Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

‘Siapakah Hamba yang Setia dan Bijaksana?’

‘Siapakah Hamba yang Setia dan Bijaksana?’

‘Siapakah hamba yang setia dan bijaksana? Dialah orang yang ditunjuk tuannya menjadi pengurus rumah tangganya.’—MAT. 24:45.

1, 2. Pada hari ini, Yesus memberikan makanan rohani kepada kita melalui siapa, dan mengapakah kita perlu mengenal pasti saluran itu?

“SUDAH banyak kali saya menerima bahan bacaan yang mengandungi maklumat yang diperlukan tepat pada masanya.” Itulah kata-kata di dalam surat seorang saudari untuk menunjukkan penghargaannya kepada saudara yang bekerja di ibu pejabat sedunia kita. Adakah anda juga berasa begitu? Ramai yang bersetuju dengan saudari ini. Adakah hal ini menghairankan? Tidak.

2 Selaku Kepala sidang, Yesus berjanji bahawa dia akan memberikan makanan rohani kepada kita tepat pada masanya. Dia berbuat demikian melalui siapa? Semasa menjelaskan tanda kehadirannya, Yesus berkata bahawa dia akan “memberikan makanan kepada hamba-hamba yang lain pada waktu yang ditentukan” melalui ‘hamba yang setia dan bijaksana.’ * (Baca Matius 24:45-47.) Pada hari-hari terakhir ini, Yesus menyalurkan makanan rohani kepada pengikutnya yang sejati melalui hamba yang setia. Oleh itu, kita perlu mengenal pasti siapa hamba yang setia ini. Kesihatan rohani dan hubungan kita dengan Yehuwa bergantung pada hamba ini.—Mat. 4:4; Yoh. 17:3.

3. Apakah penjelasan yang diberikan oleh bahan bacaan kita yang dahulu tentang perumpamaan hamba yang setia?

3 Bagaimanakah kita dapat memahami perumpamaan Yesus tentang hamba yang setia? Bahan bacaan kita yang dahulu menyatakan bahawa Yesus melantik hamba yang setia untuk mengurus hamba-hamba yang lain pada Pentakosta 33 M. Hamba yang setia merujuk kepada kaum terurap di bumi sebagai satu kumpulan pada bila-bila masa sejak 33 M. Hamba-hamba yang lain pula merujuk kepada kaum terurap sebagai individu. Pada tahun 1919, Yesus telah melantik hamba yang setia untuk mengurus semua hartanya di bumi. Tetapi selepas  membuat kajian yang teliti dan perenungan, pemahaman kita tentang hamba yang setia dan bijaksana menjadi semakin jelas. (Ams. 4:18) Tidak kira kita akan hidup di bumi atau di syurga, kita patut mengkaji perumpamaan ini.

BILAKAH NUBUAT INI DIGENAPI?

4-6. Mengapakah kita boleh menyimpulkan bahawa perumpamaan Yesus tentang hamba yang setia hanya akan digenapi selepas tahun 1914?

4 Perumpamaan tentang hamba yang setia dan bijaksana akan digenapi pada hari-hari terakhir, dan bukannya pada Pentakosta 33 M. Mari kita lihat bagaimana ayat-ayat Bible membantu kita mencapai kesimpulan ini.

5 Perumpamaan hamba yang setia adalah sebahagian daripada nubuat Yesus tentang ‘tanda bagi kehadirannya dan penghujung sistem ini.’ (Mat. 24:3, NW) Bahagian pertama nubuat ini yang tercatat di Matius 24:4-22 mempunyai dua penggenapan, iaitu pada 33 M hingga 70 M, dan pada zaman sekarang. Adakah perumpamaan tentang hamba yang setia juga mempunyai dua penggenapan? Tidak.

6 Bahagian kedua nubuat ini bermula di Matius 24:29. Yesus bertumpu pada peristiwa yang akan terjadi pada hari-hari terakhir. (Baca Matius 24:30, 44.) Berkenaan apa yang akan terjadi semasa kesengsaraan besar, Yesus berkata bahawa orang akan “melihat Anak Manusia datang di awan.” Kemudian dia menggesa mereka yang tinggal pada hari-hari terakhir untuk berjaga-jaga. Dia berkata, ‘Kamu tidak mengetahui waktunya Tuan kamu akan datang,’ dan “Anak Manusia akan datang pada saat yang tidak kamu sangka.” * Selepas itu, Yesus menceritakan perumpamaan tentang hamba yang setia. Maka kita boleh menyimpulkan bahawa kata-kata Yesus tentang hamba yang setia hanya akan digenapi selepas hari-hari terakhir bermula pada tahun 1914. Mengapakah hal ini masuk akal?

7. Apabila musim menuai bermula, apakah soalan penting yang timbul, dan mengapa?

7 Fikirlah sejenak, ‘Siapakah hamba yang setia dan bijaksana?’ Pada abad pertama tiada alasan untuk menanya soalan ini. Dalam rencana yang lepas, kita membincangkan bahawa para rasul boleh melakukan mukjizat dan memberikan kurniaan daya aktif kepada pengikut lain. Hal ini membuktikan bahawa Tuhan menyokong mereka. (Kis. 5:12) Jadi mereka tidak perlu meragui siapa yang dilantik oleh Kristus untuk mengambil pimpinan. Namun pada tahun 1914, situasinya berubah. Musim menuai bermula pada tahun itu. Masanya tiba untuk memisahkan lalang daripada gandum. (Mat. 13:36-43) Oleh itu, timbullah soalan yang penting: Memandangkan banyak orang Kristian palsu mendakwa bahawa mereka ialah pengikut Yesus, bagaimanakah gandum, iaitu orang Kristian terurap boleh dikenal pasti? Jawapannya terkandung dalam perumpamaan mengenai hamba yang setia. Sememangnya, pengikut Kristus yang terurap akan menerima makanan rohani yang secukupnya.

SIAPAKAH HAMBA YANG SETIA DAN BIJAKSANA?

8. Mengapakah hamba yang setia harus terdiri daripada orang Kristian terurap?

8 Hamba yang setia haruslah terdiri daripada kaum terurap di bumi. Mereka ialah golongan “imam-imam” yang ditugaskan untuk ‘mengisytiharkan perbuatan Tuhan yang luar biasa. Tuhan sudah memanggil mereka keluar daripada kegelapan supaya masuk ke dalam cahaya-Nya yang gemilang.’ (1 Ptr. 2:9) Maka, hanya “imam-imam” ini layak mengajarkan kebenaran kepada rakan seiman.—Mal. 2:7; Why. 12:17.

9. Adakah semua orang Kristian terurap di bumi tergolong sebagai hamba yang setia? Jelaskan.

 9 Adakah semua orang Kristian terurap di bumi tergolong sebagai hamba yang setia? Tidak. Pada hakikatnya, bukan semua orang Kristian terurap akan menyalurkan makanan rohani kepada rakan seiman di seluruh dunia. Ada di antara mereka yang berkhidmat sebagai pembantu sidang dan penatua di sidang-sidang tempatan. Mereka menyebar dari rumah ke rumah dan mengajar di sidang. Mereka juga mentaati arahan daripada ibu pejabat dengan setia. Di antara mereka juga terdapat saudari-saudari terurap yang rendah hati. Saudari-saudari ini tidak sekali-kali terfikir untuk mengajar di sidang.—1 Kor. 11:3; 14:34.

10. Siapakah sebenarnya hamba yang setia dan bijaksana?

10 Siapakah sebenarnya hamba yang setia dan bijaksana? Berdasarkan cara Yesus mengedarkan makanan melalui beberapa orang, hamba ini ialah sekumpulan kecil saudara terurap yang terlibat secara langsung untuk menyediakan dan mengedarkan makanan rohani semasa kehadiran Kristus. Sepanjang hari-hari terakhir, hamba yang setia bekerja di ibu pejabat. Mereka dikenali sebagai Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa. Walaupun hamba yang setia terdiri daripada beberapa orang, Yesus merujuk kepada mereka sebagai satu hamba sahaja. Jadi, hanya apabila Badan Pimpinan bekerjasama, barulah mereka dikatakan sebagai hamba yang setia dan bijaksana. Mereka selalu membuat keputusan bersama.

SIAPAKAH HAMBA-HAMBA YANG LAIN?

11, 12. (a) Apakah dua pelantikan yang diterima oleh hamba yang setia dan bijaksana? (b) Siapakah yang dilantik oleh Yesus sebagai hamba yang setia untuk mengurus hamba-hamba lain, dan bila?

11 Dalam perumpamaan Yesus, hamba yang setia dan bijaksana menerima dua pelantikan. Pertama, untuk mengurus hamba-hamba yang lain. Kedua, untuk mengurus semua harta benda Tuan. Memandangkan perumpamaan ini hanya digenapi pada hari-hari terakhir, kedua-dua pelantikan ini berlaku selepas Yesus menjadi raja pada tahun 1914.

12 Bilakah Yesus melantik hamba yang setia untuk mengurus hamba-hamba yang lain? Mari kita lihat apa yang berlaku apabila musim menuai bermula pada tahun 1914. Pada masa itu, banyak kumpulan yang mendakwa bahawa mereka ialah  orang Kristian. Kumpulan manakah yang dipilih oleh Yesus untuk menjadi hamba yang setia dan bijaksana? Soalan ini dijawab apabila Yesus dan Yehuwa memeriksa Rumah Rohani Tuhan, iaitu aturan untuk menyembah Tuhan, dari tahun 1914 hingga awal tahun 1919. * (Mal. 3:1) Mereka gembira apabila menemui sekumpulan kecil Pelajar Bible yang setia dan mengasihi Yehuwa serta Firman-Nya. Walaupun mereka perlu dimurnikan, mereka menerimanya dengan rendah hati. (Mal. 3:2-4) Pelajar Bible yang setia ialah orang Kristian sejati yang dilambangkan sebagai gandum. Pada tahun 1919, Yesus telah memilih beberapa saudara daripada mereka untuk menjadi hamba yang setia dan bijaksana lalu melantik mereka untuk mengurus hamba-hamba yang lain.

13. Siapakah yang tergolong sebagai hamba-hamba yang lain? Jelaskan.

13 Siapakah hamba-hamba yang lain? Mereka ialah orang yang menerima makanan rohani. Pada awal hari-hari terakhir, hamba-hamba yang lain hanya merangkumi golongan terurap. Kemudian, hamba-hamba yang lain juga merangkumi kumpulan besar domba-domba lain. Oleh itu, dua kumpulan ini membentuk “satu kawanan” di bawah pimpinan Yesus. (Yoh. 10:16) Kedua-dua kumpulan ini mendapat manfaat daripada makanan rohani yang disediakan oleh hamba yang setia dan bijaksana. Bagaimana pula dengan ahli Badan Pimpinan yang merupakan hamba yang setia dan bijaksana? Mereka juga memerlukan makanan rohani. Dengan rendah hati, mereka mengakui bahawa secara individu mereka ialah hamba-hamba yang lain sama seperti pengikut Yesus yang lain.

Tidak kira kita akan hidup di bumi atau di syurga, kita semua ialah hamba-hamba yang lain dan memerlukan makanan rohani yang disediakan tepat pada waktunya

14. (a) Apakah tugas hamba yang setia? (b) Apakah amaran yang Yesus berikan kepada hamba yang setia dan bijaksana? (Lihat kotak “Jika Hamba itu Orang yang Jahat . . .”)

14 Yesus memberikan tanggungjawab yang berat kepada hamba yang setia dan bijaksana. Pada zaman Bible, hamba yang dipercayai akan diberikan tugas sebagai pengurus rumah tangga. (Luk. 12:42) Hamba yang setia dan bijaksana juga bertanggungjawab untuk mengurus rumah tangga rohani. Hal ini termasuk mengurus harta benda, menyelia aktiviti penyebaran, perhimpunan, dan konvensyen. Mereka juga menerbitkan bahan bacaan untuk aktiviti penyebaran, pembelajaran peribadi, dan pembelajaran sidang. Hamba-hamba yang  lain bergantung pada makanan rohani yang disediakan oleh hamba yang setia dan bijaksana.

DIPERCAYAKAN DENGAN SEGALA HARTA TUAN—BILA?

15, 16. Bilakah Yesus mempercayakan segala hartanya kepada hamba yang setia?

15 Bilakah Yesus melantik hamba yang setia untuk mengurus semua hartanya? Yesus berkata, “Alangkah bahagianya hamba itu, jika dia didapati menjalankan tugas pada masa tuannya kembali [atau, datang]. Percayalah, tuan itu akan mempercayakan segala hartanya kepada hamba itu.” (Mat. 24:46, 47, ABB) Perhatikan bahawa Yesus melakukan pelantikan yang kedua apabila dia kembali dan mendapati hambanya “menjalankan tugas,” iaitu menyalurkan makanan rohani dengan setia. Jadi, selepas pelantikan yang pertama, suatu jangka masa berlalu sebelum pelantikan kedua berlaku. Untuk memahami pelantikan yang kedua, kita perlu mengetahui bila Yesus datang dan erti “segala hartanya.”

16 Bilakah Yesus datang? Jawapannya terkandung dalam ayat-ayat sebelumnya. Perkataan “datang” merujuk kepada masa Yesus datang dan menghakimi akhir sistem ini. * (Mat. 24:30, 42, 44) Maka, dalam perumpamaan hamba yang setia, Yesus “datang,” atau “kembali,” semasa kesengsaraan besar.

17. Apakah segala harta Yesus?

17 Apakah ‘segala harta’ Yesus? Dengan berkata “segala,” Yesus tidak bermaksud harta di bumi sahaja. Sebenarnya Yesus juga berkuasa ke atas syurga. Yesus berkata, “Aku telah diberikan segala kuasa di syurga dan di bumi.” (Mat. 28:18; Ef. 1:20-23) Maka, segala harta Yesus juga termasuk Kerajaan Mesias yang dimilikinya sejak tahun 1914. Dia akan berkongsi Kerajaan ini dengan golongan terurap.—Why. 11:15.

18. Mengapakah Yesus senang hati untuk melantik hamba yang setia untuk mengurus segala hartanya?

 18 Apakah kesimpulannya? Yesus akan datang sebagai hakim semasa kesengsaraan besar. Pada masa itu, dia akan mendapati hamba yang setia mengedarkan makanan rohani yang tepat pada masanya kepada hamba-hamba yang lain. Oleh itu, dia senang hati lalu mempercayakan segala hartanya kepada hamba yang setia. Maka, hamba yang setia akan dilantik buat kali kedua semasa mereka mendapat ganjaran di syurga, iaitu memerintah bersama Yesus.

19. Adakah hamba yang setia menerima ganjaran yang lebih besar di syurga berbanding kaum terurap yang lain? Jelaskan.

19 Adakah hamba yang setia menerima ganjaran yang lebih besar di syurga berbanding dengan kaum terurap yang lain? Tidak. Walaupun suatu ganjaran dijanjikan kepada kumpulan yang kecil, ganjaran itu juga boleh dikongsi dengan orang lain. Pertimbangkan kata-kata Yesus kepada 11 orang rasulnya pada malam sebelum dia mati. (Baca Lukas 22:28-30.) Yesus telah berjanji kepada sekumpulan rasul bahawa mereka akan memerintah di syurga. Namun, bertahun-tahun kemudian, Yesus berkata bahawa kesemua 144,000 orang terurap akan duduk di atas takhta dan memerintah bersamanya. (Why. 1:1; 3:21) Begitu juga, walaupun Matius 24:47 menyatakan bahawa sekumpulan kecil hamba yang setia akan dilantik untuk mengurus segala harta Yesus, kita boleh menyimpulkan bahawa kesemua 144,000 orang terurap akan menerima kuasa untuk mengurus segala harta Kristus.—Why. 20:4, 6.

Kesemua 144,000 orang terurap akan menerima kuasa untuk mengurus segala harta Kristus (Lihat perenggan 19)

20. Mengapakah Yesus melantik hamba yang setia, dan apakah tekad anda?

20 Melalui hamba yang setia dan bijaksana, Yesus sedang mengikut aturannya pada abad pertama, iaitu memberikan makanan kepada ramai melalui beberapa orang. Yesus melantik hamba yang setia untuk memastikan bahawa pengikutnya yang sejati—golongan terurap dan domba-domba lain—mendapat makanan rohani tepat pada masanya sepanjang hari-hari terakhir. Marilah kita menunjukkan penghargaan dengan terus menyokong para saudara terurap yang menjadi hamba yang setia dan bijaksana.—Ibr. 13:7, 17.

 

^ per. 2 Perenggan 2: Yesus pernah memberikan perumpamaan yang serupa di Lukas 12:42-44.

^ per. 6 Perenggan 6: “Kedatangan” Kristus (Yunani, erʹkho·mai) berbeza dengan “kehadiran” (pa·rou·siʹa) Yesus. Kehadirannya yang tidak kelihatan bermula sebelum kedatangannya untuk menghakimi bumi.

^ per. 12 Perenggan 12: Lihat rencana “Ingatlah, Aku akan Sentiasa Menyertai Kamu,” dalam terbitan ini, muka 10-12, perenggan 5-8.

^ per. 16 Perenggan 16: Lihat rencana “Bila Hal-hal Ini akan Berlaku?” dalam terbitan ini, muka 7-8, perenggan 14-18.