Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAHAGIAN 14

Tuhan Berfirman melalui Nabi-Nya

Tuhan Berfirman melalui Nabi-Nya

Nabi-nabi dilantik oleh Yehuwa untuk menyampaikan pesanan berhubung dengan penghakiman Tuhan, penyembahan sejati, dan harapan yang dibawa oleh Mesias

SEPANJANG zaman pemerintahan raja-raja Israel dan Yehuda, terdapat sekumpulan lelaki istimewa yang ditugaskan untuk menyampaikan pesanan Tuhan—para nabi. Mereka mempunyai iman dan keberanian yang luar biasa dan mereka ditugaskan untuk mengisytiharkan perkhabaran Tuhan. Mari kita bincangkan empat tema utama yang dikembangkan oleh nabi-nabi Tuhan.

1. Pemusnahan Yerusalem. Jauh sebelum pemusnahan Yerusalem, nabi Tuhan—terutamanya Yesaya dan Yeremia—mula memberi amaran bahawa Yerusalem akan dimusnahkan dan akan menjadi kawasan terbiar. Dengan jelas, mereka menyingkapkan mengapa kota ini telah menimbulkan kemurkaan Tuhan. Penduduk kota ini mendakwa bahawa mereka mewakili Yehuwa tetapi tindak-tanduk mereka menunjukkan sebaliknya. Mereka melibatkan diri dalam amalan agama palsu, amalan merasuah, perbuatan yang merosakkan akhlak, dan keganasan.2 Raja-Raja 21:10-15; Yesaya 3:1-8, 16-26; Yeremia 2:1–3:13.

2. Pemulihan penyembahan sejati. Selepas dibuang negeri selama 70 tahun, umat Tuhan akan dibebaskan dari Babilon. Mereka akan pulang ke tanah air mereka, yang berada dalam keadaan terbiar, dan akan membina semula Rumah Yehuwa yang terletak di Yerusalem. (Yeremia 46:27; Amos 9:13-15) Kira-kira 200 tahun sebelum itu, Yesaya telah menubuatkan nama orang yang akan menawan kota Babilon, iaitu Kores. Kores akan mengizinkan umat Tuhan memulihkan penyembahan sejati. Yesaya juga menjelaskan secara terperinci strategi unik yang akan digunakan oleh Kores untuk menawan kota Babilon.Yesaya 44:24–45:3.

3. Ketibaan Mesias dan pengalaman-pengalamannya. Mesias akan dilahirkan di kota Betlehem. (Mikha 5:1) Dia bersifat rendah hati, dan dia tiba di Yerusalem dengan menunggang seekor keldai. (Zakharia 9:9) Walaupun dia prihatin dan baik hati, dia tidak akan disukai ramai, dan ramai tidak akan menerimanya. (Yesaya 42:1-3; 53:1, 3) Dia akan mengalami kematian yang penuh sengsara. Adakah kehidupannya akan berakhir dengan begitu sahaja untuk selama-lamanya? Tidak, kerana pengorbanan nyawanya bertujuan untuk membawa pengampunan bagi dosa-dosa manusia. (Yesaya 53:4, 5, 9-12) Hanya pembangkitan Yesus dapat melaksanakan hal ini.

4. Pemerintahan Mesias ke atas bumi. Manusia yang tidak sempurna langsung tidak berupaya untuk memerintah secara damai. Tetapi, Raja Mesias ini akan dipanggil Raja Damai. (Yesaya 9:5, 6; Yeremia 10:23) Di bawah pemerintahannya, semua manusia akan hidup aman damai dengan satu sama lain, termasuk dengan haiwan-haiwan ciptaan Tuhan. (Yesaya 11:3-7) Semua penyakit akan dibasmi. (Yesaya 33:24) Kematian pun akan lenyap untuk selama-lamanya. (Yesaya 25:8) Semasa Mesias memerintah, orang yang telah meninggal akan dibangkitkan untuk hidup di bumi.Daniel 12:13.

Berdasarkan buku Yesaya, Yeremia, Daniel, Amos, Mikha, dan Zakharia.