Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 BAB 4

Yehuwa Memastikan Nama-Nya Diagungkan

Yehuwa Memastikan Nama-Nya Diagungkan

FOKUS BAB INI

Umat Tuhan mementingkan nama-Nya

1, 2. Bagaimanakah New World Translation mengagungkan nama Tuhan?

PADA pagi Selasa, 2 Disember 1947, sekumpulan saudara yang terurap dari Bethel di Brooklyn, New York, mula melakukan satu tugas yang mencabar. Selama 12 tahun, mereka telah membanting tulang untuk menyiapkan tugas itu. Setelah sekian lama, pada hari Ahad, 13 Mac 1960, kerja untuk menyediakan terjemahan Bible yang baru akhirnya selesai. Tiga bulan kemudian, pada 18 Jun 1960, Saudara Nathan Knorr telah mengumumkan pengeluaran jilid terakhir New World Translation of the Holy Scriptures semasa konvensyen di Manchester, England. “Hari ini hari yang menggembirakan bagi Saksi-Saksi Yehuwa di serata dunia!” kata Saudara Knorr. Kata-katanya itu tepat menggambarkan perasaan para hadirin. Terdapat satu ciri penting dalam terjemahan itu yang membawa sukacita: Nama peribadi Tuhan digunakan secara kerap.

New World Translation of the Christian Greek Scriptures telah dikeluarkan semasa Perhimpunan Pertambahan Teokratik pada tahun 1950 (Kiri: Stadium Yankee, Bandar Raya New York; kanan: Ghana)

2 Banyak terjemahan Bible tidak menggunakan nama Tuhan. Meskipun Syaitan mencuba melenyapkan nama Tuhan, hamba-hamba Yehuwa yang terurap menentang muslihatnya. Muka surat pengenalan dalam New World Translation yang dikeluarkan pada hari itu menyatakan, “Ciri yang paling utama dalam terjemahan ini ialah pemulihan nama Tuhan ke tempat asalnya.” Dalam New World Translation, nama peribadi Tuhan, iaitu Yehuwa, telah digunakan lebih daripada 7,000 kali. Sesungguhnya, terjemahan ini telah mengagungkan nama Yehuwa, Bapa kita yang di syurga!

3. (a) Apakah yang telah dipelajari oleh saudara-saudara kita tentang makna nama Tuhan? (b) Apakah maksud sebenar Keluaran 3:13, 14? (Lihat kotak “ Erti di Sebalik Nama Tuhan.”)

3 Pada mulanya, Pelajar Bible berpendapat bahawa nama Tuhan bermaksud ‘Aku adalah Aku.’ (Kel. 3:14) Oleh itu, The Watch Tower terbitan 1 Januari 1926 menyatakan, “Nama Yehuwa menunjukkan . . . bahawa Dia tidak mempunyai permulaan dan akhir.” Namun, semasa kerja penterjemahan New World Translation bermula, Yehuwa telah  membantu umat-Nya sedar bahawa nama-Nya bukan sahaja menunjukkan bahawa Dia tidak mempunyai permulaan ataupun akhir, tetapi lebih penting lagi, Dia ialah Tuhan yang mempunyai tujuan dan akan bertindak untuk menjayakan tujuan-Nya. Mereka telah belajar bahawa nama Yehuwa secara harfiah bermaksud “Dia Menyebabkan Menjadi.” Ya, Tuhanlah yang menyebabkan alam semesta dan makhluk-makhluk lain wujud, dan Dialah yang menyebabkan kehendak dan tujuan-Nya tercapai. Tidak dapat dinafikan bahawa nama Tuhan perlu diagungkan. Namun, mengapakah hal itu begitu penting, dan bagaimanakah kita dapat melakukannya?

Penyucian Nama Tuhan

4, 5. (a) Apakah maksud permohonan “Semoga nama-Mu disucikan”? (b) Bagaimanakah dan bilakah Tuhan akan menyucikan nama-Nya?

4 Yehuwa ingin nama-Nya diagungkan. Sebenarnya, tujuan utama Tuhan adalah untuk menyucikan nama-Nya. Hal ini selaras dengan permohonan pertama dalam doa yang diajarkan oleh Yesus: “Semoga nama-Mu disucikan.” (Mat. 6:9) Apakah maksud permohonan itu?

5 Kita telah belajar di Bab 1 bahawa dalam doa yang diajarkan oleh Yesus, permohonan “Semoga nama-Mu disucikan,” merupakan satu daripada tiga permohonan yang berkaitan dengan tujuan Yehuwa. Dua permohonan yang seterusnya ialah: “Datanglah Kerajaan-Mu” dan “Semoga kehendak-Mu terlaksana.” (Mat. 6:10) Kita memohon Yehuwa untuk mengambil tindakan supaya Kerajaan-Nya datang dan kehendak-Nya terlaksana. Kita juga memohon Yehuwa untuk mengambil tindakan supaya nama-Nya disucikan. Dengan berdoa, “Semoga nama-Mu disucikan,” kita sedang memohon agar Yehuwa membersihkan segala celaan dan aib yang telah menodai nama-Nya sejak pemberontakan di Taman Eden. Adakah Yehuwa akan mengabulkan doa itu? Sudah pasti! Tuhan berfirman, “Aku [akan] menunjukkan kesucian nama-Ku yang mulia.” (Yeh. 36:23; 38:23) Apabila Yehuwa melenyapkan kejahatan semasa Armagedon, Dia akan menyucikan nama-Nya di hadapan semua ciptaan-Nya.

6. Bagaimanakah kita dapat menyumbang kepada penyucian nama Tuhan?

6 Sepanjang sejarah manusia, Yehuwa memberi hamba-hamba-Nya peluang untuk menyumbang kepada penyucian nama-Nya. Sudah tentu, kita tidak dapat menjadikan nama Tuhan lebih suci lagi, kerana nama-Nya memang kudus, atau suci, sepenuhnya. Jika begitu, bagaimanakah kita dapat menyumbang kepada penyucian nama-Nya? Yesaya menyatakan, ‘Ingatlah bahawa Yehuwa Yang Maha Kuasa adalah suci.’ Yehuwa sendiri juga berfirman bahawa  umat-Nya akan menyucikan nama-Nya, dan mereka akan ‘menghormati-Nya serta takut terhadap-Nya.’ (Yes. 8:13; 29:23) Jadi, kita menyucikan nama Tuhan dengan menjunjung nama itu sebagai nama yang istimewa dan yang lebih tinggi daripada segala nama yang lain, dengan menghormati Individu di sebalik nama itu, dan dengan membantu orang lain untuk memandang nama itu sebagai nama yang suci. Satu cara penting untuk menunjukkan bahawa kita menyanjung nama Tuhan adalah dengan mengakui Yehuwa sebagai Pemerintah kita dan mematuhi-Nya dengan sepenuh hati.​—Ams. 3:1; Why. 4:11.

Dipersiapkan untuk Menyandang dan Mengagungkan Nama Tuhan

7, 8. (a) Mengapakah umat Tuhan tidak dapat menyandang nama-Nya dengan serta-merta? (b) Apakah yang akan kita bincangkan sekarang?

7 Sejak tahun 1870-an, hamba-hamba Tuhan pada zaman moden telah menggunakan nama-Nya dalam bahan bacaan mereka. Contohnya, nama Yehuwa digunakan dalam Zion’s Watch Tower terbitan Ogos 1879 dan dalam buku nyanyian Songs of the Bride yang diterbitkan pada tahun yang sama. Meskipun demikian, nampaknya Yehuwa hendak memastikan agar umat-Nya memenuhi syarat yang tertentu sebelum Dia memberi mereka penghormatan untuk menyandang nama-Nya yang suci. Bagaimanakah Yehuwa mempersiapkan Pelajar Bible pada masa itu untuk berbuat demikian?

8 Apabila kita meninjau sejarah umat Tuhan sekitar tahun 1900, kita akan melihat bagaimana Yehuwa telah memberi mereka pemahaman yang lebih jelas tentang nama-Nya. Mari kita bincangkan tiga contoh.

9, 10. (a) Mengapakah terbitan-terbitan awal majalah Watch Tower sering menyebut tentang Yesus? (b) Apakah perubahan yang berlaku sejak tahun 1919? Apakah hasilnya? (Lihat juga kotak “ Bagaimana The Watchtower Mengagungkan Nama Tuhan.”)

9 Pertama, hamba-hamba Yehuwa telah dibantu agar mempunyai pandangan yang sewajarnya terhadap kepentingan nama Tuhan. Pelajar Bible masa awal yang setia beranggapan bahawa tebusan merupakan ajaran utama Bible. Itulah sebabnya majalah Watch Tower sering menyebut tentang Yesus. Misalnya, sepanjang tahun pertama majalah itu diterbitkan, nama Yesus digunakan sepuluh kali ganda lebih kerap daripada nama Yehuwa. The Watchtower terbitan 15 Mac 1976 menyatakan bahawa Pelajar Bible masa awal “terlalu mementingkan” Yesus. Namun, apabila masanya tiba, Yehuwa telah membantu mereka memahami bahawa Bible mengutamakan nama peribadi-Nya. Apakah reaksi Pelajar Bible? Rencana yang sama menyatakan bahawa terutamanya mulai tahun 1919, “mereka lebih memuliakan Yehuwa, Bapa kepada Mesias.” Sebenarnya, sepanjang 10 tahun selepas tahun 1919, majalah The  Watch Tower telah menyebut nama Tuhan lebih daripada 6,500 kali!

10 Dengan mengutamakan nama Yehuwa, saudara-saudara kita menunjukkan bahawa mereka mencintai nama-Nya. Seperti Musa, mereka telah berusaha ‘memuji nama Yehuwa.’ (Ul. 32:3; Mzm. 34:4) Sebagaimana yang dinyatakan dalam Bible, Yehuwa telah memperhatikan cinta mereka untuk nama-Nya, dan Dia telah memberkati mereka.​—Mzm. 119:132; Ibr. 6:10.

11, 12. (a) Apakah perubahan yang berlaku dalam bahan bacaan kita tidak lama selepas tahun 1919? (b) Yehuwa menghalakan perhatian hamba-hamba-Nya kepada apa, dan apakah sebabnya?

11 Kedua, orang Kristian sejati telah memperoleh pemahaman yang betul tentang tugas yang diberikan oleh Tuhan. Tidak lama selepas tahun 1919, saudara-saudara terurap yang mengambil pimpinan telah didorong untuk mengkaji nubuat Yesaya. Ekoran itu, fokus bahan bacaan kita telah berubah. Mengapakah perubahan itu merupakan “makanan pada masa yang sesuai”?​—Mat. 24:45.

12 Sebelum tahun 1919, majalah The Watch Tower tidak pernah membincangkan pernyataan Yesaya yang berikut secara teliti: “Kamulah saksi-Ku; Aku [Yehuwa] memilih kamu menjadi hamba-Ku.” (Baca Yesaya 43:10-12.) Namun, tidak lama selepas tahun 1919, bahan bacaan kita mula memberikan perhatian pada ayat-ayat itu. Semua orang Kristian terurap digalakkan untuk menyertai kerja memberikan kesaksian tentang Yehuwa, kerana itulah kerja yang telah diamanahkan oleh-Nya kepada mereka. Sebenarnya, dari tahun 1925 hingga tahun 1931, Yesaya bab 43 telah dibincangkan dalam 57 terbitan The Watch Tower, dan setiap terbitan itu telah menunjukkan bahawa kata-kata Yesaya merujuk kepada orang Kristian sejati. Jelaslah bahawa sepanjang masa itu, Yehuwa sedang menghalakan perhatian hamba-hamba-Nya kepada kerja yang harus dijalankan oleh mereka. Mengapa? Satu sebab adalah supaya mereka dapat “diuji terlebih dahulu untuk mengetahui sama ada mereka layak atau tidak.” (1 Tim. 3:10) Ya, sebelum Pelajar Bible diizinkan untuk menyandang nama Tuhan, mereka perlu membuktikan kepada Yehuwa melalui perbuatan mereka bahawa mereka memang saksi-saksi-Nya.​—Luk. 24:47, 48.

13. Bagaimanakah Firman Tuhan menyingkapkan isu terpenting yang harus diselesaikan?

13 Ketiga, umat Yehuwa memahami pentingnya penyucian nama Tuhan. Pada tahun 1920-an, mereka sedar bahawa isu terpenting yang harus diselesaikan ialah penyucian nama Tuhan. Bagaimanakah Firman Tuhan menyingkapkan hal yang mustahak itu? Fikirkanlah: Apakah sebab utama Tuhan menyelamatkan orang Israel dari Mesir? Yehuwa berfirman, “Supaya nama-Ku termasyhur  di seluruh dunia.” (Kel. 9:16) Fikirkan lagi: Mengapakah Yehuwa tidak segera memusnahkan umat Israel yang derhaka? Yehuwa berfirman, “Kerana hal itu akan menyebabkan nama-Ku dihina.” (Yeh. 20:8-10) Apakah yang telah dipelajari oleh Pelajar Bible daripada dua contoh itu dan catatan Bible yang lain?

14. (a) Apakah yang difahami oleh umat Tuhan menjelang akhir tahun 1920-an? (b) Bagaimanakah pemahaman yang lebih jelas mempengaruhi sikap Pelajar Bible terhadap kerja penyebaran? (Lihat juga kotak “ Dorongan yang Kuat untuk Menginjil.”)

14 Menjelang akhir tahun 1920-an, umat Tuhan telah memahami pentingnya kata-kata Yesaya yang dicatatkan kira-kira 2,700 tahun yang lalu. Dia mengatakan bahawa Yehuwa “memimpin umat-Nya dan mendatangkan kehormatan bagi nama-Nya.” (Yes. 63:14) Pelajar Bible memahami bahawa isu yang utama ialah penyucian nama Tuhan, bukannya penyelamatan manusia. (Yes. 37:20; Yeh. 38:23) Pada tahun 1929, buku Prophecy menyatakan, “Isu yang terpenting bagi segenap ciptaan ialah penyucian nama Yehuwa.” Pemahaman yang bertambah jelas itu telah memberi hamba-hamba Tuhan dorongan yang lebih kuat untuk memberikan kesaksian tentang Yehuwa dan menyumbang kepada penyucian nama-Nya.

15. (a) Apakah yang berlaku pada awal tahun 1930-an? (b) Selepas itu, apakah yang berlaku?

15 Pada awal tahun 1930-an, saudara saudari kita telah memperoleh pandangan yang sewajarnya terhadap kepentingan nama Tuhan, memperoleh pemahaman yang betul terhadap tugas yang diberikan oleh Tuhan, dan memahami pentingnya penyucian nama Tuhan. Selepas itu, tibalah masanya Yehuwa memberi hamba-hamba-Nya penghormatan untuk menyandang nama-Nya. Bagaimanakah Dia melakukannya? Mari kita perhatikan beberapa peristiwa dalam sejarah.

Yehuwa Memilih Sekumpulan Orang untuk Menyandang Nama-Nya

16. (a) Apakah salah satu cara utama Yehuwa mengagungkan nama-Nya? (b) Pada zaman lampau, siapakah yang mula-mula menjadi umat yang mewakili Tuhan?

16 Salah satu cara utama Yehuwa memastikan nama-Nya diagungkan adalah dengan memilih sekumpulan orang di bumi untuk menjadi umat yang menyandang nama-Nya. Mulai tahun 1513 SM, bangsa Israel menjadi umat yang mewakili Yehuwa. (Yes. 43:12) Mereka berjanji akan taat kepada Tuhan, tetapi mereka kemudiannya memungkiri janji. Maka, pada tahun 33 M, Tuhan telah mengakhiri hubungan istimewa-Nya dengan mereka. Tidak lama kemudian, Yehuwa “memperhatikan bangsa-bangsa lain untuk memilih orang daripada kalangan mereka supaya menjadi umat yang menyandang nama-Nya.” (Kis. 15:14) Umat yang baru itu kemudiannya dikenali sebagai “Israel milik Tuhan,” yang dianggotai oleh para pengikut Kristus yang terurap dari pelbagai bangsa.​—Gal. 6:16.

17. Apakah rancangan licik yang berjaya dilaksanakan oleh Syaitan?

 17 Sekitar tahun 44 M, para pengikut Kristus “disebut orang Kristian seperti yang dikehendaki oleh Tuhan.” (Kis. 11:26) Pada mulanya, nama itu unik dan hanya merujuk kepada orang Kristian sejati. (1 Ptr. 4:16) Namun, seperti yang ditunjukkan dalam perumpamaan Yesus tentang gandum dan lalang, Syaitan berjaya melaksanakan rancangannya yang licik, iaitu dia mahu semua orang Kristian palsu juga digelar sebagai orang Kristian. Oleh itu, selama beratus-ratus tahun, tidaklah mudah untuk membezakan orang Kristian sejati daripada orang Kristian palsu. Namun, apabila “musim menuai” bermula pada tahun 1914, keadaan itu mula berubah. Malaikat-malaikat mula  mengasingkan orang Kristian palsu daripada orang Kristian sejati.​—Mat. 13:30, 39-41.

18. Bagaimanakah saudara-saudara kita sedar bahawa nama yang baru diperlukan?

18 Setelah hamba yang setia dilantik pada tahun 1919, Yehuwa membantu umat-Nya memahami kerja yang diamanahkan-Nya kepada mereka. Dalam masa yang singkat, mereka sedar bahawa kerja penyebaran dari rumah ke rumah membezakan mereka daripada semua orang Kristian yang palsu. Setelah mereka menyedari hakikat itu, mereka pun memahami bahawa gelaran “Pelajar Bible” tidak cukup untuk menunjukkan perbezaan itu. Tujuan utama mereka bukan sekadar untuk mengkaji Bible, tetapi untuk memberikan kesaksian tentang Tuhan, memuliakan nama-Nya, dan mengagungkan nama-Nya. Jadi, nama apakah yang sesuai dengan tugas mereka? Soalan itu telah dijawab pada tahun 1931.

Atur cara konvensyen, 1931

19, 20. (a) Apakah resolusi penting yang dibuat semasa konvensyen pada tahun 1931? (b) Apakah reaksi saudara saudari kita terhadap nama baru itu?

19 Pada bulan Julai 1931, kira-kira 15,000 Pelajar Bible datang ke Columbus, Ohio, A.S., untuk menghadiri konvensyen. Terdapat dua huruf, iaitu J dan W, yang dicetak pada muka depan atur cara konvensyen itu. Para hadirin tertanya-tanya, “Apakah maksudnya?” Ada yang meneka “Lihat Sahaja” (Just Watch) atau “Tunggu Sahaja” (Just Wait). Pada hari Ahad, 26 Julai, Saudara Joseph Rutherford telah menyampaikan sebuah resolusi yang mengandungi pernyataan penting berikut: “Kita ingin digelar dan dikenali sebagai saksi-saksi Yehuwa.” Para hadirin segera memahami maksud huruf-huruf itu: Saksi-Saksi Yehuwa (Jehovah’s Witnesses), nama yang dipetik berdasarkan Yesaya 43:10.

20 Resolusi itu telah disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh. Melalui siaran radio, reaksi para hadirin di Columbus bahkan kedengaran di negara-negara yang jauh! Mengenang peristiwa itu, Ernest dan Naomi Barber di Australia berkata, “Semasa tepukan di Amerika kedengaran, saudara saudari di Melbourne segera berdiri dan terus bertepuk tangan. Peristiwa itu sukar dilupakan!” *

Nama Tuhan Diagungkan di Serata Dunia

21. Bagaimanakah nama baru itu menyuntik semangat baru kepada para penyiar?

21 Setelah diberikan nama Saksi-Saksi Yehuwa yang dipetik dari Bible, hamba-hamba Tuhan disuntik dengan semangat baru untuk menyebarkan berita baik. Edward dan Jessie Grimes ialah sepasang suami isteri di Amerika Syarikat yang telah menghadiri konvensyen di Columbus pada tahun 1931. Pasangan perintis itu berkata, “Semasa kami keluar dari rumah, kami bergelar Pelajar Bible. Semasa kami pulang, kami bergelar Saksi-Saksi Yehuwa.  Kami berasa gembira kerana diberi nama yang membolehkan kami mengagungkan nama Tuhan kami.” Selepas konvensyen itu, sesetengah Saksi telah menggunakan cara baru untuk berbuat demikian. Untuk memperkenalkan diri kepada penghuni rumah, mereka menggunakan sekeping kad. Pada kad itu tertulis, “Salah seorang saksi-saksi YEHUWA yang sedang menyebarkan berita tentang Kerajaan YEHUWA, Tuhan kami.” Ya, umat Tuhan berbesar hati untuk menyandang nama Yehuwa, dan mereka tidak sabar-sabar untuk mengisytiharkan kepentingan nama itu ke merata tempat.​—Yes. 12:4.

“Semasa kami keluar dari rumah, kami bergelar Pelajar Bible. Semasa kami pulang, kami bergelar Saksi-Saksi Yehuwa”

22. Apakah yang membuktikan bahawa umat Yehuwa mempunyai identiti yang unik?

22 Banyak tahun sudah berlalu sejak Yehuwa mendorong saudara-saudara yang terurap untuk menerima nama yang istimewa itu. Sepanjang masa itu, dapatkah Syaitan mengaburkan identiti umat Tuhan, sehingga mereka kelihatan sama sahaja dengan agama lain? Sama sekali tidak! Sebaliknya, identiti kita sebagai saksi-saksi Tuhan menjadi semakin menonjol. (Baca Mikha 4:5; Maleakhi 3:18.) Sebenarnya, nama Tuhan begitu sebati dengan kita, sehingga sesiapa sahaja yang sering menggunakan nama Tuhan akan dianggap sebagai Saksi-Saksi Yehuwa. Meskipun agama-agama palsu bagaikan banjaran gunung, ibadat sejati Yehuwa bukan sahaja tidak dapat disembunyikan, malah telah menjadi gunung yang tertinggi antara segala gunung yang lain. (Yes. 2:2) Sesungguhnya, ibadat Yehuwa dan nama suci-Nya kini diagung-agungkan!

23. Apakah jaminan Yehuwa di Mazmur 121:5 yang menguatkan kita?

23 Yehuwa akan melindungi kita daripada serangan Syaitan, baik sekarang mahupun pada masa depan. Jaminan itu pasti menguatkan kita! (Mzm. 121:5) Ya, kita mempunyai sebab yang baik untuk bersetuju dengan kata-kata penulis mazmur yang berikut: ‘Berbahagialah bangsa yang mengakui Yehuwa sebagai Tuhannya; berbahagialah bangsa yang dipilih sebagai milik-Nya!’​—Mzm. 33:12.

^ per. 20 Lihat Bab 7, muka surat 81-84, untuk maklumat tentang cara organisasi kita menggunakan siaran radio pada masa itu.