka, hendaklah mereka yang menderita kerana melakukan kehendak Tuhan terus mempercayakan diri kepada Pencipta yang setia sambil berbuat baik.+
Nota Kaki
^ Atau “tekad; kecenderungan mental.”
^ Atau “berjaga-jaga.”
^ Atau “pengurus rumah tangga.”