Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Yehuwa Melegakan Hati Kita pada Setiap Masa

Yehuwa Melegakan Hati Kita pada Setiap Masa

‘Tuhan melegakan hati kita semasa kita mengalami segala macam cubaan.’​—2 KOR. 1:3, 4.

LAGU: 33, 41

1, 2. Bagaimanakah Yehuwa melegakan hati kita semasa kita menghadapi kesusahan, dan apakah jaminan yang terdapat dalam Firman-Nya?

EDUARDO, seorang saudara muda yang bujang, bertanya kepada Stephen, seorang penatua yang sudah berkahwin, “Satu Korintus 7:28 menyatakan bahawa ‘orang yang berkahwin akan menghadapi banyak kesusahan.’ Apakah ‘kesusahan’ itu? Jika saya berkahwin, bagaimanakah saya dapat menanganinya?” Sebelum menjawab soalan Eduardo, Stephen menghalakan perhatiannya kepada kata-kata Rasul Paulus bahawa Yehuwa ialah “Tuhan yang melegakan hati kita dalam apa jua situasi. Dia melegakan hati kita semasa kita mengalami segala macam cubaan [“kesengsaraan,” nota kaki].”​—2 Kor. 1:3, 4.

2 Yehuwa ialah Bapa kita yang pengasih dan Dia melegakan hati kita semasa kita menghadapi kesusahan. Anda mungkin pernah merasai bagaimana Tuhan membimbing dan menyokong anda melalui Firman-Nya. Ya, Yehuwa menginginkan yang terbaik bagi hamba-Nya, baik dahulu mahupun sekarang.​—Baca Yeremia 29:11, 12.

3. Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan?

 3 Jika kita mengetahui punca masalah atau kesusahan kita, adalah lebih mudah untuk menanganinya. Jadi, untuk membantu kita menghadapi cabaran yang mungkin timbul dalam kehidupan keluarga, mari kita fikirkan soalan-soalan ini: Apakah sesetengah perkara yang akan menyebabkan “kesusahan” yang disebut Paulus? Apakah contoh dari zaman Bible dan zaman moden yang dapat melegakan hati kita?

KESUSAHAN DALAM PERKAHWINAN

4, 5. Apakah sesetengah kesusahan yang dihadapi oleh orang yang berkahwin?

4 Semasa mengahwinkan pasangan manusia pertama, Yehuwa berfirman, “Seorang lelaki [akan] meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu mereka menjadi satu.” (Kej. 2:24) Namun, apabila dua insan yang tidak sempurna berkahwin dan mendirikan rumah tangga, masalah mungkin timbul. (Rm. 3:23) Sebelum berkahwin, seorang wanita biasanya akan mentaati ibu bapanya, tetapi menurut Firman Tuhan, setelah bergelar isteri, ketuanya ialah suaminya dan bukan ibu bapanya lagi. (1 Kor. 11:3) Perubahan ini bukan sesuatu yang mudah bagi pasangan baharu. Tambahan lagi, mereka akan berasa runsing akibat perselisihan faham dengan mentua.

5 Apabila seorang isteri memberitahu suaminya, “Abang, saya mengandung,” pasangan yang bakal bergelar ibu bapa itu biasanya berasa gembira berbaur risau. Adakah masalah perubatan akan timbul semasa atau selepas tempoh kehamilan? Apakah perbelanjaan tambahan yang perlu ditanggung sekarang dan pada masa depan? Kelahiran si manja juga membawa banyak perubahan kepada kehidupan suami isteri. Banyak suami yang berasa terpinggir kerana kebanyakan masa dan perhatian isteri mereka kini diberikan kepada bayi. Setelah menjadi bapa, seorang suami juga perlu memikul lebih banyak tanggungjawab kerana dia harus menjaga keperluan isteri dan anak.

6-8. Apakah perasaan suami isteri yang tidak berpeluang mempunyai anak?

6 Satu lagi kesusahan ialah apabila suami isteri tidak mempunyai anak. Seorang isteri yang tidak dapat mengandung akan berasa resah. Sudah tentu, berkahwin atau mempunyai anak tidak menjamin kebahagiaan hidup, tetapi hasrat yang tidak tercapai memang menyedihkan hati. (Ams. 13:12) Pada zaman Bible, Rahel berasa susah hati kerana kakaknya mempunyai anak, sedangkan dia mandul. (Kej. 30:1, 2) Di sesetengah negara, orang biasanya mempunyai banyak anak. Jadi, mubaligh yang berkhidmat di situ sering ditanya mengapa mereka tiada anak. Walaupun para mubaligh mencuba menjelaskan sebabnya, orang sering menjawab, “Tidak apa, kami akan berdoa untuk kamu!”

7 Seorang saudari di England sangat menginginkan anak, tetapi hasratnya tidak kesampaian. Apabila usianya meningkat, dia sangat kecewa kerana sedar bahawa harapannya tidak mungkin terkabul dalam sistem dunia ini. Maka, dia dan suaminya telah mengambil anak angkat. Meskipun demikian, dia telah bersedih untuk suatu ketika kerana anak kandung memang berbeza daripada anak angkat.

8 Bible menyatakan bahawa “dengan melahirkan anak, [seorang wanita Kristian] akan dilindungi.” (1 Tim. 2:15) Tetapi hal  itu tidak bermaksud bahawa seorang wanita akan memperoleh kehidupan kekal jika dia beranak. Sebaliknya, ayat itu bermaksud bahawa apabila seorang wanita sibuk menjaga anak dan mengurus rumah tangganya, dia dapat dihindarkan daripada amalan buruk seperti mengumpat atau menjaga tepi kain orang. (1 Tim. 5:13) Namun begitu, dia masih tidak terkecuali daripada masalah yang timbul dalam kehidupan keluarga.

Apakah yang dapat dilakukan jika kita kehilangan orang tersayang? (Lihat perenggan 9, 12)

9. Mengapakah kematian teman hidup merupakan cubaan yang besar?

9 Orang yang berkahwin mungkin harus menghadapi satu cubaan yang besar: Kematian teman hidup. Banyak orang yang sudah kehilangan orang tersayang tidak pernah menjangkakan bahawa hal itu akan berlaku. Namun, bagaimanakah janji Yesus tentang pembangkitan dapat membantu orang Kristian yang berkabung? (Yoh. 5:28, 29) Dengan mencatatkan harapan itu dalam Bible, Bapa kita yang pengasih memberikan kelegaan hati kepada mereka yang berdukacita. Sekarang mari kita lihat bagaimana Yehuwa telah membantu dan melegakan hati hamba-hamba-Nya.

KELEGAAN HATI PADA MASA KESUSAHAN

10. Bagaimanakah Hana mendapat kelegaan hati? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

10 Hana, isteri kesayangan Elkana, mandul sedangkan madunya Penina dapat beranak. (Baca 1 Samuel 1:4-7.) “Selama bertahun-tahun,” Penina menghina dan menyakiti hati Hana. Situasi itu membuat Hana amat berdukacita, maka dia berdoa kepada Yehuwa mengenai hal itu. Bible menyatakan, ‘Lama sekali Hana berdoa kepada Yehuwa.’ Selepas itu, dia “tidak sedih lagi.” (1 Sam. 1:12, 17, 18) Sudah pasti dia yakin bahawa Yehuwa akan memberkatinya dengan seorang anak, atau melegakannya menerusi cara yang lain.

11. Mengapakah penting untuk berdoa semasa menghadapi cubaan?

11 Selagi kita tidak sempurna dan hidup dalam dunia yang dikuasai Syaitan, kita akan menghadapi cubaan dan dugaan. (1 Yoh. 5:19) Namun tidakkah kita bersyukur kerana Yehuwa ialah “Tuhan yang melegakan hati kita”? Apabila kita berdoa kepada-Nya, kita akan mendapat bantuan yang diperlukan untuk menghadapi cubaan atau kesusahan. Hana telah mencurahkan isi hatinya kepada Yehuwa. Begitu juga, semasa menghadapi kesusahan, kita bukan sahaja perlu memberitahu Yehuwa perasaan kita. Kita perlu merayu dengan sungguh-sungguh kepada-Nya dari lubuk hati kita.​—Flp. 4:6, 7.

12. Apakah yang membantu Hana untuk bersukacita?

12 Kematian orang tersayang atau hasrat yang tidak kesampaian untuk menimang cahaya mata amat menyedihkan. Namun, kita dapat memperoleh kelegaan hati. Pada zaman Yesus, terdapat seorang nabi wanita yang bernama Hana. Dia kehilangan suaminya selepas berkahwin selama tujuh tahun dan Bible tidak menyatakan bahawa dia mempunyai anak. Namun, apakah yang dilakukannya pada usia 84 tahun? Lukas 2:37 menyatakan, “Dia sentiasa hadir di Rumah Tuhan. Dia berpuasa, berdoa dengan bersungguh-sungguh, dan menjalankan khidmat suci siang dan malam.” Ya, Hana mendapat kelegaan dan sukacita dengan beribadat kepada Yehuwa.

13. Apabila ahli keluarga mengecewakan kita, bagaimanakah sahabat yang sejati dapat melegakan hati kita? Berikan contoh.

13 Kita dapat menemui sahabat sejati dalam kalangan saudara saudari kita. (Ams.  18:24) Semasa Paula berusia lima tahun, ibunya meninggalkan kebenaran. Paula hancur hati, tetapi dia digalakkan oleh Ann, seorang perintis dalam sidangnya. Ann mengambil berat tentang kerohanian Paula dan membantunya menghadapi situasi yang susah itu. Paula berkata, “Biarpun Ann bukan saudara mara saya, kasih dan keprihatinannya telah membantu saya terus menyembah Yehuwa.” Hari ini, Paula sangat gembira kerana dapat menyembah Tuhan bersama ibunya lagi. Ann juga gembira kerana berpeluang menjadi ibu rohani kepada Paula.

14. Apakah kebaikannya jika kita melegakan hati orang lain?

14 Apabila kita menunjukkan kasih dan keprihatinan kepada orang lain, perasaan negatif yang terbit di hati dapat dikurangkan. Para saudari yang berkhidmat sebagai rakan sekerja Tuhan dapat meraih sukacita yang besar, tidak kira mereka sudah berkahwin atau tidak. Oleh sebab mereka memuliakan Tuhan menerusi aktiviti penyebaran, usaha itu telah mengubati apa sahaja perasaan pilu dalam hati mereka. Jika kita mengambil berat tentang orang lain, sama ada yang di sidang atau di kawasan penyebaran, kita sedang mengeratkan hubungan antara saudara saudari. (Flp. 2:4) Rasul Paulus merupakan teladan yang baik dalam hal itu. Dia membantu sidang Tesalonika seperti ‘seorang ibu yang menjaga anak-anaknya’ dan melayan mereka  “sebagaimana seorang bapa memperlakukan anak-anaknya.”​—Baca 1 Tesalonika 2:7, 11, 12.

KELEGAAN HATI DALAM KELUARGA

15. Siapakah yang bertanggungjawab untuk mengajar anak-anak tentang kebenaran?

15 Ada kalanya, orang yang baru belajar Bible mungkin meminta bantuan kita untuk mengajar anak-anak mereka tentang kebenaran atau mengadakan pembelajaran Bible dengan anak remaja mereka. Dalam sesetengah situasi, bantuan sebegini memang diperlukan dan amat dihargai. Namun, semasa memberikan bantuan dan kelegaan hati, kita perlu ingat bahawa menurut Bible, ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk mengajar dan melatih anak-anak mereka. (Ams. 23:22; Ef. 6:1-4) Mereka masih perlu berkomunikasi secara tetap dengan anak-anak mereka. Itulah kewajipan ibu bapa.

16. Semasa membantu anak-anak orang lain, apakah yang perlu kita ingat?

16 Jika seorang ibu atau bapa meminta kita untuk mengajar anaknya kebenaran Bible, ingatlah bahawa kita tidak mengambil alih tugas atau peranan ibu bapa anak itu. Demikian juga halnya apabila seorang Saksi mengadakan pembelajaran bersama seorang anak yang ibu bapanya tidak berminat dalam kebenaran. Semasa membantu anak-anak sedemikian secara rohani, adalah bijak untuk mengadakan pembelajaran di rumah mereka semasa ibu bapa mereka atau Saksi yang lain hadir, atau mengadakan pembelajaran itu di tempat awam yang sesuai. Dengan demikian, kita tidak memberi sesiapa pun tanggapan yang salah tentang perbuatan kita. Kita juga berharap agar ibu bapa anak itu akan menjaga keperluan rohani anak-anak mereka suatu hari nanti.

17. Bagaimanakah anak-anak dapat menjadi sumber kelegaan hati dalam keluarga?

17 Anak-anak muda yang mengasihi Yehuwa dan mendengarkan nasihat-Nya dapat membawa kelegaan kepada keluarga mereka. Bagaimana? Dengan menghormati ibu bapa dan membantu mereka dalam cara yang praktikal. Selain itu, apabila mereka tetap kuat secara rohani, ahli keluarga mereka juga akan digalakkan. Sebelum Banjir, Lamekh, keturunan Set, menyembah Yehuwa. Mengenai anaknya Nuh, Lamekh mengatakan bahawa “anak ini akan memberi keringanan,” atau kelegaan, kepada mereka yang harus berjerih lelah untuk mengusahakan tanah yang dikutuk oleh Yehuwa. Nubuat itu terjadi semasa Tuhan tidak lagi mengutuk tanah. (Kej. 5:29; 8:21) Anak-anak yang mengutamakan ibadat Tuhan merupakan sumber kelegaan dalam keluarga mereka. Anak-anak itu dapat membantu anggota keluarga agar menghadapi cubaan dengan tabah dan bersedia untuk mengharungi kesusahan yang bakal berlaku.

18. Apakah yang dapat membantu kita menghadapi segala cubaan dan dugaan dengan tabah dan berani?

18 Hari ini, jutaan orang yang menghadapi kesusahan mendapat kelegaan hati dengan berdoa, merenungkan contoh dalam Bible, dan dengan bergaul rapat bersama umat Yehuwa. (Baca Mazmur 145:18, 19.) Ingatlah bahawa Yehuwa ialah Sumber kelegaan yang kekal, dan Dia pasti akan membantu kita untuk menghadapi apa sahaja cubaan dengan tabah dan berani, baik sekarang mahupun pada masa depan!