Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Adakah Anda Membenarkan Yehuwa Menjadi Warisan Anda?

Adakah Anda Membenarkan Yehuwa Menjadi Warisan Anda?

Adakah Anda Membenarkan Yehuwa Menjadi Warisan Anda?

‘Utamakanlah Pemerintahan Tuhan dan lakukanlah kehendak-Nya, lalu Tuhan akan memberikan semua itu kepada kamu.’​—MAT. 6:33.

1, 2. (a) Siapakah yang dilambangkan oleh Israel milik Tuhan? (b) Siapakah “dua belas suku Israel” yang dinyatakan di Matius 19:28?

“ISRAEL.” Apakah yang terlintas di minda anda apabila anda nampak nama ini di dalam Bible? Adakah anda terfikir tentang Yakub anak Ishak, yang dinamakan Israel? Atau adakah anda terfikir tentang keturunan Yakub, iaitu bangsa Israel? Bagaimana pula dengan Israel rohani? Biasanya, apabila Bible menyebut tentang Israel secara kiasan, nama ini merujuk kepada Israel milik Tuhan, iaitu 144,000 orang yang diurapi dengan daya aktif Tuhan untuk menjadi raja dan imam di syurga. (Gal. 6:16; Why. 7:4; 21:12) Tetapi perhatikan siapa yang dimaksudkan dengan 12 suku Israel yang dinyatakan di Matius 19:28.

2 Yesus berkata, ‘Pada masa Anak Manusia duduk di atas takhtanya yang mulia di Dunia Baru Tuhan, kamu dua belas orang pengikutku juga akan duduk di atas takhta dan memerintah dua belas suku Israel!’ Dalam ayat ini, “dua belas suku Israel” merujuk kepada mereka yang berpeluang menikmati kehidupan abadi di Firdaus di bumi. Golongan 144,000 orang yang terurap pula akan berkhidmat sebagai hakim dan imam bagi mereka.

3, 4. Bagaimanakah kaum terurap menyediakan teladan yang baik?

3 Seperti para imam dan orang Lewi pada masa lampau, kaum terurap hari ini amat menghargai peluang untuk berkhidmat kepada Yehuwa. (Bil. 18:20) Namun, mereka tahu bahawa mereka tidak akan mendapat warisan tanah di bumi. Sebaliknya Wahyu 4:10, 11 menunjukkan bahawa mereka akan mewarisi peluang untuk terus berkhidmat kepada Yehuwa di syurga, sebagai raja dan imam bersama Yesus Kristus.​—Yeh. 44:28.

4 Semasa di bumi, kaum terurap membuktikan bahawa Yehuwa merupakan warisan mereka melalui haluan hidup mereka. Khidmat kepada Tuhan merupakan perkara terpenting bagi mereka. Mereka menjadikan ‘panggilan Tuhan dan pilihan-Nya atas diri mereka suatu pengalaman yang kekal’ dengan memperlihatkan iman terhadap korban tebusan Kristus dan mengikutnya dengan setia. (2 Ptr. 1:10) Meskipun keadaan dan keupayaan mereka berbeza-beza, mereka tidak mencari alasan untuk berkhidmat secara sambil lewa. Sebaliknya, mereka mengutamakan khidmat Tuhan dan melakukannya dengan sekuat tenaga. Mereka menyediakan teladan yang baik bagi orang lain yang mempunyai harapan untuk hidup di bumi.

5. Bagaimanakah semua orang Kristian boleh menjadikan Yehuwa warisan mereka, dan mengapakah tidak mudah untuk berbuat demikian?

5 Tidak kira sama ada kita mempunyai harapan untuk pergi ke syurga atau tinggal di bumi, kita mesti ‘melupakan kepentingan sendiri, memikul [tiang seksaan], dan mengikut Kristus.’ (Mat. 16:24) Jutaan orang yang menantikan Firdaus di bumi sedang berbuat demikian. Mereka menyembah Tuhan dan mengikut Kristus dengan sedaya upaya. Ramai menyederhanakan kehidupan dan menjadi perintis biasa. Ada yang menjadi perintis sokongan. Yang lain pula tidak dapat merintis tetapi menghabiskan lebih banyak masa dalam kerja penyebaran. Mereka adalah seperti Maria yang menuangkan minyak wangi pada Yesus. Yesus berkata, ‘Apa yang telah dilakukannya untukku itu baik dan terpuji. Dia melakukan apa yang dapat dilakukannya.’ (Mrk. 14:6-8) Memang, tidak mudah untuk berbuat demikian kerana kita hidup dalam dunia yang dikuasai Syaitan. Jadi, kita harus membanting tulang dan terus yakin pada Yehuwa. Bagaimana? Mari kita bincangkan empat cara.

Mengutamakan Kerajaan Tuhan

6. (a) Bagaimanakah ramai orang menunjukkan bahawa mereka mengutamakan kehidupan sekarang? (b) Mengapakah kita patut mempunyai pandangan Daud?

6 Yesus mengajar kita supaya mengutamakan Kerajaan dan kehendak Tuhan. Tetapi ramai dalam dunia mendahulukan kepentingan sendiri dan sedang “menimbun harta di dunia.” (Baca Mazmur 17:1, 13-15.) Tanpa menghiraukan Pencipta mereka, banyak orang mengutamakan kehidupan sekarang dan bertungkus lumus menikmati kehidupan yang selesa, mendirikan rumah tangga, dan meninggalkan harta untuk diwarisi anak-anak. Tidak seperti mereka, Daud ingin mendapat “nama baik” dengan Yehuwa. Raja Salomo juga menggalakkan kita untuk berbuat demikian. (Pkh. 7:1) Seperti Asaf, Daud sedar bahawa persahabatan dengan Yehuwa paling penting dalam kehidupan. Dia berasa gembira untuk hidup akrab dengan Tuhan. Dewasa ini, ramai orang Kristian mendahulukan aktiviti rohani, bukannya pekerjaan sekular.

7. Apakah berkat yang dinikmati seorang saudara yang mendahulukan Kerajaan Tuhan?

7 Jean-Claude yang tinggal di Republik Afrika Tengah, merupakan seorang penatua yang mempunyai tiga orang anak. Ramai orang di negara itu sukar mendapat kerja dan mereka sanggup melakukan apa sahaja agar tidak dibuang kerja. Suatu hari, pengurus pengeluaran menyuruhnya untuk bekerja syif malam (bermula dari jam 6.30 petang), tujuh hari seminggu. Jean-Claude menjelaskan bahawa selain mencari nafkah, dia perlu menjaga kerohanian keluarganya. Dia juga menyatakan bahawa dia memikul tanggungjawab di dalam sidang. Apakah jawapan pengurusnya? Dia berkata, “Kamu patut bersyukur kerana kamu mempunyai kerja. Jadi lupakan saja perkara lain, termasuk isteri, anak-anak, dan masalah kamu. Kamu mesti mengabdikan diri kepada kerja saja. Buatlah pilihan: agama atau kerja kamu.” Apakah yang akan anda lakukan jika anda berada dalam situasi itu? Jean-Claude sedar bahawa jika dia dipecat, Tuhan akan menjaganya. Dia akan mendahulukan khidmatnya kepada Tuhan, dan Yehuwa akan membantunya untuk menjaga keperluan kebendaannya. Jadi, dia menghadiri perjumpaan yang berikutnya. Selepas itu, dia menyiapkan diri untuk pergi kerja tanpa mengetahui sama ada dia sudah dipecat atau tidak. Pada masa itu, dia mendapat panggilan telefon. Pengurus itu telah dipecat, dan Jean-Claude tidak dibuang kerja.

8, 9. Bagaimanakah kita dapat meniru para imam dan orang Lewi dan menjadikan Yehuwa warisan kita?

8 Sesetengah orang yang nyaris kehilangan kerja mungkin berasa bimbang dan bertanya, “Bagaimanakah saya dapat menjaga keperluan keluarga saya?” (1 Tim. 5:8) Walaupun anda tidak pernah mengalami situasi sedemikian, anda pasti setuju bahawa anda tidak akan kecewa jika anda menjadikan Yehuwa warisan anda dan menghargai peluang istimewa untuk menyembah-Nya. Semasa Yesus menasihati murid-muridnya supaya mengutamakan Kerajaan Tuhan, dia menjamin bahawa ‘Tuhan akan memberikan semua itu [seperti makanan, minuman, dan pakaian] kepada kamu.’​—Mat. 6:33.

9 Fikirlah tentang orang Lewi yang mengutamakan ibadat sejati dalam kehidupan. Oleh sebab mereka tidak menerima warisan tanah, mereka perlu bergantung pada Yehuwa untuk menjaga keperluan mereka. Itulah sebabnya Yehuwa memberitahu mereka, “Aku, Tuhan, adalah warisanmu.” (Bil. 18:20) Biarpun kita tidak berkhidmat di Rumah Tuhan yang harfiah, kita boleh meniru semangat para imam dan orang Lewi dengan menaruh keyakinan pada keupayaan Yehuwa untuk menjaga keperluan kita. Keyakinan kita patut bertambah seraya penghujung hari-hari terakhir semakin mendekat.​—Why. 13:17.

Mengutamakan Kehendak Tuhan

10, 11. Bagaimanakah sesetengah orang menaruh kepercayaan kepada Yehuwa dalam soal pekerjaan? Berikan contoh.

10 Yesus juga mengajar murid-muridnya supaya ‘mengutamakan kehendak Tuhan.’ (Mat. 6:33) Maksudnya, pandangan Yehuwa tentang apa yang betul dan apa yang salah lebih penting daripada pandangan manusia. (Baca Yesaya 55:8, 9.) Sebelum memeluk kebenaran, sebilangan orang terlibat dalam kerja menanam tembakau, menjual bahan yang diperbuat daripada tembakau, melatih orang dalam perang, atau menghasilkan dan menjual senjata perang. Tetapi setelah mempelajari kebenaran, kebanyakan daripada mereka membuat keputusan untuk mencari kerja lain dan melayakkan diri bagi pembaptisan.​—Yes. 2:4; 2 Kor. 7:1; Gal. 5:14.

11 Sebagai contoh, Andrew dan isterinya mempelajari kebenaran dan bertekad untuk menyembah Yehuwa. Meskipun dia suka akan kerjanya, Andrew berazam untuk mendahulukan kehendak Tuhan dan tidak mahu bekerja lagi untuk organisasi yang terlibat dalam perang. Semasa dia berhenti kerja, Andrew mempunyai dua orang anak, tidak mempunyai pendapatan, dan mempunyai wang simpanan untuk beberapa bulan sahaja. Dari sudut pandangan manusia, dia seperti orang Lewi yang tidak mempunyai warisan. Tetapi dia bergantung pada Tuhan dan berjaya mendapat kerja lain. Oleh sebab Andrew dan isterinya hidup sederhana, mereka berpeluang menceburi khidmat sepenuh masa. Katanya, “Adakalanya kami risau tentang wang, rumah, kesihatan, dan masa tua kami. Tetapi Yehuwa selalu membantu kami. . . . Kami dapat berkata dengan penuh yakin bahawa menyembah Yehuwa merupakan usaha yang paling mulia dan berfaedah.” (Pkh. 12:13) Sememangnya, ‘Yehuwa tidak terlalu lemah untuk menyelamatkan kita’!​—Yes. 59:1.

12. Jika kita hendak mendahulukan kehendak Tuhan, apakah sifat yang diperlukan? Berikan contoh tempatan.

12 Yesus memberitahu para pengikutnya, “Jika kamu mempunyai iman sebesar biji sawi, kamu dapat berkata kepada bukit ini, ‘Beralihlah ke sana!’ dan bukit ini akan beralih. Kamu dapat melakukan apa sahaja!” (Mat. 17:20) Adakah anda akan mendahulukan kehendak Tuhan walaupun anda tahu bahawa anda akan menghadapi kesusahan? Jika anda berasa kurang yakin, bincanglah dengan saudara saudari dalam sidang. Pengalaman mereka tentu dapat menguatkan iman anda.

Menghargai Pemberian Rohani Yehuwa

13. Jika kita berkhidmat kepada Yehuwa dengan sepenuh hati, kita dapat yakin akan apa?

13 Jika anda menghargai peluang istimewa untuk berkhidmat kepada Yehuwa, anda dapat yakin bahawa Dia akan menjaga keperluan fizikal dan rohani anda, sepertimana Dia menjaga orang Lewi. Fikirlah tentang Daud. Semasa dia bersembunyi di dalam gua, Tuhan telah menjaganya. Kita juga dapat berharap pada Yehuwa ketika kita berasa tersisih. Fikir juga tentang contoh Asaf. Apabila dia ‘masuk ke dalam Rumah Tuhan,’ barulah dia dapat memahami apa yang sedang merunsingkannya. (Mzm. 73:17) Dalam cara yang sama, kita mesti membenarkan Yehuwa menjadi warisan kita dengan mendapatkan bantuan rohani daripada-Nya. Hal ini akan menunjukkan bahawa kita menghargai peluang untuk berkhidmat kepada Tuhan tidak kira apa jua keadaan kita.

14, 15. Apakah yang patut kita lakukan apabila Yehuwa menyingkapkan pemahaman baru tentang kebenaran Bible? Mengapa?

14 Apakah reaksi anda semasa Yehuwa menyingkapkan pemahaman baru tentang kebenaran Bible? (1 Kor. 2:10-13) Kita dapat meniru teladan rasul Petrus. Pernah sekali Yesus memberitahu orang Yahudi, ‘Jika kamu tidak makan tubuh Anak Manusia dan minum darahnya, kamu tidak akan benar-benar hidup.’ Kebanyakan daripada mereka tersandung lalu berkata, “Ajaran ini terlalu sukar. Siapakah dapat menerimanya?” Mereka ‘meninggalkan dia dan tidak mahu mengikut dia lagi.’ Tetapi Petrus berkata, ‘Ya Tuan, kepada siapakah kami akan pergi? Kata-kata Tuan memberikan hidup sejati dan kekal.’​—Yoh. 6:53, 60, 66, 68.

15 Meskipun Petrus tidak memahami kata-kata Yesus, dia yakin bahawa Yehuwa sedang menggunakan Yesus untuk menyebarkan kebenaran. Hari ini, apabila pemahaman baru tentang kebenaran Bible disingkapkan, adakah anda mencuba memahami sebab di sebalik perubahan tersebut? (Ams. 4:18) Orang Berea pada abad pertama “suka sekali mendengar perkhabaran tentang Yesus, dan tiap-tiap hari mereka mengkaji Alkitab.” (Kis. 17:11) Ya, jika anda meniru teladan mereka, anda akan lebih menghargai khidmat anda kepada Yehuwa. Anda akan bersyukur kerana menjadikan Yehuwa warisan anda.

Berkahwin dengan Rakan Seiman Sahaja

16. Selaras dengan perintah di 1 Korintus 7:39, bagaimanakah Tuhan boleh menjadi warisan kita?

16 Satu lagi cara orang Kristian menaruh kepercayaan kepada Tuhan adalah dengan mendengarkan arahan Bible untuk berkahwin dengan rakan seiman sahaja. (1 Kor. 7:39) Ramai memilih untuk hidup membujang kerana ingin mematuhi nasihat ini. Tuhan tidak akan mengabaikan mereka. Apakah yang dilakukan oleh Daud apabila dia berasa keseorangan dan tersisih? Dia berkata, ‘Aku mengemukakan segala aduanku kepada Tuhan; aku memberitahukan segala kesusahanku kepada-Nya.’ (Mzm. 142:2-4, ABB) Nabi Yeremia mungkin mempunyai perasaan yang serupa. Dia berkhidmat kepada Tuhan selama puluhan tahun sebagai lelaki bujang. Anda boleh belajar tentang teladannya di bab 8 dalam buku “Yeremia” (God’s Word for Us Through Jeremiah).

17. Apakah yang dilakukan oleh seorang saudari bujang sewaktu dia berasa sunyi?

17 “Saya tidak pernah berazam untuk hidup membujang,” kata seorang saudari di Amerika Syarikat. “Saya sudi berkahwin kalau saya bertemu dengan pasangan hidup yang sesuai. Ibu saya yang bukan seorang Saksi mendesak saya untuk berkahwin dengan sesiapa saja. Saya bertanya sama ada dia akan bertanggungjawab sekiranya perkahwinan saya gagal. Akhirnya, dia sedar bahawa saya mempunyai kerja yang stabil, saya berupaya menjaga diri, dan saya gembira. Jadi dia tidak mendesak saya lagi.” Adakalanya saudari ini berasa sunyi. “Pada masa itu,” katanya, “saya bergantung pada Yehuwa dan Dia tidak pernah meninggalkan saya.” Apakah yang membantu dia untuk percaya pada Yehuwa? “Apabila saya berdoa, saya dapat rasa bahawa Tuhan adalah nyata dan saya tidak keseorangan. Tuhan Yang Maha Tinggi di alam semesta sedang mendengar, jadi saya berasa gembira dan dihargai.” Dia yakin akan kata-kata dalam Bible, “Lebih berbahagia memberi daripada menerima.” Jadi dia berusaha membantu orang lain tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Dia menyambung, “Saya menikmati kepuasan hati apabila saya memikirkan cara untuk membantu orang lain.” (Kis. 20:35) Sememangnya, saudari ini menjadikan Yehuwa warisannya, dan dia sedang menikmati peluang istimewa untuk berkhidmat kepada-Nya.

18. Bagaimanakah anda boleh menjadi warisan bagi Yehuwa?

18 Tidak kira apa pun situasi anda, anda boleh membenarkan Yehuwa menjadi warisan anda. Jika anda berbuat demikian, anda akan menjadi sebahagian daripada umat Tuhan yang gembira. (2 Kor. 6:16, 17) Seperti orang lain pada masa dahulu, anda juga boleh menjadi warisan bagi Yehuwa. (Baca Ulangan 32:9, 10.) Ya, sepertimana bangsa Israel menjadi warisan dalam kalangan bangsa-bangsa lain, Yehuwa boleh memilih anda sebagai milik-Nya dan menjaga anda dengan penuh kasih.​—Mzm. 17:8.

Apakah Jawapan Anda?

Bagaimanakah Yehuwa menjadi warisan anda

• jika anda mengutamakan Kerajaan Tuhan dan kehendak-Nya?

• jika anda menunjukkan penghargaan untuk makanan rohani?

• jika anda mendengarkan arahan Tuhan untuk berkahwin dengan rakan seiman sahaja?

[Soalan Pembelajaran]

[Petikan daripada perenggan pada muka surat 13]

Yehuwa menjadi warisan kita apabila kita mengutamakan khidmat kepada-Nya

[Gambar pada muka surat 15]

Teladan Yeremia boleh menggalakkan kita