Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 22

“Sembahlah Tuhan”

“Sembahlah Tuhan”

WAHYU 22:9

ISI UTAMA: Ulang kaji tema utama dalam buku Yehezkiel; kaitannya dengan zaman kita dan masa depan

1, 2. (a) Apakah keputusan yang harus kita buat? (b) Apakah reaksi satu malaikat semasa Yohanes bersujud kepadanya?

KITA semua harus membuat keputusan yang sangat penting, iaitu untuk memilih siapa yang akan kita sembah. Ramai orang mungkin rasa bahawa jawapannya sangat jelas: Kita hanya ingin menyembah Tuhan. Namun, kata-kata sahaja tidak memadai. Sebaliknya, kita harus menunjukkan melalui perbuatan bahawa kita sedang menyembah Tuhan Yehuwa dan bukannya Syaitan.

2 Syaitan mahu kita menyembahnya. Niatnya jelas kelihatan semasa dia menggoda Yesus. Dalam Bab 1 buku ini, Syaitan menawarkan ganjaran yang luar biasa kepada Yesus, iaitu kuasa atas semua kerajaan di bumi. Tetapi, tawarannya mempunyai syarat. Syaitan ingin Yesus ‘sujud dan menyembahnya.’ (Mat. 4:9) Namun, perhatikan sikap berbeza yang ditunjukkan oleh malaikat yang menyampaikan mesej Tuhan kepada Yohanes. (Baca Wahyu 22:8, 9.) Semasa Yohanes sujud kepada malaikat itu, malaikat itu dengan serta-merta berkata, “Jangan buat begitu!” Ya, dia langsung tidak menginginkan penyembahan. Sebaliknya, dia dengan rendah hati menjawab, “Sembahlah Tuhan.”

3. (a) Apakah tujuan buku ini diterbitkan? (b) Apakah yang akan kita bincangkan sekarang?

3 Tujuan buku ini adalah untuk meneguhkan tekad kita agar kita menyembah Yehuwa sahaja. (Ul. 10:20; Mat. 4:10) Sekarang, kita akan mengimbas kembali pengajaran tentang ibadat sejati daripada penglihatan dan nubuat Yehezkiel. Selain itu, kita akan mengkaji apa yang dinyatakan dalam Bible tentang ujian terakhir yang akan dihadapi semua manusia. Hanya mereka yang berjaya mengharungi ujian itu akan melihat ibadat sejati dipulihkan buat selamanya.

Tiga Tema yang Ditonjolkan dalam Buku Yehezkiel

4. Apakah tiga tema yang ditonjolkan dalam buku Yehezkiel?

4 Buku Yehezkiel mengandungi banyak pengajaran tentang syarat-syarat ibadat sejati. Sebagai penyembah Tuhan, kita harus (1) menyembah Yehuwa sahaja, (2) menjalankan ibadat suci dengan bersatu padu, dan (3) mengasihi orang lain. Mari kita lihat bagaimana nubuat dan penglihatan Yehezkiel menonjolkan tiga tema itu.

Tema pertama: Sembah Yehuwa sahaja

5-9. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa Dia hanya mahu kita menyembah-Nya sahaja?

5 Bab 3: * Dalam penglihatan ini, Yehuwa dikelilingi sebuah pelangi dan Dia berada di atas makhluk-makhluk roh yang perkasa. Penglihatan ini mengajar kita satu kebenaran yang asas: Hanya Tuhan Yang Maha Kuasa layak disembah.​—Yeh. 1:4, 15-28.

6 Bab 5: Alangkah pedihnya hati Yehuwa semasa melihat Rumah-Nya dicemari! Penglihatan ini menegaskan bahawa Yehuwa dapat melihat segala sesuatu, bahkan semasa umat-Nya melakukan perbuatan hina secara tersembunyi. Dia sangat membenci perbuatan yang jahat seperti penyembahan berhala, dan Dia akan menghukum orang yang tidak setia.​—Yeh. 8:1-18.

7 Bab 7: Yehezkiel telah menyampaikan mesej penghakiman kepada bangsa-bangsa yang “menghina” Israel. (Yeh. 25:6) Hal ini menunjukkan bahawa Yehuwa akan menuntut keadilan daripada orang yang menganiaya umat-Nya. Daripada hubungan bangsa Israel dengan bangsa-bangsa itu, kita juga belajar bahawa kesetiaan kepada Yehuwa harus diutamakan. Kita tidak akan sekali-kali mengabaikan piawaian Yehuwa demi menyenangkan hati saudara-mara yang tidak seiman. Kita juga tidak patut menaruh kepercayaan kepada kekayaan atau kuasa politik. Sebaliknya, kita harus tetap neutral dan setia kepada Yehuwa.

8 Bab 13 dan 14: Penglihatan tentang Rumah Tuhan yang terletak di atas sebuah gunung yang sangat tinggi menonjolkan pengajaran ini: Kita mesti hidup menurut piawaian Yehuwa yang tinggi dan mengakui bahawa Dialah Tuhan Yang Maha Tinggi.​—Yeh. 40:1–48:35.

9 Bab 15: Kerajaan Israel dan Yehuda yang digambarkan sebagai pelacur mengingatkan kita bahawa Yehuwa membenci segala jenis pelacuran rohani.​—Yeh., bab 16, 23.

Tema kedua: Menjalankan ibadat suci dengan bersatu padu

10-14. Bagaimanakah kita tahu bahawa Yehuwa ingin kita tetap suci dan menyembah-Nya dengan bersatu padu?

10 Bab 8: Yehuwa menubuatkan bahawa Dia akan melantik “seorang gembala” untuk menjaga umat-Nya. Hal ini mengajar kita pentingnya untuk bekerjasama dan bersatu padu di bawah pimpinan Yesus.​—Yeh. 34:23, 24; 37:24-28.

11 Bab 9: Nubuat Yehezkiel tentang umat Tuhan yang kembali dari Babilon mengandungi pengajaran bagi kita semua. Untuk tetap suci, umat Tuhan mesti menyingkirkan amalan serta pengaruh agama palsu, dan terus memastikan mereka tidak dicemari olehnya lagi. Selain itu, tidak kira kaum, bangsa, atau latar belakang kita, kita harus tetap bersatu kerana perpaduan kita menunjukkan bahawa kita ialah penyembah sejati.​—Yeh. 11:17, 18; 12:24; Yoh. 17:20-23.

12 Bab 10: Sekali lagi, tema perpaduan ditonjolkan dalam penglihatan tentang tulang-tulang kering yang dihidupkan semula. Sememangnya, kita mempunyai penghormatan yang istimewa untuk berkhidmat kepada Yehuwa sebagai sebuah pasukan besar yang sudah dimurnikan!​—Yeh. 37:1-14.

13 Bab 12: Nubuat tentang dua batang kayu yang digabungkan menjadi satu juga menegaskan perpaduan umat Tuhan. Kini, kaum terurap dan biri-biri lain berganding bahu untuk menyembah Yehuwa. Tidakkah hal ini menguatkan iman kita? Walaupun dunia ini berpecah belah akibat sempadan politik dan agama, umat Tuhan dapat bersatu padu kerana ikatan kasih dan kesetiaan mereka.​—Yeh. 37:15-23.

14 Bab 16: Bab ini mengupas penglihatan tentang lelaki yang membawa bekas alat tulis dan enam lelaki yang bersenjata. Apakah amarannya bagi kita? Hanya orang yang menjalankan ibadat yang suci akan ditandai dan diselamatkan semasa “kesengsaraan besar.”​—Mat. 24:21; Yeh. 9:1-11.

Tema ketiga: Mengasihi orang lain

15-18. Mengapakah kita mesti terus menunjukkan kasih, dan bagaimanakah kita dapat berbuat demikian?

15 Bab 4: Penglihatan tentang empat makhluk hidup menonjolkan sifat-sifat Yehuwa, terutamanya kasih. Apabila kita menunjukkan kasih melalui pertuturan dan perbuatan, kita membuktikan bahawa Yehuwalah Tuhan kita.​—Yeh. 1:5-14; 1 Yoh. 4:8.

16 Bab 6 dan 11: Kasih mendorong Yehuwa untuk melantik para penjaga, seperti Yehezkiel. Dia tidak ingin sesiapa pun dibinasakan semasa Dia menghukum dunia jahat ini. (2 Ptr. 3:9) Kita dapat mencerminkan kasih Tuhan dengan memainkan peranan kita untuk menyokong kerja yang dilakukan penjaga zaman moden.​—Yeh. 33:1-9.

17 Bab 17 dan 18: Yehuwa tahu bahawa kebanyakan orang tidak akan menghargai belas kasihan-Nya dan akan cuba melenyapkan umat-Nya. Apabila “Gog dari tanah Magog” menyerang, kasih akan mendorong Yehuwa untuk membela umat-Nya. Kasih juga menggerakkan kita untuk menyampaikan amaran tentang hari Yehuwa kepada sebanyak orang yang mungkin.​—Yeh. 38:1–39:20; 2 Tes. 1:6, 7.

18 Bab 19, 20, dan 21: Kasih Yehuwa diungkapkan melalui penglihatan tentang pembahagian tanah dan aliran air yang membawa kehidupan. Oleh sebab Yehuwa sanggup mengorbankan Anak-Nya, manusia dapat meraih berkat-berkat yang digambarkan dalam penglihatan itu. Ya, tebusan Yesus ialah ungkapan kasih Tuhan yang terunggul. Hasilnya, dosa kita dapat dihapuskan dan kita akan menjadi sempurna. Kita dapat menunjukkan kasih kepada orang lain dengan memberitahu mereka tentang masa depan yang indah ini.​—Yeh. 45:1-7; 47:1–48:35; Why. 21:1-4; 22:17.

Kerendahan Hati yang Mengagumkan

19. Apakah yang akan dilakukan oleh Yesus semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus?

19 Semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, Raja Yesus akan membangkitkan jutaan orang dan mengubati keperitan yang dibawa oleh musuh kita, iaitu kematian. (1 Kor. 15:26; Mrk. 5:38-42; Kis. 24:15) Selama berabad-abad, penderitaan dan kesedihan telah menjadi lumrah hidup manusia. Tetapi apabila manusia dibangkitkan generasi demi generasi, Yesus akan mengubah tangisan menjadi air mata kegembiraan dan memberi manusia peluang untuk memulakan lembaran hidup yang baharu. Yesus juga akan menggunakan nilai tebusannya untuk melenyapkan semua kesan buruk akibat penyakit, peperangan, dan kebuluran. Yang paling menakjubkan ialah dia akan mencabut akar segala penderitaan kita, iaitu dosa Adam yang telah kita warisi. (Rm. 5:18, 19) Ya, Yesus akan “menghancurkan perbuatan Iblis.” (1 Yoh. 3:8) Apakah yang akan berlaku selepas itu?

Orang yang dibangkitkan berpeluang untuk memulakan lembaran hidup yang baharu

20. Bagaimanakah Yesus dan 144,000 orang yang memerintah bersamanya menunjukkan kerendahan hati dalam cara yang mengagumkan? (Lihat gambar pada permulaan bab.)

20 Baca 1 Korintus 15:24-28. Akhirnya, tujuan asal Yehuwa akan tercapai. Manusia akan menjadi sempurna dan seluruh bumi akan menjadi Firdaus. Selepas itu, Yesus dan 144,000 orang yang memerintah bersamanya akan melakukan sesuatu yang sangat mengagumkan. Dengan rendah hati, mereka akan melepaskan kuasa yang dimiliki selama 1,000 tahun itu lalu menyerahkan Kerajaan Tuhan kepada Yehuwa. Segala berkat yang dibawa oleh Kerajaan Tuhan akan kekal buat selamanya.

Ujian yang Terakhir

21, 22. (a) Apakah keadaan di bumi pada akhir 1,000 tahun itu? (b) Mengapakah Yehuwa membebaskan Syaitan dan roh-roh jahat?

21 Kemudian, Yehuwa akan melakukan sesuatu yang menunjukkan betapa dalamnya keyakinan-Nya terhadap umat manusia. Selepas Syaitan dan roh-roh jahat dikurung selama 1,000 tahun, Yehuwa akan membebaskan mereka dari jurang yang dalam. (Baca Wahyu 20:1-3.) Pada masa itu, bumi amatlah berbeza daripada dunia lama yang jahat. Sebelum Armagedon, sebilangan besar manusia telah disesatkan oleh Syaitan. Kebencian telah menular, dan akibatnya seluruh bumi berpecah belah. (Why. 12:9) Tetapi pada akhir 1,000 tahun itu, manusia akan bersatu padu dan menyembah Yehuwa sebagai sebuah keluarga yang pengasih. Ya, kedamaian akan melimpahi bumi ini.

22 Mengapakah Yehuwa membebaskan penjahat-penjahat itu? Hal ini kerana kebanyakan orang yang hidup di bumi pada masa itu belum pernah menghadapi cubaan yang menguji kesetiaan mereka. Sejak mereka dibangkitkan, Yehuwa telah memberkati mereka dengan segala keperluan jasmani dan rohani. Mereka dapat mengenali Yehuwa buat kali pertama dan dikelilingi orang yang mengasihi dan menyembah-Nya. Maka, seperti yang dilakukan Syaitan terhadap Ayub, dia juga mungkin melontarkan tuduhan bahawa mereka menyembah Yehuwa hanya kerana berkat-berkat dan perlindungan-Nya. (Ayb. 1:9, 10) Oleh itu, sebelum Yehuwa memahat nama kita dalam kitab kehidupan buat selamanya, Dia memberi kita peluang untuk membuktikan kesetiaan kita dan mengakui-Nya sebagai Bapa dan Pemerintah Yang Berdaulat.​—Why. 20:12, 15.

23. Apakah isu yang akan dihadapi oleh setiap orang?

23 Namun, Syaitan hanya akan diberikan sedikit masa untuk menggoda manusia supaya meninggalkan Yehuwa. Apakah ujian yang akan kita hadapi? Nampaknya, setiap orang harus berdepan dengan isu seperti yang dihadapi Adam dan Hawa, iaitu memilih sama ada untuk menerima piawaian Yehuwa dan menyokong pemerintahan-Nya, atau menyebelahi Syaitan dan memberontak terhadap Tuhan.

24. Mengapakah para pemberontak pada akhir 1,000 tahun itu dipanggil Gog dan Magog?

24 Baca Wahyu 20:7-10. Para pemberontak yang menentang Yehuwa pada akhir 1,000 tahun itu dipanggil Gog dan Magog. Mengapa? Kerana mereka mempunyai persamaan dengan “Gog dari tanah Magog” yang disebutkan Yehezkiel. (Yeh. 38:2) “Gog dari tanah Magog” yang menyerang umat Tuhan semasa kesengsaraan besar terdiri daripada bangsa-bangsa yang menentang Yehuwa. Begitu juga, para pemberontak pada akhir 1,000 tahun itu digambarkan sebagai “bangsa-bangsa.” Gambaran ini menarik kerana pada masa itu, sempadan politik dan bangsa sudah dilenyapkan. Semua orang hidup bersatu padu dan diperintah oleh sebuah kerajaan, iaitu Kerajaan Tuhan. Maka, dengan menggelar para pemberontak itu sebagai Gog dan Magog dan menggambarkan mereka sebagai “bangsa-bangsa,” hal ini menunjukkan bahawa Syaitan akan berjaya menyebabkan perpecahan dalam kalangan umat Tuhan. Ketika itu, manusia yang sempurna harus memilih sama ada untuk mengikut haluan Yehuwa ataupun Syaitan.

Para pemberontak dipanggil Gog dan Magog (Lihat perenggan 24)

25, 26. Berapa ramaikah orang yang akan mengikut Syaitan? Apakah kesudahan mereka?

25 Berapa ramaikah orang yang akan mengikut Syaitan? Bible menyatakan bahawa jumlah mereka adalah “sebanyak pasir di pantai.” Namun, gambaran ini tidak semestinya bermaksud bahawa bilangannya sangat besar. Bagaimana kita tahu? Perhatikan hal ini: Yehuwa telah berjanji kepada Abraham bahawa keturunannya akan menjadi sebanyak “pasir di pantai.” (Kej. 22:17, 18) Sebenarnya, keturunan Abraham merangkumi 144,001 orang. (Gal. 3:16, 29) Walaupun angka itu nampaknya besar, angka itu kecil sahaja apabila dibandingkan dengan jumlah penduduk di bumi. Maka, walaupun terdapat sebilangan orang yang akan berpihak kepada Syaitan, jumlahnya tidaklah terlalu banyak sehingga mereka dapat mengancam dan melenyapkan umat Tuhan yang setia.

26 Apakah kesudahan para pemberontak itu? Mereka, termasuk Syaitan dan roh-roh jahat, akan dimusnahkan untuk selamanya. Contoh buruk mereka dan kesudahan yang menimpa mereka akan menjadi pengajaran bagi semua orang yang setia.​—Why. 20:10.

27-29. Apakah masa depan yang menantikan orang yang berjaya mengharungi ujian terakhir itu? (Lihat kotak “Menghadapi Ujian Terakhir.”)

27 Bagaimana pula dengan mereka yang berjaya mengharungi ujian terakhir itu? Nama mereka akan dipahat dalam “kitab kehidupan.” (Why. 20:15) Sebagai anak-anak Yehuwa yang setia, mereka akan menyembah-Nya dengan bersatu padu.

28 Cuba bayangkan kehidupan anda pada masa itu. Anda akan menikmati kerja yang bermakna dan persahabatan yang sejati. Penderitaan tidak lagi akan menimpa anda dan orang yang tersayang. Sebagai manusia yang sempurna, anda tidak lagi perlu bergantung pada korban tebusan untuk memiliki hubungan yang baik dengan Yehuwa. Yang paling penting, semua ciptaan Tuhan di syurga dan di bumi akan menjalankan ibadat sejati. Ya, ibadat sejati akhirnya dipulihkan dengan sepenuhnya!

Sebagai manusia yang sempurna, anda tidak lagi perlu bergantung pada korban tebusan untuk memiliki hubungan yang baik dengan Yehuwa (Lihat perenggan 28)

29 Apakah yang harus anda lakukan sekarang supaya anda berpeluang hidup di Firdaus? Bertekadlah untuk terus menerapkan tiga pengajaran utama ini, iaitu untuk menyembah Yehuwa sahaja, menjalankan ibadat suci dengan bersatu padu, dan mengasihi orang lain. Sekarang, mari kita lihat pengajaran terakhir yang dapat diperoleh daripada nubuat-nubuat Yehezkiel.

Betapa gembiranya kita apabila semua ciptaan di syurga dan di bumi akan menjalankan ibadat sejati dengan bersatu padu (Lihat perenggan 27-29)

“Tahu bahawa Akulah Yehuwa”

30, 31. Ungkapan orang akan “tahu bahawa Akulah Yehuwa” menandakan apa untuk (a) musuh Tuhan? (b) umat Tuhan?

30 Ungkapan orang akan “tahu bahawa Akulah Yehuwa” sering diulangi dalam buku Yehezkiel. (Yeh. 6:10; 39:28) Bagi musuh-musuh Tuhan, ungkapan ini menandakan bahawa hukuman dan pembinasaan bakal menimpa mereka. Pada masa itu, mereka bukan hanya terpaksa mengakui bahawa Yehuwa benar-benar wujud, tetapi mereka akan memahami maksud di sebalik nama-Nya, iaitu “Dia Menyebabkan Menjadi.” “Yehuwa, ketua angkatan syurga” akan menjadi “pahlawan yang perkasa” untuk melenyapkan mereka. (1 Sam. 17:45; Kel. 15:3) Namun, sudah terlambat bagi mereka untuk sedar bahawa tiada apa-apa yang dapat menghalang Yehuwa daripada melaksanakan tujuan-Nya.

31 Bagi umat Tuhan pula, ungkapan orang akan “tahu bahawa Akulah Yehuwa” menandakan bahawa kedamaian dan kehidupan kekal bakal dinikmati mereka. Yehuwa akan menjadikan kita anak-anak-Nya yang sempurna dan membantu kita mencerminkan sifat-sifat-Nya. (Kej. 1:26) Sememangnya, Dia ialah Bapa kita yang pengasih dan Gembala yang prihatin. Pada masa depan, Dia akan menjadi Raja kita yang perkasa. Tetapi, sebelum hari besar-Nya tiba, kita harus menerapkan peringatan yang disampaikan oleh Yehezkiel. Marilah kita terus membuktikan melalui kata-kata dan perbuatan bahawa kita benar-benar mengenali Yehuwa. Dengan demikian, kita tidak akan berundur ketakutan apabila angin pembinasaan dilepaskan semasa kesengsaraan besar. Sebaliknya, kita akan mengangkat kepala kita dengan berani kerana penyelamatan kita sudah dekat. (Luk. 21:28) Sementara menantikan hari itu tiba, semoga kita berusaha membantu orang mengenali dan memupuk kasih terhadap Yehuwa, satu-satunya Tuhan yang layak disembah.​—Yeh. 28:26.

^ per. 5 Nombor bab yang disebut merujuk kepada bab-bab dalam buku ini.