Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Meneladani Keberanian dan Daya Penilaian Yesus

Meneladani Keberanian dan Daya Penilaian Yesus

“Meskipun kamu tidak pernah melihatnya, kamu mengasihinya. Meskipun kamu tidak melihatnya sekarang, kamu beriman kepadanya.”—1 PTR. 1:8.

1, 2. (a) Bagaimanakah kita dapat meraih kehidupan kekal? (b) Apakah yang dapat membantu kita untuk bertumpu kepada perjalanan rohani kita?

SEBAGAI orang Kristian, kehidupan kita bagaikan suatu perjalanan. Jika kita tetap setia kepada Tuhan sepanjang perjalanan ini, kita akan meraih kehidupan kekal. Yesus berkata, “Sesiapa yang bertahan sehingga akhir akan diselamatkan.” (Mat. 24:13) Ya, kita harus setia kepada Tuhan “sehingga akhir,” tidak kira akhir hayat kita atau akhir sistem dunia ini. Kita harus berhati-hati agar tidak tersimpang oleh dunia ini. (1 Yoh. 2:15-17) Jadi bagaimanakah kita dapat tetap bertumpu kepada perjalanan rohani kita?

2 Yesus telah menetapkan teladan yang sempurna dalam hal ini. Dengan mempelajari cara hidup Yesus, kita akan lebih mengenalinya. Kita juga akan terdorong untuk mengasihinya dan beriman kepadanya. (Baca 1 Petrus 1:8, 9.) Rasul Petrus berkata bahawa Yesus telah meninggalkan teladan yang sempurna supaya kita dapat menirunya. (1 Ptr. 2:21) Jika kita berbuat demikian, kita akan bertahan sehingga akhir. * Dalam rencana yang sebelumnya, kita belajar cara untuk meneladani kerendahan hati dan belas kasihan Yesus. Dalam rencana ini, kita akan belajar cara untuk meniru keberanian dan daya penilaiannya.

YESUS BERANI

3. Apakah itu keberanian, dan bagaimanakah kita dapat menjadi berani?

3 Keberanian dapat menguatkan kita semasa menghadapi kesusahan. Keberanian juga membantu kita mempertahankan apa yang benar. Kita akan tetap tenang dan setia kepada Tuhan walaupun menghadapi cubaan. Keberanian berkait dengan perasaan takut akan Tuhan, harapan, dan kasih. Mengapa? Jika kita takut akan Tuhan, kita tidak akan takut kepada manusia. (1 Sam. 11:7; Ams. 29:25) Harapan daripada Yehuwa membantu kita untuk berfokus kepada masa depan dan bukan kepada cubaan yang dialami. (Mzm. 27:14) Kasih yang sejati menggerakkan kita untuk tetap berani walaupun dianiaya. (Yoh. 15:13) Kita menjadi berani kerana percaya kepada Tuhan dan meniru teladan Anak-Nya.—Mzm. 28:7.

4. Bagaimanakah Yesus menunjukkan keberanian semasa berada di Rumah Tuhan? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

4 Semasa berumur 12 tahun, Yesus menunjukkan keberanian semasa “di dalam Rumah Tuhan . . . bersama guru-guru agama.” (Baca Lukas 2:41-47.) Para guru agama memahami Hukum Musa, tetapi mereka juga tahu adat-adat orang Yahudi. Adat-adat ini menyebabkan orang sukar mentaati Hukum Musa. Walaupun mereka berpengetahuan, Yesus tidak takut, tetapi dia “mengajukan soalan kepada mereka.” Sudah tentu soalan Yesus bukan soalan yang biasa ditanya oleh kanak-kanak. Sebaliknya, kita dapat bayangkan bahawa Yesus mengajukan soalan yang menggugah fikiran mereka. Sekiranya guru agama mencuba menanyakan soalan-soalan yang susah untuk memerangkap Yesus, mereka pasti tidak berjaya. Semua orang di sana termasuk guru agama berasa “kagum dengan daya pemahaman dan jawapannya.” Ya, Yesus dengan berani mempertahankan kebenaran Firman Tuhan!

5. Bagaimanakah Yesus menunjukkan keberanian dalam kerja penyebarannya?

5 Yesus menunjukkan keberanian dalam kerja penyebarannya. Contohnya, dia menunjukkan bahawa para guru agama menyesatkan orang dengan ajaran palsu. (Mat. 23:13-36) Yesus juga tidak membenarkan semangat dunia untuk mempengaruhinya. (Yoh. 16:33) Dia terus menginjil walaupun ditentang. (Yoh. 5:15-18; 7:14) Sebanyak dua kali, dia mengusir orang yang mencemari ibadat sejati di Rumah Tuhan.—Mat. 21:12, 13; Yoh. 2:14-17.

6. Bagaimanakah Yesus menunjukkan keberanian pada hari terakhir hidupnya di bumi?

6 Mari kita kaji keberanian Yesus pada hari terakhir hidupnya di bumi. Yesus tahu apa yang akan terjadi selepas Yudas mengkhianatinya. Semasa perayaan Paska, Yesus memberitahu Yudas: “Cepatlah lakukan apa yang hendak kamu lakukan.” (Yoh. 13:21-27) Kemudian di Taman Getsemani, Yesus dengan berani menyerahkan diri kepada para askar yang datang untuk menahannya. Walaupun dalam bahaya, Yesus melindungi para pengikutnya dengan berkata kepada para askar: “Biarlah mereka pergi.” (Yoh. 18:1-8) Apabila Majlis Agama menyoal Yesus, dia dengan berani memberitahu bahawa dia ialah Kristus, Anak Tuhan. Walaupun imam agung cuba mencari alasan untuk membunuh Yesus, dia tidak berasa takut. (Mrk. 14:60-65) Yesus tetap setia kepada Tuhan hingga akhir hayatnya di atas tiang seksaan. Semasa menghembuskan nafas terakhir, dia berkata mengenai tugasnya: “Sudah selesai!”—Yoh. 19:28-30.

MENELADANI KEBERANIAN YESUS

7. Kaum muda, apakah perasaan anda untuk dikenali sebagai Saksi-Saksi Yehuwa? Bagaimanakah anda boleh menunjukkan bahawa anda berani?

7 Bagaimanakah kita dapat meneladani Yesus? Di sekolah. Kaum muda, anda dapat menunjukkan keberanian dengan memberitahu rakan sekolah dan orang lain bahawa anda ialah Saksi-Saksi Yehuwa. Dengan demikian, anda menunjukkan bahawa anda bangga menyandang nama Yehuwa walaupun anda mungkin diejek. (Baca Mazmur 86:12.) Ada yang mungkin ingin anda percaya dalam teori evolusi. Namun anda boleh yakin bahawa apa yang diajarkan oleh Bible tentang penciptaan memang benar. Anda boleh menggunakan brosur Adakah Kehidupan Diciptakan? untuk “membela diri di hadapan setiap orang yang menuntut penjelasan tentang harapan” yang anda miliki. (1 Ptr. 3:15) Dengan demikian anda akan puas hati kerana mempertahankan kebenaran!

8. Mengapakah kita dapat menginjil dengan berani?

8 Dalam aktiviti penyebaran. Sebagai orang Kristian, kita harus ‘bercakap dengan berani dengan kuasa yang diberikan oleh Yehuwa.’ (Kis. 14:3) Mengapakah kita dapat menginjil dengan berani? Pertama, kita tahu bahawa mesej yang kita sebarkan ialah kebenaran Bible. (Yoh. 17:17) Kedua, kita ialah “rakan sekerja Tuhan,” dan Dia telah mencurahkan daya aktif-Nya untuk membantu kita. (1 Kor. 3:9; Kis. 4:31) Ketiga, oleh sebab kita mengasihi Yehuwa dan orang lain, kita ingin menyebarkan berita baik. (Mat. 22:37-39) Kita berani, dan kita tidak akan berhenti menginjil. Kita bertekad mengajarkan kebenaran kepada mereka yang telah “dibutakan” oleh pemimpin agama palsu. (2 Kor. 4:4) Oleh itu, kita akan tetap menginjil walaupun orang lain menolak mesej ini atau menganiaya kita.—1 Tes. 2:1, 2.

9. Bagaimanakah kita menunjukkan keberanian semasa menghadapi kesusahan?

9 Semasa menghadapi kesusahan. Jika kita percaya kepada Tuhan, Dia akan memberikan keberanian dan menguatkan iman kita semasa menghadapi kesusahan. Jika orang yang dikasihi meninggal, kita berasa sangat sedih, tetapi kita tidak hilang harapan. Kita yakin bahawa Tuhan akan “melegakan hati kita.” (2 Kor. 1:3, 4; 1 Tes. 4:13) Walaupun kita menderita kerana penyakit atau kecederaan, kita menolak apa sahaja rawatan yang bercanggah dengan prinsip Bible. (Kis. 15:28, 29) Semasa kita berasa murung, “hati kita mungkin menyalahkan kita.” Tetapi kita tidak putus harapan. Kita yakin bahawa Yehuwa “dekat kepada orang yang tawar hati.” *1 Yoh. 3:19, 20; Mzm. 34:19.

DAYA PENILAIAN YESUS

10. Apakah itu daya penilaian? Bagaimanakah orang Kristian dapat menunjukkan daya penilaian yang baik?

10 Daya penilaian ialah kebolehan untuk membezakan apa yang betul daripada yang salah dan kemudian membuat keputusan yang bijak. (Ibr. 5:14) Orang Kristian yang mempunyai daya penilaian ingin menguatkan hubungannya dengan Tuhan. Kata-katanya tidak menyinggung orang, tetapi menggalakkan orang. Hal ini menyenangkan hati Yehuwa. (Ams. 11:12, 13) Dia juga tidak cepat marah. (Ams. 14:29) Dia membuat keputusan yang baik dan “melakukan apa yang betul.” (Ams. 15:21) Bagaimanakah kita dapat melatih daya penilaian kita? Kita mesti belajar Bible dan menerapkan apa yang dipelajari. (Ams. 2:1-5, 10, 11) Kita juga boleh belajar daripada teladan Yesus.

11. Bagaimanakah Yesus menunjukkan daya penilaian menerusi kata-katanya?

11 Yesus menunjukkan daya penilaian menerusi kata-kata dan perbuatan. Menerusi kata-katanya. Apabila Yesus mengkhabarkan berita baik, kata-katanya mengagumkan para pendengar. (Mat. 7:28; Luk. 4:22) Dia selalu membaca atau merujuk kepada Bible. Semasa menghadapi situasi tertentu, Yesus tahu ayat Bible yang sesuai digunakan. (Mat. 4:4, 7, 10; 12:1-5; Luk. 4:16-21) Cara Yesus menjelaskan ayat Bible menyentuh hati pendengarnya. Selepas dibangkitkan, Yesus bercakap dengan dua pengikutnya sepanjang perjalanan ke Emaus. Yesus menjelaskan kepada mereka tentang hal-hal yang berkaitan dengan dirinya dalam Ayat-Ayat Suci. Kemudian mereka berkata, “Tidakkah hati kita berkobar-kobar semasa dia bercakap dan menerangkan Ayat-Ayat Suci kepada kita”?—Luk. 24:27, 32.

12, 13. Bagaimanakah Yesus menunjukkan sifat sabar dan munasabah?

12 Menerusi emosi dan sifatnya. Daya penilaian membantu Yesus untuk “bersabar.” (Ams. 16:32) Yesus juga bersifat “lemah lembut.” (Mat. 11:29) Dia tetap bersabar walaupun para pengikutnya sering berbuat salah. (Mrk. 14:34-38; Luk. 22:24-27) Dia tetap tenang walaupun dianiaya.—1 Ptr. 2:23.

13 Daya penilaian membantu Yesus untuk bersikap munasabah. Dia memahami prinsip di sebalik Hukum Musa. Hal ini mempengaruhi cara dia memperlakukan orang lain. Fikirkan contoh seorang wanita yang mempunyai “masalah pendarahan.” (Baca Markus 5:25-34.) Wanita itu berjalan di antara orang ramai dan menyentuh jubah Yesus lalu disembuhkan. Menurut Hukum Musa, wanita itu dalam keadaan najis dan tidak patut menyentuh orang lain. (Im. 15:25-27) Tetapi Yesus tidak memarahinya. Mengapa? Kerana Yesus tahu bahawa sifat ‘belas kasihan dan kesetiaan’ lebih penting daripada mentaati hukum Musa secara bulat-bulat. (Mat. 23:23) Yesus berkata, “Hai anakku! Kamu sembuh kerana kamu beriman. Pergilah dengan damai dan sembuhlah daripada penyakitmu.” Betapa baiknya teladan Yesus! Daya penilaian mendorongnya untuk menunjukkan belas kasihan.

14. Apakah kerjaya Yesus? Bagaimanakah dia bertumpu kepada kerja penyebarannya?

14 Menerusi cara hidupnya. Yesus menunjukkan daya penilaian dengan memilih aktiviti penyebaran sebagai kerjayanya. (Luk. 4:43) Dia juga membuat keputusan yang membantunya bertumpu kepada kerja itu. Contohnya, dia hidup sederhana supaya dapat menggunakan masa dan tenaganya dalam kerja penyebaran. (Luk. 9:58) Dia melatih pengikutnya supaya mereka dapat meneruskan kerja penyebaran selepas dia mati. (Luk. 10:1-12; Yoh. 14:12) Dia berjanji kepada para pengikutnya bahawa dia akan terus membantu mereka “sehingga penghujung sistem ini.”—Mat. 28:19, 20.

MENELADANI DAYA PENILAIAN YESUS

Daya penilaian membantu kita memahami keperluan orang dan memilih kata-kata dengan tepat (Lihat perenggan 15)

15. Bagaimanakah kita menunjukkan daya penilaian menerusi kata-kata kita?

15 Bagaimanakah kita meniru daya penilaian Yesus? Menerusi percakapan kita. Semasa bergaul dengan saudara saudari, kita menggunakan kata-kata yang membina, bukannya kata-kata yang menyakitkan hati. (Ef. 4:29) Semasa mengongsi berita baik, kata-kata kita harus “seperti makanan yang ditambahkan dengan garam.” Maksudnya kita harus bijak berkata-kata. (Kol. 4:6) Kita harus memahami keperluan dan minat orang supaya kita dapat memilih kata-kata yang sesuai. Dengan menggunakan kata-kata yang sopan, berita yang kita sampaikan mungkin menyentuh hati mereka. Selain itu, kita berusaha menggunakan Bible untuk menjelaskan kepercayaan kita kerana Bible jauh lebih berkuasa daripada kata-kata kita sendiri.—Ibr. 4:12.

16, 17. (a) Bagaimanakah kita menunjukkan sikap lambat naik marah dan munasabah? (b) Bagaimanakah kita boleh bertumpu kepada kerja penyebaran?

16 Menerusi emosi dan sikap kita. Daya penilaian membantu kita mengawal emosi apabila tertekan, dan juga membantu kita untuk “lambat naik marah.” (Yak. 1:19) Apabila orang menyinggung kita, kita cuba memahami mengapa mereka berkata atau bersikap seperti itu. Dengan demikian, kita akan berasa lebih senang untuk mengampuni mereka dan tidak berasa marah. (Ams. 19:11) Daya penilaian juga membantu kita bersikap munasabah. Kita sedar bahawa saudara saudari kita tidak sempurna. Mereka juga mungkin ada masalah yang tidak kita fahami sepenuhnya. Kita rela mendengar pendapat mereka. Jika boleh, kita bertolak ansur dengan mereka dan tidak memaksa mereka untuk mengikut pendapat kita.—Flp. 4:5.

17 Menerusi cara hidup kita. Menyebarkan berita baik ialah suatu peluang istimewa bagi kita. Jadi setiap keputusan kita bertumpu kepada kerja penyebaran. Kita mengutamakan Yehuwa dan hidup sederhana supaya dapat menggunakan masa dan tenaga untuk menyebarkan berita baik sebelum akhir tiba.—Mat. 6:33; 24:14.

18. Bagaimanakah kita dapat berada dalam perjalanan ke kehidupan kekal? Apakah tekad anda?

18 Kita bersukacita kerana belajar tentang sifat-sifat Yesus yang baik! Bayangkan manfaat yang diperoleh dengan mempelajari sifat-sifat Yesus yang lain. Oleh itu, bertekadlah untuk mengikut jejak Yesus. Dengan demikian, kita semakin rapat dengan Yehuwa dan terus berada dalam perjalanan yang menuju ke kehidupan kekal.

^ per. 2 Kata-kata dalam 1 Petrus 1:8, 9 ditujukan kepada mereka yang berpeluang untuk naik ke syurga. Namun, kata-kata tersebut juga boleh diterapkan oleh mereka yang berpeluang untuk hidup kekal di bumi.

^ per. 9 Contoh orang yang menunjukkan keberanian semasa menghadapi kesusahan terdapat dalam Menara Pengawal 15 Oktober 2012, muka surat 7-11; 15 Ogos 2013, muka surat 9; dan buku Kerajaan Tuhan Kini Memerintah! muka surat 155-157, perenggan 11-16.