Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Adakah Anda Sekadar Melihat Luaran?

Adakah Anda Sekadar Melihat Luaran?

DON, seorang Saksi di Kanada, berusaha menginjil kepada golongan gelandangan, iaitu mereka yang tinggal di jalanan. Salah seorang yang ditemuinya ialah Peter. Don berkata, “Peter ialah orang terkotor yang pernah saya jumpa. Perangainya pelik dan membuat orang menjauhinya. Sudah banyak kali dia menolak bantuan yang dihulurkan.” Namun, Don terus bersabar dan berbaik hati kepada Peter selama 14 tahun.

Pada suatu hari, Peter bertanya kepada Don, “Orang lain biarkan saya saja, tetapi mengapa kamu ambil peduli tentang saya?” Don menggunakan tiga ayat Bible untuk mencapai hati Peter. Mula-mulanya, dia menjemput Peter untuk membaca tentang nama Tuhan di Mazmur 83:18. Kemudian, dia menerangkan mengapa dia mengambil berat tentang Peter dengan menjemputnya membaca Roma 10:13, 14 yang berbunyi, “Semua orang yang menyeru nama Yehuwa akan diselamatkan.” Akhirnya, Don membaca Matius 9:36 dan menjemput Peter untuk membacanya juga. Ayat itu menyatakan, “Apabila [Yesus] melihat orang ramai, dia berasa kasihan terhadap mereka kerana mereka ditindas dan diabaikan seperti biri-biri tanpa gembala.” Peter menitiskan air matanya lalu bertanya, “Adakah saya salah satu daripada biri-biri itu?”

Peter mula berubah. Dia mandi, menggunting janggutnya, dan menggunakan baju yang diberikan oleh Don. Sejak itu, penampilannya sentiasa baik.

Peter ada tabiat menulis diari. Bahagian awal diarinya bernada sedih dan pilu, tetapi kemudian nadanya berubah. Pada suatu lembar diarinya, dia menulis, “Hari ini, saya belajar nama Tuhan. Sekarang saya boleh berdoa kepada Yehuwa. Saya gembira kerana dapat tahu nama-Nya. Don kata Yehuwa boleh menjadi sahabat saya, dan saya boleh memberitahu-Nya apa-apa sahaja pada bila-bila masa.”

Kata-kata terakhir Peter ditujukan kepada adik-beradiknya. Dia menulis:

“Saya kurang sihat hari ini. Nampaknya saya sudah tua. Biarpun ini hari terakhir saya, saya tahu saya akan jumpa dengan kawan saya [Don] di Firdaus. Jika kamu sedang membaca kata-kata ini, maksudnya saya sudah tiada. Tetapi jika kamu nampak seorang lelaki di pengebumian saya yang tidak kamu kenal, pergilah cakap dengannya. Selain itu, bacalah buku biru ini. * Buku ini kata saya akan jumpa lagi dengan kawan saya di Firdaus. Saya yakin sepenuhnya hal itu akan berlaku. Dengan kasih daripada saudaramu, Peter.”

Selepas upacara pengebumian, Ummi, kakak Peter, berkata, “Kira-kira dua tahun lalu, Peter menghubungi saya. Buat kali pertama, dia kelihatan gembira dan bahkan dapat senyum.” Ummi memberitahu Don, “Saya akan baca buku itu kerana buku itu telah mencapai hati adik saya.” Ummi juga sudi mempelajari buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible? dengan Saksi-Saksi Yehuwa.

Hari ini, terdapat orang seperti Peter yang kelihatan tidak menarik tetapi berhati murni. Jika kita tidak sekadar melihat luaran orang, tetapi menunjukkan kasih yang ikhlas dan bersabar terhadap segala macam orang, kita mungkin dapat mencapai hati orang sebegini. (1 Tim. 2:3, 4) Sudah pasti, Tuhan yang “melihat hati” akan membuat kebenaran bercambah dalam hati orang yang jujur.​—1 Sam. 16:7; Yoh. 6:44.

^ per. 7 Merujuk kepada buku The Truth That Leads to Eternal Life yang telah diterimanya bertahun-tahun lalu. Buku itu diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa tetapi tidak dicetakkan lagi.