Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 BAHAGIAN 6

Ayub Berpegang pada Integritinya

Ayub Berpegang pada Integritinya

Syaitan mencabar integriti Ayub kepada Tuhan, tetapi Ayub tetap setia kepada Yehuwa

ADAKAH manusia akan tetap setia kepada Tuhan jika mereka diuji hingga ke batasnya dan jika ketaatan mereka kepada Tuhan tidak membawa apa-apa faedah dari segi kebendaan? Inilah persoalan yang telah dibangkitkan—dan dijawab—dalam kisah seorang lelaki yang bernama Ayub.

Apabila orang Israel masih berada di Mesir, Ayub, salah seorang saudara Abraham, tinggal di sebuah tempat yang sekarang dikenali sebagai tanah Arab. Di syurga, malaikat-malaikat Tuhan berkumpul di hadirat-Nya, dan Syaitan, malaikat yang memberontak menentang Tuhan, berada di situ juga. Pada masa itu, Yehuwa meluahkan keyakinan-Nya terhadap hamba-Nya yang setia, iaitu Ayub. Malah, Yehuwa berkata bahawa tidak ada manusia lain yang mempunyai integriti seperti Ayub. Tetapi Syaitan mendakwa bahawa Ayub berkhidmat kepada Tuhan hanya kerana Tuhan memberkati dan melindunginya. Syaitan mendakwa bahawa jika segala-gala yang dipunyai Ayub dirampas daripadanya, Ayub akan mengutuk Tuhan.

Tuhan mengizinkan Syaitan untuk merampas segala harta benda Ayub, meragut nyawa anak-anaknya, dan menjejaskan kesihatannya. Ayub tidak menyedari bahawa Syaitanlah dalang di sebalik apa yang telah berlaku. Maka, dia tidak dapat memahami mengapa Tuhan mengizinkannya untuk mengalami semua cubaan ini. Biarpun begitu, Ayub tidak mengutuk Tuhan.

Tiga orang sahabat palsu Ayub melawatnya. Mereka menyampaikan “ceramah-ceramah” mereka, seperti yang dimuatkan dalam lembaran-lembaran buku Ayub. Walaupun dakwaan mereka tidak berasas, mereka mencuba meyakinkan Ayub bahawa Tuhan sedang menghukumnya atas dosa yang telah dilakukannya secara tersembunyi. Mereka juga mendakwa bahawa Tuhan tidak berkenan dan tidak mempercayai hamba-hamba-Nya. Tetapi, Ayub menolak dakwaan-dakwaan palsu mereka. Dengan yakin, Ayub mengatakan bahawa dia akan mengekalkan integritinya kepada Yehuwa sehingga ke akhir hayatnya!

Tetapi Ayub telah melakukan satu kesalahan; dia terlalu mementingkan pembelaan dirinya. Seorang lelaki yang lebih muda yang bernama Elihu, telah mengikuti seluruh perdebatan mereka. Elihu menegur Ayub kerana Ayub gagal untuk memahami bahawa pembuktian kewajaran Yehuwa untuk memerintah sebagai Pemerintah Yang Berdaulat adalah lebih penting daripada pembelaan dirinya. Dengan kerasnya, Elihu menegur sahabat-sahabat palsu Ayub juga.

Kemudian, Tuhan Yehuwa membetulkan pemikiran Ayub. Dengan merujuk kepada ciptaan-ciptaan-Nya yang menakjubkan, Yehuwa menggalakkan Ayub untuk merenungkan betapa kecilnya manusia jika dibandingkan dengan keagungan Tuhan. Ayub menerima teguran Tuhan dengan rendah hati. Oleh sebab Yehuwa merupakan Tuhan yang sangat “berbelas kasihan dan baik hati,” Dia telah memulihkan kesihatan Ayub, memberkatinya dengan dua kali lebih banyak harta benda yang dimilikinya, dan mengurniakannya dengan sepuluh orang anak. (Yakobus 5:11) Dengan mengekalkan integritinya kepada Yehuwa semasa menghadapi cubaan, Ayub berjaya menyangkal tuduhan Syaitan bahawa manusia tidak akan kekal setia kepada Tuhan jika mereka menghadapi cubaan.

Berdasarkan buku Ayub.