Satu Tesalonika 2:1-20

  • Khidmat Paulus di Tesalonika (1-12)

  • Orang Tesalonika menerima firman Tuhan (13-16)

  • Paulus teringin sekali berjumpa dengan orang Tesalonika (17-20)

2  Saudara-saudara, kamu sendiri tentu tahu bahawa lawatan kami kepada kamu tidak sia-sia.+  Walaupun mula-mula kami telah menderita dan dihina di Filipi,+ seperti yang kamu tahu, Tuhan kita telah mengurniai kami keberanian untuk memberitahu kamu berita baik tentang-Nya,+ meskipun kami menghadapi banyak tentangan.*  Nasihat yang kami berikan tidak berdasarkan kepalsuan. Kami juga tidak berniat jahat atau menggunakan tipu daya semasa memberikan nasihat.  Sebaliknya, memandangkan Tuhan menganggap kami layak untuk diamanahkan kerja menyebarkan berita baik, kami bercakap, bukan untuk menyenangkan hati orang, tetapi untuk menyenangkan hati Tuhan, iaitu Dia yang menyelidiki hati kami.+  Sebenarnya, kamu tahu bahawa kami tidak pernah menggunakan kata-kata yang mengampu, atau berpura-pura kerana mempunyai niat yang tamak.+ Tuhan ialah saksi kami dalam hal ini!  Kami juga tidak pernah mencari kemuliaan daripada sesiapa pun, baik daripada kamu mahupun orang lain, meskipun kami boleh menjadi beban yang berat kepada kamu dari segi kewangan kerana kami ialah rasul-rasul Kristus.+  Sebaliknya, kami bersikap lemah lembut dalam kalangan kamu, sebagaimana seorang ibu menyusui dan menjaga anak-anaknya dengan penuh kasih sayang.  Oleh sebab kami begitu mengasihi kamu, kami bukan sahaja bertekad* untuk menyampaikan berita baik tentang Tuhan kepada kamu, malah kami juga bertekad untuk menyerahkan jiwa kami+ kerana kami sangat menyayangi kamu.+  Saudara-saudara, tentu kamu ingat bagaimana kami bekerja keras dan bertungkus lumus. Semasa kami menyebarkan berita baik tentang Tuhan kepada kamu, kami bekerja siang dan malam, supaya kami tidak menjadi beban yang berat dari segi kewangan kepada sesiapa pun dalam kalangan kamu.+ 10  Kamulah saksi kami, demikian juga Tuhan, bahawa kelakuan kami setia, benar, dan murni terhadap kamu yang percaya kepada Kristus. 11  Kamu tahu benar bahawa kami memperlakukan kamu sebagaimana seorang bapa+ memperlakukan anak-anaknya. Kami sentiasa menggesa kamu, melegakan hati kamu, dan menasihati kamu,+ 12  supaya kamu terus berjalan dalam cara yang menyenangkan hati Tuhan.+ Dialah yang memanggil kamu untuk memasuki Kerajaan-Nya+ dan menerima kemuliaan-Nya.+ 13  Itulah sebabnya kami juga tidak henti-henti mengucapkan syukur kepada Tuhan,+ kerana semasa kami menyampaikan perkhabaran Tuhan kepada kamu, kamu telah mendengar lalu menerimanya, bukan sebagai perkhabaran daripada manusia, tetapi sebagai perkhabaran daripada Tuhan. Perkhabaran itu benar-benar daripada Tuhan, dan sedang bekerja dalam diri kamu yang percaya kepada Kristus. 14  Saudara-saudara, kamu telah mengikut teladan sidang-sidang Tuhan di Yudea yang bersatu dengan Kristus Yesus. Sebagaimana mereka menderita di tangan orang Yahudi, kamu juga menderita di tangan orang yang sebangsa dengan kamu.+ 15  Orang Yahudi bahkan membunuh Tuan Yesus+ dan para nabi, dan mereka juga menganiaya kami.+ Selain itu, mereka tidak menyenangkan hati Tuhan dan menentang semua orang. 16  Mereka mencuba menghalang kami daripada menyebarkan berita baik kepada bangsa-bangsa lain, padahal kerja ini dapat menyelamatkan orang daripada bangsa-bangsa lain.+ Demikianlah orang Yahudi terus melakukan banyak dosa, tetapi akhirnya kemurkaan Tuhan menimpa mereka.+ 17  Namun, saudara-saudara, semasa kami terpisah daripada* kamu untuk waktu yang singkat (kamu jauh di mata, tetapi dekat di hati), kami berusaha dengan sedaya upaya agar dapat berjumpa dengan kamu, kerana kami teringin sekali berbuat demikian. 18  Itulah sebabnya kami ingin datang kepada kamu. Aku, Paulus, pernah berusaha dua kali untuk datang kepada kamu, tetapi Syaitan menghalang jalan kami. 19  Bukankah kamu yang menjadi harapan, sukacita, dan mahkota yang kami banggakan di hadapan Tuan kita, Yesus Kristus, semasa kehadirannya?+ 20  Sesungguhnya kamulah kemuliaan dan sukacita kami.

Nota Kaki

Atau mungkin, “pergelutan.”
Harfiah, “senang hati.”
Atau “terpaksa meninggalkan.”