Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Larilah dengan Tabah!

Larilah dengan Tabah!

Larilah dengan Tabah!

“Marilah kita tempuh perlumbaan di hadapan kita dengan tekun.”​—IBR. 12:1.

1, 2. Menurut rasul Paulus, haluan hidup orang Kristian adalah seperti apa?

SETIAP tahun, ramai orang di serata dunia menyertai maraton (perlumbaan larian jarak jauh). Sesetengah peserta hanya mempunyai satu matlamat​—mereka mahu muncul sebagai juara. Tetapi peserta-peserta lain tahu bahawa mereka tidak dapat menang. Bagi mereka, setakat melintasi garisan penamat merupakan pencapaian yang dibangga-banggakan.

2 Bible memberitahu kita bahawa haluan hidup orang Kristian umpama suatu perlumbaan. Rasul Paulus memberitahu saudara saudari di sidang Korintus tentang hal ini semasa dia menulis surat pertamanya kepada mereka. Katanya, “Kamu tentu tahu bahawa dalam lumba lari, semua peserta mengambil bahagian dalam perlumbaan, tetapi hanya seorang yang menerima hadiah. Oleh itu larilah sedemikian rupa sehingga kamu mendapat hadiah itu.”​—1 Kor. 9:24, ABB.

3. Apakah yang dimaksudkan Paulus apabila dia berkata, “hanya seorang yang menerima hadiah”?

3 Apakah yang dimaksudkan oleh Paulus? Adakah seorang Kristian sahaja yang akan menerima hadiah kehidupan abadi? Tidak. Para peserta dalam pertandingan lumba lari berlatih dengan giat dan berlari sekuat tenaga agar dapat menang. Dalam cara yang sama, Paulus mahu rakan-rakan Kristiannya berusaha sedaya upaya agar dapat menerima hadiah kehidupan kekal. Ya, dalam perlumbaan Kristian, semua orang yang berlari hingga ke garisan penamat akan menerima hadiah itu.

4. Apakah yang perlu kita tahu tentang perlumbaan orang Kristian?

4 Kata-kata Paulus amat menggalakkan, namun kita patut memberi perhatian pada cara hidup kita. Jika kita hidup dalam cara yang diperkenankan Yehuwa, kita mempunyai harapan untuk mengecap kehidupan kekal—sama ada di syurga atau di bumi. Tetapi perlumbaan Kristian kita berjarak jauh dan mencabar; sepanjang jalan kita menghadapi halangan, gangguan, dan ancaman. (Mat. 7:13, 14) Sedihnya, sesetengah orang telah memperlahankan langkah atau berputus asa. Apakah perangkap dan bahaya yang dihadapi dalam perlumbaan Kristian? Bagaimanakah anda dapat mengelaknya? Apakah yang dapat anda lakukan untuk menghabiskan larian dan menang?

Ketabahan Diperlukan untuk Menang

5. Apakah yang dijelaskan oleh Paulus di Ibrani 12:1?

5 Sewaktu Paulus menulis kepada orang Kristian Ibrani di Yerusalem dan Yudea, dia sekali lagi menyebut tentang peserta dalam suatu perlumbaan. (Baca Ibrani 12:1.) Dia menjelaskan mengapa orang Kristian perlu meneruskan perlumbaan mereka dan apa yang mesti dilakukan untuk menang. Apakah iktibar yang dapat kita ambil daripada nasihat Paulus? Sebelum mempelajari hal ini, mari kita bincangkan mengapa Paulus menulis suratnya kepada orang Ibrani dan dorongan apa yang diberikannya kepada mereka.

6. Apakah yang dilakukan oleh para pemimpin agama terhadap orang Kristian abad pertama?

6 Orang Kristian abad pertama, khususnya yang tinggal di Yerusalem dan Yudea, menghadapi banyak cabaran dan dugaan. Mereka menghadapi tekanan besar daripada pemimpin agama Yahudi yang berpengaruh ke atas rakyat. Sebelum itu, para pemimpin agama berjaya membunuh Yesus Kristus setelah menghasut orang ramai untuk percaya bahawa dia merupakan seorang pemberontak dan penjenayah. Buku Kisah mencatatkan bahawa selepas Pentakosta 33 M, pemimpin agama tidak henti-henti menyusahkan kehidupan orang Kristian dengan menentang, mengancam, dan menyerang mereka. Ya, kehidupan orang Kristian yang setia pada masa itu amat sukar.​—Kis. 4:1-3; 5:17, 18; 6:8-12; 7:59; 8:1, 3.

7. Mengapakah orang Kristian abad pertama hidup pada masa yang genting?

7 Orang Kristian pada masa itu juga hidup pada penghujung sistem Yahudi. Yesus telah memberikan amaran tentang kemusnahan yang bakal menimpa Yerusalem. Dia juga memberitahu pengikutnya tentang apa yang bakal berlaku sejurus sebelum kemusnahan itu, dan memberikan arahan spesifik tentang cara untuk diselamatkan. (Baca Lukas 21:20-22.) Yesus berkata, “Berjaga-jagalah! Janganlah kamu asyik berpesta dan minum minuman keras atau khuatir akan kehidupan kamu, sehingga kamu tidak bersedia apabila Hari itu datang dengan tiba-tiba.”​—Luk. 21:34, ABB.

8. Apakah yang mungkin menyebabkan sesetengah orang Kristian memperlahankan langkah atau berputus asa?

8 Paulus menulis suratnya kepada orang Ibrani hampir 30 tahun setelah Yesus memberikan amarannya. Apakah yang berlaku sepanjang masa itu? Sesetengah orang Kristian khuatir tentang kehidupan seharian dan gagal memperkukuh kerohanian mereka. (Ibr. 5:11-14) Orang lain pula berasa bahawa tidak salah menjalankan kehidupan seperti kebanyakan orang Yahudi lain yang masih percaya kepada Tuhan dan mengikut perintah tertentu dalam Hukum Musa. Ada juga orang Kristian yang takut akan individu tertentu di dalam sidang yang memaksa orang lain mengikut tradisi dan Hukum Musa, dan yang lain pula dipengaruhi oleh individu tersebut. Apakah yang dikatakan oleh Paulus untuk menggalakkan saudara saudari Kristiannya agar terus berjaga-jaga dan tidak berputus asa?

9, 10. (a) Apakah galakan yang diberikan oleh Paulus di penghujung Ibrani bab 10? (b) Mengapakah Paulus menulis tentang iman hamba Tuhan zaman dahulu?

9 Yehuwa mengilhami Paulus untuk menulis suratnya bagi menggalakkan orang Kristian Ibrani. Di bab 10, Paulus menjelaskan bahawa Taurat merupakan “bayangan daripada perkara-perkara baik yang akan datang,” dan dosa hanya boleh diampunkan melalui korban tebusan Yesus. Di bahagian penghujung bab itu, Paulus berkata bahawa mereka memerlukan ketabahan agar mendapat manfaat daripada tebusan Yesus. Dia menulis, ‘Kamu perlu bersabar supaya dapat melakukan kehendak Tuhan, dan dengan demikian menerima apa yang dijanjikan-Nya. Hal ini demikian, kerana di dalam Alkitab tertulis, “Hanya sebentar lagi, lalu Dia yang akan datang itu akan segera tiba; Dia tidak akan berlambat.”’​—Ibr. 10:1, 36, 37, ABB.

10 Ya, kata-kata Paulus di bab 10 dan 12 menggalakkan orang Kristian Ibrani untuk bersabar, atau bertabah hati. Tetapi mengapakah di bab 11 pula, dia menulis tentang iman sejati kepada Tuhan dan menyebut tentang umat Tuhan yang setia pada zaman dahulu? Adakah Paulus menyimpang daripada nasihatnya tentang ketabahan? Tidak. Dia mahu orang Ibrani sedar bahawa jika mereka ingin memperlihatkan iman kepada Tuhan, mereka memerlukan ketabahan dan keberanian. Teladan umat Yehuwa pada masa dahulu akan menguatkan orang Ibrani untuk menghadapi cabaran dan dugaan dengan tabah. Maka, selepas menyebut tentang iman orang setia dahulukala, Paulus dapat berkata, “Di sekeliling kita ada banyak saksi. Oleh itu, marilah kita buang segala halangan yang menghalang kita dan dosa yang berpaut pada kita. Marilah kita tempuh perlumbaan di hadapan kita dengan tekun.”​—Ibr. 12:1, ABB.

“Ada Banyak Saksi”

11. Bagaimanakah teladan hamba Yehuwa pada zaman dahulu dapat menggalakkan kita?

11 Paulus berkata bahawa “di sekeliling kita ada banyak saksi.” Dia sedang merujuk kepada hamba-hamba Yehuwa yang pernah menyertai perlumbaan kiasan dan berjaya melintasi garisan penamat. Meskipun mereka sudah meninggal, teladan mereka dapat menggalakkan orang Kristian untuk terus berlari dan tidak berputus asa. Bayangkan anda sedang berlumba dalam suatu pertandingan yang disaksikan oleh pelari veteran yang lain. Tidakkah anda akan didorong untuk berlari dengan sebaik-baiknya? Hamba-hamba setia dahulukala membuktikan bahawa perlumbaan Kristian boleh dimenangi tidak kira apa pun cabaran yang dihadapi. Jadi, orang Kristian Ibrani perlu berfikir tentang teladan mereka agar dapat memupuk keberanian dan ‘menempuh perlumbaan dengan tekun.’ Begitu juga dengan kita pada hari ini.

12. Apakah yang dapat kita pelajari daripada teladan-teladan yang disebut oleh Paulus?

12 Ramai hamba Tuhan dahulukala mempunyai keadaan yang mirip kita. Sebagai contoh, Nuh hidup sejurus sebelum Yehuwa memusnahkan dunia jahat pada zaman itu. Kita sedang hidup sejurus sebelum Yehuwa memusnahkan sistem dunia Syaitan. Abraham dan Sara diminta meninggalkan tanah air mereka demi ibadat sejati dan mereka menantikan penunaian janji Yehuwa. Kita digesa supaya menyangkal diri dan mendapat perkenan Yehuwa serta berkat-berkat yang dijanjikan-Nya. Musa merentasi padang gurun berbahaya untuk sampai ke Tanah yang Dijanjikan. Kita sedang mengharungi sistem lama ini untuk sampai ke dunia baru yang dijanjikan Tuhan. Maka, wajarlah kita merenungkan contoh hamba-hamba Tuhan yang setia lalu belajar daripada kekuatan dan kelemahan mereka, serta kejayaan dan kegagalan mereka.​—Rm. 15:4; 1 Kor. 10:11.

Apakah Rahsia Kejayaan Mereka?

13. Apakah cabaran yang dihadapi Nuh, dan apakah yang membolehkannya untuk mematuhi Yehuwa?

13 Apakah yang membolehkan hamba-hamba Yehuwa masa dahulu untuk bertabah hati dan menghabiskan larian mereka? Perhatikan apa yang dikatakan Paulus mengenai Nuh. (Baca Ibrani 11:7.) “Banjir [yang akan] membinasakan setiap makhluk yang hidup di bumi” tidak pernah berlaku dan ‘belum dilihat oleh Nuh.’ (Kej. 6:17) Namun begitu, Nuh tidak berfikir bahawa hal itu mustahil. Dia percaya bahawa apa sahaja yang dikatakan Yehuwa akan menjadi kenyataan. Adakah tugas yang diberikan kepada Nuh mudah? Tidak. Nuh perlu membina bahtera, membawa masuk binatang-binatang, mengumpul makanan untuk binatang dan keluarganya, menyebarkan amaran Tuhan, dan memastikan iman keluarganya kuat. Ya, tugasnya agak berat, namun ‘Nuh melakukan segala sesuatu yang diperintahkan Tuhan.’ (Kej. 6:22) Apakah hasilnya? Oleh sebab Nuh beriman dan tabah hati, Yehuwa memberkati dan menyelamatkan dia dan keluarganya.

14. Apakah cabaran yang dihadapi Abraham dan Sara? Apakah yang dapat kita pelajari daripada teladan mereka?

14 Seterusnya, Paulus menyebut tentang Abraham dan Sara. Kehidupan mereka berubah apabila Yehuwa menyuruh mereka meninggalkan Ur. Meskipun keadaannya mencabar dan mereka tidak tahu apa yang akan berlaku, mereka beriman kepada Yehuwa dan mematuhi-Nya. Bible memanggil Abraham ‘bapa kepada semua orang yang percaya kepada Tuhan’ kerana dia sanggup membuat banyak pengorbanan demi Yehuwa. (Rm. 4:11) Oleh sebab orang Kristian Ibrani sudah tahu butir-butir tentang kehidupan Abraham, Paulus hanya menyentuh sedikit tentang imannya. Walau bagaimanapun, isi-isi yang disoroti oleh Paulus cukup untuk membuktikan betapa kuatnya iman Abraham dan keluarganya. Paulus berkata, ‘Semua orang ini beriman sampai mati. Mereka tidak menerima perkara-perkara yang dijanjikan oleh Tuhan, tetapi dari jauh mereka nampak dan menyambutnya. Mereka mengaku dengan terang-terang bahawa mereka hanyalah orang asing dan pengembara di bumi ini.’ (Ibr. 11:13, ABB) Sememangnya, iman dan hubungan peribadi dengan Tuhan membantu mereka untuk menempuh perlumbaan dengan tabah.

15. Mengapakah Musa memilih untuk meninggalkan kehidupannya yang selesa?

15 Seorang lagi hamba Yehuwa yang setia ialah Musa. Dia meninggalkan kehidupan yang selesa di istana diraja dan memilih untuk ‘menderita bersama-sama umat Tuhan.’ Mengapakah dia sanggup melakukan hal ini? Paulus menjawab, “Musa mengharapkan pahala pada masa yang akan datang.” Dia ‘seolah-olah sudah nampak Tuhan yang tidak kelihatan.’ (Baca Ibrani 11:24-27.) Ya, Musa sedar bahawa “kesenangan hidup berdosa” tidak berkekalan. Yehuwa dan janji-janji-Nya sangat nyata bagi Musa. Hal ini membantunya untuk memperlihatkan keberanian dan ketabahan serta berusaha tanpa mengenal lelah untuk memimpin umat Israel keluar dari Mesir untuk pergi ke Tanah yang Dijanjikan.

16. Bagaimanakah kita tahu bahawa Musa tidak patah semangat apabila dia dilarang memasuki Tanah yang Dijanjikan?

16 Seperti Abraham, Musa telah meninggal sebelum menyaksikan penunaian janji Tuhan. Sejurus sebelum orang Israel memasuki Tanah yang Dijanjikan, Musa diberitahu, “Engkau akan memandang tanah itu dari jauh, tetapi engkau tidak akan pergi ke tanah yang akan Aku berikan kepada umat Israel.” Hal ini kerana dia dan Harun membiarkan kemarahan mereka meluap sehingga mereka ‘tidak setia kepada Tuhan dekat mata air Meriba.’ (Ul. 32:51, 52, ABB) Meskipun begitu, Musa tidak patah semangat dan berfikir bahawa Tuhan tidak adil. Sebaliknya, dia meminta Yehuwa memberkati umat Israel. Kata-kata terakhirnya kepada mereka berbunyi, “Hai Israel, kamu sungguh berbahagia! Tidak ada sesiapa pun seperti kamu, bangsa yang diselamatkan oleh Tuhan. Tuhan sendirilah yang menjadi perisai dan pedang kamu, untuk membela kamu dan memberi kamu kemenangan.”​—Ul. 33:29.

Iktibar bagi Kita

17, 18. (a) Apakah yang dapat kita pelajari daripada hamba-hamba Tuhan dahulukala? (b) Apakah yang akan kita pelajari dalam rencana yang berikut?

17 Apakah yang dapat kita pelajari daripada teladan hamba-hamba Tuhan yang setia pada masa lampau? Jika kita ingin berlari hingga ke garisan penamat, kita memerlukan iman yang kukuh terhadap Tuhan dan janji-janji-Nya. (Ibr. 11:6) Cara hidup kita harus berdasarkan iman. Dengan adanya iman, kita dapat melihat masa depan yang cerah yang dijanjikan Tuhan. Ya, kita dapat menempuh perlumbaan Kristian dengan tabah jika Tuhan adalah nyata bagi kita.​—2 Kor. 5:7.

18 Perlumbaan Kristian kita memang tidak senang. Walaupun begitu, kita boleh menghabiskan larian kita dengan jayanya. Rencana yang berikut akan membincangkan bantuan lain yang disediakan untuk kita.

Bolehkah Anda Jelaskan?

• Mengapakah Paulus menulis tentang hamba-hamba Tuhan yang setia pada zaman dahulu?

• Bagaimanakah teladan hamba-hamba setia dahulukala membantu kita berlari dengan tabah?

• Apakah iktibar yang telah anda peroleh daripada teladan Nuh, Abraham, Sara, dan Musa?

[Soalan Pembelajaran]

[Gambar pada muka surat 19]

Abraham dan Sara sanggup meninggalkan kehidupan yang selesa di Ur