Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB DUA

Membuat Persediaan untuk Perkahwinan yang Berjaya

Membuat Persediaan untuk Perkahwinan yang Berjaya

1, 2. (a) Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa membuat persediaan amat penting? (b) Bagaimanakah kita dapat menerapkan kata-kata Yesus?

PERNAHKAH anda membina sebuah bangunan? Sebelum memasang asas, banyak persediaan diperlukan termasuk memperoleh tapak pembinaan dan mereka bentuk pelan. Tetapi sesuatu yang sangat penting harus diambil kira. Yesus berkata, “Jika seorang daripada kamu hendak membina sebuah menara, dia akan duduk dahulu lalu mengira perbelanjaannya, supaya dia tahu sama ada wangnya cukup untuk menyudahkan pekerjaan itu.”​—Lukas 14:28, ABB.

2 Begitu juga dengan usaha mendirikan sebuah rumah tangga yang bahagia. Ramai berkata, “Saya mahu kahwin,” tetapi berapa ramaikah yang mengambil kira pengorbanan yang harus dibuat? Bible menyebutkan berkat mahupun cabaran yang timbul dalam perkahwinan. (Amsal 18:22; 1 Korintus 7:28) Jadi mereka yang ingin melangkah ke alam perkahwinan harus bersikap munasabah.

3. Mengapakah Bible dapat membantu mereka yang merancang untuk berkahwin? Apakah tiga soalan yang akan kita kaji?

3 Bible dapat membantu anda. Nasihatnya tidak ketinggalan zaman dan diilhami oleh Pengasas perkahwinan, iaitu Tuhan Yehuwa. (Kejadian 2:18-25; 2 Timotius 3:16) Sekarang, kita akan kaji bagaimana prinsip-prinsip Bible membantu anda menjawab tiga soalan yang berikut: (1) Bagaimanakah saya tahu sama ada saya sudah bersedia untuk berkahwin? (2) Siapakah pasangan hidup yang sesuai bagi saya? dan (3) Bagaimanakah saya boleh memuliakan Tuhan semasa berpacaran?

SUDAHKAH ANDA BERSEDIA UNTUK BERKAHWIN?

4. Apakah kunci untuk mengekalkan perkahwinan yang bahagia? Mengapa?

4 Pembinaan sebuah bangunan mungkin menelan perbelanjaan yang besar, tetapi kos penyelenggaraan jangka panjangnya juga tinggi. Begitu juga, seseorang yang berkahwin menghadapi banyak cabaran, tetapi dia juga perlu memikirkan cara untuk memelihara hubungan yang baik dengan pasangannya. Apakah kuncinya? Komitmen. Dalam kata lain, dia mesti bertekad untuk tetap setia kepada teman hidupnya sepanjang hayat. Bible menggambarkan hubungan suami isteri dengan menyatakan, “Seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu mereka menjadi satu.” (Kejadian 2:24) Yesus Kristus berkata bahawa perbuatan cabul (perbuatan seksual yang haram di luar perkahwinan) ialah satu-satunya dasar dalam Bible yang membenarkan seseorang bercerai dan berkahwin semula. (Matius 19:9) Jika anda ingin berkahwin, ingatlah piawaian-piawaian Bible ini. Jika anda belum bersedia membuat komitmen yang serius ini, maka anda belum bersedia untuk berkahwin.​—Ulangan 23:21; Pengkhutbah 5:3, 4.

5. Mengapakah mereka yang ingin berkahwin tidak harus takut membuat komitmen?

5 Ramai orang takut akan komitmen yang serius ini. Seorang pemuda mengaku, “Apabila memikirkan bahawa kami berdua terikat bersama seumur hidup, saya rasa terkongkong dan terkurung.” Tetapi jika anda benar-benar mencintai seseorang, anda tidak akan menganggap komitmen sebagai beban. Sebaliknya, komitmen membuat pasangan yang berkahwin berasa selamat. Mereka akan mengharungi suka duka bersama dan saling memberikan sokongan setiap masa. Rasul Paulus menulis bahawa kasih sejati “tahan menghadapi segala sesuatu” dan “sentiasa bersabar.” (1 Korintus 13:4, 7) Seorang wanita berkata, “Komitmen dalam perkahwinan membantu saya berasa lebih selamat. Saya begitu lega kerana kami telah mengakui kepada diri sendiri dan dunia bahawa kami ingin hidup bersatu sepanjang hayat.”​—Pengkhutbah 4:9-12.

6. Mengapakah kaum remaja digalakkan supaya tidak terburu-buru untuk berkahwin?

6 Kita perlu bersikap matang untuk memenuhi komitmen sebegini. Maka, orang Kristian tidak digalakkan untuk berkahwin pada usia muda kerana mereka mungkin sedang bergelut dengan keinginan seksual dan tidak dapat membuat pertimbangan yang bijak. Remaja yang sedang membesar cepat berubah. Ramai yang berkahwin pada usia yang sangat muda mendapati bahawa keperluan dan hasrat sendiri serta teman mereka berubah selepas beberapa tahun sahaja. Menurut statistik, kebanyakan remaja yang berkahwin tidak bahagia dan ingin bercerai berbanding dengan mereka yang berkahwin pada usia yang lebih tua. Maka, janganlah terburu-buru untuk berkahwin. Pengalaman hidup semasa bujang akan menjadikan anda suami atau isteri yang lebih matang dan baik. Selain itu, anda dapat lebih memahami diri sendiri. Hal ini sangat penting untuk perkahwinan yang berjaya.

KENALI DIRI ANDA TERLEBIH DAHULU

7. Mengapakah mereka yang ingin berkahwin harus menilai diri sendiri terlebih dahulu?

7 Dapatkah anda menyenaraikan sifat-sifat yang anda inginkan dalam pasangan hidup anda? Ramai boleh melakukannya dengan mudah. Bagaimana pula dengan sifat-sifat anda sendiri? Dapatkah anda menyumbang kepada perkahwinan yang bahagia? Adakah anda akan menjadi suami atau isteri yang baik? Misalnya, adakah anda bersedia mengakui kesalahan dan menerima nasihat, atau adakah anda selalu membela diri ketika ditegur? Adakah anda seorang yang periang dan positif, atau selalu bermasam muka dan suka merungut? (Amsal 8:33; 15:15) Ingatlah, perkahwinan tidak akan mengubah keperibadian anda. Jika anda angkuh, mudah tersinggung, atau berfikiran negatif semasa bujang, anda tidak akan berubah selepas berkahwin. Oleh sebab kita tidak dapat menilai diri dengan baik, mintalah ibu bapa atau sahabat yang boleh dipercayai untuk memberikan pandangan mereka. Kemudian, buatlah perubahan yang perlu sebelum memikirkan soal perkahwinan.

Semasa bujang, pupuklah sifat, tabiat, dan kemahiran yang menjadikan anda pasangan yang baik

8-10. Apakah nasihat Bible yang membantu seseorang bersedia sebelum berkahwin?

8 Bible menggalakkan kita untuk mengizinkan daya aktif Tuhan membantu kita memperlihatkan sifat-sifat seperti “kasih, sukacita, kedamaian, kepanjangsabaran, kebaikan hati, kebaikan, iman, kelemahlembutan, kawalan diri.” Firman Tuhan juga menyatakan bahawa hati dan fikiran kita haruslah dibaharui seluruhnya. Kita perlu mengenakan keperibadian baru dan ‘mengamalkan hidup yang menyenangkan hati Tuhan.’ (Galatia 5:22, 23, NW; Efesus 4:23, 24, ABB) Jika anda berusaha menerapkan nasihat ini semasa bujang, anda seperti menyimpan wang di dalam bank​—anda akan menuai hasil yang baik apabila berkahwin kelak.

9 Sebagai contoh, jika anda seorang wanita, berusahalah untuk memiliki “batin yang murni,” bukannya kecantikan fizikal sahaja. (1 Petrus 3:3, 4) Kerendahan hati dan fikiran yang sihat akan memberi anda kebijaksanaan. (Amsal 4:9; 31:10, 30; 1 Timotius 2:9, 10) Jika anda seorang lelaki, belajarlah cara menghormati dan melayan wanita dengan baik. (1 Timotius 5:1, 2) Meskipun anda perlu membuat keputusan dan memikul tanggungjawab, pastikan anda bersikap rendah hati. Sikap suka mengawal orang lain hanya mengundang masalah dalam perkahwinan.​—Amsal 29:23; Mikha 6:8; Efesus 5:28, 29.

10 Memang, tidak senang bagi seseorang untuk mengubah sikapnya tetapi semua orang Kristian harus berusaha berbuat demikian. Hasilnya, anda akan menjadi suami atau isteri yang lebih baik.

PASANGAN HIDUP YANG SESUAI

11, 12. Bagaimanakah dua insan boleh mengetahui sama ada mereka serasi?

11 Adakah adat tempatan membenarkan anda memilih pasangan hidup sendiri? Jika ya, apakah yang patut anda lakukan jika anda berminat dengan seseorang yang berlawanan jantina? Mula-mula, tanyalah diri, “Adakah saya benar-benar berniat untuk berkahwin dengannya?” Seseorang yang mempermainkan perasaan orang lain dan memberikan harapan palsu amatlah kejam. (Amsal 13:12) Kemudian, tanyalah diri: “Adakah saya bersedia untuk berkahwin?” Jika anda menjawab ya kepada kedua-dua soalan ini, anda boleh mengambil langkah yang bersesuaian dengan adat tempatan. Di sesetengah negara, setelah anda memerhatikan seseorang buat suatu jangka masa, anda boleh menyampaikan hasrat untuk lebih mengenalinya. Jika dia tidak berminat, janganlah memaksanya sehingga dia berasa tidak selesa. Ingatlah, dia berhak untuk memilih. Namun jika dia berminat, anda berdua boleh mula berpacaran, iaitu melakukan aktiviti yang berfaedah bersama-sama. Kini anda berpeluang menilai sama ada dia sesuai dijadikan teman hidup. * Sekarang, apakah yang patut anda perhatikan?

12 Untuk menjawab soalan ini, cuba bayangkan sebuah piano dan sebuah gitar. Jika dilaraskan dengan betul, setiap alat ini boleh menghasilkan muzik yang indah. Tetapi apakah yang akan berlaku jika piano dan gitar ini dimainkan bersama? Bunyi kedua-dua alat ini mesti disetalakan supaya sedap didengar. Begitu juga dengan anda dan bakal teman hidup anda. Anda berdua mungkin telah berusaha untuk memperbaik keperibadian masing-masing. Tetapi sekarang anda perlu bertanya: Adakah kami berdua serasi?

13. Mengapakah berpacaran dengan orang yang tidak seiman suatu tindakan yang tidak bijak?

13 Anda berdua haruslah memiliki kepercayaan dan prinsip yang sama. Hal ini sangat penting kerana rasul Paulus menulis, “Janganlah cuba bekerjasama dengan orang yang tidak percaya kepada Kristus.” (2 Korintus 6:14; 1 Korintus 7:39) Sekiranya anda mengahwini seseorang yang tidak seiman, kemungkinan besar hal ini akan mencetuskan banyak konflik. Sebaliknya, menyembah Tuhan Yehuwa bersama adalah aspek terpenting yang menyatukan suami dan isteri. Yehuwa ingin anda bergembira dan menikmati hubungan yang sangat intim dengan teman hidup anda. Dia mahu anda menjalin ikatan kasih dengan-Nya dan teman hidup anda, seperti tiga utas tali yang dipintal menjadi satu.​—Pengkhutbah 4:12.

14, 15. Adakah menyembah Tuhan bersama satu-satunya aspek yang menyatukan suami dan isteri? Jelaskan.

14 Biarpun menyembah Tuhan bersama adalah aspek terpenting yang menyatukan anda, aspek-aspek lain juga diperlukan. Jika anda berdua ingin hidup serasi, anda haruslah memiliki matlamat yang sama. Apakah matlamat anda? Adakah anda berdua ingin mempunyai anak? Apakah keutamaan hidup anda? * (Matius 6:33) Dalam sebuah perkahwinan yang benar-benar berjaya, suami isteri ialah sahabat karib yang suka menghabiskan masa bersama-sama. (Amsal 17:17) Mereka perlu mempunyai minat yang sama. Jika tidak, adalah sukar untuk mengekalkan persahabatan, apatah lagi perkahwinan mereka. Namun, jika bakal teman hidup anda meminati aktiviti yang tidak anda gemari, contohnya bermain badminton, adakah anda berdua tidak patut berkahwin? Tidak semestinya. Barangkali anda berdua meminati perkara lain yang lebih penting. Anda juga boleh menggembirakan hati bakal teman hidup dengan turut menyertai aktiviti yang diminatinya.​—Kisah 20:35.

15 Sememangnya anda berdua boleh hidup serasi jika anda pandai menyesuaikan diri. Janganlah risau jika anda berdua tidak selalu bersependapat. Sebaliknya tanyalah diri, “Apakah yang berlaku semasa kami tidak bersetuju? Dapatkah kami berbincang dengan tenang, dan saling menghormati serta menjaga harga diri? Atau adakah perbincangan kami sering menjadi perang mulut?” (Efesus 4:29, 31) Jika anda ingin berkahwin, berhati-hati agar tidak memilih seseorang yang angkuh atau degil, tidak suka mengalah, atau sentiasa berkeras dan menggunakan helah untuk mendapatkan apa yang diingininya.

KENALI DIA DAHULU

16, 17. Apakah yang harus dipertimbangkan oleh seorang lelaki atau wanita mengenai bakal teman hidupnya?

16 Di dalam sidang Kristian, mereka yang diberikan tanggungjawab harus “diuji dahulu.” (1 Timotius 3:10) Anda boleh menggunakan prinsip yang sama. Contohnya, seorang wanita boleh bertanya, “Apakah pandangan orang lain terhadap jejaka ini? Siapakah kawan-kawannya? Adakah dia mempunyai kawalan diri? Bagaimanakah dia melayan orang yang lebih tua? Apakah latar belakang keluarganya? Bagaimanakah hubungannya dengan mereka? Apakah pandangannya terhadap wang? Adakah dia menyalahgunakan minuman beralkohol? Adakah dia cepat naik angin atau ganas? Apakah tanggungjawabnya dalam sidang? Bagaimanakah dia memenuhi tanggungjawab itu? Dapatkah saya benar-benar menghormatinya?”​—Imamat 19:32; Amsal 22:29; 31:23; Efesus 5:3-5, 33; 1 Timotius 5:8; 6:10; Titus 2:6, 7.

17 Seorang lelaki boleh bertanya, “Adakah wanita ini menghormati dan mengasihi Tuhan? Mampukah dia menguruskan rumah tangga dengan cekap? Apakah yang diharapkan oleh keluarganya daripada kami? Adakah dia bijaksana, tekun, dan berjimat cermat? Dia suka berbual tentang apa? Adakah dia benar-benar prihatin terhadap orang lain, atau suka mementingkan diri dan menjaga tepi kain orang? Bolehkah dia dipercayai? Adakah dia rela tunduk kepada prinsip kekepalaan, atau adakah dia degil, bahkan suka memberontak?”​—Amsal 31:10-31; Lukas 6:45; Efesus 5:22, 23; 1 Timotius 5:13; 1 Petrus 4:15.

18. Apakah yang harus diingati jika anda memerhatikan kelemahan kecil semasa berpacaran?

18 Ingatlah, calon teman hidup anda tidak sempurna; dia bukannya gadis atau jejaka idaman yang wujud dalam novel cinta. Setiap orang, termasuk anda berdua, mempunyai kelemahan. Maka anda perlu saling mengampuni kesilapan kecil yang dilakukan. (Roma 3:23; Yakobus 3:2) Selanjutnya, anggaplah kelemahan ini sebagai peluang untuk bertumbuh secara rohani. Contohnya, anda mungkin bertengkar semasa berpacaran. Tetapi dua insan yang saling mengasihi dan menghormati pun boleh berselisih faham. (Bandingkan Kejadian 30:2; Kisah 15:39.) Mungkinkah anda berdua perlu “mengawal diri” dan belajar untuk menyelesaikan masalah dengan lebih tenang? (Amsal 25:28) Adakah bakal teman hidup anda berusaha membaiki kelemahannya? Bagaimana pula dengan anda? Dapatkah anda mengawal diri supaya tidak mudah tersinggung? (Pengkhutbah 7:9) Dengan mempelajari cara untuk menyelesaikan masalah, anda juga belajar cara untuk berkomunikasi dengan jujur. Dan hal ini penting apabila anda berkahwin nanti.​—Kolose 3:13.

19. Apakah tindakan yang bijak jika timbulnya masalah serius semasa berpacaran?

19 Bagaimana pula jika anda nampak sesuatu yang sangat merisaukan? Jangan ketepikannya. Meskipun perasaan cinta sedang berputik di hati dan anda ingin sekali berkahwin, jangan tutup mata terhadap kesalahan yang serius. (Amsal 22:3; Pengkhutbah 2:14) Jika anda ragu-ragu tentang bakal teman hidup anda, adalah bijak untuk memutuskan hubungan dengannya. Ingatlah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.

MEMULIAKAN TUHAN SEMASA BERPACARAN

20. Bagaimanakah pasangan yang berpacaran memastikan kelakuan mereka tidak bercela?

20 Bagaimanakah anda boleh memuliakan Tuhan semasa berpacaran? Pertama, pastikan kelakuan anda tidak bercela. Di negara anda, adakah sesuai bagi pasangan yang belum berkahwin untuk berpegang tangan, bercium, atau berpeluk? Biarpun masyarakat menerimanya, kelakuan sebegini hanya dibenarkan jika anda berdua sudah pasti akan berkahwin. Berhati-hati agar kelakuan sebegini tidak menyebabkan anda terjerumus ke dalam lembah maksiat atau bahkan melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral. (Efesus 4:18, 19; bandingkan Kidung Agung 1:2; 2:6; 8:5, 9, 10.) Hati manusia memang licik. Jadi anda tidak patut berdua-duaan dalam rumah, bangunan, kenderaan, atau tempat lain agar anda tidak digoda untuk berbuat salah. (Yeremia 17:9) Dengan memastikan anda bersih secara moral, anda membuktikan bahawa anda mempunyai kawalan diri dan mendahulukan kepentingan teman anda, bukannya nafsu sendiri. Yang terpenting, anda menyenangkan hati Tuhan Yehuwa yang menghendaki hamba-hamba-Nya menghindari kenajisan dan perbuatan cabul.​—Galatia 5:19-21.

21. Jika seseorang ingin memuliakan Tuhan semasa berpacaran, apakah yang harus dibincangkan dengan temannya?

21 Kedua, jika anda ingin memuliakan Tuhan semasa berpacaran, anda perlu berkomunikasi dengan jujur. Seraya anda berdua melangkah ke alam perkahwinan, anda perlu berterus terang tentang beberapa perkara: Di manakah anda akan tinggal? Adakah anda berdua akan bekerja? Adakah anda bercadang untuk mempunyai anak? Selain itu, adalah wajar untuk memaklumkan bakal pasangan anda tentang apa sahaja yang boleh mempengaruhi perkahwinan kelak. Contohnya, anda mungkin hutang keliling pinggang, serta mempunyai kewajipan atau masalah kesihatan seperti penyakit yang serius. Seseorang yang pernah melakukan seks rambang atau menggunakan jarum dadah mungkin dijangkiti HIV (virus yang menyebabkan AIDS). Memandangkan ramai pesakit AIDS tidak menunjukkan gejala pada awalnya, tidak salah jika teman atau ibu bapa yang prihatin memintanya untuk menjalani ujian darah AIDS. Jika dia memang dijangkiti HIV, dia tidak patut memaksa temannya untuk meneruskan hubungan mereka. Pada hakikatnya, sesiapa yang pernah mengamalkan gaya hidup yang terlalu bebas harus rela menjalani ujian darah AIDS sebelum mula berpacaran.

SELEPAS HARI PERKAHWINAN

22, 23. (a) Bagaimanakah kita boleh mengurangkan tekanan semasa membuat persiapan untuk hari perkahwinan? (b) Apakah pandangan seimbang yang harus dimiliki terhadap majlis perkahwinan dan ikatan perkahwinan?

22 Seraya hari perkahwinan menjelang tiba, anda berdua tentu sibuk membuat banyak persiapan. Anda boleh mengurangkan tekanan dengan bersikap sederhana. Perkahwinan yang diadakan secara besar-besaran mungkin menyenangkan hati saudara-mara dan orang lain, tetapi bagi pasangan pengantin dan keluarga mereka, majlis sebegini memenatkan dan menelan perbelanjaan besar. Tidak salah mengamalkan sesetengah adat tempatan, tetapi janganlah terikut-ikut dan bersaing dengan orang lain sehinggakan anda hilang sukacita dan perkahwinan anda tidak lagi bermakna. Meskipun perasaan orang lain harus diambil kira, pengantin lelakilah yang bertangungjawab menentukan acara yang akan diadakan semasa majlis makan.​—Yohanes 2:9.

23 Ingatlah, majlis perkahwinan hanya berlangsung untuk sehari, tetapi ikatan perkahwinan kekal seumur hidup. Jadi, janganlah terlalu bertumpu pada hari perkahwinan. Sebaliknya, mintalah bimbingan Tuhan Yehuwa dan rancanglah kehidupan anda sebagai pasangan suami isteri. Dengan membuat persediaan yang baik, anda akan menikmati perkahwinan yang berjaya.

^ per. 11 Cadangan ini sesuai diterapkan jika berpacaran diterima oleh masyarakat setempat.

^ per. 14 Dalam sidang Kristian, ada juga sesetengah orang yang tidak mementingkan hal rohani. Mereka mungkin tidak menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati, tetapi dipengaruhi oleh sikap dan kelakuan duniawi.​—Yohanes 17:16; Yakobus 4:4.