Jawapan Bible

Tuhan hanya mempunyai satu nama. Dalam bahasa Ibrani, nama-Nya dieja sebagai יהוה yang sering diterjemahkan sebagai “Yehuwa” dalam bahasa Melayu. * Melalui nabi-Nya Yesaya, Tuhan mengatakan, ‘Akulah Yehuwa, itulah nama-Ku.’ (Yesaya 42:8) Nama ini muncul kira-kira 7,000 kali dalam manuskrip kuno Bible, dan jumlah ini lebih banyak berbanding gelaran Tuhan yang lain atau nama orang lain. *

Adakah Yehuwa mempunyai nama lain?

Walaupun Bible menunjukkan bahawa Tuhan hanya mempunyai satu nama, Bible menggunakan banyak gelaran untuk menggambarkan sifat atau keperibadian Yehuwa. Berikut merupakan beberapa contoh:

Gelaran

Rujukan

Maksud

Aku adalah AKU

Keluaran 3:14

Dia dapat menjadi apa pun yang diperlukan untuk melaksanakan tujuan-Nya. Ungkapan ini juga diterjemahkan sebagai “Aku Akan Menjadi Apa Pun Yang Aku Inginkan.” (Terjemahan Dunia Baharu) Ungkapan ini menjelaskan maksud nama Tuhan, iaitu Yehuwa, yang dicatatkan di ayat seterusnya.—Keluaran 3:15.

Alfa dan Omega

Wahyu 1:8; 21:6; 22:13

Bermaksud “yang pertama dan yang terakhir” atau “yang mula dan yang akhir.” Ungkapan ini menunjukkan bahawa tiada Tuhan Yang Maha Kuasa yang lain selain daripada Yehuwa, baik pada masa dahulu mahupun masa akan datang. (Yesaya 43:10) Alfa dan Omega ialah abjad pertama dan terakhir dalam bahasa Yunani.

Allah

(Tiada)

Daripada perkataan Arab. Perkataan “Allah” ialah gelaran bagi Tuhan, dan bukannya merujuk kepada nama Tuhan. Terjemahan Bible dalam bahasa Arab dan bahasa lain menggunakan perkataan “Allah” sebagai gelaran yang merujuk kepada Tuhan.

Bapa

Matius 6:9

Pemberi hidup.

Cemburu

Keluaran 34:14, Alkitab Versi Borneo

Dia menginginkan penyembahan yang sepenuhnya. Ungkapan ini juga diterjemahkan sebagai “tidak mahu disamakan dengan apa-apa pun” dan “kamu hanya boleh menyembah Aku.”—Alkitab Berita Baik; Terjemahan Dunia Baharu.

Dia yang hidup selama-lamanya

Daniel 7:9, 13, 22

Tuhan tiada permulaan; Dia wujud buat selama-lamanya sebelum segala sesuatu diciptakan.—Mazmur 90:2.

Gembala

Mazmur 23:1

Menjaga penyembah-Nya.

Gunung Batu

Mazmur 18:2, 46, Terjemahan Dunia Baharu

Tempat berlindung dan sumber keselamatan.

Ketua angkatan syurga

Yesaya 1:9, Terjemahan Dunia Baharu; Roma 9:29

Ketua bagi malaikat-malaikat. Ungkapan ini juga boleh diterjemahkan sebagai “Tuhan alam semesta.”​—Roma 9:29, Alkitab Versi Borneo.

Pencipta

Yesaya 40:28

Dia menciptakan segala sesuatu.

Pencipta Agung

Mazmur 149:2, Terjemahan Dunia Baharu

Dia menyebabkan segala sesuatu wujud.—Wahyu 4:11.

Pendengar doa

Mazmur 65:2, Terjemahan Dunia Baharu

Dia mendengar doa setiap orang yang beriman kepada-Nya.

Pendidik Agung

Yesaya 30:20, 21, Terjemahan Dunia Baharu

Tuhan mengajar dan membimbing manusia.—Yesaya 48:17, 18.

Penebus

Yesaya 41:14, Alkitab Versi Borneo

Menebus semula umat manusia daripada dosa dan kematian melalui korban tebusan Yesus Kristus.​—Yohanes 3:16.

Penyelamat

Yesaya 45:21, Alkitab Versi Borneo

Menyelamatkan umat-Nya daripada bahaya atau kebinasaan.

Raja yang kekal

Wahyu 15:3

Pemerintahan-Nya bertahan buat selama-lamanya.

Tuan

Mazmur 135:5, nota kaki, Terjemahan Dunia Baharu

Pemilik atau tuan; Ibrani ʼA·dhohnʹ dan ʼAdho·nimʹ.

Tuhan

Kejadian 1:1

Tuhan yang berkuasa dan patut disembah. Perkataan Ibrani bagi ʼElo·himʹ adalah dalam bentuk jamak. Perkataan ini menggambarkan keagungan, keluhuran, atau kemuliaan Yehuwa.

Tuhan segala tuhan

Ulangan 10:17

Tuhan Yang Maha Agung berbeza daripada “tuhan-tuhan yang tidak bernilai” yang disembah oleh sesetengah orang.—Yesaya 2:8, Terjemahan Dunia Baharu.

Tuhan Yang Berdaulat

Kejadian 15:2, Terjemahan Dunia Baharu

Dia memiliki kekuasaan yang mutlak; Ibrani ʼAdho·naiʹ.

Tuhan yang gembira

1 Timotius 1:11

Kegembiraan dan sukacita adalah sebahagian daripada keperibadian Tuhan.—Mazmur 104:31.

Tukang Tembikar

Yesaya 64:8, Terjemahan Dunia Baharu

Sebagaimana tukang tembikar berkuasa ke atas tanah liat, Tuhan memiliki kuasa ke atas setiap individu dan bangsa.​—Roma 9:20, 21.

Yang Maha Agung

Daniel 7:18, 27, Terjemahan Dunia Baharu

Dia memiliki kedaulatan yang tertinggi.

Yang Maha Kuasa

Kejadian 17:1

Dia mempunyai kuasa yang tidak dapat ditandingi. Ungkapan Ibrani bagi ʼEl Shad·daiʹ muncul tujuh kali dalam teks asal. Ungkapan ini diterjemahkan sebagai ‘Tuhan Yang Maha Kuasa.’

Yang Maha Suci

Amsal 9:​10

Dia tidak bercela dan lebih suci (secara moral) daripada segala sesuatu yang wujud.

Yang Maha Tinggi

Mazmur 47:3

Dia memiliki kedudukan yang tertinggi.

Nama tempat dalam Kitab Ibrani

Beberapa tempat dalam Bible mengandungi nama Tuhan, namun nama ini bukan nama lain bagi Tuhan.

Nama tempat

Rujukan

Maksud

Yehuwa-nissi

Keluaran 17:15, Terjemahan Dunia Baharu

“Tiang untuk memberikan isyarat,” atau ‘Yehuwa Panjiku.’ (Nota kaki, Terjemahan Dunia Baharu; Alkitab Berita Baik) Yehuwa ialah Tuhan yang dapat memberikan bimbingan dan bantuan kepada umat-Nya.​—Keluaran 17:13-16.

Yehuwa-shalom

Hakim-Hakim 6:​23, 24, Terjemahan Dunia Baharu

“Yehuwa ialah Kesejahteraan.”

Yehuwa-yireh

Kejadian 22:13, 14, Terjemahan Dunia Baharu

“Yehuwa Menyediakan; Yehuwa Menjaga.”

Sebab-sebab kita patut mengetahui dan menggunakan nama Tuhan

  • Tuhan tentu berasa bahawa nama-Nya, iaitu Yehuwa, sangat penting kerana Dia telah menyatakannya ribuan kali dalam Bible.​—Maleakhi 1:11.

  • Yesus, Anak Tuhan, berulang kali menekankan pentingnya nama Tuhan. Contohnya, dia berdoa kepada Yehuwa, “Semoga nama-Mu disucikan.”​—Matius 6:9; Yohanes 17:6.

  • Orang yang mengetahui dan menggunakan nama Tuhan sebenarnya sedang mengambil langkah pertama untuk membina persahabatan dengan Yehuwa. (Mazmur 9:11; Maleakhi 3:16) Persahabatan itu akan membolehkan mereka mendapat manfaat daripada janji Tuhan yang berbunyi, “Oleh sebab dia mengasihi Aku, Aku akan menyelamatkan dia. Aku akan melindungi dia kerana dia mengenal nama-Ku.”​Mazmur 91:14, Terjemahan Dunia Baharu.

  • Bible mengatakan, “Di syurga dan di bumi ada yang dianggap sebagai tuhan, sebagaimana orang mengatakan bahawa ada banyak ‘tuhan’ dan banyak ‘tuan.’” (1 Korintus 8:5, 6) Namun, Bible dengan jelas memberitahu kita bahawa hanya ada satu Tuhan yang benar dan nama-Nya ialah Yehuwa.​—Kejadian 2:4, nota kaki.

^ per. 3 Sesetengah cendekiawan bahasa Ibrani sering menggunakan “Yahweh” bagi nama Tuhan.

^ per. 3 Singkatan bagi nama Tuhan iaitu “Yah,” muncul kira-kira 50 kali dalam Bible, termasuk ungkapan “Haleluya” yang bermaksud “Pujilah Yah.”—Wahyu 19:1, Alkitab Versi Borneo.