Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 BAHAGIAN 11

Lagu-Lagu yang Mengajar dan Menghiburkan Hati

Lagu-Lagu yang Mengajar dan Menghiburkan Hati

Daud dan beberapa orang yang lain telah menggubah lagu-lagu untuk digunakan dalam penyembahan. Buku Mazmur telah memelihara seni kata 150 mazmur

BUKU yang tertebal di dalam Bible merupakan penyusunan lagu-lagu suci. Lagu-lagu suci ini digubah menjangkau masa kira-kira 1,000 tahun. Buku Mazmur mengandungi beberapa ungkapan yang paling menyentuh hati tentang Tuhan. Berbagai-bagai emosi manusia telah dibentangkan di dalam buku ini. Contohnya, sukacita, pemberian pujian, kesyukuran, kesedihan, kepiluan, dan rasa sesal. Memang nyatalah hakikat bahawa pemazmur-pemazmur ini menaruh kepercayaan pada Tuhan dan mempunyai hubungan yang intim dan akrab dengan-Nya. Mari kita membincangkan beberapa tema yang telah dikembangkan di dalam lagu-lagu ini.

Yehuwa merupakan Pemerintah Berdaulat yang sah; Dia layak disembah dan diberi pujian. Mazmur 83:19 menyatakan, ‘Biarlah mereka tahu bahawa hanya Engkaulah Yehuwa, * Yang Maha Tinggi di seluruh bumi!’ Beberapa buah mazmur memuji Yehuwa atas ciptaan-ciptaan-Nya seperti langit yang penuh dengan bintang, kehidupan yang menakjubkan di bumi, dan tubuh manusia yang mengagumkan. (Mazmur 8, 19, 139, 148) Ada mazmur yang memuliakan Tuhan Yehuwa sebagai pelindung dan penyelamat hamba-hamba-Nya yang setia. (Mazmur 18, 97, 138) Mazmur yang lain pula menyanjung-Nya sebagai Tuhan yang adil, yang membawa kelegaan hati kepada mereka yang ditindas, dan yang menjatuhkan hukuman atas orang yang jahat.Mazmur 11, 68, 146.

Yehuwa memberikan bantuan dan penawar hati kepada mereka yang mengasihi-Nya. Mungkin mazmur yang paling terkenal ialah mazmur yang ke-23. Dalam mazmur ini, Daud menggambarkan Yehuwa sebagai seorang Penggembala penyayang yang membimbing, melindungi, dan menjaga biri-biri-Nya. Mazmur 65:3 mengingatkan para penyembah Tuhan bahawa Yehuwa mendengar dan mengabulkan doa mereka. Banyak orang yang terjerat dalam kancah dosa mendapat penawar hati dengan membaca kata-kata Daud di Mazmur 39 dan 51. Daud menzahirkan kata-kata tulus untuk menunjukkan bahawa dia telah bertaubat atas dosa-dosa besar yang telah dilakukannya, dan dia yakin bahawa Yehuwa akan mengampunkannya. Mazmur 55:23 menggalakkan kita untuk menaruh keyakinan pada Yehuwa dan menyerahkan segala kekhuatiran peribadi kita kepada-Nya.

Yehuwa akan mengubah dunia ini melalui Kerajaan Mesias. Beberapa buah Mazmur dengan jelasnya dikaitkan dengan Mesias, iaitu Raja yang telah dinubuatkan. Mazmur 2 menubuatkan bahawa Pemerintah ini akan melenyapkan bangsa-bangsa jahat yang menentangnya. Mazmur 72 menyingkapkan bahawa Raja ini akan membanteras kelaparan, ketidakadilan, dan penindasan. Mazmur 46:10 menyatakan bahawa Tuhan akan mengakhiri peperangan dan akan memusnahkan semua perlengkapan perang melalui Kerajaan Mesias. Mazmur 37 menyatakan bahawa orang yang jahat akan dibinasakan. Mereka yang melakukan apa yang benar akan hidup di bumi untuk selama-lamanya dan mereka akan menikmati keamanan dan keharmonian sejagat.

—Berdasarkan buku Mazmur.

^ per. 5 Untuk penjelasan bagi mengapa perkataan “TUHAN” telah digantikan dengan “Yehuwa,” sila rujuk kepada nota kaki di Kejadian 2:4 dalam Alkitab Berita Baik yang menyatakan: “TUHAN: Dalam terjemahan ini ‘TUHAN’ adalah padanan nama Ibrani YHWH yang diduga sebutannya Yahweh, dan ada juga yang menyebutnya Yehowa.”