Kisah Para Rasul 15:1-41

  • Isu sunat di Antiokhia (1, 2)

  • Isu dibawa ke Yerusalem (3-5)

  • Penatua dan rasul berkumpul (6-21)

  • Surat daripada badan pimpinan (22-29)

  • Sidang digalakkan melalui surat (30-35)

  • Paulus dan Barnabas berpisah (36-41)

15  Beberapa orang yang datang dari Yudea mula mengajar saudara-saudara di Antiokhia. Mereka berkata, “Kamu tidak dapat diselamatkan selagi kamu tidak disunat mengikut Hukum Musa.”+  Maka berlakulah perbalahan dan pertikaian yang agak besar antara Paulus dan Barnabas dengan mereka. Selepas itu, saudara-saudara mengaturkan agar Paulus, Barnabas, dan beberapa orang daripada kalangan mereka, berjumpa dengan para rasul dan penatua di Yerusalem+ mengenai pertikaian itu.  Setelah mereka ditemani oleh ahli-ahli sidang untuk sebahagian perjalanan, mereka meneruskan perjalanan melalui Fenisia dan Samaria. Di sana, mereka menceritakan secara terperinci bagaimana orang daripada bangsa-bangsa lain telah berpaling kepada Tuhan. Oleh itu, semua saudara di situ sangat bersukacita.  Apabila mereka tiba di Yerusalem, ahli-ahli sidang dan para rasul serta para penatua menyambut mereka dengan ramah, lalu mereka menceritakan perkara-perkara yang dilakukan oleh Tuhan melalui mereka.  Tetapi beberapa orang daripada golongan* Farisi yang sudah menjadi murid Yesus berdiri dan berkata, “Orang bukan Yahudi yang percaya kepada Yesus perlu disunat dan diwajibkan mematuhi Hukum Musa.”+  Maka para rasul dan para penatua berkumpul untuk membincangkan hal tersebut.  Setelah lama berbincang, Petrus berdiri dan berkata, “Saudara-saudara, kamu semua tahu bahawa sebelum ini, Tuhan telah memilih aku daripada kalangan kamu supaya melalui aku, orang daripada bangsa-bangsa lain dapat mendengar ajaran tentang berita baik lalu percaya.+  Tuhan yang mengetahui isi hati+ sudah membuktikan bahawa Dia berkenan kepada mereka dengan mengurniai mereka kuasa suci-Nya+ sebagaimana Dia memberikannya kepada kita.  Dia langsung tidak membeza-bezakan kita dengan mereka.+ Sebaliknya, Dia telah memurnikan hati mereka kerana mereka beriman.+ 10  Jadi, mengapakah kamu menguji Tuhan dengan mewajibkan murid-murid ini memikul beban berat,+ padahal kita sendiri dan nenek moyang kita pun tidak mampu memikulnya?+ 11  Kita percaya bahawa kita diselamatkan kerana kebaikan hati Tuan Yesus yang unggul.+ Mereka juga percaya akan hal yang sama.”+ 12  Setelah Petrus berkata demikian, semua orang di situ terdiam. Kemudian, semua orang mula mendengar semasa Barnabas dan Paulus menceritakan segala mukjizat dan keajaiban yang dilakukan oleh Tuhan melalui mereka dalam kalangan bangsa-bangsa lain. 13  Selepas mereka selesai bercakap, Yakobus berkata, “Saudara-saudara, dengarlah. 14  Simeon*+ telah menghuraikan bagaimana Tuhan mula memperhatikan bangsa-bangsa lain untuk memilih orang daripada kalangan mereka supaya menjadi umat yang menyandang nama-Nya.+ 15  Hal ini sesuai dengan apa yang tertulis dalam Ajaran Para Nabi: 16  ‘Selepas itu, Aku akan kembali dan membangunkan semula khemah* Daud yang sudah roboh. Reruntuhannya akan Aku bina semula dan pulihkan, 17  supaya saki-baki orang dalam kalangan mereka dapat mencari Yehuwa* dengan bersungguh-sungguh bersama dengan orang dari segala bangsa, iaitu orang yang menyandang nama-Ku. Demikianlah yang difirmankan oleh Yehuwa,* yang melakukan semua perkara ini,+ 18  iaitu perkara yang sudah diketahui sejak purbakala.’+ 19  Oleh yang demikian, menurut pandanganku, janganlah kita menyusahkan orang daripada bangsa lain yang berpaling kepada Tuhan.+ 20  Sebaliknya, kita perlu menulis surat untuk memberitahu mereka supaya menjauhi apa sahaja yang dicemari oleh berhala,+ menjauhi perbuatan seks yang tidak bermoral,*+ menjauhi daging binatang yang mati dicekik,* dan menjauhi darah.+ 21  Sejak dahulu lagi, apa yang ditulis oleh Musa telah disebarkan dari kota ke kota, kerana kitabnya dibacakan di dalam rumah ibadat setiap hari Sabat.”+ 22  Kemudian, para rasul dan penatua serta seluruh sidang membuat keputusan untuk memilih dua orang antara mereka dan mengutus mereka ke Antiokhia bersama Paulus dan Barnabas. Oleh itu, Yudas yang dipanggil Barsabas, dan Silas+ telah dipilih. Merekalah yang mengambil pimpinan dalam kalangan saudara-saudara. 23  Surat yang dikirim melalui mereka berbunyi: “Kepada saudara-saudara daripada bangsa lain di Antiokhia,+ Siria, dan Kilikia. Terimalah salam daripada para rasul dan penatua, iaitu saudara-saudara kamu. 24  Kami mendengar bahawa ada beberapa orang dari sini yang pergi kepada saudara sekalian dan mengatakan hal-hal yang menyebabkan saudara sekalian resah dan bingung,+ padahal kami tidak memberi mereka arahan untuk berkata demikian. 25  Oleh itu, kami dengan sebulat suara telah memutuskan untuk memilih dua orang dan mengutus mereka bersama Barnabas dan Paulus yang kami kasihi kepada saudara sekalian. 26  Barnabas dan Paulus telah mempertaruhkan nyawa demi nama Tuan kita, Yesus Kristus.+ 27  Kami mengutus Yudas dan Silas supaya mereka juga dapat memberitahu saudara sekalian perkara yang tertulis dalam surat ini.+ 28  Kuasa suci Tuhan+ dan kami berpendapat bahawa saudara-saudara tidak perlu dibebani dengan hal-hal lain kecuali yang mustahak sahaja, iaitu 29  menjauhi apa sahaja yang dipersembahkan kepada berhala,+ menjauhi darah,+ menjauhi daging binatang yang mati dicekik,*+ dan menjauhi perbuatan seks yang tidak bermoral.*+ Jika saudara sekalian sentiasa berwaspada dan menjauhkan diri daripada hal-hal ini, saudara-saudara akan sejahtera. Semoga saudara sekalian sihat selalu!”* 30  Maka, beberapa orang yang diutus itu bertolak ke Antiokhia. Mereka mengumpulkan semua murid Yesus di situ dan menyerahkan surat tersebut kepada mereka. 31  Setelah membaca surat yang menggalakkan itu, mereka bersukacita. 32  Yudas dan Silas, yang juga merupakan nabi, telah mengucapkan banyak kata-kata yang menggalakkan untuk meneguhkan saudara-saudara di situ.+ 33  Setelah mereka berdua menghabiskan beberapa waktu di sana, saudara-saudara di Antiokhia mengucapkan selamat jalan, lalu mereka kembali kepada orang yang mengutus mereka. 34 * —— 35  Namun, Paulus dan Barnabas terus tinggal di Antiokhia untuk mengajar orang. Di situ, mereka telah mengumumkan berita baik tentang firman Yehuwa* bersama-sama banyak orang lain. 36  Beberapa lama kemudian, Paulus berkata kepada Barnabas, “Marilah kita kembali sekarang ke setiap kota di mana kita sudah menyampaikan firman Yehuwa,* untuk melihat keadaan saudara-saudara di situ.”+ 37  Barnabas berkeras hendak membawa Yohanes, yang juga dipanggil Markus,+ 38  tetapi Paulus berpendapat bahawa mereka tidak patut membawa Yohanes, kerana dia telah meninggalkan mereka semasa di Pamfilia dan tidak menjalankan tugas bersama-sama mereka.+ 39  Maka tercetuslah pertengkaran yang sengit antara Paulus dengan Barnabas,+ lalu mereka berpisah. Barnabas membawa Markus dan belayar ke Siprus. 40  Paulus pula memilih Silas. Mereka bertolak setelah saudara-saudara berdoa supaya Yehuwa* mengurniakan kebaikan hati-Nya yang unggul kepada Paulus.+ 41  Dia menjelajah seluruh Siria dan Kilikia untuk menguatkan sidang-sidang di situ.

Nota Kaki

Atau “kumpulan agama.” Lihat Kamus.
Nama lain bagi Simon Petrus.
Atau “pondok; rumah.”
Yunani, por·neiʹa. Lihat Kamus.
Atau “yang dibunuh tanpa mengeluarkan darahnya.”
Atau “yang dibunuh tanpa mengeluarkan darahnya.”
Yunani, por·neiʹa. Lihat Kamus.
Atau “Selamat tinggal.”