Yehezkiel 23:1-49

  • Dua orang adik-beradik perempuan yang curang (1-49)

    • Ohola berzina dengan Assyria (5-10)

    • Oholiba berzina dengan Babilon dan Mesir (11-35)

    • Ohola dan Oholiba dihukum (36-49)

23  Yehuwa berfirman kepadaku sekali lagi,  “Anak manusia, ada dua orang wanita yang dilahirkan oleh ibu yang sama.+  Mereka menjadi pelacur di Mesir+ sejak muda lagi. Di situ, buah dada mereka diramas dan di situ jugalah mereka kehilangan keperawanan mereka.  Yang kakak bernama Ohola,* dan dia melambangkan Samaria.+ Yang adik pula bernama Oholiba,* dan dia melambangkan Yerusalem. Mereka menjadi milik-Ku dan melahirkan anak-anak bagi-Ku.  “Meskipun Ohola milik-Ku, dia menjadi seorang pelacur.+ Dengan penuh berahi, dia mengejar kekasih-kekasihnya,+ iaitu orang Assyria dari negara jiran.+  Mereka ialah para pembesar dan gabenor yang berpakaian biru; pemuda-pemuda tampan yang menunggang kuda.  Ohola melacurkan dirinya dengan semua lelaki Assyria yang terbaik, dan dia menajiskan dirinya+ dengan berhala-berhala jijik* milik kekasihnya.  Dia tidak henti-henti melacur seperti yang telah dilakukannya di Mesir kerana sejak masa mudanya, orang telah menidurinya dan mengambil keperawanannya. Dengan penuh berahi, mereka mengadakan hubungan seks dengannya.+  Maka Aku menyerahkan dia kepada kekasihnya, iaitu orang Assyria+ yang telah dikejarnya dengan penuh nafsu. 10  Mereka mendedahkan tubuhnya+ dan merampas anak-anaknya+ lalu mereka membunuhnya dengan pedang. Demikianlah mereka menjatuhkan hukuman kepadanya dan dia mendapat nama buruk dalam kalangan wanita yang lain. 11  “Walaupun adiknya Oholiba nampak apa yang telah berlaku, nafsu Oholiba bertambah kuat, malah pelacurannya lebih teruk daripada kakaknya.+ 12  Dengan penuh berahi, dia mengejar orang Assyria.+ Mereka ialah para pembesar dan gabenor yang berpakaian mewah; pemuda-pemuda tampan dari negara jiran yang menunggang kuda. 13  Aku nampak Oholiba menajiskan dirinya, dan Aku sedar bahawa dia mengikut haluan yang sama dengan kakaknya.+ 14  Tetapi pelacurannya bertambah teruk. Dia nampak gambar-gambar lelaki yang diukir pada dinding, iaitu gambar-gambar orang Kasdim yang berwarna merah. 15  Ukiran-ukiran itu menyerupai pahlawan-pahlawan gagah yang memakai tali pinggang dan serban yang berjuntai. Mereka ialah orang Babilon yang lahir di tanah Kasdim. 16  Sebaik sahaja dia nampak ukiran-ukiran itu, nafsunya semakin kuat lalu dia menghantar utusan kepada mereka di Kasdim.+ 17  Orang Babilon asyik datang ke tempat tidurnya. Mereka menodainya dan melakukan hubungan seks dengannya. Setelah dinodai, dia berpaling daripada mereka dengan rasa jijik. 18  “Oleh sebab Oholiba terus melacur dan mendedahkan tubuhnya tanpa rasa malu,+ Aku berpaling daripadanya dengan rasa jijik, seperti yang telah Aku lakukan terhadap kakaknya.+ 19  Dia makin giat melacur,+ malah dia teringat tentang masa mudanya apabila dia melacur di Mesir.+ 20  Dia seperti wanita simpanan yang berahi terhadap kekasih-kekasihnya, iaitu lelaki yang bernafsu kuat seperti keldai atau kuda jantan. 21  Hai Oholiba, engkau ingin melakukan perbuatan maksiat yang pernah engkau lakukan di Mesir.+ Di sana, orang Mesir telah memuaskan nafsumu dengan meraba-raba buah dadamu semasa engkau masih muda.+ 22  “Oleh itu, hai Oholiba, inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: ‘Engkau telah berpaling daripada kekasih-kekasihmu+ dengan jijik, tetapi Aku akan mengumpulkan mereka dari semua arah dan mereka akan melawanmu.+ 23  Ya, Aku akan membawa orang Babilon,+ semua orang Kasdim,+ orang Pekod,+ orang Soa, orang Koa, dan semua orang Assyria kepadamu. Mereka semua ialah pemuda-pemuda tampan, pembesar, gabenor, pahlawan, dan penasihat yang terpilih, yang menunggang kuda. 24  Mereka akan menyerang engkau dengan banyak kereta kuda dan angkatan tentera yang besar. Mereka akan membawa perisai besar, perisai kecil,* dan topi besi semasa mengepungmu. Aku akan membenarkan mereka untuk menghakimimu, dan mereka akan menghakimimu menurut undang-undang mereka sendiri.+ 25  Aku akan melampiaskan kemarahan-Ku terhadapmu, dan mereka akan memperlakukan engkau dengan kejam. Mereka akan memotong hidung dan telingamu, dan pendudukmu yang masih hidup pula akan dibunuh dengan pedang. Mereka akan menangkap anak-anakmu, dan orang yang terselamat pula akan dibakar dengan api.+ 26  Mereka akan menanggalkan pakaianmu+ dan merampas perhiasanmu yang indah.+ 27  Aku akan menghentikan perbuatan maksiatmu dan pelacuranmu,+ yang engkau lakukan sejak di Mesir.+ Engkau tidak akan memandang mereka lagi, dan engkau tidak akan mengingati Mesir lagi.’ 28  “Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: ‘Meskipun engkau telah berpaling daripada mereka dengan rasa jijik dan benci, sekarang Aku akan menyerahkan engkau kepada mereka.+ 29  Mereka akan membenci engkau dan memperlakukan engkau dengan buruk.+ Mereka akan mengambil segala hasil jerih payahmu lalu mendedahkan tubuhmu dan membiarkan engkau bogel. Perbuatan cabulmu, perbuatan maksiatmu, dan pelacuranmu akan didedahkan.+ 30  Semua hal ini akan menimpa engkau kerana engkau mengejar bangsa-bangsa seperti seorang pelacur,+ dan engkau menajiskan dirimu dengan berhala-berhala mereka yang menjijikkan.+ 31  Engkau mengikut jejak kakakmu,+ dan Aku akan meletakkan cawannya ke dalam tanganmu.’+ 32  “Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: ‘Engkau akan minum dari cawan kakakmu, cawan yang besar dan dalam.+Engkau akan menjadi bahan ketawa dan ejekan kerana cawan itu penuh dengan sindiran dan ejekan.+ 33  Engkau akan dipenuhi kemabukan dan kesedihan,Kerana cawan itu berisi ketakutan dan kehancuran.Ya, itulah cawan kakakmu, Samaria. 34  Engkau akan meminumnya sampai habis+ lalu menggigit-gigit pecahan tembikarnya,Dan kemudian engkau akan mengelar* buah dadamu. “Hal ini pasti akan berlaku kerana Aku telah mengatakannya,” firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat.’ 35  “Maka inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: ‘Kerana engkau telah melupakan Aku dan mengabaikan Aku sama sekali,+ engkau akan menanggung akibat perbuatan maksiatmu dan pelacuranmu.’” 36  Kemudian Yehuwa berfirman kepadaku, “Anak manusia, adakah engkau akan mengumumkan penghakiman atas Ohola dan Oholiba,+ dan mendedahkan perbuatan mereka yang menjijikkan? 37  Mereka berzina*+ dan tangan mereka berlumuran darah. Mereka bukan sekadar berzina dengan patung-patung berhala yang menjijikkan, tetapi mereka juga telah mengambil anak-anak lelaki yang dilahirkan oleh mereka untuk-Ku lalu membakar anak-anak itu di dalam api. Ya, mereka membakar anak-anak itu di dalam api* sebagai makanan untuk patung-patung berhala mereka.+ 38  Selain itu, mereka juga melakukan hal ini terhadap Aku: Mereka menajiskan tempat suci-Ku pada hari itu, dan mencemarkan hari-hari Sabat-Ku. 39  Mereka membunuh anak-anak lelaki mereka untuk dipersembahkan sebagai korban kepada berhala-berhala yang menjijikkan.+ Kemudian pada hari itu juga, mereka masuk ke tempat suci-Ku dan menajiskannya.+ Itulah apa yang dilakukan oleh mereka di dalam Rumah-Ku. 40  Mereka bahkan menghantar utusan untuk menjemput orang dari tempat yang jauh.+ Hai Oholiba, apabila orang yang dijemput itu datang, engkau mandi, memakai celak mata, dan mengenakan perhiasan pada dirimu.+ 41  Engkau duduk di atas kerusi panjang yang indah,+ di hadapan sebuah meja,+ dan engkau meletakkan minyak+ dan kemenyan+ Aku di atas meja itu. 42  Suara sekumpulan lelaki yang bersuka ria kedengaran di situ, dan dalam kalangan mereka, terdapat beberapa orang pemabuk yang datang dari padang belantara. Mereka memakaikan gelang pada tangan wanita-wanita itu, dan mengenakan mahkota yang cantik pada kepala mereka. 43  “Berkenaan wanita itu yang sudah letih kerana perzinaan, Aku berfirman, ‘Sekarang dia akan terus melacurkan diri.’ 44  Mereka pergi kepadanya berkali-kali seperti seseorang pergi kepada pelacur. Demikianlah mereka pergi kepada Ohola dan Oholiba, dua orang wanita yang melakukan maksiat itu. 45  Tetapi lelaki yang baik akan menghakimi mereka, dan mereka akan menerima hukuman yang setimpal dengan perzinaan+ dan pembunuhan+ yang telah dilakukan oleh mereka. Mereka telah berzina dan tangan mereka berlumuran dengan darah.+ 46  “Inilah firman Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat: ‘Mereka akan diserang oleh sebuah pasukan tentera. Barangan mereka akan dijarah, dan sesiapa sahaja yang nampak mereka akan menjadi takut.+ 47  Pasukan tentera itu akan merejam mereka dengan batu,+ membunuh mereka dengan pedang, membunuh anak-anak mereka,+ dan membakar rumah mereka dengan api.+ 48  Aku akan menghentikan perbuatan maksiat di negeri itu. Semua wanita akan mendapat pengajaran daripada kamu dan mereka tidak akan mengikut kamu melakukan maksiat.+ 49  Kamu akan merasai akibat daripada perbuatan maksiatmu dan akibat daripada dosa yang telah kamu lakukan dengan berhala-berhala yang menjijikkan. Demikianlah kamu pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat.’”+

Nota Kaki

Maksudnya “Khemahnya.”
Maksudnya “Khemah-Ku Di Dalamnya.”
Lihat nota kaki bagi Yeh 6:4.
Perisai ini biasanya dibawa oleh pemanah.
Harfiah, “mencabik.”
Iaitu, perzinaan rohani.
Atau “menyuruh anak-anak itu melintasi api.”