Yehezkiel 1:1-28
1 Pada hari kelima, bulan keempat, tahun ke-30, aku menetap di tepi Sungai Khebar+ bersama-sama orang lain yang telah dibuang negeri.+ Ketika itu langit terbuka dan aku mendapat penglihatan daripada Tuhan.
2 Pada hari kelima bulan itu, iaitu pada tahun kelima selepas Raja Yehoyakhin+ dibuang negeri,
3 Yehuwa berfirman kepada aku, Yehezkiel* anak Imam Buzi, dekat Sungai Khebar yang terletak di negeri orang Kasdim.+ Di situ, Yehuwa mencurahkan kuasa suci-Nya* ke atas aku.*+
4 Ketika aku sedang memandang, aku nampak angin badai+ bertiup dari utara. Aku juga nampak awan besar dengan sinaran api*+ yang dikelilingi cahaya yang terang. Di tengah-tengah api itu, aku nampak sesuatu seperti logam* yang bersinar-sinar.+
5 Di tengah-tengah api itu juga, kelihatan seakan-akan ada empat makhluk hidup yang menyerupai manusia.+
6 Setiap makhluk itu mempunyai empat muka dan empat sayap.+
7 Kaki semua makhluk itu lurus, dan tapak kaki mereka seperti tapak kaki anak lembu. Kaki mereka bersinar-sinar seperti tembaga yang telah digilap.+
8 Setiap makhluk itu mempunyai muka dan sayap. Mereka mempunyai tangan seperti tangan manusia di bawah keempat-empat sayap mereka.
9 Sayap mereka saling bersentuhan. Apabila mereka bergerak, mereka bergerak lurus ke hadapan tanpa memusingkan badan.+
10 Setiap makhluk itu mempunyai empat muka: Muka manusia, muka singa+ pada sebelah kanan, muka lembu+ pada sebelah kiri, dan muka+ helang.+
11 Demikianlah rupa mereka. Sayap mereka terbentang ke atas. Setiap makhluk itu mempunyai dua sayap yang saling bersentuhan, dan dua sayap yang menutupi badan masing-masing.+
12 Mereka masing-masing bergerak lurus ke hadapan tanpa memusingkan badan.+ Ke mana sahaja kuasa suci Tuhan menggerakkan mereka untuk pergi, ke sanalah mereka akan pergi.
13 Makhluk-makhluk itu kelihatan seperti bara api yang bernyala-nyala, dan terdapat sesuatu yang kelihatan seperti obor yang bernyala-nyala yang berulang-alik di antara mereka. Obor itu bernyala dengan sangat terang dan memancarkan kilat.+
14 Apabila semua makhluk itu terbang berulang-alik, pergerakan mereka seperti pancaran kilat.
15 Ketika aku memandang makhluk-makhluk hidup yang mempunyai empat muka itu, aku nampak di sisi setiap makhluk itu ada sebuah roda di atas tanah.+
16 Keempat-empat roda itu sama bentuknya dan kelihatan seperti batu krisolit yang berkilau. Binaannya seperti dua buah roda yang dipasang bersilang.
17 Roda-roda itu dapat bergerak ke empat arah tanpa perlu mengubah haluan.
18 Lingkaran roda-roda itu begitu besar dan mengagumkan. Lingkaran keempat-empat roda itu penuh dengan mata.+
19 Apabila makhluk-makhluk hidup itu bergerak, roda-roda itu pun bergerak bersama mereka. Apabila makhluk-makhluk itu terangkat dari tanah, roda-roda itu pun terangkat dari tanah.+
20 Ke mana sahaja kuasa suci Tuhan menggerakkan mereka untuk pergi, ke sanalah mereka akan pergi, dan roda-roda itu juga akan terangkat dari tanah bersama mereka, kerana kuasa suci Tuhan yang menggerakkan makhluk-makhluk hidup itu, juga ada di dalam roda-roda itu.
21 Apabila makhluk-makhluk hidup itu bergerak, roda-roda itu pun bergerak bersama mereka. Apabila mereka berhenti, roda-roda itu pun berhenti. Apabila mereka terangkat dari tanah, roda-roda itu pun terangkat dari tanah, kerana kuasa suci Tuhan yang menggerakkan mereka juga ada di dalam roda-roda itu.
22 Di atas kepala makhluk-makhluk itu, terbentang sesuatu yang menyerupai lantai. Lantai itu mengagumkan dan kelihatan seperti ais yang bersinar-sinar.+
23 Di bawah lantai itu, sayap mereka terbentang lurus dan saling bersentuhan; setiap makhluk itu mempunyai dua sayap untuk menutupi sebelah badannya, dan dua sayap lagi untuk menutupi sebelah yang lain.
24 Bunyi sayap-sayap mereka kedengaran seperti deruman air, seperti suara Yang Maha Kuasa.+ Apabila mereka bergerak, bunyinya seperti bunyi angkatan tentera. Apabila mereka berhenti bergerak, mereka akan menurunkan sayap mereka.
25 Aku mendengar suara dari lantai di atas kepala makhluk-makhluk itu. (Apabila mereka berhenti bergerak, mereka akan menurunkan sayap mereka.)
26 Di sebelah atas lantai itu, ada sesuatu yang kelihatan seperti batu nilam,+ yang menyerupai sebuah takhta.+ Aku nampak sesuatu yang kelihatan seperti manusia duduk di atas takhta itu.+
27 Dari apa yang kelihatan seperti pinggangnya sampai ke atas, aku nampak sesuatu seperti logam yang bersinar-sinar+ dan dikelilingi api. Dari pinggangnya ke bawah, aku nampak sesuatu seperti api.+ Dia dikelilingi cahaya yang terang-benderang,
28 seperti pelangi+ di awan pada hari hujan. Demikianlah kegemilangan cahaya yang bersinar di sekelilingnya. Cahaya itu kelihatan seperti kemuliaan Yehuwa.+ Ketika aku nampak semua ini, aku terus bersujud ke tanah, lalu aku mendengar suara seseorang bercakap.
Nota Kaki
^ Maksudnya “Tuhan Menguatkan.”
^ Atau “Di situ, tangan Yehuwa datang ke atas aku.”
^ Iaitu, logam campuran emas dan perak.
^ Atau “dengan kilat.”