Lompat ke kandungan

Bagaimanakah Korban Yesus Menjadi “Tebusan bagi Banyak Orang”?

Bagaimanakah Korban Yesus Menjadi “Tebusan bagi Banyak Orang”?

Jawapan Bible

 Melalui korban Yesus, Tuhan membebaskan, atau menyelamatkan, manusia daripada dosa dan kematian. Alkitab menyatakan bahawa darah Yesus merupakan harga yang dibayar sebagai tebusan. (Efesus 1:7; 1 Petrus 1:18, 19) Oleh itu, Yesus mengatakan bahawa dia datang ke bumi untuk “menyerahkan nyawanya sebagai tebusan bagi banyak orang.”​—Matius 20:28.

Mengapakah “tebusan bagi banyak orang” diperlukan?

 Adam, manusia yang pertama, diciptakan dengan nyawa yang sempurna. Maksudnya, dia tidak ada dosa dan dapat hidup selama-lamanya. Tetapi dia kehilangan peluang itu setelah dia sengaja mengingkari Tuhan. (Kejadian 3:17-19) Dia mewariskan dosa kepada keturunannya. (Roma 5:​12) Oleh sebab itu, Alkitab menyatakan bahawa Adam dan keturunannya “dijual” sebagai hamba kepada dosa dan kematian. (Roma 7:​14) Memandangkan semua keturunan Adam tidak sempurna, tiada seorang pun antara mereka yang dapat “membayar harga” untuk memperoleh semula apa yang dihilangkan oleh Adam.​—Mazmur 49:8, 9.

 Tuhan berbelas kasihan terhadap keturunan Adam yang tidak berupaya untuk menyelamatkan diri. (Yohanes 3:16) Namun, memandangkan Tuhan sentiasa adil, Dia tidak boleh menutup sebelah mata terhadap dosa mereka atau mengampuni mereka tanpa dasar yang sah. (Mazmur 89:15; Roma 3:23-26) Oleh sebab Tuhan begitu mengasihi manusia, Dia telah mengambil langkah supaya dosa mereka dapat diampunkan dan dihapuskan dengan cara yang sah. (Roma 5:6-8) Langkah yang diambil-Nya adalah dengan menyediakan tebusan.

Apakah yang terangkum dalam tebusan?

 Dalam Alkitab, istilah “tebusan” merangkumi tiga aspek berikut:

  1.   Tebusan merupakan bayaran.​—Bilangan 3:​46, 47.

  2.   Tebusan dapat membebaskan seseorang.​—Keluaran 21:30.

  3.   Tebusan harus mempunyai nilai yang sepadan dengan apa yang dibeli, atau ditebus. a

 Mari kita lihat bagaimana korban tebusan Yesus Kristus merangkumi tiga aspek itu.

  1.   Bayaran. Alkitab menyatakan bahawa orang Kristian “sudah dibeli dengan harga yang tinggi.” (1 Korintus 6:20; 7:23) Harga yang dibayar itu ialah darah Yesus. Dia telah membeli ‘orang daripada setiap suku, bahasa, kaum, dan bangsa, untuk Tuhan.’​—Wahyu 5:8, 9.

  2.   Pembebasan. ‘Melalui tebusan Yesus, kita dibebaskan’ daripada dosa.​—1 Korintus 1:​30; Kolose 1:​14; Ibrani 9:​15.

  3.   Nilai yang sepadan. Apa yang dikorbankan oleh Yesus adalah sama dengan apa yang dihilangkan oleh Adam, iaitu nyawa manusia yang sempurna. (1 Korintus 15:21, 22, 45, 46) Alkitab menyatakan, “Disebabkan keingkaran satu orang [Adam], banyak orang menjadi pendosa. Begitu juga, disebabkan kepatuhan satu orang [Yesus Kristus], banyak orang mendapat perkenan Tuhan.” (Roma 5:19) Ayat ini menjelaskan bagaimana kematian satu orang dapat menebus, atau menyelamatkan, banyak orang yang berdosa. Tebusan Yesus merupakan “tebusan yang sepadan untuk semua orang.” Jika kita mengambil tindakan yang diperlukan, kita akan mendapat manfaat daripada tebusannya.​—1 Timotius 2:​5, 6.

a Dalam Alkitab, perkataan asal untuk “tebusan” bermaksud harga, atau barang bernilai, yang dibayar. Contohnya, kata kerja Ibrani ka·pharʹ bermaksud ‘menutup.’ (Kejadian 6:14, Terjemahan Baru) Perkataan itu membawa maksud menutup dosa, atau mengampunkan dosa. (Mazmur 65:4) Kata nama Ibrani koʹpher pula merujuk kepada harga yang dibayar untuk mendapatkan penebusan atau pengampunan. (Keluaran 21:30) Begitu juga, perkataan Yunani lyʹtron yang biasanya diterjemahkan sebagai “tebusan,” juga boleh diterjemahkan sebagai “harga tebusan.” (Matius 20:28; The New Testament in Modern Speech, oleh R. F. Weymouth) Dalam bahasa Yunani, perkataan ini sering merujuk kepada harga yang dibayar untuk membebaskan tawanan perang atau hamba abdi.