Satu Petrus 2:1-25
2 Oleh itu, buanglah segala kejahatan,+ penipuan, kemunafikan,* perasaan iri hati, dan semua kata hinaan, daripada diri kamu.
2 Seperti bayi yang baru lahir,+ pupuklah keinginan akan susu yang murni* yang terkandung dalam firman Tuhan, supaya dengannya kamu dapat membesar lalu mendapat penyelamatan.+
3 Hal ini demikian kerana kamu sudah merasakan* bahawa Tuan kita baik hati.
4 Dia ialah batu yang hidup, yang dibuang oleh manusia,+ tetapi dia dipilih oleh Tuhan dan berharga bagi-Nya.+ Semasa kamu datang kepadanya,
5 kamu yang merupakan batu-batu hidup sedang dibina untuk menjadi sebuah rumah rohani,+ supaya kamu menjadi imam-imam yang suci. Dengan demikian kamu dapat mempersembahkan korban rohani+ yang diperkenankan Tuhan melalui Yesus Kristus.+
6 Ada tertulis dalam Ayat-Ayat Suci, “Lihatlah! Aku meletakkan sebuah batu yang terpilih di Sion. Batu itu ialah batu penjuru utama yang berharga. Sesiapa yang menaruh iman kepadanya tidak akan kecewa* sama sekali.”+
7 Oleh itu, dia berharga bagi kamu kerana kamu percaya. Tetapi bagi mereka yang tidak percaya, “batu yang dibuang oleh para pembina bangunan+ telah menjadi batu penjuru yang utama”+
8 dan “batu sandungan dan batu yang menyebabkan orang terjatuh.”+ Mereka tersandung kerana mereka tidak mematuhi firman Tuhan. Itulah kesudahan yang menantikan mereka.
9 Tetapi kamu ialah “umat yang terpilih, imam-imam yang berkhidmat sebagai raja, bangsa yang suci,+ dan umat yang dijadikan milik Tuhan,+ supaya kamu mengisytiharkan kemuliaan”*+ Dia yang telah memanggil kamu keluar daripada kegelapan untuk masuk ke dalam cahaya-Nya yang menakjubkan.+
10 Dahulu kamu bukan umat Tuhan, tetapi sekarang kamu ialah umat Tuhan.+ Dahulu kamu tidak menerima belas kasihan, tetapi sekarang kamu menerima belas kasihan.+
11 Saudara-saudara yang dikasihi, aku menggesa kamu yang merupakan orang asing dan penduduk sementara+ supaya terus menjauhi keinginan berdosa+ yang berperang melawan kamu.+
12 Hendaklah tingkah laku kamu sentiasa baik dalam kalangan bangsa-bangsa lain.+ Dengan demikian, walaupun mereka menuduh kamu berbuat salah, mereka akan menyaksikan perbuatan kamu yang baik.+ Hasilnya, mereka akan memuliakan Tuhan pada hari Dia membuat pemeriksaan.
13 Demi Tuan, tunduklah kepada semua orang yang berkuasa,*+ baik kepada raja+ sebagai orang yang lebih tinggi kedudukannya,
14 mahupun kepada gabenor yang diutus oleh raja untuk menghukum orang yang berbuat salah dan untuk memuji orang yang berbuat baik.+
15 Hal ini demikian kerana Tuhan menghendaki kamu berbuat baik agar kamu dapat menutup mulut* orang yang tidak munasabah yang mengucapkan kata-kata bodoh.+
16 Hiduplah sebagai umat yang bebas,+ tetapi gunakanlah kebebasan kamu untuk menjadi hamba Tuhan+ dan bukannya sebagai alasan* untuk berbuat salah.+
17 Hormatilah segala macam orang,+ kasihilah semua saudara seiman,*+ takutlah akan Tuhan,+ dan hormatilah raja.+
18 Hendaklah para hamba taat dan mempunyai rasa takut yang sepatutnya terhadap tuan mereka,+ bukan hanya terhadap tuan yang baik dan munasabah, tetapi juga terhadap tuan yang susah untuk disenangkan.
19 Tuhan berasa senang hati jika seseorang tabah menanggung kesusahan* dan mengalami ketidakadilan kerana ingin mempunyai hati nurani yang bersih di hadapan Tuhan.+
20 Apakah kebaikannya jika kamu dipukul kerana kamu berdosa dan kamu tabah menanggungnya?+ Tetapi jika kamu tabah menanggung penderitaan kerana melakukan apa yang baik, hal ini menyenangkan hati Tuhan.+
21 Sebenarnya kamu dipanggil untuk menempuh haluan ini, kerana Kristus sendiri sudah menderita bagi kamu+ dan memberi kamu teladan agar kamu mengikut jejaknya dengan teliti.+
22 Dia tidak melakukan dosa,+ dan mulutnya tidak mengucapkan kata-kata dusta.+
23 Semasa dia dihina,+ dia tidak membalas dengan hinaan.+ Semasa dia menderita,+ dia tidak mengancam orang, tetapi dia mempercayakan dirinya kepada Dia yang menghakimi+ dengan adil.
24 Dengan tubuhnya sendiri, dia menanggung dosa kita+ semasa dia dipakukan pada tiang,*+ supaya kita dibebaskan daripada dosa* dan hidup untuk melakukan apa yang benar. “Melalui lukanya, kamu disembuhkan.”+
25 Dahulu kamu seperti biri-biri yang sesat,+ tetapi sekarang kamu telah kembali kepada gembala+ dan penyelia jiwa* kamu.
Nota Kaki
^ Atau “sifat bermuka dua.”
^ Atau “tidak bercampur.”
^ Atau “mengalami.”
^ Harfiah, “dimalukan.”
^ Harfiah, “kebaikan,” iaitu sifat dan perbuatan-Nya yang terpuji.
^ Atau “semua institusi manusia.”
^ Harfiah, “memberangus.”
^ Atau “penutup.”
^ Atau “kasihilah persaudaraan.”
^ Atau “kesedihan; kesakitan.”
^ Atau “pokok.”
^ Atau “supaya perbuatan dosa kita dimatikan.”
^ Atau “nyawa.”